Statistik menunjukkan 1/6 daripada hak milik atau geran tanah di seluruh Negara adalah masih terdaftar dengan nama orang mati. Oleh kerana jumlah keseluruhan hak milik di seluruh Negara melebihi 6 juta, maka ini bermakna lebih satu juta geran tanah adalah milik orang mati.
Mengapa tanah dimiliki oleh orang mati? Mengapa ini berlaku? Mengapa harta pusaka tidak diagihkan kepada waris-waris yang berhak? Mengapa tidak didaftarkan dengan nama orang hidup supaya tanah-tanah pusaka dapat dibangunkan, dapat diusahakan dan dapat dimanfaatkan oleh generasi yang ada?. Tidak lain kerana kegagalan waris menyempurnakan tanggungjawab masing-masing menyelesaikan harta pusaka orang tua mereka.
Antara sebab kegagalan waris menyelesaikan harta pusaka ialah tiada perbincangan keluarga. Tiada muafakat. Tiada inisiatif ke arah penyelesaian masalah. Tiada pengetahuan untuk pembahagian terbaik. Sebahagian besar daripada waris tiada perbalahan atau persengketaan keluarga, namun harta pusaka tetap tidak selesai. Mengapa? Itulah sindrom harta percuma. Lainlah kalau harta itu diperolehi melalui titik peluh sendiri. Nampak nilainya betapa susah mendapatkannya.
Sempena bulan baik, hari baik, menjelang bulan Syawal, tidak salah kalau diatur satu program perjumpaan ahli keluarga khusus membincangkan agenda ‘penyelesaian harta pusaka’. Muafakat keluarga.
Sebelum itu siapkan diri dengan maklumat awal sebelum perbincangan:
- Siapa waris yang berhak ke atas harta pusaka itu.
- Berapa bahagian setiap orang mengikut hukum faraid
- Maklumat terperinci harta si mati sama ada harta tak alih atau harta alih
Sebaiknya waris yang berhak sahaja yang terlibat dengan perbincangan. Campurtangan orang lain seperti ipar, menantu dan siapa yang tidak berkenaan tidak dialu-alukan. Kecuali kehadiran mereka diperlukan untuk membantu proses perbincangan dengan membekalkan maklumat dikehendakki atau berkebolehan dalam pengiraan, bertindak sebagai perundingcara dan sebagainya.
Langkah seterusnya, bincang pembahagian terbaik. Kata putus di tangan setiap ahli waris. Masing-masing berhak untuk bersuara dan memberi pandangan atau membuat bantahan. Tiada paksaan, tidak pentingkan diri dan sedia bertolak ansur. Jadikan majlis perjumpaan dan perbincangan itu ‘dalam kenangan’ setiap ahli keluarga.
Bahagilah harta pusaka mengikut kadar bahagian faraid atau mengikut muafakat. Semoga Syawal dilimpahkan dengan rahmatNya.
0 comments:
Post a Comment