Friday 24 June 2011

PEMERGIAN MU, HARTA MU MILIK SIAPA

Setiap kematian sepatutnya disusuli dengan perpindahan pemilikan harta si mati kepada waris-waris melalui  lunas undang-undang berasaskan kepada hukum faraid. Malangnya hanya sebahagian sahaja kalangan waris yang   berusaha untuk menentukan milik masing-masing manakala yang lain membiarkan harta tersebut tidak bertuan.

Tidak menyelesaikan harta pusaka boleh mengakibatkan beberapa perkara negatif, antaranya:
a. Tanah terbiar / harta tidak terurus. Harta dibiarkan begitu sahaja.
b. Urusniaga hartanah beku. Tiada jual beli, gadaian dsb.
c. Status pemilikan tidak jelas. Tidak diketahui milik siapa sebenarnya.
d. Berlaku pemilikan harta tanpa hak. Mungkin pemilikan melebihi hak yang sebenarnya.

Lambat dan menangguhkan pembahagian pusaka pula boleh mengakibatkan:
a. Kematian berlapis. Bilangan waris bertambah ramai.
b. Hilang dokumen penting. Urusan pembahagian menjadi sukar. Misalnya sijil mati hilang.
c. Lupa keterangan sebenar. Boleh menyebabkan salah pembahagian..
d. Mendorong keterangan palsu. Makan harta tidak halal.

Ada pula yang enggan membahagikan harta pusaka. Ini mengakibatkan:
a. Makan harta saudara sendiri. Dosanya tidak terhingga.
b. Mendorong kepada perbalahan keluarga. Seorang / dua menguasai/memiliki sedangkan yang lain tengok  
    sahaja.
c. Akhirnya boleh memutuskan hubungan keluarga akibat ada yang tidak puas hati.

Justeru, pemergian orang tua mu, tentukan harta mereka milik siapa ya!.

Friday 10 June 2011

PUSAKA: HARTA BEKU


Heboh seluruh Negara, harta beku akibat tidak menuntut pusaka mencecah hampir 40 bilion. Apakah ini akibat tidak merancang harta?

Bagi harta tak alih khususnya hartanah, harta beku bermakna:
  1. Harta pusaka yang dimiliki dan diusahakan, tetapi tidak boleh dijalankan urusniaga seperti jual beli, gadaian, sewaan, pajakan dan sebagainya. Bagaimana tanah itu hendak dijual sedangkan masih terdaftar dengan nama orang yang telah meninggal dunia. Kalau dijual sekali pun, pembeli akan merana dan gelisah kerana tanah yang dibeli itu tidak boleh dipindah milik kepadanya sedangkan duit pembelian telah dijelaskan sepenuhnya.

  1. Harta pusaka yang ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja. Tiada siapa yang mengurus atau menjaganya. Maka terdapat rumah kosong tiada penghuni ditengah taman perumahan, rumah usang dipinggir kampong. Atau tanah dusun dipenuhi semak samun menjadi hutan dan buahnya ranum menjadi makanan haiwan.

Mengapa ini berlaku? Sedangkan harta pusaka ialah harta yang diperolehi secara percuma. Cuma perlukan sedikit usaha untuk menentukan pemilikannya.

Sebab Harta beku:

  1. Sikap waris tidak menyelesaikan pembahagian harta pusaka. Mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk sama-sama menyelesaikan pusaka bahkan tidak pula rasa bersalah membiarkan harta pusaka terbengkalai. Masing-masing tidak mahu ambil peduli tentang penyelesaiannya sedangkan ramai yang hanya merungut bila harta pusaka akan diselesaikan. Ada yang merasa sukar untuk berbincang, apatah lagi kalau dapat satu lot tanah seluas tapak rumah dikatakan tidak berbaloi nak ambil cuti dan pulang ke kampong. Tidak kurang pula yang tidak mahu mengeluarkan sedikit wang untuk memproses permohonan pusaka. Ini adalah kumpulan terbanyak yang mewujudkan harta beku. Tiada perbalahan keluarga, tiada masalah berbangkit, akan tetapi pusaka tak selesai juga. “Nantilah sampai masa kami buatlah!”.

  1. Tiada pengetahuan tentang undang-undang dan peraturan memohon pusaka. Begitu juga tiada pengetahuan tentang hukum faraid. Bagi kes kematian baru, prosesnya tidaklah begitu sukar. Tetapi bagi kematian berlapis (kes munasakhat) agak sukar. Itu akibat melengah-lengahkan pembahagian. Perunding W Halim cuba membantu anda untuk menguruskan permohonan pusaka, menentukan waris yang berhak dan bahagian  setiap orang waris mengikut hukum faraid dengan bayaran yang berpatutan.

  1. Pembahagian pusaka telah dibuat, malangnya harta dibiarkan terbengkalai. Sebabnya setiap harta di daftarkan dengan semua nama waris-waris. Sebenarnya waris boleh menggunakan konsep takharuj semasa pembahagian. Dengan kata lain pembahagian boleh dinbuat secara muafakat berlandaskan hukum faraid. Ini memerlukan sedikit kemahiran dalam hukum faraid, undang-undang tanah dan matematik. Justeru Perunding W Halim boleh membantu anda dalam memperoleh cara pembahagian yang praktikal, menguntungkan dari segi ekonomi dan memuaskan hati  semua pihak.

  1. Sebab yang agak sukar untuk diselesaikan ialah sekiranya waris-waris bergaduh, bertegang urat, mempertahankan kehendak masing-masing, tiada tolak ansur dan ada yang ingin membolot kesemua harta dengan memilikinya tanpa hak. Maka makanlah mereka harta adik beradik mereka secara batil. 

Semoga harta yang ditinggalkan oleh orang tua dan diperoleh secara percuma ini dimanfaatkan oleh anak cucu sebaik mungkin. Insyaallah.