Thursday, 12 January 2012

SOALAN-SOALAN FARAID DARI PUSAT PENERANGAN ISLAM SARAWAK


S1: Apakah FARAID?
J1: FARAID ialah satu ilmu berkaitan sistem pembahagian harta pusaka bagi orang Islam. Ia mengandungi hukum pewarisan, formula  pembahagian dan kaedah  pengiraan  yang akan menentukan siapakah dalam kalangan keluarga yang ditinggalkan oleh si mati yang berhak mewarisi harta pusaka dan menentukan kadar bahagian yang akan diwarisi oleh setiap orang waris.

Contohnya: Ahmad meninggal dunia dan meninggalkan ibu, seorang isteri, dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan tiga orang saudara lelaki seibu sebapa (adik beradik Ahmad).

Hukum faraid menjelaskan bahawa harta pusaka  Ahmad akan diwarisi oleh ibu, isteri dan anak-anak, manakala adik beradik tidak berhak. Mengikut kaedah  hukum faraid, adik beradik tidak mewarisi kerana mereka terdinding oleh anak lelaki.


Sekadar gambar hiasan

Seterusnya ilmu faraid menjelaskan pula bahagian yang akan diwarisi oleh setiap orang waris berdasarkan formula yang telah ditetapkan iaitu ibu mendapat 1/6 bahagian, isteri mendapat 1/8 bahagian dan anak-anak mendapat baki (asabah) dengan kadar bahagian lelaki 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian.

Untuk mengetahui bahagian bagi setiap orang waris, kaedah pengiraan faraid ditunjukkan seperti di bawah:

 

 

24

120

Ibu

1/6

4

20

Isteri

1/8

3

15

Anak lelaki

Asabah

 

34

Anak lelaki

Asabah

17

34

Anak perempuan

Asabah

 

17


Setelah pengiraan, bahagian setiap orang waris dapat diketahui iaitu ibu mendapat 20/120 bahagian, isteri 15/120 bahagian, anak lelaki 34/120 bahagian dan anak perempuan 17/120 bahagian.

S2: Bolehkah diberikan sedikit penjelasan tentang hibah, wasiat dan harta pusaka?

J2:  Hibah ialah pemberian semasa hidup. Iaitu seseorang melepuskan hak atau sesuatu harta kepada orang atau pihak lain semasa hayatnya  dan kuatkuasa pemberian itu setelah penerima menerima harta yang diberikan itu.

Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau bukan waris dan tidak dihadkan kadar pemberian itu sama ada sebahagian atau kesemuanya.

Contohnya: Ahmad memberikan sebuah kereta kepada anaknya yang bernama Kasim. Kasim menerima kereta itu daripada bapanya dan kereta itu bertukar menjadi menjadi hak milik Kasim. Ini bermakna Ahmad telah menghibahkan keretanya kepada Kasim. Pemberian ini berkuatkuasa semasa Ahmad masih hidup.

Wasiat ialah pemberian setelah kematian. Iaitu seseorang berhasrat untuk memberikan sesuatu harta kepada orang atau pihak lain dan kuatkuasa pemberian itu setelah beliau (tuan punya harta) meninggal dunia.

Contohnya: Ahmad berwasiat untuk memberikan kereta miliknya kepada anak angkatnya. Pemberian ini akan hanya berkuatkuasa setelah Ahmad meninggal dunia. Selagi Ahmad masih hidup, kereta yang diwasiatkan itu masih kepunyaan Ahmad.
Wasiat mempunyai syarat-syarat tertentu antaranya:
1.Penerima wasiat tidak terdiri daripada kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka, seperti ibu, isteri dan anak kandung.
2.Harta yang diwasiatkan itu tidak  melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta hartanya setelah ditolak belanja kematian dn hutang jika ada..

Harta pusaka ialah harta yang ditinggalkan oleh seseorang yang telah meninggal dunia. Harta itu milik si mati semasa hayatnya dan tidak dihibahkan kepada sesiapa dan tidak pula diwasiatkan. Harta itu akan diwarisi oleh waris-waris yang telah ditentukan mengikut hukum faraid sebagaimana contoh dalam jawapan soalan 1 di atas.

S3: Adakah wajib kita umat Islam untuk ikut hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka walaupun tiada perselisihan antara waris?

J3: Dalam pembahagian harta pusaka, setiap umat Islam wajib mengikut hukum faraid. Namun mereka boleh untuk memilih cara pembahagian setelah mengadakan perbincangan atau bersetuju dengan rela hati tanpa dipaksa atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Maksudnya untuk menentukan siapakah dalam kalangan waris yang berhak mewarisi harta pusaka mestilah mengikut kaedah yang digariskan oleh hukum faraid. Sekiranya waris yang berhak itu tidak diberikan haknya, bermakna tidak mengikut hukum faraid dan hukumnya haram dan berdosa.

Contohnya si mati meninggalkan dua orang isteri dan lima orang anak. Sekiranya isteri kedua tidak disenaraikan sebagai waris yang berhak, bermakna pembahagian dilakukan tidak mengikut hukum faraid.

Demikian juga dalam penentuan bahagian yang akan diwarisi oleh seseorang waris mestilah mengikut kaedah hukum faraid. Sekiranya tidak mengikut kadar yang telah ditetapkan bermakna seseorang itu tidak mengikut hukum faraid dan hukumnya berdosa.

Contohnya: bahagian isteri telah ditetapkan sebanyak ¼ bahagian ketika si mati tidak meninggalkan anak. Sekiranya diberikan kepada isteri itu hanya 1/8 sahaja, bermakna tidak mengikut hukum faraid. Sesiapa yang memakan harta bahagian isteri itu hukumnya haram dan berdosa.

Tetapi sekiranya waris yang berhak mengikut kaedah hukum faraid tidak ditinggalkan dan mereka pula mengetahui bahagian masing-masing, mereka dibolehkan untuk membahagikan harta pusaka itu mengikut persetujuan secara sukarela seperti pembahagian sama banyak , muafakat, penyerahan hak tanpa bayaran atau dengan bayaran dan sebagainya. Pembahagian seperti ini mengikut kaedah ‘Takharuj’ dan tidak bertentangan dengan hukum faraid.

S4: Bolehkah anak luar nikah mewarisi harta bapanya?

J4:  Anak luar nikah tidak boleh mewarisi harta pusaka bapanya. Ini kerana anak itu bukan anak yang sah mengikut hukum syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa itu. Jelasnya, anak luar nikah bukan ‘keturunan hakiki’ atau ‘darah daging’  kepada bapa itu. Oleh itu mereka tidak saling mewarisi. Bagaimana pun anak itu boleh mewarisi harta ibu yang melahirkannya.

S5: Bagaimanakah pembahagian harta mengikut hukum Faraid, sekiranya si mati yang meninggalkan adalah ibu tunggal dan mempunyai kesemua anak perempuan?

J5: Hukum faraid telah menetapkan bahagian anak perempuan kalau seorang mendapat 1/2 bahagian dan sekiranya lebih daripada seorang mendapat 2/3 bahagian daripada harta pusaka ibunya yang meninggal dunia. Baki 1/2 atau 1/3 bahagian lagi akan diwarisi oleh waris-waris yang lebih jauh sekiranya mereka ada mengikut turutan. Waris yang lebih dekat mendindingkan waris yang lebih jauh. Mereka ialah, adik beradik si mati, anak saudara, bapa saudara, sepupu, datuk saudara dan seterusnya keturunan mereka. Sekiranya semua mereka tidak ada, baki1/3 bahagian itu diserahkan kepada Baitulmal.

S6: Bolehkah seseorang mewasiatkan harta kepada anak angkatnya?

J6: Seseorang itu boleh mewasiatkan harta kepada anak angkatnya bahkan mewasiatkan harta kepada anak angkat amat digalakkan. Ini kerana anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya mengikut hukum faraid kerana anak angkat bukan keturunan hakiki atau darah daging kepada si mati.

Sekiranya ibu bapa angkat tidak meninggalkan wasiat harta kepada anak angkatnya, dan tidak pula menghibahkan sebahagian daripada hartanya kepada anak angkat itu semasa hayatnya, maka malanglah  nasib anak angkat itu kerana tidak mendapat apa-apa daripada harta pusaka ibu bapa angkatnya.


Sekadar gambar hiasan

S7: Apakah hukum seseorang itu apabila warisnya meninggal dunia meninggalkan harta yang banyak tetapi tidak disempurnakan harta itu mengikut kaedah syarak?

J7: Apabila seseorang itu meninggal dunia, secara automatik harta yang ditinggalkannya menjadi harta pusaka iaitu menjadi hakmilik waris-waris. Tidak kira sama ada harta itu sedikit atau pun banyak. Siapakah yang berhak mewarisi dan bahagian setiap orang waris itu telah ditentukan mengikut kaedah hukum faraid.

Adalah berdosa semua waris-waris  yang tidak menyelesaikan harta pusaka sama ada tidak menyelesaikannya dengan membuat pembahagian mengikut hukum faraid atau membuat pembahagian harta pusaka itu tanpa mengikut kaedah hukum faraid.

Contohnya, ada kalangan waris-waris yang sepatutnya berhak menerima pusaka mengikut hukum faraid tetapi ditinggalkan dan tidak diberikan bahagiannya atau membuat pembahagian sesuka hati tanpa berpandukan kepada kaedah hukum faraid.

S8: Mengapa dalam sistem Faraid, lelaki mendapat 2/3 bahagian daripada harta si mati dan perempuan hanya mendapat 1/3?

J8: Di zaman jahiliah, harta pusaka hanya diwarisi oleh kaum lelaki sahaja manakala wanita tidak mendapat apa-apa. Alasannya, hanya kaum lelaki berupaya dan bertanggungjawab menjaga keselamatan keluarga. Kaum wanita tidak mempunyai kekuatan tenaga seperti lelaki, oleh itu mereka dianggap tidak layak mewarisi harta pusaka. Sebaliknya, ada pula adat-adat setempat yang hanya memberikan warisan kepada kaum wanita sahaja dan lelaki tidak diberikan apa-apa daripada harta pusaka ibu atau bapa mereka. Golongan ini pula berpendapat kaum wanita lemah dan tidak berupaya mencari harta sendirian. Oleh itu harta pusaka wajar diwarisi oleh kaum perempuan manakala lelaki mempunyai tenaga dan kekuatan untuk mencari harta sendiri. Oleh itu tidak perlu diberikan harta pusaka kepada mereka.

Islam datang dengan membawa keadilan kepada manusia dalam segala aspek termasuk  pembahagian harta pusaka. Islam mengambil jalan tengah dengan mewariskan kedua-dua golongan iaitu lelaki dan wanita. Islam tidak meminggirkan mana-mana pihak , tetapi Allah telah menetapkan bahagian lelaki sekali ganda bahagian perempuan memandangkan lelaki adalah ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab tertentu, antaranya:
  1. Bertanggungjawab menanggung nafkah keluarga iaitu isteri dan anak-anak
  2. Bertanggungjawab menanggung nafkah ibu bapa yang telah tua dan tidak berkemampuan.
  3. Bertanggungjawab menanggung nafkah adik beradik perempuan yang belum berkahwin dan tiada sumber kewangan sendiri sekiranya bapa tidak ada atau tidak berkemampuan.
  4. Bertanggungjawab menanggung nafkah anak-anak kepada adik beradik lelaki yang telah meninggal dunia (anak saudara) sehingga mereka dewasa dan boleh berdikari.

Dalam Islam, kaum wanita hanya membelanjakan harta untuk keperluan diri sendiri sahaja dan  mereka tidak dibebankan untuk menafkahkan sesiapa pun. Apa yang mereka belanjakan  untuk ibu bapa dan keluarga adalah secara sukarela dan sumbangan mereka itu diberikan ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti.

Seorang wanita yang belum berkahwin dan tidak mempunyai pendapatan sendiri, dia akan dinafkahkan oleh bapanya. Sekiranya bapa meninggal dunia tempat bapa digantikan oleh datuk. Sekiranya kedua-dua mereka sudah tidak ada atau tidak berkemampuan, tanggungjawab itu berpindah kepada  adik beradik lelaki.

Sekiranya wanita itu berkahwin, segala perbelanjaan akan ditanggung oleh suami masing-masing. Maka sewajarnyalah wanita mewarisi setengah daripada bahagian waris lelaki.

S9: Sekiranya seseorang memeluk agama Islam, adakah ahli keluarga beliau yang bukan Islam berhak ke atas harta tersebut?

J9: Berlainan agama merupakan salah satu sebab saling tidak mewarisi antara satu sama lain. Oleh kerana itu seorang yang memeluk agama Islam, apabila meninggal dunia, hartanya tidak boleh diwarisi oleh keluarganya yang bukan Islam.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.aw. yang bermaksud:
“Orang Islam tidak mewarisi harta orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta orang Islam”.


        Sekadar gambar hiasan

S10: Adakah harta sepencarian antara pasangan termasuk dalam harta pusaka yang wajib difaraidkan?

J10: Harta sepencarian tidak termasuk di dalam hukum faraid. Tetapi sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid, bahagian harta sepencarian hendaklah diputuskan terlebih dahulu sekiranya ada tuntutan harta sepencarian oleh pasangan si mati. Selepas tuntutan harta sepencarian diputuskan sama ada oleh mahkamah atau melalui persetujuan waris-waris, baharulah harta pusaka itu difaraidkan.

Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang isteri dan seorang saudara lelaki seibu sebapa. Mengikut hukum faraid, isteri layak mendapat 1/4 bahagian kerana si mati tidak meninggalkan anak, dan bakinya sebanyak 3/4  bahagian diwarisi oleh saudara lelaki seibu sebapa sebagai penerima asabah.

Tiada perbincangan berkaitan harta sepencarian sekiranya isteri si mati tidak membuat tuntutan harta sepencarian. Oleh itu bahagian yang akan diwarisi oleh isteri adalah sebanyak 1/4 bahagian sahaja daripada harta pusaka suaminya.

Sekiranya isteri menuntut bahagian harta sepencarian, harta pusaka tidak boleh dibahagikan selagi tuntutan harta sepencarian itu tidak diputuskan terlebih dahulu. Selepas tuntutan harta sepencarian diputuskan dan diberikan hak sepencarian kepada isteri, maka baharulah bakinya dikira sebagai harta pusaka dan difaraidkan.

Contohnya, si mati meninggalkan harta tanah seluas 2 ekar. Isteri membuat tuntutan harta sepencarian dan mahkamah telah memutuskan 1/2 bahagian iaitu 1 ekar daripada tanah peninggalan suaminya itu sebagai harta sepencarian.  Bakinya 1 ekar tanah kemudiannya difaraidkan dan ternyata bahagian isteri mengikut hukum faraid sebanyak 1/4 bahagian iaitu 0.25 ekar.

Ini bermakna isteri si mati mendapat 1.25 ekar daripada harta peninggalan suaminya. Satu ekar sebagai harta sepencarian dan 0.25 ekar lagi adalah hak isteri mengikut hukum faraid.

Wassalam.

WAN ABDUL HALIM BIN W HARUN
08 JANUARI 2012

Friday, 30 December 2011

HARTA PUSAKA: BOLEHKAH SAYA MENDAPAT LEBIH?


SOALAN:
Saya  Ahmad, anak sulung daripada 5 adik beradik, dua lelaki dan tiga perempuan. Bapa meninggal dunia sebulan lepas dan tidak meninggalkan waris lain selain daripada kami 5 orang anak-anaknya. Ibu kami telah meninggal dunia dua tahun yang lalu.

Dari segi harta, bapa meninggalkan dua bidang tanah pertanian, iaitu kebun getah dan dusun buah-buahan, juga sebuah rumah kediaman.

Soalan saya, bolehkah saya menuntut bahagian yang lebih banyak berbanding adik beradik saya yang lain atas alasan saya anak sulung dan sayalah yang banyak berbakti dan berjasa kepada kedua ibu bapa saya semasa hayat mereka. Apabila mereka meninggal dunia, saya rasa sayalah yang lebih berhak ke atas harta pusaka mereka berbanding adik beradik saya yang lain.

JAWAB:
Soalan En. Ahmad cukup menarik. Sepanjang kerjaya saya sebagai Pegawai Pembahagian Pusaka, saya pernah berjumpa dengan pengalaman begini di mana seorang anak menuntut separuh daripada pokok durian yang terdapat di atas tanah pusaka bapanya supaya diserahkan kepadanya. Alasannya, “sayalah yang menanam pokok-pokok durian itu bersama ayah  20 tahun dahulu, sedangkan adik beradik yang lain tidak membantu kerana mereka masih kecil pada masa itu”. Masyaallah!.

Mengikut kaedah pembahagian harta pusaka, asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid iaitu seperti berikut:

Ahmad
2/7 bahagian
Sabariah
1/7 bahagian
Murni
1/7 bahagian
Kasidah
1/7 bahagian
Kasim
2/7 bahagian

Hukum faraid tidak mengambil kira sama ada Ahmad anak sulung atau anak bongsu. Bahagian Ahmad sebagai anak sulung, sama dengan Kasim sebagai anak bongsu. Masing-masing  mempunyai hak  ke atas ketiga-tiga harta pusaka bapa mereka mengikut kadar bahagian masing-masing iaitu bagi anak lelaki 2/7 bahagian, manakala bagi anak perempuan 1/7 bahagian daripada kesemua harta.

Bagaimana pula bakti dan jasa Ahmad terhadap kedua ibu bapanya semasa hayat mereka?. Tidak bolehkah Ahmad menuntut bahagian yang lebih daripada harta pusaka bapanya?.

Sesungguhnya tidak ada kaedah dalam hukum faraid yang menyatakan bakti dan jasa seorang anak kepada ibu atau bapa mereka boleh digantikan  atau dibalas dengan harta pusaka. Di bawah peruntukan mana bakti dan jasa anak terhadap kedua ibu bapa mereka hendak dikategorikan? Apa yang ada, adalah peruntukan harta sepencarian. Itu pun  dikhaskan bagi pasangan suami isteri sahaja, yang mana satu pihak boleh menuntut bahagian harta sepencarian berdasarkan sumbangan yang diberikan. Tidak ada peruntukan bahagian harta sepencarian antara anak dengan bapa.

Sebenarnya, bakti dan sumbangan seorang anak kepada kedua ibu bapa mereka, itulah sebenar-benar bakti di sisi Allah subhanahuwataala. Ganjarannya bukanlah harta pusaka yang hanya sementara, tetapi ganjarannya ialah pahala untuk bekalan di SANA nanti. Pokok-pokok yang ditanam  bersama bapa satu ketika dahulu, kini boleh dimakan buahnya oleh adik beradik, sanak saudara, sahabat handai, jiran-jiran bahkan  dijadikan tempat berteduh haiwan-haiwan seperti burung-burung, menjadi makanan tupai, kera dan sebagainya. Itulah dia ‘sedekah jariah’ yang sepatutnya diberikan ganjaran sewajarnya kepada Ahmad di SANA nanti. Bakti kepada kedua ibu bapa, itulah sebenar-benar bakti  dan tiada ganjaran yang lebih istimewa selain syurga.

Tetapi insaflah wahai Ahmad, apabila bakti dan sumbangan yang diberikan itu diungkit-ungkit dan meminta dibalas di dunia ini, maka ‘lagha’ lah pahalanya di sisi Allah. Sia-sialah pengorbanan En. Ahmad terhadap bapa. Lebih malang sekiranya adik beradik tidak bersetuju memberikan kepada En. Ahmad kadar yang melebihi sepatutnya. Lebih malang lagi, sekiranya En. Ahmad berkeras mahukan bahagian yang lebih sehingga membawa kepada pertelingkahan sesama adik beradik dan akhirnya tidak bertegur sapa. Akibatnya pembahagian harta pusaka tidak dapat diselesaikan, harta terbiar. Inilah antara sebab mengapa harta pusaka terbengkalai.

Malang sungguh nasib En. Ahmad kerana tidak mendapat apa-apa. Di dunia tidak mendapat harta yang dihajati, di akhirat pun tidak mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah s.w.t..

Bagaimana pun sekiranya En. Ahmad mahukan bahagian yang lebih, En. Ahmad bolehlah memohon dan menyatakan hasrat kepada adik beradiknya yang lain dengan cara beradab, iaitu tanpa paksaan atau ugutan. Bagi pihak adik beradik  Ahmad pula setelah mengetahui bahagian masing-masing mengikut kadar faraid, bolehlah menimbangkan permohonan Ahmad dengan penuh semangat kekeluargaan.  Buatlah pertimbangan yang sewajarnya melalui sifat Mahmudah iaitu ‘Rahmah’ dan ‘Ehsan’ iaitu kasih sayang dan belas kasihan.

Bagi pihak Ahmad pula, sekiranya adik beradik bersetuju, ucapkan terima kasih kepada mereka, dan sekiranya mereka tidak bersetuju, bersyukurlah kepada Allah atas rezeki yang diberikan dan terimalah seadanya.

Fahami hukum, elakkan pertelingkahan. Wallahuaklam.


Sunday, 18 December 2011

HANYA KETURUNAN HAKIKI ATAU DARAH DAGING LAYAK MEWARISI


Selain daripada ikatan perkahwinan, seseorang itu berhak mewarisi harta pusaka dengan sebab keturunan. Keturunan dalam konteks hukum faraid bermaksud keturunan hakiki iaitu pertalian hubungan kekeluargaan disebabkan oleh peranakan atau dinamakan juga hubungan ‘rahim’. Keturunan hakiki boleh dikatakan juga sebagai “darah daging”.

Termasuk dalam istilah keturunan ini ialah anak kandung, ibu bapa sebenar, adik beradik sebenar dan semua waris yang mempunyai pertalian darah dengan si mati mengikut syarat-syarat dan kaedah pewarisan.

Ini bermakna anak angkat, anak tiri dan anak susuan terkeluar daripada istilah keturunan si mati dan mereka tidak berhak mewarisi harta pusaka.

Anak angkat bermakna anak orang lain yang dipelihara oleh pasangan suami isteri. Anak ini bukan dilahirkan hasil perkahwinan suami isteri itu. Anak angkat tidak boleh dinasabkan (dibinkan) kepada bapa angkat untuk mengelakkan kecelaruan dalam hirarki keturunan seseorang itu. Sekiranya dinasabkan kepada bapa angkat, ia akan menimbulkan masalah kepada persoalan pewarisan harta pusaka dan perwalian dalam perkahwinan.

Oleh kerana tiada hubungan rahim dengan keluarga angkat, Islam tidak membolehkan anak angkat mewarisi harta pusaka ibu bapa angkat.

Anak tiri bermakna anak kepada pasangan hasil perkahwinannya dengan suami atau isteri terdahulu. Misalnya, Ali berkahwin dengan Fatimah, seorang janda beranak satu bernama Ahmad. Ahmad adalah anak tiri kepada Ali. Sekiranya Ali meninggal dunia, Ahmad tidak mewarisi harta Ali kerana Ahmad bukan keturunan Ali yang hakiki.

Anak susuan bermakna seorang telah disusui oleh seorang wanita sehingga sekurang-kurangnya 5 kali kenyang semasa masih bayi. Hukum anak susuan dalam perkahwinan sama seperti anak kandung iaitu tidak boleh mengahwini anak susuan, persentuhan kulit tidak membatalkan wudhuk dan had aurat sepertimana anak sendiri.

Bagaimana pun, oleh kerana tiada hubungan rahim iaitu tidak melalui peranakan, anak susuan juga tidak mewarisi harta pusaka ibu bapa susuan.

Soalan 1
Bagaimana pula hukum pewarisan anak luar nikah?

Jawab:
Anak luar nikah ialah anak zina atau anak yang dilahirkan oleh wanita mangsa rogol. Hukumnya, anak itu hanya berhak mewarisi harta pusaka ibu yang melahirkannya tetapi tidak mewarisi harta pusaka bapa. Ini kerana anak yang lahir hasil perzinaan tidak boleh dinasabkan kepada bapa tersebut mengikut hukum syarak apatah lagi anak yang dilahirkan oleh mangsa rogol. 

Soalan 2
Ada yang mengatakan anak yang dianggap derhaka kepada ibu bapa  tidak berhak mewarisi harta pusaka ibu bapa. Apakah ini benar?.

Jawab:
Hanya tiga perkara yang menjadi halangan kepada pewarisan iaitu:
a.       Pembunuhan atau menyebabkan kematian tuan punya harta yang akan diwarisi
b.      Berlainan agama antara pemilik harta dan waris
c.       Waris murtad.
Penderhakaan bukanlah halangan kepada seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka ibu bapa. Sekiranya ibu bapa meninggal dunia, anak yang dianggap derhaka itu masih berhak menerima pusaka seperti mana anak-anak yang lain.

Soalan 3
Ada bapa yang tidak sukakan anaknya telah meninggalkan dokumen wasiat yang mengatakan dengan jelas “Sekiranya saya meninggal dunia, saya tidak redha anak saya yang bernama Rosliyani mewarisi harta pusaka saya”.

Jawab:
Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah hubungannya dengan hartanya dan secara otomatik harta itu menjadi harta pusaka. Namun sebelum harta pusaka dibahagikan, waris-waris perlu meneliti dan menunaikan wasiat si mati terlebih dahulu.

Bagaimana pun tidak semua wasiat wajib ditunaikan. Sekiranya bertentangan tentang hukum syarak, wasiat itu hendaklah diabaikan walau pun wasiat itu didokumenkan dan disaksikan.

Wasiat supaya tidak memberikan harta pusaka kepada anak yang dianggap menderhaka atau yang tidak disenangi oleh ibu bapa tidak boleh berkuatkuasa kerana hajat pewasiat bertentangan dengan hukum faraid. Justeru, anak itu berhak mendapat pusaka bapanya dan hendaklah diberikan haknya.. Jadi waris-waris yang lain, laksanakan hukum faraid seadanya.

Berikanlah harta pusaka bapa kepadanya mudah-mudahan anak tersebut akan turut mendoakan kesejahteraan bapanya suatu ketika nanti.

Wallahuaklam.

Friday, 2 December 2011

KONSEP PEMBAHAGIAN SECARA MUAFAKAT


Ada yang bertanyakan hukum membahagikan harta pusaka secara muafakat adakah harus atau haram? Ini kerana ada yang mengatakan pembahagian secara muafakat bermakna  membelakangkan hukum faraid.

Pembahagian mengikut muafakat hukumnya harus sekiranya seseorang itu berpegang kepada konsep pembahagian iaitu:
“Asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid. Iaitu setiap orang wajib mengetahui  
terlebih dahulu siapakah yang berhak mewarisi harta pusaka itu dan berapa bahagian yang
akan mereka perolehi sekiranya pembahagian dibuat mengikut hukum faraid.
Sesudah itu  mereka bolehlah bersetuju dengan apa cara pembahagian sekali pun
sama ada mengikut kadar faraid, bahagian sama banyak, seorang memiliki satu
harta, penyerahan hak kepada seorang atau beberapa orang sama ada dengan bayaran
atau percuma dan sebagainya.

Contoh kes:

Seorang mati meninggalkan 4 anak lelaki dan 4 anak perempuan. Simati juga meninggalkan 4 keping tanah. Ahmad bertindak sebagai ‘kepala kuasa’ atau ketua dan telah mengatur pembahagian seperti berikut:

Bil
Tanah
Pemilik
Bahagian
1
GM1
AHMAD
ROKIAH
2/3
1/3
2
GM2
AHMAD
ROKIAH
2/3
1/3
3
GM3
ALI
ABU
GAYAH
LEHA
2/6
2/6
1/6
1/6
4
GM4
HAMDAN
ROFIAH
2/3
1/3

Menurut Ahmad pembahagian dibuat berdasarkan kepada rumah-rumah yang sedia ada di atas sebahagian daripada tanah-tanah itu dan berharap setiap orang akan dapat mendirikan rumah di atas tanah masing-masing.
Semasa perbicaraan harta pusaka di Pejabat Tanah, waris-waris diminta memberi  persetujuan dengan pembahagian sedemikian itu.  Masing-masing menyatakan persetujuan kecuali Rofiah mempertikaikan bahagiannya yang agak kurang berbanding waris-waris lain.
Setiap orang mempunyai hak bersuara untuk mendapat keadilan sekiranya merasakan dirinya teraniaya. Alasan Rofiah, tanah yang diberikan kepadanya itu nilainya amat rendah berbanding tanah-tanah yang diperolehi oleh adik beradiknya yang lain.
Untuk membuktikan dakwaan Rofiah, pembahagian dibuat mengikut nilaian tanah seperti berikut:
Asal pembahagian mengikut hukum faraid bahagian anak-anak seperti berikut:
Anak lelaki                         2/12 bahagian
Anak perempuan             1/12 bahagian
Jumlah nilaian kesemua tanah ialah RM50,000.00
Bermakna setiap anak lelaki mendapat 2/12 x RM50,000 = RM8,333.33 manakala setiap anak perempuan  mendapat    1/12 x RM50,000.00 = RM4,166.67

Nilaian tanah adalah seperti berikut:

Bil
Tanah
Nilaian
1
GM1
RM10,000
2
GM2
RM5,000
3
GM3
RM30,000
4
GM4
RM5,000

JUMLAH
RM50,000

Secara terperinci, pembahagian secara muafakat mengikut nilaian dilihat seperti berikut:

Bil
Tanah
Pemilik
Bahagian
RM50,000.00
1
GM1
AHMAD
ROKIAH
2/3
1/3
RM6,666.67
RM3,333.33
2
GM2
AHMAD
ROKIAH
2/3
1/3
RM3,333.33
RM1,666.67
3
GM3
ALI
ABU
GAYAH
LEHA
2/6
2/6
1/6
1/6
RM10,000.00
RM10,000.00
RM5,000.00
RM5,000.00
4
GM4
HAMDAN
ROFIAH
2/3
1/3
RM3,333.33
RM1,666.67

Berdasarkan kepada nilaian, jelaslah bahawa Rofiah mendapat bahagian yang paling sedikit berbanding adik beradiknya yang lain. Hamdan juga mendapat bahagian yang sedikit, tetapi beliau nampaknya tidak berfikiran seperti Rofiah. Hamdan Cuma mengikut sahaja . Apa yang saya perhatikan, Hamdan tidak mengetahui apa-apa dan tidak  mengambil tahu bakal tanah yang akan dimilikinya.

Setelah jelas mengetahui bahagian yang diperolehi oleh Rofiah secara muafakat tidak sepadan dengan bahagian yang sepatutnya diperolehi mengikut faraid, waris-waris telah mengadakan perbincangan semula, namun tidak memperoleh jalan penyelesaian kerana mereka tidak mahu mengubah cara pembahagian tanah seperti di atas.
Akhirnya mereka bersetuju dengan cadangan supaya bahagian Hamdan dan Rofiah yang kurang itu digantikan dengan wang tanpa mengubah pembahagian asal tanah itu. Pengiraannya seperti berikut:

Bil
NAMA
PEROLEHAN
+LEBIH /
 -KURANG
-BAYARAN / +TERIMA
1
AHMAD
RM10,000.00
+RM1,666.67
-RM1,666.67
2
ROKIAH
RM5,000.00
+RM833.33
-RM833.33
3
ALI
RM10,000.00
+RM1,666.67
-RM1,666.67
4
ABU
RM10,000.00
+RM1,666.67
-RM1,666.67
5
GAYAH
RM5,000.00
+RM833.33
-RM833.33
6
LEHA
RM5,000.00
+RM833.33
-RM833.33
7
HAMDAN
RM3,333.33
-RM5,000.00
+RM5,000.00
8
ROFIAH
RM1,666.67
-RM2,500.00
+RM2,500.00

Penyelesaiannya:
Ahmad, Ali dan Abu masing-masing mengeluarkan wang sebanyak RM1,666.67 manakala Rokiah, Gayah dan Leha masing-masing mengeluarkan wang sebanyak RM833.33. Ini kerana mereka mendapat bahagian yang lebih berbanding bahagian yang sepatutnya diperolehi mengikut kadar faraid . Jumlah semua RM7,500.00. Duit ini diserahkan kepada Hamdan sebanyak RM5,000.00 dan Rofiah RM2,500.00. Kesimpulannya: dari segi nilaian harta, anak lelaki mendapat RM8,333.33 dan anak perempuan mendapat RM4,166.67.

Catatan:
Penyelesaian di atas adalah salah satu cara penyelesaian untuk memuaskan hati Rofiah yang merasakan dirinya teraniaya.

Tetapi sekiranya Rofiah dengan rela hati bersetuju dengan pembahagian itu tanpa apa-apa bayaran kepadanya juga boleh dilakukan  dengan syarat Rofiah terlebih dahulu mengetahui bahagiannya mengikut kadar faraid. Jelasnya, Rofiah  tahu bahagiannya mengikut faraid sebanyak RM4,166.67. Tetapi dengan pembahagian secara muafakat itu beliau hanya mendapat sebanyak RM1,666.67 sahaja. Namun sekiranya Rofiah reda dengan bahagian yang sedikit itu, hukumnya harus dan pembahagian itu dikatakan tidak menganiayai sesiapa. Kerana Rofiah sudah Reda dan rela dengan bahagian yang sedikit itu. Akan tetapi Rofiah tidak rugi, sebaliknya akan pasti mendapat ganjaran di SANA nanti kerana memberikan sebahagian daripada haknya kepada saudaranya yang mungkin lebih memerlukan.

Kesimpulannya: Apa-apa cara pembahagian yang dipersetujui sebulat suara tanpa paksaan atau ugutan setelah memahami konsep sebenar pembahagian, hukumnya adalah harus.

Sebaliknya jangan mengikut jejak Hamdan yang bersetuju tanpa mengetahui konsep pembahagian sebenar. Keadaan inilah yang selalu berlaku ‘rumah sudah pahat berbunyi’. Satu ketika Hamdan diberitahu oleh seseorang bahawa beliau rugi kerana mendapat bahagian yang sedikit. Ketika itu baharulah Hamdan sedar dan menuduh beliau telah dianiayai oleh adik beradiknya walau pun pembahagian dilakukan beberapa tahun dahulu.

Oleh itu saudara pembaca, fahamilah konsep pembahagian. Sesudah rumah siap, simpanlah pahat ditempat yang sepatutnya.