Sunday, 23 November 2014

ISU PUSAKA

BUKTI KEMATIAN v ANGGAPAN KEMATIAN

1. PENDAHULUAN

Setiap kematian perlu dibuktikan bagi membolehkan harta si mati dibahagikan mengikut undang-undang. Tanpa bukti kematian, harta pusaka dianggap tidak wujud. Ini kerana mengikut kaedah umum, asalnya seseorang yang hidup itu masih hidup tetapi dikatakan mati setelah kematiannya dibuktikan.

2. JENIS KEMATIAN

Kematian boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu, Mati Hakiki dan Mati Hukmi.

2.1       Mati Hakiki : bermakna sebenar-benar mati, di mana kematian seseorang itu disaksikan. Jenazah dimandi, dikafan, disembahyang dan seterusnya dikebumikan.

Bukti kematian yang lazim ialah Sijil Kematian. Bagaimana pun permit pengebumian juga boleh diterima sebagai bukti kematian seseorang kerana tanpa permit pengebumian, jenazah tidak boleh dikebumikan. Bermakna ada permit pengebumian, ada jenazah yang telah dikebumikan.

2.2       Mati Hukmi : bermakna seseorang itu dihukumkan sebagai telah mati oleh hakim disebabkan beliau telah ‘hilang’ dan tidak didengar khabar berita mengenainya dan tidak dipastikan samada beliau masih hidup atau telah meninggal dunia, kerana kematian secara hakiki tidak dapat dibuktikan.

Mati Hukmi tertentu kepada seseorang yang ‘hilang’ samada sengaja menghilangkan diri atau hilang dalam suatu kemalangan atau bencana sama ada di lautan atau di daratan. Misalnya hilang dalam bencana alam seperti ribut taufan, tanah runtuh, Tsunami, kehilangan pesawat MH370 dan sebagainya dan jenazahnya tidak dijumpai bagi memastikan kematiannya. Keadaan begini boleh dikatakan juga sebagai kematian tanpa kubur.

Di bawah Seksyen 108 Akta Keterangan, waris-waris boleh memohon daripada mahkamah supaya menganggap seseorang itu mati melalui ‘Perintah Anggapan Kematian’ setelah berlalu masa hilangnya selama tidak kurang daripada 7 tahun.

Apabila mahkamah telah mengeluarkan perintah menganggap seseorang yang ‘hilang’ itu telah mati melalui Perintah Anggapan Kematian’, bolehlah harta orang itu dibahagikan sebagai harta pusaka.

Melalui  ‘Perintah Anggapan Kematian’, seseorang itu dianggap mati berkuatkuasa pada tarikh Hakim mengeluarkan perintah dan bukannya pada tarikh seseorang itu didapati hilang.[1]

Sebagai contoh, satu perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Terengganu[2] adalah seperti berikut:

“MAKA ADALAH HARI INI DIPERINTAHKAN bahawa Satu Peristiharan diberikan bahawa AWANG JAMBOL BIN HJ. AWANG, iaitu seorang yang telah tidak didengar dan dilihat lebih dari tujuh tahun oleh orang yang biasa mendengar dan melihat beliau sekiranya beliau masih hidup, dianggap telah meninggal dunia di bawah Seksyen 108 Akta Keterangan 1980;

Bertarikh pada 4 Disember, 2013.


Tarikh kematian Awang Jambol ialah pada 4 Disember 2013. Bertepatan dengan hukum syarak di mana orang yang hilang itu dianggap ‘mati’ pada tarikh perintah dikeluarkan. Ini bermakna mana-mana waris yang meninggal dunia sebelum perintah anggapan kematian dikeluarkan tidak berhak mewarisi harta pusaka Awang.

Mahkamah mengeluarkan perintah anggapan kematian tanpa menyebut tarikh kematian. Perintah ini hanya bertepatan dengan kehendak Seksyen 108 jika sekiranya seseorang itu benar-benar hilang dan tidak diketahui nasibnya seperti mana berlaku ke atas penumpang kapal terbang MAS MH370 dan bukannya bagi seseorang yang telah mati secara hakiki tetapi waris-waris gagal mengemukakan bukti kematian melalui sijil kematian.

Mahkamah Syariah juga mempunyai bidangkuasa mengeluarkan ‘Perintah Anggapan Kematian. Ini diperuntukkan di dalam Akta / Enakmen Keluarga Islam negeri-negeri. Misalnya peruntakan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984:

Seksyen 53: (Anggapan mati).

53. (1) Jika suami seseorang perempuan telah mati, dipercayai telah mati, atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Hukum Syarak sebagai telah mati, tetapi perakuan kematian di bawah Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian bagi Wilayah Persekutuan Labuan, tidak dapat diperolehi, Mahkamah boleh, atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa penyiasatan yang wajar, mengeluarkan, dalam borang yang ditetapkan, suatu perakuan menganggap suami itu telah mati, dan kemudian daripada itu perempuan itu adalah bebas berkahwin lain mengikut Akta ini.

Walaupun seksyen ini mengkhususkan bagi suami yang hilang, fokus saya adalah berkaitan Mahkamah Syariah juga mempunyai bidangkuasa mengeluarkan perintah anggapan kematian bagi seseorang yang ‘hilang’ dan tidak dapat diketahui nasibnya selama tempoh tidak kurang empat tahun.



3.PERMASALAHAN

3.1.        MATI HAKIKI:
Kematian Tidak Dapat Dibuktikan Dengan Sijil Kematian Atau Permit Pengebumian

Kadangkala waris-waris tidak dapat mengemukakan bukti kematian untuk disertakan bersama borang permohonan untuk membahagikan harta pusaka (Borang A dalam konteks harta pusaka kecil). Ini disebabkan oleh:

  1. Sijil Kematian hilang dan cabutan gagal diperolehi di JPN.
  2. Sijil Kematian tidak dapat dikesan kerana kematian sudah terlalu lama.

3.1.1.    MASALAH 1 -  Sijil Kematian Hilang.

Kecenderungan sebahagian dalam masyarakat  yang tidak menyelesaikan harta pusaka dengan segera telah menimbulkan masalah  ketika membuat permohonan di mana mereka gagal mengemukakan bukti kematian sama ada sijil kematian atau permit pengebumian.

Dalam kes seumpama ini, waris dinasihatkan supaya mendapatkan cabutan sijil kematian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan bayaran sebanyak RM5.00 untuk carian bagi satu tahun. Misalnya jika carian dibuat bagi kematian tahun 1960, bayaran dikenakan sebanyak RM5.00. Sekiranya tidak diperolehi, bayaran dikenakan RM5.00 bagi carian untuk setiap tahun berikutnya.

Maklumat yang diperlukan oleh JPN bagi mengeluarkan cabutan sijil kematian ialah:

a.    Nama si mati.
b.    Tahun kematian.
c.    Tempat di mana laporan kematian dibuat, misalnya Balai Polis Bandar Kuala Terengganu.

Sekiranya salah satu daripada maklumat yang diberikan itu tidak tepat, maka sijil kematian penama itu tidak dapat dikesan. Misalnya kematian itu berlaku pada tahun 1961, carian dibuat bagi tahun selain daripada tahun 1961. Atau laporan kematian dikatakan dibuat di Balai Polis Bandar Kuala Terengganu sedangkan yang sebenarnya kematian itu dilaporkan di Balai Polis Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

Sekiranya nombor kad pengenalan si mati boleh dikemukakan kepada JPN, carian sijil kematian pasti diperolehi. Bagaimana pun bagi si mati yang mempunyai nombor kad pengenalan ‘kertas’ seperti TR 342045 tidak dapat disemak oleh JPN kerana tiada data dimasukkan.

Masalah timbul sekiranya cabutan sijil kematian tidak diperolehi setelah carian dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara.




PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BILANGAN 26/2009

Bagi membantu pegawai Pembahagian Pusaka mengendalikan isu pembuktian kematian si mati bagi maksud memohon pembahagian harta pusaka, Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan telah mengeluarkan pekeliling bertarikh 31 Disember 2009 sebagai panduan, antaranya:


BUKTI KEMATIAN YANG SAH

Pekeliling ini dikeluarkan untuk menasihatkan Pentadbir Tanah berkenaan dengan bukti kematian yang sah semasa menguruskan pembahagian pusaka kecil.

2.         Kematian si mati boleh dibuktikan dengan mengemukakan salah satu daripada berikut mengikut keutamaan:-

i)             a)         Sijil kematian yang asal
b)         ………………………………….

ii)            Salinan rasmi Sijil Kematian yang asal
iii)           Permit menguburkan yang asal

  1. Jika dokumen-dokumen di perenggan 2(i), (ii) dan (iii) tidak dapat diperoleh tetapi kematian tersebut boleh dibuktikan dengan kenyataan saksi, kenyataan berkenaan bolehlah dibuat melalui affidavit yang difailkan oleh dua orang saksi bebas (iaitu mereka yang tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap harta pusaka si mati) menyatakan bahawa mereka telah melihat mayat si mati dan menghadiri upacara pengebumiannya. Selain itu, tidak menjadi halangan bagi dua orang saksi bebas berkenaan member keterangan secara lisan kepada Pentadbir Tanah semasa perbicaraan dan keterangan tersebut apabila direkodkan akan diterima sebagai bukti kematian.

  1. Sekiranya bukti-bukti yang dinyatakan di perenggan 2 dan 3 tidak dapat dinyatakan, maka pembuktian kematian hendaklah melalui Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan seksyen 108 Akta Keterangan 1956.

  1. Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan Bilangan 29/1977 dengan ini dibatalkan.


ULASAN:

Bukti kematian yang lazim ialah Sijil Kematian dan diikuti oleh Permit Pengebumian.

Perenggan 3 menyebut, sekiranya gagal memperolehi Sijil Kematian, (tidak dapat dikesan setelah carian dibuat di JPN) maka bolehlah dibuat melalui affidavit yang difailkan oleh dua orang saksi bebas. Dalam konteks pusaka kecil kenyataan saksi dibuat melalui Surat Akuan Bersumpah.

Antara kelayakan saksi  untuk menandatangani  surat akuan bersumpah ialah:

1.      Saksi melihat mayat / jenazah si mati, dan /atau telah menghadiri upacara pengebumian
2.            Saksi berumur lebih 18 tahun pada masa menyaksikan kematian tersebut.

Surat Akuan Sumpah telah diamalkan sejak sekian lama dan setakat ini tidak menampakkan apa-apa masalah berbangkit disebabkan oleh surat akuan sumpah itu. Bahkan sangat memberi kemudahan kepada para waris untuk menyelesaikan tuntutan harta pusaka.

Surat akuan bersumpah adalah penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan permasalahan pertama iaitu bagi seseorang yang telah mati tetapi tidak dapat dibuktikan dengan mengemukakan sijil kematian dan ini bertepatan dengan perenggan 3 Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan di atas.

3.1.2.    MASALAH 2 -  Kematian Sudah Terlalu Lama

Masih terdapat harta pusaka seseorang yang telah meninggal dunia pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1940’an dan sebelumnya yang masih belum diselesaikan.

Bagi kematian yang begitu lama, kemungkinan memperolehi cabutan sijil kematian amat tipis lebih-lebih lagi kematian berlaku di zaman darurat pada tahun 1948, atau pada zaman pendudukan  Jepun dan sebelum merdeka.

Masalah timbul ketika tidak ada lagi saksi yang menyaksikan kematian itu kerana semua mereka telah meninggal dunia, atau ketika berlaku kematian, saksi masih kecil iaitu masih belum mencapai umur dewasa. Misalnya sekiranya kematian berlaku pada tahun 1940, saksi kematian semua telah meninggal dunia pada masa ini dan saksi yang masih hidup berumur 10 tahun pada masa kematian berlaku. Soalnya siapakah yang layak membuat surat akuan bersumpah atau bolehkah saksi yang tidak cukup umur ketika berlaku kematian membuat surat akuan bersumpah? Bolehkah generasi kedua yang hanya mendengar khabar berita kematian daripada orang tua mereka membuat surat akuan bersumpah?
                                     
          Masalah ini masih belum lagi dibincangkan di mana-mana peringkat oleh mana-mana pihak. Suatu ketetapan perlu diputuskan sama ada melalui peruntukan undang-undang atau peringkat pentadbiran iaitu melalui pekeliling. Ketetapan ini perlu diselaraskan oleh empat agensi yang terlibat dalam urusan harta pusaka iaitu Amanah Raya Berhad, Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah.



3.2. MATI HUKMI

3.2.1.  Mahkamah keluarkan perintah mengesahkan seseorang itu mati dan bukannya menganggap seseorang yang hilang itu telah mati.

Bagi seseorang yang ‘hilang’ dalam sesuatu bencana dan jenazahnya tidak dijumpai, surat mati tidak akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerana kematiannya tidak dapat dibuktikan dengan nyata. Demikian juga seseorang yang menghilangkan diri entah ke mana tanpa khabar berita dan tidak diketahui sama ada dia masih hidup atau telah mati.

Bagaimana pun terdapat perintah yang mana seakan-akan mengesahkan kematian dan bukannya perintah Anggapan Kematian seperti mana dikehendakki oleh seksyen 108.

Izinkan saya bincangkan tiga perintah yang pernah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di bawah peruntukan seksyen 108 Akta Keterangan, 1950 dan satu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Kes 1

PERINTAH

ADALAH DIPERINTAHKAN bahawa MUDA BIN MAT ZAIN (K/P No. 3187045) yang beralamat di no. 2721, Kg. Banggol, Kemang Serada, 20050 Kuala Terengganu, Terengganu yang tidak diketahui berita tentangnya atau dilihat untuk selama tujuh (7) yahun yang lampau, dianggap telah meninggal dunia pada atau semenjak tahun 1983 di Makkah bertujuan untuk memohon Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka.

Bertarikh pada 7hb. Februari 1991[3]


Kes 2

PERINTAH

MAKA ADALAH DENGAN INI DIPERINTAHKAN bahawa Shaikh Mohamed bin Said, dianggap telah mati pada 16hb. November, 1998

            Bertarikh pada 29 haribulan Julai, 1998[4]


Kes 3

PERINTAH

ATAS PERMOHONAN Pemohon melalui Notis Usul Pemula (Kandungan No. 2) dan disokong oleh Afidavit Dahlan bin Jalil yang diikrarkan pada 23hb. September, 2005 dengan kehadiran Cik Misliyah binti Hj. Mahfuz, Peguamcara Pemohon dan setelah mendengar hujah peguam tersebut maka ADALAH DENGAN INI DIPERINTAHKAN
Bahawa:-

  1. MAIDAH BT HAJI ABDUL RAHMAN iaitu ibu kandung kepada pemohon adalah diandaikan mati pada tahun 1954.[5]

2.   Kos permohonan ini adalah kos di dalam kausa.

Bertarikh pada 4hb. April, 2006.


Kes 4

KEPUTUSAN PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN PERINTAH ANGGAPAN KEMATIAN (SECARA EX-PARTE)

Setelah mahkamah mendengar permohonan dan affidavit secara bertulis Peguam Syarie Pemohon-pemohon dan saksi-saksi dalam permohonan untuk mendapatkan perintah Anggapan Kematian (secara Ex-Parte) Maka Mahkamah telah membuat keputusan seperti berikut:

Permohonan Pemohon-Pemohon untuk mendapatkan perintah Anggapan Kematian dalam permohonan ini telah diluluskan oleh mahkamah yang mulia ini dan mengesahkan bahawa Mat Hasan bin Sulong telah meninggal dunia pada tahun 1930 bertempat di Kampung Selising, 16800 Pasir Puteh, Kelantan kerana mengalami sakit hidung.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada Seksyen 54 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan No. 6 tahun 2002.[6]


Ulasan:

Dengan hormat, saya berpendapat, perintah ini tidak bertepatan dengan kehendak seksyen 108, Akta Keterangan, 1950.  Perintah di atas adalah mengesahkan kematian dan bukannya anggapan kematian sebagaimana dimaksudkan oleh seksyen 108 Akta Keterangan 1950. Demikian juga bagi seksyen 54 Enakmen Undang-Undang Kelurga Islam Negeri Kelantan.

Hujahan:

Pertama:        Keempat-empat kes ini melibatkan kematian hakiki. Iaitu  kematian mereka diketahui dan dipastikan. Mereka sebenarnya tidak hilang. Cuma waris-waris tidak dapat mengemukakan bukti kematian melalui Sijil Kematian. Misalnya bagi kes 1, kematian berlaku di Mekah dan sijil kematian tidak dapat dikemukakan.  

Kedua:           Tarikh kematian bagi Perintah Anggapan Kematian ialah pada tarikh perintah dikeluarkan seperti mana contoh perintah yang dikeluarkan bagi kematian Awang Jambol bin Hj. Awing tersebut di atas. Tarikh kematian yang disebutkan di dalam perintah adalah tarikh kematian sebenar atau dianggarkan mati pada tahun itu. Ini bermakna perintah dibuat bagi kematian hakiki dan bukannya perintah bagi seseorang yang hilang.

Hujah saya disokong oleh kes Ex parte Ramlah @ Ras bt Abdullah, Dalam Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, Originating Motion No. 25-16-1998. Dalam kes ini pemohon telah meminta kepada mahkamah supaya mengeluarkan satu Perintah Anggapan Kematian bagi suaminya Sulong bin Mohd yang telah meninggal dunia di Mekah pada tarikh 18 Jun 1990 kerana sijil kematian tidak dapat diperolehi / dikemukakan bagi maksud membuat permohonan pembahagian harta pusaka suaminya di bawah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

Dalam kes ini, hakim ketika itu Y.A. Abdul Kadir Sulaiman, telah menolak kes ini dengan alasan tidak menepati kehendak seksyen 108 Akta Keterangan.

“It would be wrong for the court to grant on the application made by the applicant. The provisions in s 108 of the Act is a rule of evidence affecting the burden of proof in any proceedings before a court of law. However, in the present application, there was no issue in dispute requiring the court to decide on the issue of whether Sulong was alive or dead.

Since the purpose of the application was to enable the application to obtain letters of administration over the estate of Sulong, the issue is relevant only before the Collector in the administration proceedings to determine whether Sulong is dead or alive. It is of relevance and not before this court by way of this application”

Application dismissed.[7]



3.2.2.  Perintah mengisytiharkan mati seseorang yang hilang tetapi tidak di bawah seksyen 108 Akta Keterngan, 1950.

Saya tertarik dengan satu perintah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Ipoh  iaitu perintah mengisytiharkan seseorang yang hilang itu telah mati walaupun tempoh masa hilangnya tidak sampai 7 tahun. Perintah yang dibuat adalah mengikut aturan 7 kaedah 2 dan aturan 92 kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi, 1980.

Perintah yang dikeluarkan adalah seperti berikut:

ATAS PERMOHONAN pihak Pemohon yang tersebut di atas DAN SETELAH MEMBACA Saman Pemula Ex-Parte bertarikh 1 haribulan Oktober, 2003 (Lampiran 1), Affidavit Norliza Binti Md Ali yang diikrarkan pada 25 haribulan September, 2003 (Lampiran 2), Affidavit Lanjutan Jaafar bin Sudin yang diikrarkan pada 22 haribulan April, 2004 (Lampiran 6) dan Affidavit Lanjutan (II) Norliza Binti Md Ali yang diikrarkan pada 22 haribulan April, 2004 (Lampiran 7) DAN SETELAH MENDENGAR Encik Jadadish Chandra bagi pihak Pemohon ADALAH DIPERINTAHKAN bahawa Idris bin Ahmad (No. K/P: 630330-08-5833) yang telah hilang di perairan Pulau Sembilan semasa menyertai Program Pembersihan Pantai Pulau Sembilan pada 15 haribulan Mei, 2000 dan gagal ditemui sehingga kini diisytiharkan sebagai telah lemas di lautan tersebut dan meninggal dunia pada 15 haribulan Mei, 2000 dalam kejadian tersebut dan AKHIRNYA DIPERINTAHKAN bahawa tiada perintah berkenaan kos bagi permohonan ini.

Bertarikh pada 2 hb Ogos, 2004

                                                                       ____________t.t___________
Penolong Kanan Pendaftar,
                                                                                     Mahkamah Tinggi, Ipoh



4.     PANDANGAN:

  1. Bukti kematian yang lazim ialah Sijil Kematian. Sekirnya sijil kematian asal telah didapati hilang, waris-waris bolehlah memohon cabutan sijil kematian di Pejabat Pendaftaran Negara yang berhampiran.

  1. Sekiranya sijil kematian gagal diperolehi, pemohon bolehlah mengemukakan surat akuan bersumpah yang diikrarkan oleh dua orang saksi yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam harta pusaka itu dengan syarat saksi menyaksikan kematian itu dan berumur dewasa ketika itu.

Oleh kerana setiap kematian sepatutnya,  bahkan semestinya ada didaftarkan di JPN, cuma tidak dapat dijumpai kerana terlupa tarikh sebenar kematian, berlaku kesilapan teknikel dan sebagainya, maka perlu ada syarat-syarat tambahan bagi mengawal surat sumpah ini supaya tidak dibuat sewenang-wenangnya.

  1. Bagi kematian hakiki yang terlalu lama di mana tiada lagi saksi yang masih hidup, perlu ada satu penyelesaian. Mungkin melalui peruntukan undang-undang atau melalui pentadbiran seperti mengeluarkan satu pekeliling.

  1. Perintah anggapan Kematian hanya diperlukan ketika mana seseorang itu telah didapati hilang dan tidak diketahui nasibnya sama ada hidup atau telah mati.



KESIMPULAN:

  1. Bukti kematian adalah satu isu yang nyata kerana dikebelakangan ini terdapat sungutan daripada pihak waris-waris yang merasakan satu kesukaran dan kekeliruan di mana satu pihak meminta supaya mendapatkan Perintah Anggapan Kematian daripada Mahkamah Tinggi bagi kes gagal mengemukakan sijil kematian dan di satu pihak lagi enggan mengeluarkan Perintah Anggapan Kematian atas alasan tidak menepati kehendak seksyen 108, Akta Keterangan.

  1.  Semoga artikel ini boleh membantu pihak-pihak dalam memberikan keselesaan kepada masyarakat di samping mengambil tindakan bertepatan dengan kehendak undang-undang.

  1. Ini hanyalah satu pandangan dan pohon maaf sekiranya pandangan ini tidak menepati…



SEKIAN.

DISEDIAKAN OLEH:
WAN ABDUL HALIM BIN W HARUN.
PERUNDING HARTA PUSAKA.
23HB. NOVEMBER 2014.

           



[1] Wan Abdul Halim bin Wan harun, Pengurusan Dan Pembahagian Harta Pusaka, 2006, Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm. 31.
[2] Lihat Saman Pemula no: 25-02-10 / TAHUN 2013. Perintah bertarikh 4 Disember 2013.
[3] Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (Bahagian Sivil), Usul Pemula No. S5-25-37-1990.
[4] Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Terengganu, Usul Pemula No. 25-11-1998.
[5] Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Muar, Dalam Negeri Johor, Malaysia, Usul Pemula No. 25-47 Tahun 2005.
[6] Dalam Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Negeri Kelantan. Kes Mal no. 03100-015-1835-2011
[7] All Malaysia Reports 1999,  hal: 4273 – 4276.

0 comments:

Post a Comment