Thursday 2 February 2012

CARA MUDAH MENGELUARKAN FATWA FARAID

Kaedah-kaedah atau formula yang terkandong dalam hukum faraid agak sukar untuk diingati walau pun setelah beberapa kali dihafal. Sebab itulah selalu juga kita mendengar ungkapan daripada penuntut ilmu faraid bahawa ‘Ilmu faraid senang dipelajari tetapi sukar diingati’.

Seperti mana formula-formula yang terdapat dalam ilmu matematik dan sains, formula dalam ilmu faraid juga hendaklah dihafal sehingga nyata ‘melekat’ dalam ingatan seseorang agar setiap persoalan berkaitan faraid dapat dijawab dengan serta merta tanpa perlu meminta tempoh untuk rujukan.

Misalnya, apabila ditanya seorang mati meninggalkan seorang isteri, bapa dan lima orang adik beradik seibu sebapa. Lantas dijawabnya, “Waris yang berhak hanya 2 orang sahaja iaitu isteri dan bapa. Adik beradik tidak berhak kerana terdinding (mahjub) oleh bapa. Isteri mewarisi sebanyak 1/4 bahagian kerana si mati tidak meninggalkan anak, dan bapa pula mewarisi secara asabah iaitu mendapat baki sebanyak 3/4 bahagian”.

Dalam ilmu matematik, formula untuk mendapat keluasan yang perlu dihafal ialah panjang dharab lebar, manakala formula untuk mendapat isi padu pula ialah panjang dharab lebar dharab tinggi.
Demikian juga dalam ilmu faraid. Tetapi ilmu faraid mempunyai keunikannya kerana terdapat tiga formula yang mesti diketahui bagi setiap kes faraid.

PERTAMA:      Formula untuk menentukan siapakah dalam kalangan waris yang ditinggalkan oleh si mati itu berhak menerima pusaka.
KEDUA:           Formula bagaimana cara seseorang waris yang berhak itu mewarisi harta pusaka sama ada mewarisi secara fardu atau mewarisi secara asabah.  Sekiranya mewarisi secara fardu, berapakah bahagian yang layak diterima oleh seseorang itu seperti 1/2, 1/3, 1/4 atau sebagainya.
KETIGA:         Formula pengiraan untuk menentukan berapakah bahagian yang layak diterima oleh setiap orang waris daripada harta pusaka itu.

CONTOH PENYELESAIAN KES FARAID:
Fakta kes:
Bapa saya (Sidiq bin Embong) mati dan kedudukan waris-warisnya adalah seperti berikut:
Ibu kepada bapa saya masih ada tetapi bapanya telah mati dahulu. Nenek sebelah ibu mati dahulu manakala nenek sebelah bapa masih ada.
Bapa saya meninggalkan seorang isteri dan ,mereka bercerai mati.
Bapa saya mempunyai tiga orang anak. Kesemuanya perempuan. Anak sulung telah mati dahulu daripada bapa dan anak sulung yang mati ini ada meninggalkan tiga orang anak lelaki iaitu cucu kepada bapa saya.
Bapa mempunyai dua orang saudara seibu sebapa, lelaki dan perempuan. Malangnya saudara lelaki telah mati dahulu daripada bapa saya dan saudara yang mati dahulu ini ada meninggalkan dua orang anak lelaki iaitu anak saudara kepada bapa saya.
Bapa juga mempunyai lima orang saudara sebapa, satu lelaki dan empat perempuan. Semua mereka masih hidup.
(Maklumat di atas diperolehi setelah siasatan waris dijalankan)

CARA MEMPROSES FATWA FARAID:

1.  FORMULA PENENTUAN WARIS
Langkah 1: Senaraikan waris-waris yang ditinggalkan oleh si mati:
1.       Ibu
2.       Nenek sebelah bapa
3.       Isteri
4.       Dua anak perempuan
5.       Tiga cucu lelaki daripada anak perempuan
6.       Seorang saudara seibu sebapa perempuan
7.       Seorang saudara sebapa lelaki
8.       Empat orang saudara sebapa perempuan
9.       Dua orang anak saudara lelaki daripada saudara seibu sebapa lelaki.

Langkah 2:  Senaraikan waris utama (waris ini tidak terdinding oleh sesiapa)
1.       Ibu
2.       Isteri
3.       Dua anak perempuan.

Langkah 3:  Buat keputusan kedudukan waris ganti.
1.       Nenek sebelah bapa (ibu kepada bapa) – tidak berhak kerana terdinding oleh ibu si mati.
2.       Tiga cucu lelaki daripada anak perempuan – tidak berhak kerana cucu daripada anak perempuan tidak termasuk dalam kategori waris yang berhak. Mereka adalah waris ‘dzawil-arham’.

Langkah 4:  Buat keputusan kedudukan waris kedua
1.   Seorang saudara seibu sebapa perempuan – berhak mewarisi kerana tidak ada waris yang menghalangnya seperti anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki dan bapa. Saudara seibu sebapa perempuan ketika mewarisi bersama anak perempuan akan mewarisi harta pusaka secara Asabah Maal-Ghairi.
2.  Seorang saudara sebapa lelaki – tidak berhak kerana terdinding oleh saudara seibu sebapa perempuan yang mewarisi secara asabah. Ini kerana tidak boleh wujud dua asabah dalam satu kes faraid.
3.       Empat orang saudara sebapa perempuan – juga tidak berhak seperti mana saudara sebapa lelaki.
4.  Dua orang anak saudara lelaki daripada saudara seibu sebapa lelaki – tidak berhak kerana terdinding oleh saudara seibu sebapa perempuan yang mewarisi secara asabah. Mengikut kaedah. waris asabah yang dekat mendindingkan waris asabah yang lebih jauh mengikut senarai tertib asabah. Anak saudara adalah lebih jauh berbanding  adik beradik si mati.

2. FORMULA CARA MEWARISI DAN MENENTUKAN BAHAGIAN WARIS YANG BERHAK
Tentukan cara waris menerima pusaka dan bahagiannya dengan menyatakan sebab-sebab pewarisan itu.
WARIS
CARA MEWARISI
BAHAGIAN
SEBAB
Ibu
Fardu
1/6
Ada keturunan ke bawah
Isteri
Fardu
1/8
Ada keturunan ke bawah
2 anak perempuan
Fardu
2/3
1. Lebih daripada seorang.
2. Tiada anak lelaki.
1 saudara seibu sebapa perempuan (SIBP)
Asabah Maal-Ghairi
Baki
1. Tiada yang mendindingkannya.
2. Tiada SIB lelaki
3. Mewarisi bersama anak perempuan.

3.  FORMULA PENGIRAAN
Jalankan pengiraan faraid secara sistematik:



24
24
Ibu
1/6
4
4
Isteri
1/8
3
3
Anak perempuan
2/3
16
8
Anak perempuan


8
1 SIBP
Asabah
1
1


Untuk mendapatkan asal masalah, gunakan kaedah empat. Angka pembawah 3,6 dan 8. Angka 3 boleh dimasukkan ke dalam angka 6 mengikut kaedah ‘Tadakhul’. Angka 6 dan 8 termasuk dalam kaedah ‘Tawafuk’ iaitu setengah daripada 6 iaitu 3 didharabkan dengan 8 bersamaan 24. Asal masalah ialah 24. Oleh kerana 16 bahagian dua anak perempuan boleh dibahagi dengan 2, setiap orang anak perempuan mendapat 8/24 bahagian.

SIJIL FARAID:
Dengan ini diperakui  harta pusaka SIDIQ BIN EMBONG diwarisi seperti berikut:
1.       Ibu                                           4/24 bahagian
2.       Isteri                                       3/24 bahagian
3.       Anak perempuan 1                8/24 bahagian
4.       Anak perempuan 2                8/24 bahagian
5.       1 SIBP                                    1/24 bahagian.

Kes faraid selesai.

Kursus faraid disediakan oleh Perunding W Halim. BERMIINAT? Anda boleh uruskan peserta, tempat dan peralatan, Kami sediakan tenaga pengajar untuk anda. Tempoh kursus: 6 jam, 10 jam, 14 jam atau mengikut kesesuaian anda. HUBUNGI KAMI!

0 comments:

Post a Comment