S1: Apakah FARAID?
J1: FARAID ialah satu ilmu berkaitan sistem pembahagian harta pusaka bagi orang Islam. Ia mengandungi hukum pewarisan, formula pembahagian dan kaedah pengiraan yang akan menentukan siapakah dalam kalangan keluarga yang ditinggalkan oleh si mati yang berhak mewarisi harta pusaka dan menentukan kadar bahagian yang akan diwarisi oleh setiap orang waris.
Contohnya: Ahmad meninggal dunia dan meninggalkan ibu, seorang isteri, dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan tiga orang saudara lelaki seibu sebapa (adik beradik Ahmad).
Hukum faraid menjelaskan bahawa harta pusaka Ahmad akan diwarisi oleh ibu, isteri dan anak-anak, manakala adik beradik tidak berhak. Mengikut kaedah hukum faraid, adik beradik tidak mewarisi kerana mereka terdinding oleh anak lelaki.
Sekadar gambar hiasan
Seterusnya ilmu faraid menjelaskan pula bahagian yang akan diwarisi oleh setiap orang waris berdasarkan formula yang telah ditetapkan iaitu ibu mendapat 1/6 bahagian, isteri mendapat 1/8 bahagian dan anak-anak mendapat baki (asabah) dengan kadar bahagian lelaki 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian.
Untuk mengetahui bahagian bagi setiap orang waris, kaedah pengiraan faraid ditunjukkan seperti di bawah:
24 | 120 | ||
Ibu | 1/6 | 4 | 20 |
Isteri | 1/8 | 3 | 15 |
Anak lelaki | Asabah | 34 | |
Anak lelaki | Asabah | 17 | 34 |
Anak perempuan | Asabah | 17 |
Setelah pengiraan, bahagian setiap orang waris dapat diketahui iaitu ibu mendapat 20/120 bahagian, isteri 15/120 bahagian, anak lelaki 34/120 bahagian dan anak perempuan 17/120 bahagian.
S2: Bolehkah diberikan sedikit penjelasan tentang hibah, wasiat dan harta pusaka?
J2: Hibah ialah pemberian semasa hidup. Iaitu seseorang melepuskan hak atau sesuatu harta kepada orang atau pihak lain semasa hayatnya dan kuatkuasa pemberian itu setelah penerima menerima harta yang diberikan itu.
Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau bukan waris dan tidak dihadkan kadar pemberian itu sama ada sebahagian atau kesemuanya.
Contohnya: Ahmad memberikan sebuah kereta kepada anaknya yang bernama Kasim. Kasim menerima kereta itu daripada bapanya dan kereta itu bertukar menjadi menjadi hak milik Kasim. Ini bermakna Ahmad telah menghibahkan keretanya kepada Kasim. Pemberian ini berkuatkuasa semasa Ahmad masih hidup.
Wasiat ialah pemberian setelah kematian. Iaitu seseorang berhasrat untuk memberikan sesuatu harta kepada orang atau pihak lain dan kuatkuasa pemberian itu setelah beliau (tuan punya harta) meninggal dunia.
Contohnya: Ahmad berwasiat untuk memberikan kereta miliknya kepada anak angkatnya. Pemberian ini akan hanya berkuatkuasa setelah Ahmad meninggal dunia. Selagi Ahmad masih hidup, kereta yang diwasiatkan itu masih kepunyaan Ahmad.
Wasiat mempunyai syarat-syarat tertentu antaranya:
1.Penerima wasiat tidak terdiri daripada kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka, seperti ibu, isteri dan anak kandung.
2.Harta yang diwasiatkan itu tidak melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta hartanya setelah ditolak belanja kematian dn hutang jika ada..
Harta pusaka ialah harta yang ditinggalkan oleh seseorang yang telah meninggal dunia. Harta itu milik si mati semasa hayatnya dan tidak dihibahkan kepada sesiapa dan tidak pula diwasiatkan. Harta itu akan diwarisi oleh waris-waris yang telah ditentukan mengikut hukum faraid sebagaimana contoh dalam jawapan soalan 1 di atas.
S3: Adakah wajib kita umat Islam untuk ikut hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka walaupun tiada perselisihan antara waris?
J3: Dalam pembahagian harta pusaka, setiap umat Islam wajib mengikut hukum faraid. Namun mereka boleh untuk memilih cara pembahagian setelah mengadakan perbincangan atau bersetuju dengan rela hati tanpa dipaksa atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Maksudnya untuk menentukan siapakah dalam kalangan waris yang berhak mewarisi harta pusaka mestilah mengikut kaedah yang digariskan oleh hukum faraid. Sekiranya waris yang berhak itu tidak diberikan haknya, bermakna tidak mengikut hukum faraid dan hukumnya haram dan berdosa.
Contohnya si mati meninggalkan dua orang isteri dan lima orang anak. Sekiranya isteri kedua tidak disenaraikan sebagai waris yang berhak, bermakna pembahagian dilakukan tidak mengikut hukum faraid.
Demikian juga dalam penentuan bahagian yang akan diwarisi oleh seseorang waris mestilah mengikut kaedah hukum faraid. Sekiranya tidak mengikut kadar yang telah ditetapkan bermakna seseorang itu tidak mengikut hukum faraid dan hukumnya berdosa.
Contohnya: bahagian isteri telah ditetapkan sebanyak ¼ bahagian ketika si mati tidak meninggalkan anak. Sekiranya diberikan kepada isteri itu hanya 1/8 sahaja, bermakna tidak mengikut hukum faraid. Sesiapa yang memakan harta bahagian isteri itu hukumnya haram dan berdosa.
Tetapi sekiranya waris yang berhak mengikut kaedah hukum faraid tidak ditinggalkan dan mereka pula mengetahui bahagian masing-masing, mereka dibolehkan untuk membahagikan harta pusaka itu mengikut persetujuan secara sukarela seperti pembahagian sama banyak , muafakat, penyerahan hak tanpa bayaran atau dengan bayaran dan sebagainya. Pembahagian seperti ini mengikut kaedah ‘Takharuj’ dan tidak bertentangan dengan hukum faraid.
S4: Bolehkah anak luar nikah mewarisi harta bapanya?
J4: Anak luar nikah tidak boleh mewarisi harta pusaka bapanya. Ini kerana anak itu bukan anak yang sah mengikut hukum syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa itu. Jelasnya, anak luar nikah bukan ‘keturunan hakiki’ atau ‘darah daging’ kepada bapa itu. Oleh itu mereka tidak saling mewarisi. Bagaimana pun anak itu boleh mewarisi harta ibu yang melahirkannya.
S5: Bagaimanakah pembahagian harta mengikut hukum Faraid, sekiranya si mati yang meninggalkan adalah ibu tunggal dan mempunyai kesemua anak perempuan?
J5: Hukum faraid telah menetapkan bahagian anak perempuan kalau seorang mendapat 1/2 bahagian dan sekiranya lebih daripada seorang mendapat 2/3 bahagian daripada harta pusaka ibunya yang meninggal dunia. Baki 1/2 atau 1/3 bahagian lagi akan diwarisi oleh waris-waris yang lebih jauh sekiranya mereka ada mengikut turutan. Waris yang lebih dekat mendindingkan waris yang lebih jauh. Mereka ialah, adik beradik si mati, anak saudara, bapa saudara, sepupu, datuk saudara dan seterusnya keturunan mereka. Sekiranya semua mereka tidak ada, baki1/3 bahagian itu diserahkan kepada Baitulmal.
S6: Bolehkah seseorang mewasiatkan harta kepada anak angkatnya?
J6: Seseorang itu boleh mewasiatkan harta kepada anak angkatnya bahkan mewasiatkan harta kepada anak angkat amat digalakkan. Ini kerana anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya mengikut hukum faraid kerana anak angkat bukan keturunan hakiki atau darah daging kepada si mati.
Sekiranya ibu bapa angkat tidak meninggalkan wasiat harta kepada anak angkatnya, dan tidak pula menghibahkan sebahagian daripada hartanya kepada anak angkat itu semasa hayatnya, maka malanglah nasib anak angkat itu kerana tidak mendapat apa-apa daripada harta pusaka ibu bapa angkatnya.
Sekadar gambar hiasan
S7: Apakah hukum seseorang itu apabila warisnya meninggal dunia meninggalkan harta yang banyak tetapi tidak disempurnakan harta itu mengikut kaedah syarak?
J7: Apabila seseorang itu meninggal dunia, secara automatik harta yang ditinggalkannya menjadi harta pusaka iaitu menjadi hakmilik waris-waris. Tidak kira sama ada harta itu sedikit atau pun banyak. Siapakah yang berhak mewarisi dan bahagian setiap orang waris itu telah ditentukan mengikut kaedah hukum faraid.
Adalah berdosa semua waris-waris yang tidak menyelesaikan harta pusaka sama ada tidak menyelesaikannya dengan membuat pembahagian mengikut hukum faraid atau membuat pembahagian harta pusaka itu tanpa mengikut kaedah hukum faraid.
Contohnya, ada kalangan waris-waris yang sepatutnya berhak menerima pusaka mengikut hukum faraid tetapi ditinggalkan dan tidak diberikan bahagiannya atau membuat pembahagian sesuka hati tanpa berpandukan kepada kaedah hukum faraid.
S8: Mengapa dalam sistem Faraid, lelaki mendapat 2/3 bahagian daripada harta si mati dan perempuan hanya mendapat 1/3?
J8: Di zaman jahiliah, harta pusaka hanya diwarisi oleh kaum lelaki sahaja manakala wanita tidak mendapat apa-apa. Alasannya, hanya kaum lelaki berupaya dan bertanggungjawab menjaga keselamatan keluarga. Kaum wanita tidak mempunyai kekuatan tenaga seperti lelaki, oleh itu mereka dianggap tidak layak mewarisi harta pusaka. Sebaliknya, ada pula adat-adat setempat yang hanya memberikan warisan kepada kaum wanita sahaja dan lelaki tidak diberikan apa-apa daripada harta pusaka ibu atau bapa mereka. Golongan ini pula berpendapat kaum wanita lemah dan tidak berupaya mencari harta sendirian. Oleh itu harta pusaka wajar diwarisi oleh kaum perempuan manakala lelaki mempunyai tenaga dan kekuatan untuk mencari harta sendiri. Oleh itu tidak perlu diberikan harta pusaka kepada mereka.
Islam datang dengan membawa keadilan kepada manusia dalam segala aspek termasuk pembahagian harta pusaka. Islam mengambil jalan tengah dengan mewariskan kedua-dua golongan iaitu lelaki dan wanita. Islam tidak meminggirkan mana-mana pihak , tetapi Allah telah menetapkan bahagian lelaki sekali ganda bahagian perempuan memandangkan lelaki adalah ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab tertentu, antaranya:
- Bertanggungjawab menanggung nafkah keluarga iaitu isteri dan anak-anak
- Bertanggungjawab menanggung nafkah ibu bapa yang telah tua dan tidak berkemampuan.
- Bertanggungjawab menanggung nafkah adik beradik perempuan yang belum berkahwin dan tiada sumber kewangan sendiri sekiranya bapa tidak ada atau tidak berkemampuan.
- Bertanggungjawab menanggung nafkah anak-anak kepada adik beradik lelaki yang telah meninggal dunia (anak saudara) sehingga mereka dewasa dan boleh berdikari.
Dalam Islam, kaum wanita hanya membelanjakan harta untuk keperluan diri sendiri sahaja dan mereka tidak dibebankan untuk menafkahkan sesiapa pun. Apa yang mereka belanjakan untuk ibu bapa dan keluarga adalah secara sukarela dan sumbangan mereka itu diberikan ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti.
Seorang wanita yang belum berkahwin dan tidak mempunyai pendapatan sendiri, dia akan dinafkahkan oleh bapanya. Sekiranya bapa meninggal dunia tempat bapa digantikan oleh datuk. Sekiranya kedua-dua mereka sudah tidak ada atau tidak berkemampuan, tanggungjawab itu berpindah kepada adik beradik lelaki.
Sekiranya wanita itu berkahwin, segala perbelanjaan akan ditanggung oleh suami masing-masing. Maka sewajarnyalah wanita mewarisi setengah daripada bahagian waris lelaki.
S9: Sekiranya seseorang memeluk agama Islam, adakah ahli keluarga beliau yang bukan Islam berhak ke atas harta tersebut?
J9: Berlainan agama merupakan salah satu sebab saling tidak mewarisi antara satu sama lain. Oleh kerana itu seorang yang memeluk agama Islam, apabila meninggal dunia, hartanya tidak boleh diwarisi oleh keluarganya yang bukan Islam.
Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.aw. yang bermaksud:
“Orang Islam tidak mewarisi harta orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta orang Islam”.
Sekadar gambar hiasan
S10: Adakah harta sepencarian antara pasangan termasuk dalam harta pusaka yang wajib difaraidkan?
J10: Harta sepencarian tidak termasuk di dalam hukum faraid. Tetapi sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid, bahagian harta sepencarian hendaklah diputuskan terlebih dahulu sekiranya ada tuntutan harta sepencarian oleh pasangan si mati. Selepas tuntutan harta sepencarian diputuskan sama ada oleh mahkamah atau melalui persetujuan waris-waris, baharulah harta pusaka itu difaraidkan.
Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang isteri dan seorang saudara lelaki seibu sebapa. Mengikut hukum faraid, isteri layak mendapat 1/4 bahagian kerana si mati tidak meninggalkan anak, dan bakinya sebanyak 3/4 bahagian diwarisi oleh saudara lelaki seibu sebapa sebagai penerima asabah.
Tiada perbincangan berkaitan harta sepencarian sekiranya isteri si mati tidak membuat tuntutan harta sepencarian. Oleh itu bahagian yang akan diwarisi oleh isteri adalah sebanyak 1/4 bahagian sahaja daripada harta pusaka suaminya.
Sekiranya isteri menuntut bahagian harta sepencarian, harta pusaka tidak boleh dibahagikan selagi tuntutan harta sepencarian itu tidak diputuskan terlebih dahulu. Selepas tuntutan harta sepencarian diputuskan dan diberikan hak sepencarian kepada isteri, maka baharulah bakinya dikira sebagai harta pusaka dan difaraidkan.
Contohnya, si mati meninggalkan harta tanah seluas 2 ekar. Isteri membuat tuntutan harta sepencarian dan mahkamah telah memutuskan 1/2 bahagian iaitu 1 ekar daripada tanah peninggalan suaminya itu sebagai harta sepencarian. Bakinya 1 ekar tanah kemudiannya difaraidkan dan ternyata bahagian isteri mengikut hukum faraid sebanyak 1/4 bahagian iaitu 0.25 ekar.
Ini bermakna isteri si mati mendapat 1.25 ekar daripada harta peninggalan suaminya. Satu ekar sebagai harta sepencarian dan 0.25 ekar lagi adalah hak isteri mengikut hukum faraid.
Wassalam.
WAN ABDUL HALIM BIN W HARUN
08 JANUARI 2012
5 comments:
Assalamualaikum..
Sy ada persoalan berkenaan hadiah, harta pusaka, wasiat & faraid
1.Semasa hayat arwah ayah dia tlh menghadiahkan sebidang tanah kpd anak ke 2, sebuah rmh pd anak ke 3, RM10k pd anak pertama, RM15k pd anak ke 3, sebuah kereta pd anak ke 4, RM15k pd anak ke 5 beserta sekawan lembu utk cucunya dr anak ke 5.Ayah sy tlh meninggal dunia & tlh meninggalkan wasiat bg harta2nya..tetapi ada sebahagian wang tunai tdk diwasiatkan. Tetapi kami 5 beradik memutuskan wang tunai tersebut di masukkan ke akaun ibu sepenuhnya termasuk pencen arwah & pendapatan FELCRA. Di dlm wasiatnya ada terkandung jika waris tdk bersetuju dgn pembahagian harta tersebut maka hendaklah difaraidkan. Permasalahannya skrg
1.perlukah dipersoalkan lg hadiah pemberian arwah semasa hayatnya olh waris yg ln?
2.wasiat tersebut tdk dipersetujui olh pewaris jd perlukah difaraidkan & berhakkah anak saudara ayah utk turut campur urusan pembahagian harta ini?
3.bagaimana pengiraan faraid bg 4 anak perempuan & 1 anak lelaki?
4.ibu tdk bekerja tetapi sm2 membantu ayah menguruskan perniagaan.Adakah ia dikira harta sepencarian?
5.adakah sebiji rmh blh difaraidkan? Bagaimana pengiraannya?
6.Adakah ibu layak campur urusan bhgn anak2 yg tlh diwasiat@difaraidkan? Sdgkan ibu tlh mendpt hak yg sewajarnya anak2 juga bkn dibawah umur & tlh berkeluarga?
7.Blhkah ibu menukar kandungan wasiat?
8.bagaimana utk difaraidkan bg rmh & tanah yg ada nama ibu cth nama anak ke 5 & ibu?
Mohon pencerahan dr pihak tuan.terima kasih.
Salam.. Suami saya meninggalkn sebuah rumah, sebuah kereta, 2 buah motosikal dn wang simpanan dlm asb. Bgaimanakh caranya utk agihkn harta2 tersebut kpd ibu mertua, isteri, 4 org ank llki dn seorng ank perempuan. Siapakah yg akn mendapt rumah dn knderaan tersebut? Atau perlu di nilaikn terlebih dahulu?
Assalamulaikum. Anak meninggal dahulu dari bapa ..layak atau tidak waris2 (cucu2). Terima kasih.
assalamualaikum wbt.. saya ingin bertanya apakah isteri tidak mempunyai hak ke atas harta suami yang telah meninggal dunia usia 12hari perkahwinan? dan saya juga tidak pandai soal faraid dan harta bagian pusaka kerana menurut keluarga arwah suaminya tidak membenarkan harta seperti motorsikal berada dirumah isteri arwah kerana motosikal itu di beli oleh bapanya tetapi di letakkan nama si mati? dan isteri ini tidak tahu apa lagi peninggalan arwah suaminya kerana usia perkahwinan 12hari itu hanya menjaga kebajikan arwah suami di hospital hingga hujung nyawa atas sebab sakit kanser.. dimanakah isteri itu boleh rujuk untuk mengetahui harta apa yang dimiliki arwah suaminya itu? sekian terima kasih
Waalaikumsalam, saya cuba bantu jawab. Dari segi undang-undang, apa sahaja peninggalan atas nama arwah termasuklah pakaiannya akan menjadi pusaka dan terlebih dahulu diselesaikan jenazahnya, hutangnya, tuntutan harta sepencarian, wasiat dan barulah di faraidkan.
Untuk kes puan, puan tetap waris arwah walaupun baru sehari berkahwin dan suami meninggal dunia.
Untuk motorsikal itu perlu dilihat dari segi niat ayah arwah samada memang ayah mertua tumpang nama atau memberikan secara terus. Tidak menjadi isu sekiranya puan melepaskan hak atas motor itu jika ayah mertua bertegas mengatakan motor itu hanya pinjaman kepada arwah sahaja.
Untuk harta yang lain, sekiranya arwah tiada rumah atau tanah atas namanya, puan boleh ke amanah raya berhad. Jika arwah ada memiliki rumah maka buatlah tuntutan di pejabat pusaka kecil.
Memang sukar jika suami tidak menyimpan rekod hartanya. Didoakan urusan pusaka arwah dapat dilaksanakan dengan mudah.
Post a Comment