Sunday 16 October 2011

KHIDMAT PERUNDINGAN: 1. Waris mati dahulu tiada hak mewarisi. 2. Zakat harta pusaka yang disimpan tanggungjawab waris. 3. Pengiraan.

Ibu saya telah meninggal dunia 6 tahun yang lalu, iaitu pada bulan Jun tahun 2006. Ibu meninggalkan barang kemas. Barang kemas itu tidak dibahagikan kepada waris-waris, sebaliknya telah disimpan oleh kakak sehinggalah beberapa hari yang lalu, kakak telah menjual barang kemas itu dan duit hasil jualan barang kemas itu kakak mahu bahagikan kepada waris-waris sebagai harta pusaka. Duit hasil jualan barang kemas berjumlah RM21,000.
Ibu meninggalkan seorang suami dan mempunyai 10 orang anak, 6 lelaki dan 4 perempuan. Tetapi seorang anak perempuan iaitu kakak saya nombor dua telah mati dahulu 4 bulan daripada ibu saya. Dua tahun lepas ayah telah berkahwin lain dan adik bongsu tinggal dengan abang sulung.

Soalan saya:
  1. Siapakah waris yang berhak ke atas duit hasil jualan barang kemas itu?. Adakah kakak yang mati dahulu atau anak-anak kakak berhak menerima pusaka?. Adakah ayah juga berhak menerima pusaka ibu kerana ayah telah berkahwin lain? 
  2. Saya difahamkan sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris-waris, waris-waris bertanggungjawab mengeluarkan zakat terlebih dahulu? Benarkah begitu?
  3. Saya pohon ustaz kirakan bahagian masing-masing mengikut hukum faraid.

Harap mendapat jawapan daripada ustaz.
Terima kasih.
Wassalam.

Jawapan:
  1. Waris yang berhak ke atas harta pusaka ibu anda ialah suami dan 9 orang anak. 6 lelaki dan 3 perempuan.
    1. Kakak yang mati dahulu tidak berhak mendapat pusaka begitu juga anak-anaknya. Ini kerana mengikut syarat seseorang itu berhak menerima pusaka ibunya ialah  anak itu hidup ketika ibunya meninggal dunia. Oleh kerana kakak mati dahulu daripada ibu, kakak tidak berhak menerima harta ibu.
    2. Ayah anda adalah suami kepada si mati. Suami yang bercerai mati berhak mewarisi harta pusaka isterinya. Sama ada suami itu telah berkahwin lain atau tidak, itu tidak menjadi persoalan, atau dengan lain perkataan tidak menjadi penghalang kepada suami untuk mewarisi harta pusaka isterinya. Lagi pun apabila seseorang itu meninggal dunia, secara otomatik harta itu menjadi harta pusaka dan sepatutnya difaraidkan seberapa segera yang mungkin. Suami berhak menerima pusaka isterinya walaupun suami tersebut berkahwin semula beberapa hari selepas kematian suaminya. Perlu saya tegaskan di sini, suami berkahwin lain tidak ada kena mengena dengan hukum pewarisan.
  2. Zakat wajib dijelaskan terlebih dahulu sebelum harta pusaka difaraidkan sekiranya pada masa hayatnya si mati yang sepatutnya wajib mengeluarkan zakat telah tidak membayar zakat sama ada dengan sengaja tidak membayarnya atau tidak sempat membayar zakat yang diwajibkan ke atasnya. Ketika itu, waris-waris wajib membayar zakat dengan mengambil sebahagian daripada harta si mati kerana itu adalah hutang si mati kepada Allah.

Dalam kes ini, barang kemas adalah pakaian si mati semasa hayatnya dan tidak perlu dikeluarkan zakat. Ini bermakna si mati pada masa hayatnya tidak wajib ke atasnya membayar zakat emas. Apabila berlaku kematian, barang kemas itu bukan lagi kepunyaan si mati, tetapi ia adalah kepunyaan waris yang berhak. Tindakan menyimpan barang kemas begitu lama merupakan satu kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku. Barang kemas itu sebenarnya kepunyaan suami dan anak-anak si mati. Menyimpan barang itu bermakna menyimpan barang kepunyaan suami dan anak-anak si mati dan bukannya menyimpan barang kepunyaan si mati.

Sama ada dikenakan zakat atau tidak, perlu dilihat kepada bahagian bagi setiap orang yang mewarisi setelah cukup haul dan cukup nisabnya. Sebagai contoh daripada RM21,000 itu suami berhak 1/4 bahagian. Bermakna suami akan mendapat sebanyak RM5250.00.  RM21,000 adalah nilaian semasa pada tahun 2011.

Bahagian suami akan dikenakan zakat dikira bermula cukup haul satu tahun hijrah selepas kematian isterinya iaitu pada tahun 2007. Itu pun sekiranya cukup nisab pada tahun itu. Saya difahamkan nisab emas pada tahun 2007 ialah lebih kurang RM6,000. Bahagian suami yang disimpan ketika itu mungkin sekitar RM3,000 sahaja dan begitulah seterusnya nisab bertambah dari tahun ke tahun seiring dengan kenaikan harga emas. Pada tahun ini, nisab emas lebih kurang RM11,000 (Nisab berubah-ubah mengikut harga emas semasa. Sila rujuk di bahagian zakat, Jabatan Agama negeri).

Kesimpulannya tiada zakat yang dikenakan ke atas barang kemas yang disimpan itu.

  1. Bahagian setiap orang waris mengikut hukum faraid adalah seperti berikut:


4
20
RM21,000.00
suami
1/4
1
5
RM5,250.00
Anak lelaki 1
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 2
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 3
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 4
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 5
Asabah
3
2
RM2,100.00
Anak lelaki 6
Asabah

2
RM2,100.00
Anak perempuan 1
Asabah

1
RM1,050.00
Anak perempuan 2
Asabah

1
RM1,050.00
Anak perempuan 3
Asabah

1
RM1,050.00

Wallahu'aklam.

0 comments:

Post a Comment