Sunday 18 December 2011

HANYA KETURUNAN HAKIKI ATAU DARAH DAGING LAYAK MEWARISI


Selain daripada ikatan perkahwinan, seseorang itu berhak mewarisi harta pusaka dengan sebab keturunan. Keturunan dalam konteks hukum faraid bermaksud keturunan hakiki iaitu pertalian hubungan kekeluargaan disebabkan oleh peranakan atau dinamakan juga hubungan ‘rahim’. Keturunan hakiki boleh dikatakan juga sebagai “darah daging”.

Termasuk dalam istilah keturunan ini ialah anak kandung, ibu bapa sebenar, adik beradik sebenar dan semua waris yang mempunyai pertalian darah dengan si mati mengikut syarat-syarat dan kaedah pewarisan.

Ini bermakna anak angkat, anak tiri dan anak susuan terkeluar daripada istilah keturunan si mati dan mereka tidak berhak mewarisi harta pusaka.

Anak angkat bermakna anak orang lain yang dipelihara oleh pasangan suami isteri. Anak ini bukan dilahirkan hasil perkahwinan suami isteri itu. Anak angkat tidak boleh dinasabkan (dibinkan) kepada bapa angkat untuk mengelakkan kecelaruan dalam hirarki keturunan seseorang itu. Sekiranya dinasabkan kepada bapa angkat, ia akan menimbulkan masalah kepada persoalan pewarisan harta pusaka dan perwalian dalam perkahwinan.

Oleh kerana tiada hubungan rahim dengan keluarga angkat, Islam tidak membolehkan anak angkat mewarisi harta pusaka ibu bapa angkat.

Anak tiri bermakna anak kepada pasangan hasil perkahwinannya dengan suami atau isteri terdahulu. Misalnya, Ali berkahwin dengan Fatimah, seorang janda beranak satu bernama Ahmad. Ahmad adalah anak tiri kepada Ali. Sekiranya Ali meninggal dunia, Ahmad tidak mewarisi harta Ali kerana Ahmad bukan keturunan Ali yang hakiki.

Anak susuan bermakna seorang telah disusui oleh seorang wanita sehingga sekurang-kurangnya 5 kali kenyang semasa masih bayi. Hukum anak susuan dalam perkahwinan sama seperti anak kandung iaitu tidak boleh mengahwini anak susuan, persentuhan kulit tidak membatalkan wudhuk dan had aurat sepertimana anak sendiri.

Bagaimana pun, oleh kerana tiada hubungan rahim iaitu tidak melalui peranakan, anak susuan juga tidak mewarisi harta pusaka ibu bapa susuan.

Soalan 1
Bagaimana pula hukum pewarisan anak luar nikah?

Jawab:
Anak luar nikah ialah anak zina atau anak yang dilahirkan oleh wanita mangsa rogol. Hukumnya, anak itu hanya berhak mewarisi harta pusaka ibu yang melahirkannya tetapi tidak mewarisi harta pusaka bapa. Ini kerana anak yang lahir hasil perzinaan tidak boleh dinasabkan kepada bapa tersebut mengikut hukum syarak apatah lagi anak yang dilahirkan oleh mangsa rogol. 

Soalan 2
Ada yang mengatakan anak yang dianggap derhaka kepada ibu bapa  tidak berhak mewarisi harta pusaka ibu bapa. Apakah ini benar?.

Jawab:
Hanya tiga perkara yang menjadi halangan kepada pewarisan iaitu:
a.       Pembunuhan atau menyebabkan kematian tuan punya harta yang akan diwarisi
b.      Berlainan agama antara pemilik harta dan waris
c.       Waris murtad.
Penderhakaan bukanlah halangan kepada seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka ibu bapa. Sekiranya ibu bapa meninggal dunia, anak yang dianggap derhaka itu masih berhak menerima pusaka seperti mana anak-anak yang lain.

Soalan 3
Ada bapa yang tidak sukakan anaknya telah meninggalkan dokumen wasiat yang mengatakan dengan jelas “Sekiranya saya meninggal dunia, saya tidak redha anak saya yang bernama Rosliyani mewarisi harta pusaka saya”.

Jawab:
Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah hubungannya dengan hartanya dan secara otomatik harta itu menjadi harta pusaka. Namun sebelum harta pusaka dibahagikan, waris-waris perlu meneliti dan menunaikan wasiat si mati terlebih dahulu.

Bagaimana pun tidak semua wasiat wajib ditunaikan. Sekiranya bertentangan tentang hukum syarak, wasiat itu hendaklah diabaikan walau pun wasiat itu didokumenkan dan disaksikan.

Wasiat supaya tidak memberikan harta pusaka kepada anak yang dianggap menderhaka atau yang tidak disenangi oleh ibu bapa tidak boleh berkuatkuasa kerana hajat pewasiat bertentangan dengan hukum faraid. Justeru, anak itu berhak mendapat pusaka bapanya dan hendaklah diberikan haknya.. Jadi waris-waris yang lain, laksanakan hukum faraid seadanya.

Berikanlah harta pusaka bapa kepadanya mudah-mudahan anak tersebut akan turut mendoakan kesejahteraan bapanya suatu ketika nanti.

Wallahuaklam.

1 comments:

Nor Ain Matnoh said...

Assalamualaikum wbt.

saya nak bertanya, bagaimana jika ibu bapa angkat itu sendiri yang ingin memberikan harta pusaka kepada anak angkatnya? adakah boleh atau sah pertukaran nama tersebut?

Post a Comment