Wednesday, 14 November 2018


DARI FAIL PUSAKA  # 1

MAK CIK KE PAK CIK NI?

Satu ketika dahulu, perbicaraan harta pusaka dihadapan saya selaku Pegawai Pembahagian harta pusaka.
Siasatan waris dijalankan, ternyata si mati tidak meninggalkan keturunan ke atas; ibu bapa, datuk dan nenek. Si mati berkawin satu kali sahaja dan meninggalkan suami. Kasim bin Osman. Bercerai mati.

 Siapakah si mati?. Tentunya seorang wanita. Tidak meninggalkan anak atau zuriat.
Si mati mempunyai seorang abang seibu sebapa, namanya Omar. Omar mati dahulu dan meninggalkan tiga orang anak. Semua perempuan. Munah, Bunga dan Hitam.

Soalan; siapakah waris yang berhak?. Sudah tentu suami mendapat 1/2 bahagian kerana si mati tidak meninggalkan anak. Baki lagi 1/2 bahagian sepatutnya dapat kepada Omar. Tetapi Omar mati dahulu. Siasatan waris seterusnya kepada anak saudara si mati. Iaitu anak-anak kepada Omar. Mengikut hukum Faraid, hanya anak saudara lelaki sahaja yang berhak. Bermakna anak Omar yang lelaki sahaja yang berhak. Yang perempuan tidak berhak mewarisi.

Maka bermulalah dialog antara saya dengan anak-anak Omar:
Pegawai: Makcik (mereka semua berumur 60’an. Saya umur 35 tahun). Mintak maaf. Pusaka ni dapat kepada suami si mati 1/2 bahagian. Tapi bagi makcik semua tak dapat sebab perempuan. Kalau lelaki, dapat.
Munah: (Duduk di barisan kedua). Encik, Hitam tu lelaki!. (Sambil menuding jari ke arah Hitam yang duduk di kerusi hadapan).
Pegawai: Makcik, ini pejabat. Kita tak boleh bergurau.
Munah: Saya betul betul ni. Kalau tak percaya, Encik tanya Hitam.
Pegawai: Makcik Hitam, makcik ni lelaki ke perempuan?. (Kad pengenalan Hitam tercatat nama HITAM BINTI OMAR, jantina perempuan. Hitam datang ke pejabat sebagai seorang perempuan. Memakai baju kebaya. Memakai subang, rantai dan gelang. Penampilannya sebagai seorang perempuan).
Hitam: (Diam tak jawab. Selepas ditanya kali ke tiga, Hitam menjawab nada perlahan). Ikutlah lelaki ke perempuan ke. Boleh je.
Pegawai: Makcik Munah. Betul ke ni?
Munah: Hitam tu adik saya. Yang saya tahu, masa kecil dulu dia lelaki. Tak tahu pulak macam mana jadi macam ni. Tak apalah kalau Encik tak percaya, boleh “check” sendiri. Bilik air dekat tu je. (Sambil menunjuk ke arah bilik air berhampiran).
Pegawai: (Fikir sejenak; mana boleh “check” orang punya. Tak ada autoriti).
Hitam: (Diam je. Umur 60 tahun).
Pegawai: Ok. Begini lah. Kita tangguh dulu. Saya akan buat surat minta supaya Makcik Hitam dapatkan pengesahan doktor sama ada lelaki atau perempuan.

Kes di tangguh.

Dua minggu selepas itu, waris waris datang seperti diarahkan. Perbicaraan disambung semula.

Pegawai: Makcik Munah, ada buat pemeriksaan doktor?.
Munah: Ada Encik. Ini surat daripada doktor.

Kandungan surat:

Tuan,
Perkara: PENGESAHAN JANTINA HITAM BINTI OMAR. KAD PENGENALAN NO:  000000
I have examined this patient on 19.08.1990. He has a penis and two testes. He is biologically a male.
Thank you
Yours faith fully
Dr N Odhaya Kumar
Pegawai Perubatan Kanan
Hospital Besar
KUALA TERENGGANU.

Pegawai: Makcik Munah. Macam mana boleh jadi begini.
Munah: Adik saya ni. Memang dia lelaki. Masa kecil dulu, umur 12 tahun dia pergi ke Johor sebagai seorang lelaki. Baru dua bulan lepas, dia balik ke kampung. Kami tak tahu apa ceritanya. Dia balik sebagai perempuan.  Nasib baik dah jumpa doctor.
Hitam:  (Diam je)
Pegawai: Makcik, lepas ni saya tak panggil makcik lagi, saya panggil “pakcik”. Kena pakai seluar. Macam orang lelaki.
Hitam: (Suara lembut). Saya tak biasa!!! (Kami semua gelak. Kah kah kah).

Diputuskan harta pusaka ini diwarisi oleh:

1.       Kasim bin Osman             1/2 bahagian. (suami)
2.       Hitam binti Omar              1/2 bahagian. (anak saudara lelaki)

KES SELESAI.

0 comments:

Post a Comment