Wednesday 3 August 2011

WASIAT: SATU KEPERLUAN?


Sebelum sesuatu harta pusaka itu dibahagikan, beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu iaitu:
  1. Belanja urusan pengebumian.
  2. Menjelaskan hutang-hutang si mati jika ada.
  3. Menunaikan wasiat si mati jika si mati semasa hayatnya ada meninggalkan wasiat.
Tiga perkara di atas perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris-waris kerana 3 perkara ini adalah hak si mati.

Oleh kerana banyak persoalan berkaitan wasiat telah dibangkitkan oleh peserta kursus atau seminar, maka secara ringkas saya rumuskan di sini:

Wasiat adalah salah satu cara pemberian harta oleh seseorang tuan punya harta kepada seseorang lain atau pihak yang tidak berhak mewarisi harta pusakanya apabila beliau meninggal dunia.

Oleh itu wasiat sepatutnya dibuat apabila ada keperluan seperti:

  1. Wasiat sebahagian daripada harta kepada anak angkat. Ini kerana apabila seseorang itu meninggal dunia, anak angkatnya tidak berhak mewarisi hartanya secara faraid. Oleh itu berwasiat kepada anak angkat adalah satu keperluan.
  2. Wasiat kepada cucu yang disayangi. Ketika anak-anak masih ada dan akan menghabisi harta pusaka, datuk berhasrat untuk memberikan sebahagian daripada hartanya kepada cucu yang dipeliharanya sedangkan cucu tersebut tidak berhak mewarisi hartanya. Oleh itu berwasiat kepada cucu adalah satu keperluan.
  3. Wasiat kepada saudara mara yang daif atau kurang bernasib baik seperti adik beradik, anak saudara dan sebagainya sedangkan anak masih ada. Apabila meninggal dunia, sebahagian harta diberikan kepada penerima wasiat, manakala selebihnya diwarisi oleh waris-waris mengikut hukum faraid.
  4. Jika berhasrat untuk melakukan sedekah jariah, bolehlah berwasiat supaya sebahagian daripada harta peninggalannya nanti diberikan kepada institusi tertentu seperti masjid, rumah anak yatim, pusat tahfiz dan sebagainya.
Konsep berwasiat perlu difahami iaitu:
  1. Wasiat adalah untuk bukan waris. Ini kerana waris-waris telah ditetapkan bahagian mereka mengikut hukum faraid. Iaitu sekiranya seseorang itu ingin memberikan sebahagian daripada hartanya kepada seseorang yang bukan waris yang berhak ke atas hartanya setelah beliau meninggal dunia nanti, maka bolehlah beliau berwasiat. Oleh itu perlu berwasiat kepada anak angkat, cucu atau saudara mara yang tidak mewarisi hartanya secara faraid. Sebaliknya tidak perlu berwasiat kepada waris-waris kerana bahagian mereka telah pun maklum dan tentu. Hadis Rasulullah s.a.w.
l     إن الله عزوجل قد أعطَى كل ذى حق حقــه ألا لا وصية لوارث
l      Maksudnya:
l      Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak itu hak masing-masing, kerana itu tiada wasiat kepada waris yang berhak.

  1. Itulah sebabnya seseorang itu tidak dibenarkan berwasiat melebihi 1/3 daripada hartanya, kerana 2/3 lagi adalah hak waris-waris yang telah ditentukan mengikut kaedah hukum faraid.   
  2. Sebagai contoh, seorang mempunyai seorang anak angkat. Beliau mempunyai 3 ekar tanah. Beliau juga mempunyai seorang adik lelaki. Waris lain tiada. Apabila beliau meninggal dunia, anak angkat akan mendapat 1/3 iaitu 1 ekar daripada tanah pusaka yang ditinggalkannya sebagai penerima wasiat, manakala 2 ekar lagi akan diwarisi oleh adik lelakinya secara faraid.
Maka itulah wasiat yang sebenarnya. Sama ada seseorang itu perlu berwasiat atau tidak, terpulang kepada keperluan masing-masing. 

0 comments:

Post a Comment