Monday 15 August 2011

IBU TIRI: BERHAKKAH PUSAKA?


Persoalan timbul apabila bapa berkahwin lain sedangkan harta diperolehi semasa bapa bersama ibu kandung yang telah meninggal dunia. Ibu tiri yang dimaksudkan di sini ialah isteri kedua bapa yang menjadi ibu tiri kepada anak daripada isteri pertama. Soalan yang selalu diajukan: “Apakah ibu tiri saya berhak menerima pusaka bapa yang telah meninggal dunia sedangkan harta pusaka bapa diperolehi dalam masa perkahwinannya dengan ibu saya. Ibu saya telah mati dahulu?”.

Jawapan:
Salah satu sebab yang melayakkan seseorang itu mewarisi harta pusaka ialah melalui perkahwinan. Apabila seseorang itu berkahwin, pasangan sama ada suami atau isteri berhak mewarisi harta pusaka apabila salah seorang daripada suami isteri meninggaldunia dengan syarat:
  1. Perkahwinan itu sah mengikut hukum syarak
  2. Pasangan bercerai mati
  3. Walau pun kematian berlaku selepas sahaja akad nikah dilangsungkan dan pasangan masih belum bersama.
  4. Sekiranya bercerai hidup, pasangan masih layak mewarisi sekiranya dapat dibuktikan kematian berlaku ketika isteri yang diceraikan itu masih dalam edah talak raj’ie.
Berkaitan harta, asalkan harta si mati tidak kira bila masa diperolehi akan tetap diwarisi oleh isteri kedua dengan kadar fardu yang ditetapkan iaitu:
  1. Sekiranya suami yang mati itu meninggalkan anak, isteri mewarisi sebanyak 1/8 bahagian daripada kesemua harta suaminya..
  2. Sekiranya suami yang mati itu tidak meninggalkan anak, isteri mewarisi sebanyak ¼ bahagian daripada kesemua harta suaminya.. 
Oleh itu jangan lupa bahagian ibu tiri anda. Haknya tidak boleh diambil sesuka hati. Sekiranya tidak diberikan, bermakna makan harta tanpa hak. Hukumnya haram sampai ke anak cucu. Berikan haknya mengikut kadar yang telah ditetapkan.Kecuali ibu tiri dengan rela hati, menyerahkan haknya kepada anak tirinya seperti contoh berikut:
Seorang mati meninggalkan 2 isteri. Isteri pertama dikahwini sejak 20 tahun lalu dan dikurniakan 4 orang anak, manakala isteri kedua baru dikahwini 5 bulan lalu dan tanpa anak. Mengikut hukum faraid, kedua-dua isteri mendapat 1/16 bahagian tiap seorang iaitu 1/8 dibahagi 2 = 1/16.
Siapa sangka rupanya ada Isteri ke 2 yang mempunyai hati yang sangat mulia di mana pada hari bicara kuasa di pejabat pusaka, isteri kedua hanya mahukan sebuah kereta sahaja yang sememangnya dibelikan oleh si mati untuknya manakala harta lain seperti rumah, tanah dan wang simpanan diserahkan kepada isteri pertama dan anak-anak tirinya.
Tidak semua manusia tamakkan harta. Bahkan banyak juga yang berhati mulia. Semoga yang baik dijadikan teladan.

0 comments:

Post a Comment