ILMU
FARAID DI MANA TEMPATNYA?
Mukaddimah
Ilmu Faraid
ialah satu kaedah pembahagian bagi harta pusaka orang Islam. Satu kaedah yang
ditentukan oleh Allah s.w.t. yang terkandung di dalam Al-Quran surah Al-Nisaa’
ayat 11,12 dan 176. Kaedah pembahagian ini dilengkapkan oleh hadis-hadis
Rasulullah s.a.w. dan disempurnakan oleh pendapat-pendapat sahabat dan ulama’.
Kaedah
Ilmu faraid
sebenarnya menerangkan 4 perkara pokok. Pertama, kaedah yang terdapat di dalam
ilmu ini dapat membantu pengamal faraid dalam melaksanakan tugasnya dalam
perkara mengenal pasti sesuatu harta itu adalah harta pusaka. Kedua, kaedah
penentuan waris bagi mengenal pasti siapakah waris yang berhak ke atas sesuatu
harta pusaka itu agar tidak tergelincir dari landasan ketetapan hukum. Ketiga,
kaedah penentuan bahagian bagi menentukan apakah seseorang itu mewarisi secara
fardu atau asabah dan bahagian mereka misalnya 1/2, 1/4 dan sebagainya.
Keempat, kaedah pengiraan iaitu untuk mengetahui bahagian bagi setiap individu
yang mewarisi.
Akta
Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955
Akta Harta
Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Peraturan-peraturan ialah satu akta yang
menerangkan prosedur yang perlu diikuti dalam memproses sesuatu permohonan
pusaka. Misalnya sesuatu permohonan itu hendaklah dimulakan dengan mengisi satu
borang yang telah ditetapkan iaitu Borang A. Peraturan dibuat dengan
menggariskan siapakah yang layak memohon pembahagian, apakah dokumen yang perlu
disertakan bersama permohonan, penetapan bidangkuasa, permohonan kemudian,
rayuan, penggunaan borang-borang dan sebagainya.
Pentingnya
Ilmu Faraid
Bagi harta
pusaka orang-orang Islam, kaedah pembahagian adalah mengikut hukum faraid.
Sehingga kini tidak terdapat satu pun statut yang menerangkan kaedah
pembahagian harta orang Islam mengikut faraid. Justeru, pegawai-pegawai pusaka
hendaklah merujuk kepada buku-buku faraid untuk dijadikan sebagai panduan.
Berbeza dengan pusaka orang bukan Islam yang mana pembahagian harta pusaka mereka
dibuat mengikut kaedah yang digariskan dalam Akta Pembahagian 1958.
Di mana
Letaknya Ilmu Faraid?
Akta Pusaka
Kecil adalah merupakan Akta utama bagi pegawai-pegawai pusaka untuk memulakan
tugasnya. Apabila siasatan dimulakan untuk menentukan siapakah waris yang
berhak mewarisi sesuatu pusaka itu, maka di sini bermulalah pemakaian kaedah
ilmu faraid. Kesilapan atau ketinggalan dalam mengambil keterangan berkaitan
waris akan mengundang ketidak adilan di mana kemungkinan akan berlaku
waris-waris yang sepatutnya mewarisi tidak disoal dalam siasatan waris. Contoh
yang paling mudah, mungkin ada yang tidak kisah tentang kewujudan datuk dan
nenek si mati sedangkan mereka juga antara waris yang berhak mewarisi sekiranya
ibu dan bapa si mati telah mati dahulu.
Kaedah
siasatan juga tidak lengkap sekiranya tidak dikategorikan kekuatan darjat
seseorang waris sisi kepada si mati (adik beradik si mati). Misalnya saudara
seibu sebapa, saudara sebapa atau saudara seibu. Lebih jauh lagi bapa saudara
seibu sebapa, bapa saudara sebapa atau bapa saudara seibu. Apabila
dikategorikan sebagai bapa saudara seibu, mereka tidak mewarisi.
Dalam
masalah takharuj, terdapat kaedah-kaedah pengiraan berdasarkan kepada kes demi
kes. Kesilapan dalam kaedah pengiraan juga mengundang kepada ketidak adilan.
Contohnya si mati meninggalkan 2 orang isteri dan anak-anak. Isteri kedua
menarik diri daripada menerima pusaka dengan hanya mengambil sebuah kereta
sahaja manakala tanah, rumah dan harta-harta lain diserahkan kepada waris-waris
lain. Berapa bahagiankah yang patut diperolehi oleh isteri pertama? Adakah 1/8
bahagian atau bagaimana? Sekiranya diberikan 1/8 bahagian kepada isteri pertama
ternyata berlaku ketidak adilan dalam pembahagian. (harap maaf kerana tiada
ulasan terperinci).
Oleh itu di
manakah letaknya ilmu faraid?. Ilmu faraid adalah kaedah pembahagian bagi harta
orang Islam yang belum disusun dalam bentuk statut yang akan menjadi pegangan
dan panduan dalam pembahagian harta pusaka orang Islam. Oleh kerana ilmu ini
digunakan sepenuhnya dalam proses siasatan, maka letaknya sejajar atau seiring dengan
Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) dan Peraturan-peraturan 1955.
Kesimpulan
Kesimpulannya,
kepentingan memilikki pengetahuan ilmu faraid adalah sejajar dengan Akta Pusaka
Kecil. Akta menggariskan prsedur permohonan manakala ilmu faraid pula
menggariskan proses siasatan waris, penentuan kadar perolehan setiap waris dan
kaedah pengiraan.
Nota:
Artikel ringkas ini untuk renungan
pegawai-pegawai pembahagian pusaka kecil.
0 comments:
Post a Comment