Tuesday 1 November 2011

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA

(Petikan sebahagian nota ceramah Sesi 1. Seminar Pengurusan Harta Pusaka oleh Perunding W Halim)
DI MANA HARTA PUSAKA BOLEH DISELESAIKAN

Apabila berlaku kematian, timbul soalan di mana harta pusaka boleh diselesaikan?

BIDANGKUASA

Terdapat 3 undang-undang yang menetapkan cara dan peraturan pentadbiran harta pusaka di Malaysia:
  • Akta Probate dan Pentadbiran 1959 (Akta No. 97)
  • Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta No. 98)
  • Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995 (Akta No. 532)

Berdasarkan kepada undang-undang tersebut di atas, agihan bidang kuasa pembahagian harta pusaka dikendalikan oleh 3 agensi persekutuan:

1. AMANAH RAYA BERHAD (Pusaka ringkas)
Mengendalikan harta si mati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dan nilainya tidak melebihi RM 600,000.
            Contohnya: si mati hanya meninggalkan: wang simpanan di bank, BSN, ASB, Tabung Haji, kenderaan, saham, dividen dan sebagainya.
Ulasan:
Ini bermakna, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta tak alih seperti tanah, rumah teres, rumah pangsa, kondominium dan sebagainya, waris-waris hendaklah menyelesaikan harta pusaka itu di Amanah Raya Berhad.

2. PEJABAT TANAH / UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA (Pusaka kecil)
Mengendalikan harta si mati yang meninggalkan harta tak alih (tanah) sahaja atau harta tanah beserta dengan harta alih seperti duit simpanan di bank dan sebagainya dan nilainya tidak melebihi RM 2 juta dan tidak meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiat 1959 (bagi bukan Islam).
            Contohnya: si mati meninggalkan 2 bidang tanah sahaja atau meninggalkan 2 bidang tanah, kenderaan dan duit simpanan BSN.

Ulasan:
Syarat utama penyelesaian harta pusaka di unit pembahagian pusaka atau pejabat tanah ialah si mati mesti mempunyai harta tak alih walau pun harta itu sedikit.
            Selain daripada harta tak alih, si mati juga ada meninggalkan harta alih seperti kenderaan, wang simpanan di institusi kewangan,  sijil saham dan sebagainya, kesemua harta-harta ini boleh diselesaikan sekali gus di bawah Akta Pusaka Kecil iaitu di pejabat tanah atau unit pembahagian pusaka selagi jumlah nilaian kesemua harta pusaka itu tidak melebihi RM2 juta.
            Waris-waris tidak perlu menyelesaikan harta pusaka itu di dua tempat yang berasingan seperti menyelesaikan harta tak alih di pejabat tanah dan menyelesaikan harta alih di Amanah Raya Berhad. Walau pun ini boleh dilakukan dan tidak menyalahi peraturan undang-undang, tetapi ia menyusahkan waris-waris itu sendiri yang akan berurusan dengan dua agensi yang berlainan. Waris-waris akan mengisi dua jenis borang permohonan pembahagian pusaka, dikenakan dua kali bayaran, dua kali salinan potostat dokumen-dokumen perlu seperti salinan kad pengenalan waris-waris dan sebagainya.
            Syarat berikutnya, bagi pusaka bukan Islam, si mati tidak meninggalkan wasiat. Ini kerana pusaka kecil tidak mempunyai bidangkuasa menyelesaikan harta berwasiat yang dibuat di bawah Akta Wasiat 1959 walau pun nilaian harta itu hanya beberapa ribu ringgit sahaja atau kurang daripada RM2 juta.
            Ini bermakna sekiranya si mati seorang bukan Islam dan meninggalkan wasiat, harta pusakanya hendaklah diselesaikan di Mahkamah Tinggi dan tidak boleh diselesaikan di unit pembahagian pusaka atau pejabat tanah. Bagaimana pun harta pusaka bagi si mati beragama Islam yang meninggalkan wasiat, masih boleh diselesaikan di bawah Akta Pusaka Kecil.

SOALAN:
Apakah perbezaan permohonan pusaka dimajukan ke Unit Pembahagian Pusaka dengan Pejabat Tanah?
JAWAB:
Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 atau dikenali juga sebagai Akta 98 memberi kuasa kepada Pentadbir Tanah Daerah untuk menguruskan pembahagian harta pusaka kecil.
            Oleh kerana pentadbiran harta pusaka diletakkan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai 1, Senarai Persekutuan di bawah Perkara 4 (e) (i) yang menyebut “…. Pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat, probet dan surat kuasa mentadbir pusaka…” ini bermakna proses pembahagian dan pentadbiran harta pusaka terletak di bawah bidang kuasa agensi Persekutuan.
            Oleh itu pusaka kecil diletakkan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan JKPTG), seksyen pembahagian harta pusaka.
            Diperingkat negeri dan daerah, JKPTG menubuhkan unit-unit pusaka kecil yang terdiri daripada sekurang-kurangnya seorang pegawai (penolong pengarah) dan beberapa orang kakitangan.
            Akta 98 memperuntukkan bahawa permohonan pusaka kecil hendaklah di buat di daerah mana harta tak alih terletak. Ini bermakna setiap daerah akan menerima permohonan pusaka sedangkan bilangan pegawai pembahagian pusaka terhad. Oleh itu di mana terdapat unit pusaka kecil, urusan pusaka diuruskan oleh unit pembahagian pusaka manakala di daerah yang tiada unit pusaka, kerjasama pejabat tanah untuk menerima permohonan pusaka. Bagaimana pun perbicaraan harta pusaka kecil akan dijalankan oleh pegawai-pegawai daripada unit pembahagian pusaka, JKPTG yang diwartakan sebagai Pentadbir Tanah Daerah bagi daerah itu.

3. MAHKAMAH TINGGI (Pusaka besar)
Mengendalikan harta si mati yang meninggalkan sama ada harta alih sahaja yang nilainya lebih RM600,000, harta tak alih (tanah) sahaja atau beserta harta alih yang nilainya melebihi RM 2 juta atau harta berwasiat (bagi bukan Islam) walaupun nilainya kurang daripada RM 2 juta.

Apakah bidangkuasa Mahkamah Syariah Dalam Urusan Harta Pusaka?
Mahkamah Syariah bertanggungjawab dalam hal berikut:
a.         Mengeluarkan Sijil Perakuan Faraid.
            Iaitu penentuan waris yang berhak menerima pusaka dan bahagian setiap orang waris.  
           Contoh: Ahmad mati meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki,   seorang anak     
           perempuan dan seorang saudara lelaki seibu sebapa.
            Sijil faraid:         
            Waris yang berhak:
            Isteri                            - 3/24 bahagian
            Anak lelaki                 - 14/24 bahagian
            Anak perempuan      - 7/24 bahagian
            Saudara lelaki seibu sebapa terdinding oleh anak lelaki.

b.         Pengesahan Hibah.
           Sekiranya si mati meninggalkan dokumen hibah, dan terdapat bantahan  daripada                   
 waris-waris dalam masa pembahagian harta pusaka, pihak yang menuntut sebagai   
 penerima hibah hendaklah membawa kes    ke mahkamah syariah untuk diputuskan sama     
 ada hibah itu sah atau   tidak. Sekiranya mahkamah memutuskan hibah itu sah, harta itu   
 tidak perlu difaraidkan.

c.         Pengesahan Wasiat.
            Sekiranya si mati meninggalkan wasiat, dan terdapat bantahan daripada       waris-waris     
 dalam masa pembahagian harta pusaka, penerima wasiat      hendaklah membawa kes   
 ke mahkamah syariah untuk diputuskan sama ada wasiat itu sah atau tidak. Sekiranya        
 mahkamah memutuskan wasiat itu sah, waris-waris wajib melaksanakan wasiat itu.    
           Maksimum wasiat dibenarkan kadar 1/3 daripada keseluruhan harta selepas ditolak    
 belanja pengebumian dan hutang-hutang si mati, manakala selebihnya 2/3 bahagian lagi    
 difaraidkan.

d.         Pengesahan Status Perkahwinan.
            Sekiranya diragui tentang status perkahwinan seseorang itu sama ada sah atau tidak,mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskannya. Keputusan mahkamah syariah akan mempengaruhi sijil faraid sama ada isteri atau suami yang ditinggalkan itu layak  menerima pusaka  atau sebaliknya.

e.         Pengesahan Nasab.
            Apabila timbul pertelingkahan berkaitan status anak sama ada anak   kandung atau anak angkat atau sama ada seseorang yang mengaku sebagai mempunyai pertalian nasab dengan si mati itu sabit atau tidak, mahkamah syariah akan memutuskannya berdasarkan kepada  pembuktian yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang bertelingkah.

f.          Menentukan Sah Taraf Anak.
            Mahkamah syariah juga mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sama ada seseorang anak itu tidak sah tafar atau sebaliknya. Sekiranya diputuskan tidak sah taraf, anak itu akan hanya berhak mewarisi harta  pusaka ibunya sahaja dan tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya.

  1. Mengesahkan Sama Ada Layak Atau Tidak Mewarisi
      Apabila timbul masalah berkaitan pembunuhan, berlainan agama atau murtad, mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan seseorang itu layak mewarisi atau tidak.
                  Sebagai contoh, seorang yang didapati menyebabkan kematian   bapanya, hanya mahkamah syariah yang mempunyai bidangkuasa menentukan nasib anak itu sama ada berhak  mewarisi atau tidak.

  1. Memutuskan Tuntutan Harta Sepencarian
      Sekiranya terdapat tuntutan harta sepencarian, tuntutan ini hendaklah diselesaikan terlebih dahulu sebelum harta pusaka dibahagikan. Ini kerana keputusan Mahkamah syariah berkaitan tuntutan harta  sepencarian akan menentukan takat mana harta si mati yang akan      difaraidkan.
                  Contohnya, apabila mahkamah memutuskan isteri layak mendapat harta sepencarian sebanyak ½ bahagian daripada harta si mati, bermakna hanya ½ bahagian sahaja milik si mati yang akan difaraidkan.

Kesimpulan:
Berdasarkan kepada pembahagian bidangkuasa di atas, sewajarnya diketahui apabila berlaku kematian, institusi mana yang harus dituju untuk menyelesaikan harta pusaka tersebut. Bagi kebanyakan harta pusaka dalam masyarakat hari ini, tergolong dalam kategori Pusaka Kecil. Oleh itu penyelesaiannya harus dibuat di Unit Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian atau di pejabat tanah.

Sekian sebahagian info untuk anda yang mengikuti blog ini.

Terima kasih.

2 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum... Saya ingin bertanya sedikit kerana banyak kekeliruan.. Jikalau ibu sudah meninggal Dan 2 orang anak (1 lelaki Dan 1 perempuan Dan arwah sudah bercerai... Arwah cuma meninggalkan harta simpanan (Bsn) kurang daripada rm100000... Dan anak arwah yang perempuan pula sudah meninggal juga selepas arwah... Bagaimana harta itu dibahagikan..

SafwanIsa said...

dalam banyak2 artikel yang saya baca, artikel tuan paling buat saya faham. terima kasih

Post a Comment