KES 1
Si mati meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. Mengikut hukum faraid, isteri mendapat 1/8 bahagian dan anak-anak mendapat baki (Asabah Bil-Ghairi).
Ketika di dalam kamar perbicaraan harta pusaka, isteri dan anak-anak si mati kelihatan seperti biasa, seperti waris-waris yang lain juga. Soalan bermula dengan profile si mati, harta yang ditinggalkan dan kedudukan waris si mati.
Di akhir perbicaraan, waris-waris ditanya tentang cara pembahagian yang dikehendakki. Isteri si mati mencadangkan, “Saya pohon tanah pusaka ini dibahagi mengikut hukum faraid. Saya mahu bahagian saya 1/8 bahagian, selebihnya dibahagikan kepada anak-anak saya”.
Tanpa disangka, salah seorang daripada anak perempuannya mencelah, “Mak, kalau boleh mak tak usahlah ambil bahagian mak tu. Mak tolaklah (serahkan) kepada kita semua ni. Kalau mak ambil, susah kemudian hari. Kalau mak mati, susah pulak kita kena datang ke pejabat buat pusaka mak”.
Si ibu tersentak. Dari air mukanya saya dapat bayangkan apa yang difikirkan oleh ibu itu. Si ibu tunduk dan merenong jauh. Sebelum sempat ibu berkata-kata, anak perempuan tadi menyambung lagi, “Kalau boleh semua tanah-tanah atas nama mak, mak tukar nama kepada kita semua. Baru senang kemudian hari. Kalau mak mati, kita tak payah datang ke pejabat buat pusaka mak”.
Ibu mereka diam tidak berkata apa-apa. Tiba-tiba seorang anak yang lain pula menambah, “Kalau mak nak ambil bahagian mak, tak apa. Mak boleh ambil, tetapi dengan satu syarat, mak tak boleh kahwin lain”.
Saya percaya saudara semua faham mengapa anak tidak benarkan ibu mereka berkahwin lain. Saya tidak tahu bagaimana perasaan si ibu ketika itu. Tetapi dari air mukanya saya dapat bayangkan. Suasana dalam kamar pusaka di kala itu sungguh muram.
Siapakah anak-anak ini?
Takdir tuhan tiada siapa yang tahu. Hidup mati di tangan tuhan yang menentukan. Kabarnya, dua bulan selepas itu si anak yang mati dahulu kemalangan jalan raya. Wallahuaklam.
KES 2
Si mati meninggalkan suami dan 10 orang anak lelaki dan perempuan. Harta peninggalan hanya sebidang tanah tapak rumah dan sebuah rumah kampung. Mengikut hukum faraid, suami si mati mendapat ¼ bahagian dan anak-anak mendapat baki (Asabah Bil-Ghairi).
Semasa dalam kamar perbicaraan harta pusaka, apabila ditanya kepada ayah (suami si mati) bagaimana harta tersebut hendak dibahagikan kepada 11 orang waris, si bapa menjawab, “Tanah dan rumah ini kami semua bersetuju menyerahkannya kepada anak bungsu dengan bayaran harga sebanyak RM13,000”.
“Duit RM13,000 tu nak bahagi macamana?”. Jawab bapa, “Duit ini anak-anak serahkan kepada saya seorang”.
Apabila ditanya kepada anak-anak, mereka ingin tahu berapa bahagian masing-masing sekiranya dibahagi mengikut hukum faraid. Setelah dibuat pengiraan, tiap seorang anak lelaki akan mendapat hampir RM2,000 dan anak perempuan akan mendapat hampir RM1,000.
Anak sulung memberi keterangan, “Kami telah bermuafakat dan bersetuju kesemua bahagian kami, kesemua duit ini kami serahkan kepada ayah kami”.
Saya tanyakan si ayah, “Nak buat apa dengan duit tu?”. Ayah hanya senyum sahaja tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba salah seorang daripada anak perempuan mencelah, “Kita nak suruh ayah kahwin lain. Kalau ayah kahwin lain senang, makan minum, sakit demam ada orang jaga. Ayah tak sunyi sangat”.
Si ayah kelihatan tenang sahaja. Ketika mengambil kad pengenalannya untuk dimasukkan ke dalam dompetnya, nampak tangannya sedikit gementar. Salah seorang anak perempuan lantas mengusik, “Ayah, kalau macam ni, mampu ke ayah nak kahwin?”. Mereka gelak bersama. Suasana dalam kamar pusaka di kala itu sungguh ceria sekali.
Siapakah anak-anak ini?
Jadikan harta pusaka pemangkin kebahagian keluarga.
Sama-sama kita renungkan.
0 comments:
Post a Comment