Wednesday 27 June 2012

BAGAIMANA ANAK PEREMPUAN MEWARISI
Sebahagian daripada masyarakat beranggapan bahawa anak perempuan tidak sehebat anak lelaki dalam konteks pewarisan harta pusaka. Ini kerana:
a.       Anak perempuan mewarisi harta pusaka secara fardu.
b.   Apabila seorang mati meninggalkan anak perempuan dan anak lelaki, anak perempuan hanya mewarisi setengah (1/2) bahagian berbanding anak lelaki.

Anak perempuan mewarisi secara fardu:
Fardu bermakna bahagian seseorang waris itu telah ditetapkan / ditentukan mengikut hukum faraid. Misalnya 1/2, ¼, 1/3 dan sebagainya. Bagi anak perempuan, telah difardukan bahagian mereka seperti berikut: 
a.  Sekiranya anak perempuan itu seorang diri, bahagiannya 1/2 daripada harta pusaka. Manakala baki 1/2 bahagian lagi untuk waris lain.
Contoh 1:
Si mati meninggalkan hanya seorang anak perempuan sahaja. Waris lain tidak ada. Anak perempuan mewarisi setakat 1/2 bahagian sahaja, manakala bakinya diserahkan kepada baitulmal.
Anak perempuan
½
Baitulmal
½

Contoh 2:
Si mati meninggalkan ibu, isteri, seorang anak perempuan  dan seorang saudara lelaki seibu sebapa. Bahagian anak perempuan tetap ½ bahagian.


8
Isteri
1/8
1
Anak perempuan
1/2
4
SIB Lelaki
ASABAH
3

b.  Sekiranya anak perempuan itu lebih daripada seorang, bahagian mereka telah ditetapkan sebanyak 2/3 bahagian.
Contoh 3:
Si mati meninggalkan bapa dan dua anak perempuan. Anak perempuan mewarisi sebanyak 2/3 bahagian dan bapa pula mewarisi secara fardu dan asabah. Iaitu bapa mewarisi secara fardu 1/6 bahagian dan sekiranya ada baki setelah diberikan bahagian bapa dan dua anak perempuan, baki itu diberikan kepada bapa.


6
6
Bapa
1/6 + asabah
1+1
2
Anak perempuan
2/3
4
2
Anak perempuan


2

Anak perempuan mendapat2/3 bahagian ( 4/6 bahagian) dan bahagian itu dibahagi kepada dua. Bermakna setiap anak perempuan mendapat 1/3 atau 2/6 bahagian.
Sekiranya anak perempuan itu lebih daripada dua orang, 2/3 bahagian dibahagikan kepada jumlah anak perempuan. Makin ramai anak perempuan, semakin sedikitlah bahagian setiap orang daripada mereka.
Contoh 4: si mati meninggalkan 5 orang anak perempuan.


6
30
Bapa
1/6 + asabah
1+1
10
Anak perempuan
4
Anak perempuan


4
Anak perempuan
2/3
4
4
Anak perempuan


4
Anak perempuan


4

Bagi  kes di atas, setiap anak perempuan hanya mendapat 4/30 atau 2/15 bahagian sahaja.

Anak perempuan mewarisi bersama anak lelaki:
Apabila mewarisi bersama anak lelaki, anak perempuan akan mendapat separuh daripada bahagian anak lelaki.
Apabila bersama dengan anak lelaki, cara mewarisi harta pusaka oleh anak perempuan telah berubah daripada mewarisi secara fardu kepada asabah bil-ghairi. Iaitu pembahagian harta pusaka lelaki dan perempuan dengan kadar nisbah 2:1.
Contoh 5:
Si mati meninggalkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Anak lelaki
2/3
Anak perempuan
1/3

Makin ramai anak yang ditinggalkan oleh si mati semakin sedikitlah bahagian setiap orang anak.

9
RM90,000
Anak lelaki
2
RM20,000
Anak lelaki
2
RM20,000
Anak lelaki
2
RM20,000
Anak perempuan
1
RM10,000
Anak perempuan
1
RM10,000
Anak perempuan
1
RM10,000

Bagi kes di atas, setiap anak lelaki mendapat 2/9 bahagian, manakala setiap anak perempuan pula hanya mendapat 1/9 bahagian.
Mengapa bahagian anak perempuan separuh bahagian anak lelaki?. Rasionalnya:
1.       Anak lelaki bertanggungjawab menafkahkan isteri dan anak-anak.
2.      Anak lelaki bertanggungjawab menafkahkan kedua ibu bapa yang sudah uzur dan tidak dapat menjana pendapatan sendiri.
3.   Anak lelaki bertanggungjawab menafkahkan saudara perempuannya yang belum berkahwin dan tidak mempunyai pendapatan sendiri sehingga berkahwin.
4.   Anak lelaki bertanggungjawab menafkahkan saudara perempuannya yang kematian suami yang tidak mempunyai pendapatan sendiri sehingga berkahwin lain atau dinafkahkan oleh anak-anaknya.
5.   Anak lelaki bertanggungjawab menafkahkan anak-anak kepada saudara lelakinya yang telah meninggal dunia (anak saudara) sekiranya anak-anak itu tidak mempunyai sumber pendapatan sehingga mereka dapat berdikari.
6. Anak perempuan hanya bertanggungjawab menafkahkan dirinya sendiri dan tidak bertanggungjawab untuk menafkahkan keluarganya. Sekiranya anak perempuan membelanjakan hartanya menafkahkan sesiapa, itu adalah sumbangannya yang sudah tentu balasannya di Sana nanti. Insyaallah.

Anak perempuan mendapat bahagian lebih banyak berbanding saudara lelaki
Bagaimana pun, tidaklah dalam semua kes pusaka waris perempuan mendapat bahagian yang sedikit berbanding dengan waris lelaki. Ada kalanya waris perempuan mendapat bahagian yang lebih banyak seperti dalam kes berikut:
Si mati meninggalkan ibu, isteri, seorang anak perempuan dan seorang saudara seibu sebapa lelaki. Pembahagian seperti berikut;


24
Ibu
1/6
4
Isteri
1/8
3
1 anak perempuan
1/2
12
1 SIB lelaki
Asabah (baki)
5

Dalam kes di atas, anak perempuan tetap mendapat ½ bahagian iaitu 12/24 bahagian, manakala adik beradik lelaki si mati hanya mendapat 5/24 bahagian sahaja.
Oleh kerana anak perempuan mendapat bahagian yang lebih banyak berbanding waris lain, sewajarnyalah anak perempuan diberi keutamaan dalam  memilikki harta pusaka bapanya.
Sekiranya si mati meninggalkan hanya sebuah rumah kediaman, adalah amat baik dan langkah bijak sekiranya saudara lelaki si mati menyerahkan bahagiannya kepada anak perempuan, sama ada dengan percuma atau dengan bayaran mengikut kaedah ‘Takharuj’, sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim dan kekeluargaan antara adik beradik lelaki dengan anak saudaranya (anak si mati).

Kesimpulannya: Bahagian anak perempuan telah ditentukan iaitu ½ bahagian sekiranya seorang dan 2/3 bahagian sekiranya lebih daripada seorang. Sekiranya bersama anak lelaki, anak perempuan mendapat setengah daripada anak lelaki. Bagaimana pun adakalanya anak mendapat bahagian yang lebih banyak berbanding waris lelaki yang lain.
Wallahuaklam.

0 comments:

Post a Comment