Tuesday, 15 July 2014

APAKAH KELAYAKAN BAPA MEWARISI HARTA PUSAKA?

BAPA adalah salah seorang daripada waris yang berhak mewarisi harta pusaka anaknya yang telah meninggal dunia. Bapa tergolong dalam kumpulan ‘waris utama’ dalam kategori waris, bermakna apabila seseorang itu meninggal dunia dan sekiranya bapanya masih hidup, bapa tetap berhak mewarisi harta pusaka anaknya yang meninggal itu tanpa sesiapa yang mendindingkannya.

Contohnya, Yusuf mati meninggalkan ibu, bapa, isteri, dua anak lelaki, seorang  anak perempuan dan lima orang adik beradik.  Harta pusaka Yusuf akan diwarisi oleh ibu, ‘bapa’, isteri dan tiga orang anak-anaknya. Manakala adik beradik tidak layak mewarisi kerana terdinding oleh anak lelaki.

SOALAN
Ustaz, benarkah ada pendapat yang mengatakan bahawa bapa tidak layak mewarisi harta pusaka anaknya sekiranya anaknya  yang mati itu mempunyai anak.

JAWAB
Saya  pernah juga diajukan soalan seperti ini. Sebenarnya soalan ini timbul hasil daripada perbualan dikedai kepi. Pendapat yang tidak mempunyai asas ilmu dan sekadar berbual kosong mengikut pendapat sendiri. Kemudian pendapat ini disebarkan kepada masyarakat yang sememangnya langsung tidak mempunyai asas ilmu faraid.

Sebenarnya bapa tetap berhak menerima harta pusaka anaknya meskipun si mati itu ada meninggalkan anak. Hukum ini telah termaktub di dalam al Quran surah an-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud:

                “Dan bagi kedua-dua ibu bapa (si mati), tiap seorang dari kedua-duanya satu perenam
  daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak”.

SOALAN

Apakah kelayakan bagi bapa mewarisi harta pusaka?

JAWAPAN

Bapa yang layak mewarisi harta pusaka ialah ‘bapa hakiki’ iaitu bapa kepada seorang anak yang dilahirkan oleh wanita yang dikahwininya melalui satu perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak dan anak itu boleh dinasabkan (dibinkan ) kepadanya. Dengan lain perkataan ‘bapa kandung’.

Dengan ini terkeluarlah beberapa golongan bapa daripada mewarisi harta pusaka iaitu:

a.       Bapa angkat
Seperti diketahui umum, bapa angkat bukan bapa kandung kepada si mati. Maka sewajarnyalah bapa angkat tidak layak mewarisi harta pusaka anak angkatnya seperti mana digariskan mengikut hukum faraid.

b.      Bapa tiri
Bapa tiri juga bukanlah bapa kandung kepada si mati. Oleh itu hukum syarak tidak memberi kelayakan kepada bapa tiri untuk mewarisi harta pusaka anak tirinya. Ini kerana anak tiri yang mati itu bukan ‘keturunan hakiki’ bapa tiri.

c.       Bapa kepada anak susuan
Suami kepada wanita yang menyusukan bayi yang diiktiraf sebagai ibu susuan boleh dikatakan sebagai ‘bapa susuan’.  Dari segi pewarisan hukumnya sama seperti anak angkat kerana bukan bapa kandung kepada si mati walaupun hukum pergaulannya sama seperti anak kandung.

d.      Bapa kepada anak zina
Iaitu anak hasil daripada persetubuhan haram sama ada atas kerelaan atau tanpa kerelaan seperti pemerkosaan, rogol atau sebagainya. Bapa yang menyebabkan kelahiran anak ini tidak layak mewarisi harta pusaka anak itu. Ini kerana perbuatannya adalah salah disisi hukum syarak dan anak itu tidak diiktiraf oleh syarak sebagai anak kandung kepada bapa itu. Bahkan tidak boleh dinasabkan anak itu kepada bapa yang menyebabkan kelahirannya.  Oleh itu bapa ini tidak layak mewarisi harta pusaka anak hasil daripada perzinaan atau persetubuhan haram.

Berbeza dengan ibu seperti mana dibincangkan dalam siri 30 yang lalu, ibu tetap berhak ke atas harta pusaka anak yang dilahirkannya tanpa mengira samada anak itu dilahirkan hasil daripada perkahwinan yang sah atau sebaliknya.

SOALAN
Di kampung saya pernah berlaku seorang bapa telah menghalau anaknya kerana marahkan anaknya berkahwin dengan gadis yang tidak direstuinya. Ditakdirkan anak lelakinya itu meninggal dunia dan bapa itu masih layak mendapat harta pusaka anaknya. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN

Dari segi hubungan silaturrahim mungkin juga putus antara ayah dan anak buat seketika waktu. Tetapi dari segi pewarisan, ‘kemarahan’  tidak menghilangkan kelayakannya bapa untuk mewarisi harta pusaka anaknya. Bahkan saling mewarisi antara satu sama lain. Bapa layak mewarisi harta pusaka anaknya dan sebaliknya.
SOALAN

Seorang pemuda meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Beliau belum berkahwin dan telah tinggal dengan ibu bapa angkatnya sejak berumur satu bulan. Sepanjang hayatnya, bapa angkat telah menanggung segala perbelanjaan makan minum, pakai dan pelajarannya sehingga dewasa.  Bapa kandungnya masih ada tetapi semasa hayatnya si mati tidak begitu mesra dengan bapa kandungnya bahkan bapa kandung tidak pernah mengeluarkan apa-apa perbelanjaan untuk menyara hidupnya. Siapakah yang lebih layak ke atas harta pusaka pemuda ini?

JAWAPAN

Seperti mana yang ustaz jelaskan di atas, kelayakan bapa mewarisi adalah berdasarkan kepada keturunan hakiki. Memelihara, menafkah atau mendidik tidak boleh menjadikan seseorang itu layak mewarisi harta orang yang ditanggungnya. Ini bermakna bapa kandung adalah orang yang layak mewarisi harta pusaka anaknya. Ini adalah kerana walau pun dipelihara oleh bapa angkat, hubungan silaturrahim dengan bapa kandung semestinya terjalin dan tidak seharusnya diputuskan.

Insya Allah dalam siri akan datang saya akan bincangkan ‘Bagaimana bapa mewarisi harta pusaka’.


SEKIAN

0 comments:

Post a Comment