SOALAN:
Saya Ahmad, anak sulung daripada 5 adik beradik, dua lelaki dan tiga perempuan. Bapa meninggal dunia sebulan lepas dan tidak meninggalkan waris lain selain daripada kami 5 orang anak-anaknya. Ibu kami telah meninggal dunia dua tahun yang lalu.
Dari segi harta, bapa meninggalkan dua bidang tanah pertanian, iaitu kebun getah dan dusun buah-buahan, juga sebuah rumah kediaman.
Soalan saya, bolehkah saya menuntut bahagian yang lebih banyak berbanding adik beradik saya yang lain atas alasan saya anak sulung dan sayalah yang banyak berbakti dan berjasa kepada kedua ibu bapa saya semasa hayat mereka. Apabila mereka meninggal dunia, saya rasa sayalah yang lebih berhak ke atas harta pusaka mereka berbanding adik beradik saya yang lain.
JAWAB:
Soalan En. Ahmad cukup menarik. Sepanjang kerjaya saya sebagai Pegawai Pembahagian Pusaka, saya pernah berjumpa dengan pengalaman begini di mana seorang anak menuntut separuh daripada pokok durian yang terdapat di atas tanah pusaka bapanya supaya diserahkan kepadanya. Alasannya, “sayalah yang menanam pokok-pokok durian itu bersama ayah 20 tahun dahulu, sedangkan adik beradik yang lain tidak membantu kerana mereka masih kecil pada masa itu”. Masyaallah!.
Mengikut kaedah pembahagian harta pusaka, asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid iaitu seperti berikut:
Ahmad | 2/7 bahagian |
Sabariah | 1/7 bahagian |
Murni | 1/7 bahagian |
Kasidah | 1/7 bahagian |
Kasim | 2/7 bahagian |
Hukum faraid tidak mengambil kira sama ada Ahmad anak sulung atau anak bongsu. Bahagian Ahmad sebagai anak sulung, sama dengan Kasim sebagai anak bongsu. Masing-masing mempunyai hak ke atas ketiga-tiga harta pusaka bapa mereka mengikut kadar bahagian masing-masing iaitu bagi anak lelaki 2/7 bahagian, manakala bagi anak perempuan 1/7 bahagian daripada kesemua harta.
Bagaimana pula bakti dan jasa Ahmad terhadap kedua ibu bapanya semasa hayat mereka?. Tidak bolehkah Ahmad menuntut bahagian yang lebih daripada harta pusaka bapanya?.
Sesungguhnya tidak ada kaedah dalam hukum faraid yang menyatakan bakti dan jasa seorang anak kepada ibu atau bapa mereka boleh digantikan atau dibalas dengan harta pusaka. Di bawah peruntukan mana bakti dan jasa anak terhadap kedua ibu bapa mereka hendak dikategorikan? Apa yang ada, adalah peruntukan harta sepencarian. Itu pun dikhaskan bagi pasangan suami isteri sahaja, yang mana satu pihak boleh menuntut bahagian harta sepencarian berdasarkan sumbangan yang diberikan. Tidak ada peruntukan bahagian harta sepencarian antara anak dengan bapa.
Sebenarnya, bakti dan sumbangan seorang anak kepada kedua ibu bapa mereka, itulah sebenar-benar bakti di sisi Allah subhanahuwataala. Ganjarannya bukanlah harta pusaka yang hanya sementara, tetapi ganjarannya ialah pahala untuk bekalan di SANA nanti. Pokok-pokok yang ditanam bersama bapa satu ketika dahulu, kini boleh dimakan buahnya oleh adik beradik, sanak saudara, sahabat handai, jiran-jiran bahkan dijadikan tempat berteduh haiwan-haiwan seperti burung-burung, menjadi makanan tupai, kera dan sebagainya. Itulah dia ‘sedekah jariah’ yang sepatutnya diberikan ganjaran sewajarnya kepada Ahmad di SANA nanti. Bakti kepada kedua ibu bapa, itulah sebenar-benar bakti dan tiada ganjaran yang lebih istimewa selain syurga.
Tetapi insaflah wahai Ahmad, apabila bakti dan sumbangan yang diberikan itu diungkit-ungkit dan meminta dibalas di dunia ini, maka ‘lagha’ lah pahalanya di sisi Allah. Sia-sialah pengorbanan En. Ahmad terhadap bapa. Lebih malang sekiranya adik beradik tidak bersetuju memberikan kepada En. Ahmad kadar yang melebihi sepatutnya. Lebih malang lagi, sekiranya En. Ahmad berkeras mahukan bahagian yang lebih sehingga membawa kepada pertelingkahan sesama adik beradik dan akhirnya tidak bertegur sapa. Akibatnya pembahagian harta pusaka tidak dapat diselesaikan, harta terbiar. Inilah antara sebab mengapa harta pusaka terbengkalai.
Malang sungguh nasib En. Ahmad kerana tidak mendapat apa-apa. Di dunia tidak mendapat harta yang dihajati, di akhirat pun tidak mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah s.w.t..
Bagaimana pun sekiranya En. Ahmad mahukan bahagian yang lebih, En. Ahmad bolehlah memohon dan menyatakan hasrat kepada adik beradiknya yang lain dengan cara beradab, iaitu tanpa paksaan atau ugutan. Bagi pihak adik beradik Ahmad pula setelah mengetahui bahagian masing-masing mengikut kadar faraid, bolehlah menimbangkan permohonan Ahmad dengan penuh semangat kekeluargaan. Buatlah pertimbangan yang sewajarnya melalui sifat Mahmudah iaitu ‘Rahmah’ dan ‘Ehsan’ iaitu kasih sayang dan belas kasihan.
Bagi pihak Ahmad pula, sekiranya adik beradik bersetuju, ucapkan terima kasih kepada mereka, dan sekiranya mereka tidak bersetuju, bersyukurlah kepada Allah atas rezeki yang diberikan dan terimalah seadanya.
Fahami hukum, elakkan pertelingkahan. Wallahuaklam.
1 comments:
saya noor fadilah anak sulong dari 4beradik bapa saya sudah meningal dan dia meninggalkan harta felda kepada kami.tetapi ayah saya tidak meletakkan nama waris, itu menimbulkan masalah kepada kami adik beradik untuk mewarisi harta tersebut tetapi disebapkan saya anak sulong dan dah cukup umur semasa itu saya mewarisi harta tersebut sakarang felda diatas nama saya nama rumah pun sudah ditulis nama saya termasuk juga slip gaji jadi saya agak keliru adakah saya memag pemilik felda ataupun hanya pemangku sahaja sila jelaskan.
saya juga mahu bertanya sistem pembahagian harta felda tersebut bagaimana? saya ada membaca barang siapa manjadi pewaris bermakna hanya dia sahaja yang mewarisi harta felda tersebut kerana felda tidak mengikut faraid, saya yang tinggal di tanah tersebut yang sekarang terpaksa di bahagikan 4 beradik, sampai bila saya harus bahagikan harta 4 beradik adakah sampai dia orang sudah dewasa ataw pun sampai bila2, sekiranya saya kena bahagi sampai bila2 bagaimana pula selepas saya mati apa akan tarjadi? tetapi penggurus felda ada menyuruh saya mengisi borang pewaris saya kelak dan saya bercadang mahu manamakan anak sulong saya, sekiranya saya sudah mewariskan nama anak saya perlukah anak saya kelak membuat pembahagian kepada adik baradik saya? atau perlukah saya mengupah peguam untuk melindungi harta saya?
saya amat berharap soalan saya di jawap..
Post a Comment