Friday 24 June 2016

BICARA HARTA BEKU:

MENGAPA HARTA PUSAKA TIDAK DISELESAIKAN?

Dari pengamatan dan pengalaman saya selama lebih 35 tahun berkecimpung dalam urusan pewarisan harta, harta pusaka tidak diselesaikan dengan empat sebab utama:

PERTAMA:
WARIS TIDAK BERGADUH, TETAPI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB UNTUK SELESAIKAN HARTA PUSAKA.
Bagaikan satu budaya dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita, di mana penyelesaian harta pusaka dipandang remeh. Tidak mempedulikan harta pusaka, melengah-lengahkan penyelesaiannya dan tidak kurang juga yang enggan menyelesaikannya. Mereka tidak mempunyai perasaan bertanggungjawab untuk menyelesaikan harta pusaka orang tua mereka.
Fenomena ini dapat dilihat dalam permohonan yang dibuat oleh waris-waris bagi membahagikan harta pusaka di Pejabat Tanah Daerah atau Unit Pembahagian Pusaka diseluruh negara apabila permohonan itu sebahagian besarnya dibuat selepas beberapa tahun berlaku kematian. Lebih menyedihkan apabila masih terdapat penyelesaian harta pusaka dibuat bagi kematian tahun 1950’an. Malah, ada yang memohon supaya dibahagikan harta pusaka yang sudah meninggal dunia lebih 70 tahun yang lalu.
Pembekuan harta pusaka ini akan berakhir setelah wujud sesuatu faedah yang akan diperolehi oleh waris-waris. Buktinya dapat dilihat apabila berlaku pengambilan balik tanah oleh kerajaan untuk dibangunkan, maka berduyun-duyunlah waris ke Pejabat Tanah untuk penyelesaian bagi mendapatkan wang pampasan pengambilan balik tanah. Demikian juga sekiranya tanah pusaka itu hendak dijual dan sebagainya.
Terkini, saya telah menyelesaikan satu kes pusaka, kematian pada tahun 1960. Setelah siasatan waris, ternyata ini adalah kes kematian berlapis sebanyak 22 lapis. Bermakna 22 kematian dengan jumlah waris seramai 85 orang. Amat sukar bagi waris untuk melengkapkan susunan waris dan menyediakan dokumen (sijil kematian dan salinan kad pengenalan semua waris) sehingga mengambil masa selama hampir satu tahun.
Setelah lengkap, saya bawakan kes ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan Sijil Faraid. Alhamdulilah, dengan sekali pendengaran sahaja kes selesai.

KEDUA:
BERLAKU PERSELISIHAN FAHAM AKIBAT KEKELIRUAN STATUS HARTA YANG DITINGGALKAN.
Sepatutnya setiap harta yang dilupuskan oleh seseorang semasa hayatnya ditukar milik kepada penerima. Sekiranya hartanah, dipindahkan milik melalui Borang 14 A KanunTanah Negara dan urusannya di Pejabat Tanah, manakala bagi kenderaan, urusan pindah milik di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sekiranya diwakafkan, sepatutnya didaftarkan dengan nama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Ia sebagaimana yang dikehendakki oleh undang-undang dan peraturan bagi mengelakkan timbul pertelingkahan berkaitan pemilikan harta selepas pemilik harta meninggal dunia.
Salah satu punca berlakunya perselisihan dalam kalangan waris ketika membahagikan harta pusaka ialah persoalan berkaitan ‘status harta yang tidak jelas’ yang dibangkitkan selepas pemilik harta meninggal dunia. Antara perkara yang menjadi pertikaian ialah:
              i.        Hibah yang dibuat oleh si mati secara lisan atau melalui dokumen.
 Hibah tanpa pindah milik kepada penerima. Apabila pemilik harta meninggal dunia, penerima hibah menuntut daripada waris-waris. Ada kalangan waris yang membuat bantahan, namun tiada tindakan susulan diambil oleh penerima hibah. Harta itu dibiarkan begitu sahaja tanpa penyelesaian.
            ii.        Jual beli harta secara lisan atau melalui surat perjanjian tanpa pindah milik kepada pembeli.
Apabila penjual meninggal dunia, pembeli menuntut hak daripada waris-waris. Waris-waris enggan memberi kerjasama dan pembeli tidak mengambil tindakan susulan mengikut undang-undang. Maka tanah kekal terdaftar dengan nama si mati.
           iii.  Penjualan harta dalam kalangan ahli keluarga tanpa dokumen dan tidak dipindah milik kepada pembeli.
Pembeli mungkin dalam kalangan anak, atau sanak saudara si mati, tetapi kadangkala terdapat dalam kalangan anak-anak atau waris waris yang berhak mewarisi yang tidak memberikan kerjasama bagi memuktamadkan penjualan itu. Harta dibiarkan begitu sahaja kerana tidak mahu berlaku pertikaian dalam kalangan adik beradik atau kaum keluarga.
           iv.        Wasiat secara lisan.
Sebahagian waris-waris tidak mengakui wasiat itu dengan alasan tiada pengesahan bertulis. Penerima wasiat dan waris-waris tidak mengambil sebarang tindakan untuk selesaikan masalah itu, lantas membiarkan harta itu begitu sahaja tanpa penyelesaian.
            v.        Mewasiatkan harta kepada waris yang berhak mewarisi pusaka.
Terdapat dalam kalangan waris yang tidak berpuashati dengan wasiat itu. Majoriti waris-waris tidak mengetahui status wasiat itu sama ada sah atau pun tidak. Namun tiada langkah diambil untuk penyelesaian secara muktamad. Harta dibiarkan kekal dengan nama si mati.
           vi.        Wakaf secara lisan.
Terdapat juga dalam kalangan waris yang mempertikaikan wakaf itu kerana tanah yang diwakafkan itu masih didaftarkan atas nama si mati. Waris-waris mengambil jalan mudah dengan tidak menyelesaikan tanah itu.
          vii.        Si mati meminjam harta tanpa dokumen pengesahan oleh kedua-dua pihak iaitu peminjam dan pemberi pinjam.
Apabila pemberi pinjam menuntut hakmilik dikembalikan, malangnya waris-waris enggan mengembalikan semula kepada pemberi pinjam atas alasan tidak mengetahui status sebenar harta itu. Atau ada kalanya mengambil kesempatan kerana harta itu didaftarkan dengan nama si mati. Tiada tindakan susulan dari pihak pemberi pinjam untuk selesaikan masalah itu.
        viii.        Pemakaian nama seseorang tanpa apa-apa surat perakuan atau pengesahan antara kedua-dua pihak.
 Apabila berlaku kematian, tuan punya asal cuba menuntut, manakala waris-waris tidak memberikan kerjasama atau menuntut harta itu kepunyaaan si mati. Tanpa penyelesaian muktamad, harta terbiar.

Sebagai contoh, isteri membeli tanah tetapi didaftarkan atas nama suami tanpa sebarang dokumen pengesahan sama ada tanah itu dihadiahkan (hibah) kepada suami ataupun hanya sekadar meminjam nama suami. Atau seorang anak membeli tanah dan didaftarkan atas nama ibunya. Apabila suami atau ibu meninggal dunia, isteri atau anak yang menjadi pemilik tanah itu menuntut daripada waris-waris lain. Sedangkan, sebahagian daripada waris mahukan supaya tanah itu difaraidkan kerana ia didaftarkan atas nama si mati.
Apabila wujud situasi seperti di atas, kebanyakan pihak yang menuntut, tidak cuba untuk mendapatkan deklarasi undang-undang, sebaliknya berdiam diri kerana sama ada kekurangan bukti atau tidak mahu menyusahkan diri. Maka harta itu dibiarkan begitu saja tanpa penyelesaian.

KETIGA:
GAGAL MENGAWAL NAFSU YANG MENJURUS KEPADA PENGUASAAN ATAU PEMILIKAN HARTA PUSAKA SECARA BATIL.
Harta pusaka wujud seiring dengan sifat mazmumah. Lahir perasaan tamak, mahukan bahagian yang lebih banyak berbanding hukum yang telah ditetapkan, ingin menguasai harta pusaka seorang diri dengan menafikan hak orang lain, pentingkan diri, hilang sifat kasih sayang sesama saudara sehingga membawa kepada berlaku pergaduhan yang akhirnya putus hubungan keluarga. Akibatnya harta pusaka tidak dapat diselesaikan dan dibiarkan kekal atas nama si mati tanpa pembahagian kepada waris-waris yang berhak atau dikuasai oleh individu yang tamakkan harta dengan memakan rezeki yang haram sepanjang usia.

KEEMPAT:
TIADA PENGETAHUAN BAGAIMANA MENGURUS HARTA PUSAKA.
Sebahagian besar daripada waris-waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pengurusan dan pembahagian pusaka. Mereka tidak mengetahui tindakan yang patut mereka lakukan dan kepada siapa mereka hendak kemukakan persoalan tersebut. Maka timbullah berbagai persoalan yang tiada jawapannya sehingga kadangkala menimbulkan perselisihan faham dan diakhiri dengan perbalahan.
Sebenarnya tidak ramai dalam kalangan masyarakat, khususnya pemimpin-pemimpin masyarakat yang berkemampuan untuk memberi nasihat atau membimbing waris-waris ke arah melaksanakan pembahagian pusaka dengan sebaik mungkin. Ini kerana, pembahagian pusaka memerlukan pengetahuan yang mendalam serta khusus mengenainya, bagaimana hendak mengurus harta peninggalan si mati dan bagaimana hendak membahagikan harta itu dalam kalangan waris agar dapat dimanfaatkan dan memberi pulangan ekonomi kepada waris-waris.

Empat sebab di atas menyumbang kepada tertangguhnya penyelesaian harta pusaka.  Tanpa penyelesaian, harta-harta ini tergolong dalam kelompok harta beku.
Dari pengamatan saya (tanpa kajian terperinci), saya berpendapat golongan pertama dan keempat lebih banyak menyumbang kepada tertangguhnya penyelesaian harta pusaka. Diikuti oleh golongan kedua dan ketiga. Dengan kata lain, sikap waris-waris yang tidak mengambil berat tentang harta pusaka dan kedangkalan ilmu faraid adalah penyumbang utama kepada harta beku.

KESIMPULAN
Pembelajaran Ilmu Faraid dan pengetahuan bagaimana mengurus harta pusaka perlu dikembangkan dalam kalangan masyarakat bagi memberi kesedaran sekali gus mengubah sikap mereka ke arah bertanggungjawab menyelesaikan harta pusaka sebaik mungkin.

Penyelesaian harta  pusaka menjana kesejahteraan keluarga.


Sekian.

Thursday 23 June 2016

HARTA PUSAKA
APAKAH KEISTIMEWAAN ANAK SULUNG DALAM URUSAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA?

FAKTA:
 Sidiq berkahwin dengan Sabariah dan mendapat empat orang anak, tiga lelaki dan satu perempuan (Kasim, Osman, Ahmad dan Murni). Sabariah meninggal dunia dan Sidiq berkahwin pula dengan Norkiah. Perkahwinan kedua dikurniakan seorang anak perempuan bernama Rosnah. Sidiq meninggal dunia.

SOALAN:
Siapakah yang berhak mewarisi harta pusaka Sidiq?

JAWAPAN:
Harta pusaka Sidiq diwarisi oleh isteri dan lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan.  Bahagian masing-masing ditunjukkan dalam rajah di bawah:




8
64
NORKIAH
Isteri
1/8
1
8
KASIM
AL
A

14
OSMAN
AL
A

14
AHMAD
AL
A
7
14
MURNI
AP
A

7
ROSNAH
AP
A

7

Semasa kematian, Sidiq meninggalkan seorang isteri iaitu Norkiah. Norkiah berhak mendapat 1/8 bahagian kerana Sidiq mempunyai anak. Sabariah tidak berhak mendapat apa-apa kerana beliau telah mati dahulu.
Bagi anak-anak pula tiada perbezaan dari segi jumlah harta yang diwarisi sama ada anak dengan isteri pertama (Sabariah) atau anak dengan isteri kedua (Norkiah). Juga tiada perbezaan antara anak sulung dengan anak bongsu. Misalnya, antara Kasim dengan Ahmad masing-masing mendapat 14/64 bahagian manakala Rosnah mendapat bahagian yang sama banyak dengan Murni iaitu 7/64 bahagian. Perbezaan bahagian hanya disebabkan oleh berlainan jantina iaitu anak lelaki mendapat dua kali bahagian anak perempuan sebagaimana digariskan dalam hukum faraid (kaedah Asabah bil-Ghairi).

SOALAN:
Saya anak sulung. Apakah ‘keistimewaan’ yang diberikan kepada saya dalam pembahagian harta pusaka?

JAWAPAN:
Anak sulung diberikan tempat menggantikan orang tua. Itulah ‘keiatimewaannya’. Diberikan tanggungjawab bagi menyelesaikan harta pusaka. Sebagai seorang yang diamanahkan  oleh Allah bagi memastikan harta pusaka diselesaikan secepat mungkin. Diagihkan kepada waris-waris yang berhak  sebaik mungkin.
Di sesetengah tempat, anak sulung digelar ‘kepala kuasa’. Iaitu orang yang diberikan kuasa untuk menyelesaikan harta pusaka. Tetapi jangan keliru dengan gelaran. Kepala kuasa tidak diberikan apa-apa keistimewaan dalam pembahagian harta pusaka. Tidak boleh memberikan arahan , tidak boleh memaksa, bahkan tidak boleh meminta kepada adik adik supaya abang sulung diberikan keutamaan.

Tanggungjawab anak sulung adalah menjadi ‘kepala’ atau ketua yang boleh membawa kepada penyelesaian harta pusaka secepat mungkin. Menjadi penggerak utama ke arah perbincangan yang menjurus kepada penyelesaian sebaik mungkin. Menjadi pendamai apabila wujud suasana kekeliruan atau salah faham dalam kalangan adik adik. Menjadi sumber inspirasi kepada adik adik bagi  mewujudkan sifat-sifat mahmudah dalam kalangan adik beradik, bertolak ansur, tidak pentingkan diri, saling hormat menghormati antara satu sama lain. Itulah peranan anak sulung dalam pembahagian harta pusaka dan itulah juga keistimewaan yang diberikan kepada anak sulung bagi menjana sebuah keluarga bahagia.

Maka di manakah keistimewaannya?  Jika dilakukan dengan ikhlas, ganjarannya di dunia dan juga diakhirat. Akan dibuktikan dengan penghormatan adik-adik kepada abang sulung di dunia apatah lagi ganjaran menanti di ‘SANA’ nanti.


Untuk renungan anak sulung.