Saturday 21 May 2011

Muqaddimah

Assalamualaikum wbt.
Salam pengenalan :


Kurangnya kefahaman tentang bagaimana untuk menguruskan harta pusaka mengikut undang-undang dan hukum syarak , dan permasalahan yang wujud daripada perkara-perkara yang mempunyai hubungkait yang rapat dengan hukum faraid iaitu wasiat, hibah dan tuntutan harta sepencarian telah menyebabkan penyelesaian harta pusaka menjadi sukar dan terbengkalai.

Akibatnya, masih banyak harta pusaka yang belum diselesaikan dan masih terdaftar dengan nama si mati. Tiada pemilikan yang sahih dalam kalangan waris sehingga boleh mengakibatkan pelanggaran hukum syarak seperti makan harta tanpa hak, makan harta anak yatim, salah guna kuasa dan sebagainya.

Lebih menyedihkan, apabila salah faham tentang hukum faraid dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya telah menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan waris sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada institusi kekeluargaan dan memporak perandakan struktur keturunan si mati.

Blog ini bertujuan mendedahkan masyarakat tentang bagaimana mengurus harta pusaka sebaik mungkin agar mencapai hasrat “Pusaka Pemangkin Kesejahteraan Keluarga”.

Hindarkan salah faham, buang sifat tamak, tanamkan sifat-sifat mahmudah, adakan perbincangan, rancang cara pembahagian dan capai satu keputusan muktamad demi harta orang tua yang dikasihi. Manfaatkan harta mereka sebaik mungkin dan itulah sedekah jariah mereka kepada anak cucu mereka.

HAJI WAN ABDUL HALIM BIN W HARUN  AMN. PJK.
Perunding Harta Pusaka

0 comments:

Post a Comment