Thursday 19 January 2012

BENARKAH WASIAT MEMPERCEPATKAN PROSES PEMBAHAGIAN PUSAKA?


Sejak kebelakangan, heboh tentang wasiat. Ada yang mengatakan, “Saya belum lagi berwasiat”. Ada pula yang bertanya, “Apakah saya kena meninggalkan wasiat untuk mengelakkan daripada pergaduhan dalam kalangan anak-anak saya apabila saya mati? Ada pula yang merungut, “Apa yang hendak saya wasiatkan?”

Semua persoalan tersebut membelenggu fikiran sebahagian daripada masyarakat yang mendengar kempen tentang perlunya seseorang itu berwasiat yang dikatakan boleh menjamin kesejahteraan keluarga di masa akan datang dan untuk mempercepatkan urusan penyelesaian harta pusaka jika seseorang wasi dilantik untuk menguruskan harta pusaka itu nanti.

Soalan:
Saya masih keliru tentang hibah, wasiat dan pusaka. Boleh terangkan perbezaannya?.

Jawab:
Hibah adalah pelupusan harta yang akan berkuatkuasa semasa tuan punya harta masih hidup mengikut kehendak tuan punya harta. Kadar hibah tidak dihadkan sama ada hendak dihibahkan kesemua atau sebahagian daripada hartanya. Juga tidak disyaratkan penerima hibah itu dari kalangan waris yang berhak menerima pusaka atau tidak. Dengan kata lain, hibah adalah ‘pemberian hidup’. Contoh: Ahmad memberikan sebuah kereta kepada anak keduanya, Kasim. Kereta itu menjadimilik Kasim ketika Ahmad masih hidup.

Wasiat adalah pelupusan harta yang akan berkuatkuasa setelah tuan punya harta meninggal dunia. Kadar wasiat telah dihadkan kepada setakat 1/3 daripada harta peninggalannya sahaja. Juga disyaratkan penerima wasiat bukanlah daripada kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka pewasiat itu. Contoh: Ahmad mewasiatkan keretanya diberikan kepada isterinya, Sabariah dan rumah diberikan kepada anak tirinya, Kasim. Wasiat kepada Sabariah tidak sah sekiranya ketika kematian Ahmad, Sabariah masih lagi isterinya kerana Sabariah adalah waris yang berhak menerima harta pusaka Ahmad. Wasiat kepada Kasim sah kerana Kasim tidak berhak mendapat pusaka Ahmad. Wasiat ini berkuatkuasa selepas kematian Ahmad.

Pusaka adalah pelupusan harta seseorang yang telah mati kepada waris-warisnya yang telah ditentukan mengikut hukum faraid. Contoh: Kasim mati meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki dan seorang adik lelaki. Hukum faraid telah menentukan harta pusaka Ahmad hanya layak diwarisi oleh isteri (1/8 bahagian) dan anak lelaki (asabah: 7/8 bahagian). Tiada bahagian untuk adik lelaki. Kuatkuasa hukum faraid ini setelah Ahmad meninggal dunia.

Syarat sah wasiat

Mengikut konsep, wasiat dibenarkan bertujuan untuk memberikan sebahagian harta seseorang kepada orang yang dikehendakkinya semasa hayatnya dan pemberian itu akan terlaksana setelah kematiannya sedangkan orang itu tidak berhak mewarisi hartanya mengikut ketetapan hukum faraid.

Itulah sebabnya antara syarat sah wasiat ialah:
1.         Tidak diwasiatkan kepada waris yang berhak menerima pusaka.
2.         Tidak diwasiatkan lebih daripada 1/3 harta agar baki 2/3 lagi itu diwariskan mengikut hukum faraid.

1. Tidak diwasiatkan kepada waris yang berhak menerima pusaka.

Adalah digalakkan seseorang itu berwasiat kepada seseorang yang dikasihinya tetapi orang itu tidak boleh mewarisi hartanya seperti anak angkat, anak tiri, cucu yang dipelihara sedangkan anak masih ada, saudara mara yang tidak mewarisi mengikut hukum faraid dan sebagainya. Tetapi tidak digalakkan berwasiat kepada waris-waris yang berhak  berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. riwayat Abu Umamah r.a. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak itu hak masing-masing, kerana itu tidak ada wasiat kepada waris-waris yang berhak”.

Apa yang berlaku dalam masyarakat, sebahagian besar daripada ibu bapa berwasiat kepada anak-anak mereka dengan menentukan harta-harta tertentu kepada seseorang. Ada pula yang berwasiat harta tertentu seperti rumah yang didiaminya diberikan kepada salah seorang anaknya.

Wasiat sebegini hukum asalnya tidak sah. Tetapi boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada kesemua waris-waris yang berhak mewarisi.

Apabila wasiat kepada waris-waris ditinggalkan oleh ibu atau bapa, tidak timbul masalah sekiranya semua anak-anak memberi peretujuan. Tetapi apabila ada antara anak-anak yang tidak bersetuju dengan wasiat itu, mengikut hukumnya, wasiat itu terbatal. Pertelingkahan mula timbul dalam kalangan anak-anak kerana anak yang diwasiatkan kepadanya berkeras mahukan harta yang diwasiatkan kepadanya dengan alasan telah diberikan oleh bapanya manakala anak-anak yang lain berpegang kepada hukum yang mengatakan wasiat itu tidak sah. Akibatnya harta pusaka itu tidak diselesaikan pembahagiannya sehingga begitu lama. Di sinilah puncanya mengapa sebahagian daripada waris-waris tidak menyelesaikan harta pusaka orang tua mereka.

2. Tidak diwasiatkan lebih daripada 1/3 daripada harta.

Harta yang diwasiatkan itu dihadkan setakat 1/3 daripada harta seseorang itu setelah ditolak belanja kematian dan hutang, jika ada. Ini bertujuan memberi peluang kepada waris-waris menikmati harta si mati mengikut hukum faraid. Pertelingkahan mungkin juga berlaku antara waris dan penerima wasiat sekiranya diwasiatkan kesemua harta atau lebih daripada 1/3. Masalah ini tidaklah begitu ketara kerana sekiranya diwasiatkan kepada orang yang layak menerimanya iaitu bukan waris yang berhak, kuatkuasa wasiat hanya setakat 1/3 sahaja dan kedua-dua pihak boleh memilikki harta pusaka itu mengikut kadar masing-masing.

Perlantikan wasi.

Ada yang mendakwa dengan berwasiat melantik wasi, harta pusaka itu akan dapat diselesaikan dengan segera tanpa menghadapi apa-apa masalah seolah-olah dengan meninggalkan wasiat laluan tolnya begitu mudah tidak perlu beratur panjang berbanding pusaka yang tidak berwasiat terpaksa menunggu barisan yang panjang untuk melepasi tol.

Persoalannya, adakah dengan melantik wasi, pusaka itu akan selesai begitu mudah?. Jawapannya, segala-galanya terpulang kepada kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh waris-waris untuk menyelesaikan harta pusaka itu. Samada wasi dilantik atau tidak, samada wasiat ditinggalkan atau tidak, sekiranya waris-waris memberikan komitmen yang baik, insyaallah penyelesaian pusaka akan berjalan lancar mengikut prosedur yang sedia ada. Tetapi sekiranya waris-waris tidak menunjukkan kesepakatan, pusaka akan terbengkalai begitu sahaja dan sekiranya pertelingkahan itu berkaitan dengan wasiat, waris-waris akan diminta berurusan dengan Mahkamah Syariah untuk menentukan status wasiat tersebut sebelum diselesaikan oleh Pegawai-Pegawai Pusaka.

Akta Wasiat 1959
Semoga saudara tidak terpengaruh dengan Akta Wasiat 1959 yang mengandungi peruntukan:
  •                       Boleh berwasiat kesemua harta tanpa had.
  • .                    Boleh berwasiat kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau bukan waris. 

Akta ini hanya terpakai kepada bukan Islam sahaja. Namun peraturan inilah yang diamalkan selama ini oleh majoriti orang-orang Islam.
Orang Islam sepatutnya terikat dengan Hukum Wasiat Islam atau Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri) di mana syarat sah wasiat telah diterangkan di atas.

Soalan:
Benarkah dengan berwasiat boleh mempercepatkan penyelesaian harta pusaka?
Jawab:
Dari sudut penyelesaian harta pusaka sama ada berwasiat atau tidak berwasiat, adalah sama sahaja di bawah bidang kuasa Pusaka Kecil. Tiada keistimewaan bagi pusaka berwasiat sama ada boleh diberi keutamaan singkat tempoh penyelesaian atau dipermudahkan penyelesaiannya.. Bahkan sekirannya ada pihak yang mempertikaikan wasiat itu, perbicaraan pusaka kecil akan ditangguhkan dan penerima wasiat akan diminta mendapatkan pengesahan di Mahkamah Syariah.

Soalan:
Bolehkah Mahkamah Syariah mengenepikan wasiat yang dibuat mengikut cara dokumen yang betul?
Jawab:
Dokumen itu adalah satu cara pembuktian bahawa ada wasiat ditinggalkan oleh si mati. Akan tetapi Mahkamah Syariah akan meneliti tentang syarat-syarat sah wasiat. Sekiranya syarat sah wasiat diikuti, Mahkamah akan mengesahkan wasiat itu, sebaliknya sekiranya syarat sah tidak dipatuhi, wasiat itu diketepikan.

Sekian.


Thursday 12 January 2012

SOALAN-SOALAN FARAID DARI PUSAT PENERANGAN ISLAM SARAWAK


S1: Apakah FARAID?
J1: FARAID ialah satu ilmu berkaitan sistem pembahagian harta pusaka bagi orang Islam. Ia mengandungi hukum pewarisan, formula  pembahagian dan kaedah  pengiraan  yang akan menentukan siapakah dalam kalangan keluarga yang ditinggalkan oleh si mati yang berhak mewarisi harta pusaka dan menentukan kadar bahagian yang akan diwarisi oleh setiap orang waris.

Contohnya: Ahmad meninggal dunia dan meninggalkan ibu, seorang isteri, dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan tiga orang saudara lelaki seibu sebapa (adik beradik Ahmad).

Hukum faraid menjelaskan bahawa harta pusaka  Ahmad akan diwarisi oleh ibu, isteri dan anak-anak, manakala adik beradik tidak berhak. Mengikut kaedah  hukum faraid, adik beradik tidak mewarisi kerana mereka terdinding oleh anak lelaki.


Sekadar gambar hiasan

Seterusnya ilmu faraid menjelaskan pula bahagian yang akan diwarisi oleh setiap orang waris berdasarkan formula yang telah ditetapkan iaitu ibu mendapat 1/6 bahagian, isteri mendapat 1/8 bahagian dan anak-anak mendapat baki (asabah) dengan kadar bahagian lelaki 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian.

Untuk mengetahui bahagian bagi setiap orang waris, kaedah pengiraan faraid ditunjukkan seperti di bawah:

 

 

24

120

Ibu

1/6

4

20

Isteri

1/8

3

15

Anak lelaki

Asabah

 

34

Anak lelaki

Asabah

17

34

Anak perempuan

Asabah

 

17


Setelah pengiraan, bahagian setiap orang waris dapat diketahui iaitu ibu mendapat 20/120 bahagian, isteri 15/120 bahagian, anak lelaki 34/120 bahagian dan anak perempuan 17/120 bahagian.

S2: Bolehkah diberikan sedikit penjelasan tentang hibah, wasiat dan harta pusaka?

J2:  Hibah ialah pemberian semasa hidup. Iaitu seseorang melepuskan hak atau sesuatu harta kepada orang atau pihak lain semasa hayatnya  dan kuatkuasa pemberian itu setelah penerima menerima harta yang diberikan itu.

Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau bukan waris dan tidak dihadkan kadar pemberian itu sama ada sebahagian atau kesemuanya.

Contohnya: Ahmad memberikan sebuah kereta kepada anaknya yang bernama Kasim. Kasim menerima kereta itu daripada bapanya dan kereta itu bertukar menjadi menjadi hak milik Kasim. Ini bermakna Ahmad telah menghibahkan keretanya kepada Kasim. Pemberian ini berkuatkuasa semasa Ahmad masih hidup.

Wasiat ialah pemberian setelah kematian. Iaitu seseorang berhasrat untuk memberikan sesuatu harta kepada orang atau pihak lain dan kuatkuasa pemberian itu setelah beliau (tuan punya harta) meninggal dunia.

Contohnya: Ahmad berwasiat untuk memberikan kereta miliknya kepada anak angkatnya. Pemberian ini akan hanya berkuatkuasa setelah Ahmad meninggal dunia. Selagi Ahmad masih hidup, kereta yang diwasiatkan itu masih kepunyaan Ahmad.
Wasiat mempunyai syarat-syarat tertentu antaranya:
1.Penerima wasiat tidak terdiri daripada kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka, seperti ibu, isteri dan anak kandung.
2.Harta yang diwasiatkan itu tidak  melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta hartanya setelah ditolak belanja kematian dn hutang jika ada..

Harta pusaka ialah harta yang ditinggalkan oleh seseorang yang telah meninggal dunia. Harta itu milik si mati semasa hayatnya dan tidak dihibahkan kepada sesiapa dan tidak pula diwasiatkan. Harta itu akan diwarisi oleh waris-waris yang telah ditentukan mengikut hukum faraid sebagaimana contoh dalam jawapan soalan 1 di atas.

S3: Adakah wajib kita umat Islam untuk ikut hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka walaupun tiada perselisihan antara waris?

J3: Dalam pembahagian harta pusaka, setiap umat Islam wajib mengikut hukum faraid. Namun mereka boleh untuk memilih cara pembahagian setelah mengadakan perbincangan atau bersetuju dengan rela hati tanpa dipaksa atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Maksudnya untuk menentukan siapakah dalam kalangan waris yang berhak mewarisi harta pusaka mestilah mengikut kaedah yang digariskan oleh hukum faraid. Sekiranya waris yang berhak itu tidak diberikan haknya, bermakna tidak mengikut hukum faraid dan hukumnya haram dan berdosa.

Contohnya si mati meninggalkan dua orang isteri dan lima orang anak. Sekiranya isteri kedua tidak disenaraikan sebagai waris yang berhak, bermakna pembahagian dilakukan tidak mengikut hukum faraid.

Demikian juga dalam penentuan bahagian yang akan diwarisi oleh seseorang waris mestilah mengikut kaedah hukum faraid. Sekiranya tidak mengikut kadar yang telah ditetapkan bermakna seseorang itu tidak mengikut hukum faraid dan hukumnya berdosa.

Contohnya: bahagian isteri telah ditetapkan sebanyak ¼ bahagian ketika si mati tidak meninggalkan anak. Sekiranya diberikan kepada isteri itu hanya 1/8 sahaja, bermakna tidak mengikut hukum faraid. Sesiapa yang memakan harta bahagian isteri itu hukumnya haram dan berdosa.

Tetapi sekiranya waris yang berhak mengikut kaedah hukum faraid tidak ditinggalkan dan mereka pula mengetahui bahagian masing-masing, mereka dibolehkan untuk membahagikan harta pusaka itu mengikut persetujuan secara sukarela seperti pembahagian sama banyak , muafakat, penyerahan hak tanpa bayaran atau dengan bayaran dan sebagainya. Pembahagian seperti ini mengikut kaedah ‘Takharuj’ dan tidak bertentangan dengan hukum faraid.

S4: Bolehkah anak luar nikah mewarisi harta bapanya?

J4:  Anak luar nikah tidak boleh mewarisi harta pusaka bapanya. Ini kerana anak itu bukan anak yang sah mengikut hukum syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa itu. Jelasnya, anak luar nikah bukan ‘keturunan hakiki’ atau ‘darah daging’  kepada bapa itu. Oleh itu mereka tidak saling mewarisi. Bagaimana pun anak itu boleh mewarisi harta ibu yang melahirkannya.

S5: Bagaimanakah pembahagian harta mengikut hukum Faraid, sekiranya si mati yang meninggalkan adalah ibu tunggal dan mempunyai kesemua anak perempuan?

J5: Hukum faraid telah menetapkan bahagian anak perempuan kalau seorang mendapat 1/2 bahagian dan sekiranya lebih daripada seorang mendapat 2/3 bahagian daripada harta pusaka ibunya yang meninggal dunia. Baki 1/2 atau 1/3 bahagian lagi akan diwarisi oleh waris-waris yang lebih jauh sekiranya mereka ada mengikut turutan. Waris yang lebih dekat mendindingkan waris yang lebih jauh. Mereka ialah, adik beradik si mati, anak saudara, bapa saudara, sepupu, datuk saudara dan seterusnya keturunan mereka. Sekiranya semua mereka tidak ada, baki1/3 bahagian itu diserahkan kepada Baitulmal.

S6: Bolehkah seseorang mewasiatkan harta kepada anak angkatnya?

J6: Seseorang itu boleh mewasiatkan harta kepada anak angkatnya bahkan mewasiatkan harta kepada anak angkat amat digalakkan. Ini kerana anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya mengikut hukum faraid kerana anak angkat bukan keturunan hakiki atau darah daging kepada si mati.

Sekiranya ibu bapa angkat tidak meninggalkan wasiat harta kepada anak angkatnya, dan tidak pula menghibahkan sebahagian daripada hartanya kepada anak angkat itu semasa hayatnya, maka malanglah  nasib anak angkat itu kerana tidak mendapat apa-apa daripada harta pusaka ibu bapa angkatnya.


Sekadar gambar hiasan

S7: Apakah hukum seseorang itu apabila warisnya meninggal dunia meninggalkan harta yang banyak tetapi tidak disempurnakan harta itu mengikut kaedah syarak?

J7: Apabila seseorang itu meninggal dunia, secara automatik harta yang ditinggalkannya menjadi harta pusaka iaitu menjadi hakmilik waris-waris. Tidak kira sama ada harta itu sedikit atau pun banyak. Siapakah yang berhak mewarisi dan bahagian setiap orang waris itu telah ditentukan mengikut kaedah hukum faraid.

Adalah berdosa semua waris-waris  yang tidak menyelesaikan harta pusaka sama ada tidak menyelesaikannya dengan membuat pembahagian mengikut hukum faraid atau membuat pembahagian harta pusaka itu tanpa mengikut kaedah hukum faraid.

Contohnya, ada kalangan waris-waris yang sepatutnya berhak menerima pusaka mengikut hukum faraid tetapi ditinggalkan dan tidak diberikan bahagiannya atau membuat pembahagian sesuka hati tanpa berpandukan kepada kaedah hukum faraid.

S8: Mengapa dalam sistem Faraid, lelaki mendapat 2/3 bahagian daripada harta si mati dan perempuan hanya mendapat 1/3?

J8: Di zaman jahiliah, harta pusaka hanya diwarisi oleh kaum lelaki sahaja manakala wanita tidak mendapat apa-apa. Alasannya, hanya kaum lelaki berupaya dan bertanggungjawab menjaga keselamatan keluarga. Kaum wanita tidak mempunyai kekuatan tenaga seperti lelaki, oleh itu mereka dianggap tidak layak mewarisi harta pusaka. Sebaliknya, ada pula adat-adat setempat yang hanya memberikan warisan kepada kaum wanita sahaja dan lelaki tidak diberikan apa-apa daripada harta pusaka ibu atau bapa mereka. Golongan ini pula berpendapat kaum wanita lemah dan tidak berupaya mencari harta sendirian. Oleh itu harta pusaka wajar diwarisi oleh kaum perempuan manakala lelaki mempunyai tenaga dan kekuatan untuk mencari harta sendiri. Oleh itu tidak perlu diberikan harta pusaka kepada mereka.

Islam datang dengan membawa keadilan kepada manusia dalam segala aspek termasuk  pembahagian harta pusaka. Islam mengambil jalan tengah dengan mewariskan kedua-dua golongan iaitu lelaki dan wanita. Islam tidak meminggirkan mana-mana pihak , tetapi Allah telah menetapkan bahagian lelaki sekali ganda bahagian perempuan memandangkan lelaki adalah ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab tertentu, antaranya:
  1. Bertanggungjawab menanggung nafkah keluarga iaitu isteri dan anak-anak
  2. Bertanggungjawab menanggung nafkah ibu bapa yang telah tua dan tidak berkemampuan.
  3. Bertanggungjawab menanggung nafkah adik beradik perempuan yang belum berkahwin dan tiada sumber kewangan sendiri sekiranya bapa tidak ada atau tidak berkemampuan.
  4. Bertanggungjawab menanggung nafkah anak-anak kepada adik beradik lelaki yang telah meninggal dunia (anak saudara) sehingga mereka dewasa dan boleh berdikari.

Dalam Islam, kaum wanita hanya membelanjakan harta untuk keperluan diri sendiri sahaja dan  mereka tidak dibebankan untuk menafkahkan sesiapa pun. Apa yang mereka belanjakan  untuk ibu bapa dan keluarga adalah secara sukarela dan sumbangan mereka itu diberikan ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti.

Seorang wanita yang belum berkahwin dan tidak mempunyai pendapatan sendiri, dia akan dinafkahkan oleh bapanya. Sekiranya bapa meninggal dunia tempat bapa digantikan oleh datuk. Sekiranya kedua-dua mereka sudah tidak ada atau tidak berkemampuan, tanggungjawab itu berpindah kepada  adik beradik lelaki.

Sekiranya wanita itu berkahwin, segala perbelanjaan akan ditanggung oleh suami masing-masing. Maka sewajarnyalah wanita mewarisi setengah daripada bahagian waris lelaki.

S9: Sekiranya seseorang memeluk agama Islam, adakah ahli keluarga beliau yang bukan Islam berhak ke atas harta tersebut?

J9: Berlainan agama merupakan salah satu sebab saling tidak mewarisi antara satu sama lain. Oleh kerana itu seorang yang memeluk agama Islam, apabila meninggal dunia, hartanya tidak boleh diwarisi oleh keluarganya yang bukan Islam.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.aw. yang bermaksud:
“Orang Islam tidak mewarisi harta orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta orang Islam”.


        Sekadar gambar hiasan

S10: Adakah harta sepencarian antara pasangan termasuk dalam harta pusaka yang wajib difaraidkan?

J10: Harta sepencarian tidak termasuk di dalam hukum faraid. Tetapi sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid, bahagian harta sepencarian hendaklah diputuskan terlebih dahulu sekiranya ada tuntutan harta sepencarian oleh pasangan si mati. Selepas tuntutan harta sepencarian diputuskan sama ada oleh mahkamah atau melalui persetujuan waris-waris, baharulah harta pusaka itu difaraidkan.

Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang isteri dan seorang saudara lelaki seibu sebapa. Mengikut hukum faraid, isteri layak mendapat 1/4 bahagian kerana si mati tidak meninggalkan anak, dan bakinya sebanyak 3/4  bahagian diwarisi oleh saudara lelaki seibu sebapa sebagai penerima asabah.

Tiada perbincangan berkaitan harta sepencarian sekiranya isteri si mati tidak membuat tuntutan harta sepencarian. Oleh itu bahagian yang akan diwarisi oleh isteri adalah sebanyak 1/4 bahagian sahaja daripada harta pusaka suaminya.

Sekiranya isteri menuntut bahagian harta sepencarian, harta pusaka tidak boleh dibahagikan selagi tuntutan harta sepencarian itu tidak diputuskan terlebih dahulu. Selepas tuntutan harta sepencarian diputuskan dan diberikan hak sepencarian kepada isteri, maka baharulah bakinya dikira sebagai harta pusaka dan difaraidkan.

Contohnya, si mati meninggalkan harta tanah seluas 2 ekar. Isteri membuat tuntutan harta sepencarian dan mahkamah telah memutuskan 1/2 bahagian iaitu 1 ekar daripada tanah peninggalan suaminya itu sebagai harta sepencarian.  Bakinya 1 ekar tanah kemudiannya difaraidkan dan ternyata bahagian isteri mengikut hukum faraid sebanyak 1/4 bahagian iaitu 0.25 ekar.

Ini bermakna isteri si mati mendapat 1.25 ekar daripada harta peninggalan suaminya. Satu ekar sebagai harta sepencarian dan 0.25 ekar lagi adalah hak isteri mengikut hukum faraid.

Wassalam.

WAN ABDUL HALIM BIN W HARUN
08 JANUARI 2012