Tuesday 26 August 2014

BAGAIMANA BAPA MEWARISI HARTA PUSAKA?

Dalam siri yang lepas kita telah bincangkan siapakah dalam kalangan bapa yang layak mewarisi  harta pusaka  anaknya yang meninggal dunia.  Kini kita bincangkan pula kaedah-kaedah bagaimana bapa mewarisi harta pusaka.
Bapa mewarisi dalam tiga keadaan atau situasi. Ini bermakna bapa mempunyai tiga kaedah pembahagian.

PERTAMA , bapa mendapat 1/6 bahagian daripada harta pusaka anaknya sekiranya si mati itu ada meninggalkan keturunan lelaki ke bawah. Dengan kata lain si Mati meninggalkan zuriat lelaki sama ada anak lelaki atau cucu lelaki.
Contohnya, Kamaruzaman mati dan meninggalkan isteri, seorang anak lelaki, seorang anak perempuan dan bapa. Ibu Kamaruzaman telah mati lebih awal. Harta pusaka Kamaruzaman dibahagikan seperti berikut:



24
72
BAPA
1/6
4
12
ISTERI
1/8
3
3
ANAK LELAKI
ASABAH
17
34
ANAK PEREMPUAN
ASABAH

17

KEDUA, bapa mendapat sebanyak 1/6 bahagian dan sekiranya ada baki selepas dibahagikan kepada semua waris, baki itu diserahkan kepada bapa. Ini dinamakan bapa mewarisi mengikut kaedah 1/6 + asabah. Iaitu dalam keadaan di mana simati hanya meninggalkan keturunan perempuan sahaja dan tidak meninggalkan keturunan lelaki.
Contohnya,



24
24
BAPA
1/6 + ASABAH
4 + 5
9
ISTERI
1/8
3
3
ANAK PEREMPUAN
½
12
12

(Pada mulanya bapa mendapat 1/6 bersamaan  4/24 bahagian sahaja. Tetapi setelah diberikan bahagian isteri dan seorang anak perempuan didapati ada lebihan sebanyak 5/24 bahagian. 5 bahagian itu diberikan kepada bapa sebagai penerima asabah (baki). Di akhir pengiraan, bapa mendapat 9/24 bahagian).

KETIGA, bapa mendapat asabah. Bermakna sekiranya si mati hanya meninggalkan bapa seorang sahaja tanpa waris lain, bapa akan mendapat kesemua harta pusaka itu. Sekiranya bapa mewarisi bersama waris fardu yang lain, bapa mendapat baki setelah diberikan bahagian waris-waris lain.

Contoh 1.
Samad belum berkahwin. Masih mempunyai bapa, tetapi ibu telah meninggal dunia. Keturunan keatas seperti nenek dan datuk semua telah mati dahulu. Apabila Samad meninggal dunia, kesemua harta pusaka Samad akan diwarisi oleh bapanya.

Contoh 2.
Samad telah berkahwin tetapi tidak dikkurniakan zuriat. Masih mempunyai ibu dan bapa. Apabila Samad meninggal dunia, bapa akan mewarisi secara asabah iaitu bapa mendapat baki setelah diberikan bahagian ibu dan isteri. Pengiraannya seperti rajah di bawah:

ISTERI
1/4
1/4
1/4
IBU
1/3BAKI
1/3 x 3/4
1/4
BAPA
ASABAH
BAKI
2/4

SOALAN:
Assalamualaikum Ustaz.
Jiran saya mati dan meninggalkan bapa. Isterinya mati dahulu dan pada mulanya beliau mempunyai seorang anak perempuan tetapi mati dahulu juga. Anak perempuan ini pula ada meninggalkan tiga orang anak, dua lelaki dan satu perempuan. Saya difahamkan, semua harta pusaka jiran saya itu diwarisi oleh bapanya seorang sahaja manakala cucu kepada jiran saya itu tidak mendapat apa-apa. Pohon pandangan ustaz.

JAWAPAN
Memang benar harta pusaka jiran tuan diwarisi oleh bapanya seorang sahaja. Ini kerana walaupun si mati ada meninggalkan cucu lelaki dan perempuan, mereka tidak layak mewarisi kerana cucu daripada anak perempuan yang mati dahulu adalah dari golongan zawil-arham. Iaitu tidak termasuk dalam kumpulan waris yang berhak mewarisi. Oleh itu kesemua harta diwarisi oleh bapa si mati.

SOALAN
Ibu saya telah bercerai dengan bapa lapan tahun lalu. Dua tahun selepas bercerai, bapa berkahwin lain. Begitu juga ibu saya telah berkahwin lain. Sebulan lepas abang sulung saya telah meninggal dunia. Beliau masih bujang dan tidak pernah berkahwin. Soalan saya siapakah yang berhak ke atas harta pusaka abang? Kami dua beradik sahaja.
Adakah bapa kandung masih berhak mewarisi harta pusaka abang kerana bapa telah berkahwin lain? Adakah suami baru ibu (bapa tiri saya) juga berhak ke atas harta pusaka abang ?.  

JAWAPAN
Sepertimana perbincangan kita dalam siri sebelum ini, bapa yang layak mewarisi ialah bapa kandung. Bapa tiri tidak layak mewarisi. Soal bapa bercerai dengan ibu dan berkahwin lain tidak menghalang bapa daripada mewarisi harta pusaka anaknya yang meninggal dunia.
Demikian juga ibu, walaupun telah berkahwin lain, ibu kandung juga berhak mewarisi harta pusaka anaknya. Jadi dalam kes ini, waris yang berhak mewarisi harta pusaka abang sulung saudara ialah ibu dan bapa kandung sahaja.  Saudara tidak berhak mewarisi harta pusaka abang kerana terdinding oleh bapa.
Kesimpulannya pembahagian harta pusaka abang seperti berikut:

IBU
                   1/3
BAPA
ASABAH – 2/3
ADIK
TERDINDING
                                                               
SEKIAN.