UMPAMA SETANDAN KELAPA
Umpama setandan kelapa, ada
sepuluh biji, kelapa muda semua airnya
manis dan enak diminum. Kalau kelapa tua, santannya banyak dan boleh digunakan
untuk masakan yang enak. Tetapi ada kalanya dalam satu tandan kelapa terdapat
sebiji buah yang’ komeng’. Tidak ada air
untuk diminum dan tidak ada isi untuk dijadikan
santan. Lantas dibuang begitu sahaja.
Fakta kes:
Satu hari datang seorang wanita
ke pejabat saya. Pohon supaya saya uruskan permohonan untuk membahagikan harta
pusaka arwah bapanya yang telah meninggal dunia sekian lama iaitu sejak tahun
1975. Iaitu lebih 40 tahun yang lalu.
Begitu cekal hatinya, berulang
alik ke pejabat saya memberi maklumat kedudukan waris, menghantar dokumen yang
perlu. Kes kematian berlapis (munasakhat) sebanyak 7 kematian. Ia melibatkan
waris seramai 35 orang.
Bagi saya, selagi maklumat yang
diperlukan tidak diperolehi, selagi dokumen yang diperlukan tidak sampai ke
tangan saya, permohonan untuk membahagikan harta pusaka tidak akan dihantar ke
pejabat pusaka kecil. Saya tidak akan menghantar permohonan pusaka yang tidak
lengkap kerana ia akan menyusahkan waris-waris itu sendiri kemudian hari. Ini
kerana sekiranya maklumat tidak lengkap, kes pusaka tidak selesai dan akan
ditangguh kepada satu masa yang lain.
Setelah semua maklumat kedudukan
waris si mati lengkap, dan telah saya susun mengikut tertib tarikh kematian, semua dokumen berkaitan diperolehi, harta si
mati dikenal pasti sebanyak 7 bidang tanah yang mana nilai kesemuanya hampir
RM2 juta; permohonan untuk membahagikan harta pusaka Osman bin Kasim telah
diajukan kepada Pejabat Pembahagian Harta Pusaka melalui Borang A. Alhamdulilah
selesai peringkat pertama.
Peringkat kedua, pemohon
dinasihatkan supaya mengadakan perbincangan dalam kalangan waris-waris,
bagaimana ke tujuh tujuh keping tanah pusaka itu hendak dibahagikan kepada
waris-waris yang seramai 35 orang itu.
Asal pembahagian adalah mengikut
hukum faraid. Maknanya setiap keping
tanah adalah kepunyaan 35 orang waris mengikut bahagian masing-masing yang ditentukan oleh hukum faraid. Walau
bagaimana pun waris-waris boleh bersetuju untuk membahagikan harta pusaka itu
mengikut permuafakatan bagi mengelakkan setiap bidang tanah pusaka itu dimiliki
oleh seramai 35 orang.
Perbincangan dalam kalangan waris-waris
telah diadakan. Alhamdulilah persetujuan secara majoriti telah diperolehi, di mana tanah-tanah itu
dibahagikan mengikut keluarga masing-masing. Misalnya tanah A dipersetujui
diserahkan kepada keluarga Ramli, tanah B diserahkan kepada keluarga Sudin dan
begitulah seterusnya. Alhamdulilah selesai peringkat kedua.
Sampai kepada peringkat ketiga. Perbicaraan
harta pusaka telah dipanggil di Pejabat Pusaka Kecil. Pada hari dan masa yang
ditetapkan, semua waris hadir untuk menyatakan persetujuan ‘kecuali’ seorang.
Tidak diketahui apa ceritanya, apa masalahnya. Beliau enggan hadir tanpa sebab
dan tanpa mahu berunding. Akibatnya harta pusaka itu tidak dapat dibahagikan
seperti mana dipersetujui sebelumnya dan pemohon dilantik sebagai ‘Pentadbir’
sehingga mendapat persetujuan daripada waris yang seorang itu.
Ulasan:
Situasi begini kadang kala
berlaku dalam urusan pembahagian harta pusaka. Alangkah sedihnya, kecewa wanita
yang berhasrat untuk menyelasaikan harta pusaka yang terbengkalai sejak sekian
lama. Bukan hanya wanita itu seorang, tetapi 34 orang waris yang terlibat. Kerana
‘seorang’ yang tidak memberikan kerjasama, pembahagian ditangguhkan. Sampai
bila?
Semoga tiada dalam kalangan
pembaca artikel ini menjadi sebiji buah kelapa yang ‘komeng’. Biarlah dalam setandan kelapa itu semua
buahnya baik; manis airnya dan banyak santannya.
Berusaha dan bersatu padulah bagi
menyelesaikan harta pusaka orang tua sebaik mungkin.
Sekian, untuk renungan.
2 comments:
Sedihnya.. Sy jugak sedang mnghadapi masalah ini.. Ada waris tak ada feedback, salinan ic dan surat beranak pun tak diberi.. Sangat berat rasanya saya nk teruskn tuntutan pusaka arwah abah.. Rasa down sangat sebb tiada sokongan..
Post a Comment