Wednesday 18 September 2019


DARI FAIL PUSAKA # 9

Alahai, bapa tiriku.

Fakta kes:

Azizah pada mulanya berkahwin dengan Said dan dikurniakan seramai 3 orang anak. Semua lelaki. Banyak makan daging agaknya. Said meninggal dunia.
Enam bulan sesudah harta pusaka Said difaraidkan,  Azizah telah berkahwin pula dengan Pak Soh (Jusoh) seorang peniaga di pasar. Malangnya selepas dua minggu berkahwin, Azizah tiba tiba sakit dada dan meninggal dunia.
Anak sulung kepada Azizah, Mokhtar telah membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka ibunya Azizah tanpa memasukkan nama bapa tirinya, Jusoh.

Pegawai: “Encik Mokhtar, si mati berkahwin berapa kali?”
Mokhtar : “Dua kali Tuan, mula ibu saya kahwin dengan ayah saya, Said bin Osman. Ayah mati dulu tahun 2000. Kemudian ibu kahwin pula dengan Jusoh. Dua minggu selepas kahwin ibu meninggal dunia”.
Pegawai: “Mengapa tak masukkan nama Jusoh, bapa tiri, dalam borang permohonan?”
Mokhtar: “Dia tak mahu bagi salinan kad pengenalan, Tuan. Katanya jangan menyusahkan dia. Dia tak ada kena mengena dengan pusaka ni kerana harta pusaka ni bukan harta sepencarian dengannya. Dia kata, ini asalnya harta Said, ayah saya.

Kes ditangguh. Mokhtar diminta membawa bapa tirinya ke pejabat.

Pada hari ditetapkan, Jusoh hadir bersama 3 anak tirinya.
Dalam bilik perbicaraan, Jusoh berdiri dengan bercekak pinggang. Marah.

Jusoh: (Nada tinggi)“ Encik, mengapa panggil saya ke pejabat?. Saya tak ada kena mengena dengan pusaka ni. Hari ni saya rugi RM50 kerana tak berniaga”. (Jusoh nampak tak puas hati).
Pegawai: “Pak Soh, bertenang, duduk dulu”.
Jusoh:  (Pak Soh duduk).
Pegawai: “Pak Soh, Azizah tu siapa?.”
Jusoh: “Isteri saya. Baru kahwin dua minggu, dia meninggal. Harta ni tak ada kena mengena dengan saya. Ini harta dia dengan suami dia yang dahulu. Mengapa panggil saya ke pejabat?”.
Pegawai: “Pak Soh, bila seorang tu kahwin walaupun satu hari, dan isterinya meninggal, suami dapat bahagian ‘kepala mayat’ (istilah orang Terengganu). Tak kira harta tu daripada mana asalnya. Sebab tu kita panggil Pak Soh mari pejabat”.
Jusoh: (Terkejut, macam tak percaya je) “Jadi saya dapatlah pusaka ni Encik?”.
Pegawai: “Ya, Pak Soh”.
Jusoh: “Kalau dapat, berapa banyak bahagian saya?”.
Pegawai: “1/4”.
Jusoh: (Terkejut) “Owh! Banyaknya. Nasib baik panggil saya mari  pejabat”.

Kami semua gelak, kah kah kah.
Sebelum balik, 4 kali Jusoh bersalaman dengan pegawai sambil tak berhenti mengucapkan terima kasih kerana panggil dia datang ke pejabat.
Azizah meninggalkan 2 ekar tanah. Semestinya bahagian Jusoh sebanyak 1/2 ekar.

KES SELESAI.

0 comments:

Post a Comment