Friday 2 December 2011

KONSEP PEMBAHAGIAN SECARA MUAFAKAT


Ada yang bertanyakan hukum membahagikan harta pusaka secara muafakat adakah harus atau haram? Ini kerana ada yang mengatakan pembahagian secara muafakat bermakna  membelakangkan hukum faraid.

Pembahagian mengikut muafakat hukumnya harus sekiranya seseorang itu berpegang kepada konsep pembahagian iaitu:
“Asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid. Iaitu setiap orang wajib mengetahui  
terlebih dahulu siapakah yang berhak mewarisi harta pusaka itu dan berapa bahagian yang
akan mereka perolehi sekiranya pembahagian dibuat mengikut hukum faraid.
Sesudah itu  mereka bolehlah bersetuju dengan apa cara pembahagian sekali pun
sama ada mengikut kadar faraid, bahagian sama banyak, seorang memiliki satu
harta, penyerahan hak kepada seorang atau beberapa orang sama ada dengan bayaran
atau percuma dan sebagainya.

Contoh kes:

Seorang mati meninggalkan 4 anak lelaki dan 4 anak perempuan. Simati juga meninggalkan 4 keping tanah. Ahmad bertindak sebagai ‘kepala kuasa’ atau ketua dan telah mengatur pembahagian seperti berikut:

Bil
Tanah
Pemilik
Bahagian
1
GM1
AHMAD
ROKIAH
2/3
1/3
2
GM2
AHMAD
ROKIAH
2/3
1/3
3
GM3
ALI
ABU
GAYAH
LEHA
2/6
2/6
1/6
1/6
4
GM4
HAMDAN
ROFIAH
2/3
1/3

Menurut Ahmad pembahagian dibuat berdasarkan kepada rumah-rumah yang sedia ada di atas sebahagian daripada tanah-tanah itu dan berharap setiap orang akan dapat mendirikan rumah di atas tanah masing-masing.
Semasa perbicaraan harta pusaka di Pejabat Tanah, waris-waris diminta memberi  persetujuan dengan pembahagian sedemikian itu.  Masing-masing menyatakan persetujuan kecuali Rofiah mempertikaikan bahagiannya yang agak kurang berbanding waris-waris lain.
Setiap orang mempunyai hak bersuara untuk mendapat keadilan sekiranya merasakan dirinya teraniaya. Alasan Rofiah, tanah yang diberikan kepadanya itu nilainya amat rendah berbanding tanah-tanah yang diperolehi oleh adik beradiknya yang lain.
Untuk membuktikan dakwaan Rofiah, pembahagian dibuat mengikut nilaian tanah seperti berikut:
Asal pembahagian mengikut hukum faraid bahagian anak-anak seperti berikut:
Anak lelaki                         2/12 bahagian
Anak perempuan             1/12 bahagian
Jumlah nilaian kesemua tanah ialah RM50,000.00
Bermakna setiap anak lelaki mendapat 2/12 x RM50,000 = RM8,333.33 manakala setiap anak perempuan  mendapat    1/12 x RM50,000.00 = RM4,166.67

Nilaian tanah adalah seperti berikut:

Bil
Tanah
Nilaian
1
GM1
RM10,000
2
GM2
RM5,000
3
GM3
RM30,000
4
GM4
RM5,000

JUMLAH
RM50,000

Secara terperinci, pembahagian secara muafakat mengikut nilaian dilihat seperti berikut:

Bil
Tanah
Pemilik
Bahagian
RM50,000.00
1
GM1
AHMAD
ROKIAH
2/3
1/3
RM6,666.67
RM3,333.33
2
GM2
AHMAD
ROKIAH
2/3
1/3
RM3,333.33
RM1,666.67
3
GM3
ALI
ABU
GAYAH
LEHA
2/6
2/6
1/6
1/6
RM10,000.00
RM10,000.00
RM5,000.00
RM5,000.00
4
GM4
HAMDAN
ROFIAH
2/3
1/3
RM3,333.33
RM1,666.67

Berdasarkan kepada nilaian, jelaslah bahawa Rofiah mendapat bahagian yang paling sedikit berbanding adik beradiknya yang lain. Hamdan juga mendapat bahagian yang sedikit, tetapi beliau nampaknya tidak berfikiran seperti Rofiah. Hamdan Cuma mengikut sahaja . Apa yang saya perhatikan, Hamdan tidak mengetahui apa-apa dan tidak  mengambil tahu bakal tanah yang akan dimilikinya.

Setelah jelas mengetahui bahagian yang diperolehi oleh Rofiah secara muafakat tidak sepadan dengan bahagian yang sepatutnya diperolehi mengikut faraid, waris-waris telah mengadakan perbincangan semula, namun tidak memperoleh jalan penyelesaian kerana mereka tidak mahu mengubah cara pembahagian tanah seperti di atas.
Akhirnya mereka bersetuju dengan cadangan supaya bahagian Hamdan dan Rofiah yang kurang itu digantikan dengan wang tanpa mengubah pembahagian asal tanah itu. Pengiraannya seperti berikut:

Bil
NAMA
PEROLEHAN
+LEBIH /
 -KURANG
-BAYARAN / +TERIMA
1
AHMAD
RM10,000.00
+RM1,666.67
-RM1,666.67
2
ROKIAH
RM5,000.00
+RM833.33
-RM833.33
3
ALI
RM10,000.00
+RM1,666.67
-RM1,666.67
4
ABU
RM10,000.00
+RM1,666.67
-RM1,666.67
5
GAYAH
RM5,000.00
+RM833.33
-RM833.33
6
LEHA
RM5,000.00
+RM833.33
-RM833.33
7
HAMDAN
RM3,333.33
-RM5,000.00
+RM5,000.00
8
ROFIAH
RM1,666.67
-RM2,500.00
+RM2,500.00

Penyelesaiannya:
Ahmad, Ali dan Abu masing-masing mengeluarkan wang sebanyak RM1,666.67 manakala Rokiah, Gayah dan Leha masing-masing mengeluarkan wang sebanyak RM833.33. Ini kerana mereka mendapat bahagian yang lebih berbanding bahagian yang sepatutnya diperolehi mengikut kadar faraid . Jumlah semua RM7,500.00. Duit ini diserahkan kepada Hamdan sebanyak RM5,000.00 dan Rofiah RM2,500.00. Kesimpulannya: dari segi nilaian harta, anak lelaki mendapat RM8,333.33 dan anak perempuan mendapat RM4,166.67.

Catatan:
Penyelesaian di atas adalah salah satu cara penyelesaian untuk memuaskan hati Rofiah yang merasakan dirinya teraniaya.

Tetapi sekiranya Rofiah dengan rela hati bersetuju dengan pembahagian itu tanpa apa-apa bayaran kepadanya juga boleh dilakukan  dengan syarat Rofiah terlebih dahulu mengetahui bahagiannya mengikut kadar faraid. Jelasnya, Rofiah  tahu bahagiannya mengikut faraid sebanyak RM4,166.67. Tetapi dengan pembahagian secara muafakat itu beliau hanya mendapat sebanyak RM1,666.67 sahaja. Namun sekiranya Rofiah reda dengan bahagian yang sedikit itu, hukumnya harus dan pembahagian itu dikatakan tidak menganiayai sesiapa. Kerana Rofiah sudah Reda dan rela dengan bahagian yang sedikit itu. Akan tetapi Rofiah tidak rugi, sebaliknya akan pasti mendapat ganjaran di SANA nanti kerana memberikan sebahagian daripada haknya kepada saudaranya yang mungkin lebih memerlukan.

Kesimpulannya: Apa-apa cara pembahagian yang dipersetujui sebulat suara tanpa paksaan atau ugutan setelah memahami konsep sebenar pembahagian, hukumnya adalah harus.

Sebaliknya jangan mengikut jejak Hamdan yang bersetuju tanpa mengetahui konsep pembahagian sebenar. Keadaan inilah yang selalu berlaku ‘rumah sudah pahat berbunyi’. Satu ketika Hamdan diberitahu oleh seseorang bahawa beliau rugi kerana mendapat bahagian yang sedikit. Ketika itu baharulah Hamdan sedar dan menuduh beliau telah dianiayai oleh adik beradiknya walau pun pembahagian dilakukan beberapa tahun dahulu.

Oleh itu saudara pembaca, fahamilah konsep pembahagian. Sesudah rumah siap, simpanlah pahat ditempat yang sepatutnya.

2 comments:

Unknown said...

Salam...sy nk btanya cara pembahagian secara adat..sy kematian suami.waris yg ada iaitu saya.ibunya dan adik beradik suami semua perempuan..mcm mna cra pembhahagian?

Unknown said...

Salam...sy nk btanya cara pembahagian secara adat..sy kematian suami.waris yg ada iaitu saya.ibunya dan adik beradik suami semua perempuan..mcm mna cra pembhahagian?

Post a Comment