Thursday, 5 February 2015

ANGGAPAN KEMATIAN

Surat dari pembaca.

Assalamualaikum Tuan Haji,

Nenek saya telah meninggal dunia sekitar tahun enam puluhan. Nenek mempunyai sekeping tanah kosong yang sejak dahulu tidak diusahakan oleh waris-waris nenek.
Nenek meninggalkan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Kesemua mereka telah meninggal dunia dan mati kemudian daripada nenek. Masing-masing ada meninggalkan anak. Mereka semua cucu-cucu nenek dan termasuklah saya.

Atas kesedaran bahawa harta pusaka wajib diselesaikan bagi menentukan hak waris-waris dan supaya tanah itu tidak sia-sia dan boleh dimajukan atau dijual, saya mengambil inisiatif untuk menyelesaikan tanah pusaka nenek saya itu setelah mendapat persetujuan daripada sebahagian besar waris yang lain.

Saya ke pejabat pembahagian pusaka kecil dan bertanyakan cara membuat permohonan dan dokumen yang perlu dikembarkan bersama.

Saya diberikan Borang A (Borang permohonan) untuk diisi. Permohonan hendaklah disertakan dengan bukti kematian, salinan potostat kad pengenalan semua waris dan carian rasmi  hakmilik dan potostat geran tanah.

Masalah saya ialah bukti kematian. Oleh kerana tidak ada sijil kematian walaupun saya telah cuba mencarinya di Jabatan Pendaftaran Negara, bagi kematian tahun 1961 hingga 1965, saya dinasihatkan supaya mendapatkan Perintah Anggapan Kematian daripada Mahkamah Tinggi.

Saya rasa amat menyusahkan dan saya rasa tidak lagi berminat untuk menyelesaikan kes pusaka nenek saya. Pohon pandangan tuan.

Wan  Ali.

JAWAPAN

Waalaikumussalam

Saya telah menerima beberapa aduan dan sungutan daripada beberapa orang waris yang melahirkan rasa dukacita kerana kesukaran untuk mengemukakan bukti kematian bagi seseorang yang telah mati dan tidak dapat dibuktikan dengan sijil kematian.

Mengikut prosedur atau peraturan yang diamalkan sejak dahulu, bagi kematian yang tidak  dapat dibuktikan dengan sijil kematian, waris-waris bolehlah mengemukakan surat akuan bersumpah yang dibuat oleh dua orang saksi yang mengesahkan bahawa si mati itu telah mati, beliau ada menziarahinya atau menyaksikan kematiannya. Peraturan ini didasarkan kepada  pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan bilangan 29/1977 dan 26/2009 yang antara lain menyebutkan:

BUKTI KEMATIAN YANG SAH

Pekeliling ini dikeluarkan untuk menasihatkan Pentadbir Tanah berkenaan dengan bukti kematian yang sah semasa menguruskan pembahagian pusaka kecil.

2.         Kematian si mati boleh dibuktikan dengan mengemukakan salah satu daripada berikut mengikut keutamaan:-

i)              a)         Sijil kematian yang asal
b)         ………………………………….

ii)             Salinan rasmi Sijil Kematian yang asal
iii)            Permit menguburkan yang asal

3      Jika dokumen-dokumen di perenggan 2(i), (ii) dan (iii) tidak dapat diperoleh tetapi kematian tersebut boleh dibuktikan dengan kenyataan saksi, kenyataan berkenaan bolehlah dibuat melalui affidavit yang difailkan oleh dua orang saksi bebas (iaitu mereka yang tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap harta pusaka si mati) menyatakan bahawa mereka telah melihat mayat si mati dan menghadiri upacara pengebumiannya. Selain itu, tidak menjadi halangan bagi dua orang saksi bebas berkenaan member keterangan secara lisan kepada Pentadbir Tanah semasa perbicaraan dan keterangan tersebut apabila direkodkan akan diterima sebagai bukti kematian.

4      Sekiranya bukti-bukti yang dinyatakan di perenggan 2 dan 3 tidak dapat dinyatakan, maka pembuktian kematian hendaklah melalui Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan seksyen 108 Akta Keterangan 1956.

5      Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan Bilangan 29/1977 dengan ini dibatalkan.

Perenggan 3 dengan jelas membolehkan waris-waris membuktikan kematian dengan dua orang saksi membuat surat akuan bersumpah.

Ada pun Perintah Anggapan Kematian ianya adalah bagi seseorang yang hilang dan tidak diketahui sama ada masih hidup atau telah mati. Setelah berlalu masa hilangnya tujuh tahun atau lebih, maka bolehlah mahkamah mengeluarkan perintah menganggap seseorang itu mati setelah dipohon oleh waris-waris. Ini diperuntukkan di bawah seksyen 108 Akta Keterangan 1950.

Saya berpendapat adalah kurang tepat sekiranya bagi seseorang yang telah meninggal dunia tetapi tidak dapat mengemukakan sijil kematian diminta supaya mengemukakan Perintah Anggapan Kematian.

Mahkamah mungkin boleh mengeluarkan Peritah Mengesahkan Kematian tetapi di bawah peuntukan mana? Mungkin boleh diwujudkan satu sekyen yang membolehkan mahkamah mengeluarkan peritah sedemikian dan ini perlu bagi menyelesaikan isu kematian tahun empat puluhan dan sebelumnya di mana tidak ada lagi saksi yang masih hidup untuk diambil keterangan.

Moga segala urusan penyelesaian harta pusaka dapat dipermudahkan.

Terima kasih.

PERUNDING W HALIM.
06 FEBRUARI 2015



0 comments:

Post a Comment