Friday, 17 February 2012

MENYELESAIKAN HARTA PUSAKA SUATU TUNTUTAN SYARAK (BAHAGIAN 1)


1. PENDAHULUAN

Firman Allah S.W.T.:

         كل نفس ذاءقة الموت ونبلوكم با لشر والخير فتنة والينا ترجعون

Maksudnya:
      Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji  kamu dengan     
      kesusahan dan  kesenangan sebagai cubaan;    dan kepada Kamilah kamu  
      semua akan dikembalikan.
                                                                                                  (Surah al-Anbiya’ 21 : 35)

         Setiap yang hidup akan mati.  Begitulah kesudahan hidup manusia di dunia sebagaimana yang telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T.

         Apabila jenazah si mati selamat dikebumikan, tanggungjawab waris-waris seterusnya ialah:
     Membahagikan harta peninggalan si mati kepada waris-waris yang berhak dengan syarat terlebih dahulu:
        Menyelesaikan bayaran urusan pengebumian
        Menjelaskan hutang-hutang si mati.
        Menunaikan wasiatnya jika ada. 

         Segerakan pembahagian pusaka kerana apabila seseorang itu meninggal dunia, secara automatik harta kepunyaan si mati berpindah hak kepada waris-waris. Barang siapa yang mengambil atau memakan harta-harta pusaka tersebut tanpa persetujuan semua waris yang berhak, mereka boleh terjerumus kepada penguasaan harta secara haram atau batil, termakan harta anak yatim dan sebagainya .

         Justeru, uruskan harta pusaka dengan sebaik mungkin dan segerakan pembahagian kepada waris-waris yang berhak berpandukan kepada hukum Faraid. Tentukan siapakah pemilik sebenar harta pusaka tersebut dan tentukan hak masing-masing.

2. PERMASALAHAN DALAM MENYELESAIKAN PUSAKA

         Dianggarkan lebih satu juta (1,000,000) hakmilik tanah masih terdaftar dengan nama si mati.

         Mengapa penyelesaian pusaka tidak disegerakan:

1. Salah tanggapan
        Terdapat di kalangan masyarakat masih berpegang kepada ungkapan “berdosa jika terlalu awal membahagikan harta pusaka ketika ‘tanah kubur masih merah’.
         Ini tanggapan salah. Tiada nas atau dalil. Hanya perbualan dikedai kopi.
         Sepatutnya segerakan pembahagian kerana selepas kematian, harta si mati menjadi hak waris.
        Sayidina ‘Umar r.a. pernah memadamkan pelita seorang sahabatnya yang meninggal dunia kerana dikhuatiri minyak pelita tersebut habis digunakan tanpa mendapat persetujuan waris.

2. Terlalu sopan
   Bimbang untuk bersuara, takut dikatakan tamak / hendakkkan harta. Justeru harta     dibiarkan.
         Sikap seperti ini perlu diubah. Semua patut berfikiran positif.
         Menuntut pusaka bermakna menuntut hak. Menunaikan tanggungjawab agama. 

3. Tiada pengetahuan
        Ilmu berkaitan pengurusan dan pembahagian pusaka makin diabaikan. Tidak hairanlah   jika tidak ramai yang berkebolehan dalam urusan pembahagian pusaka.
         Sukar untuk membuat rujukan / khidmat nasihat
         Waris tidak tahu apa yang hendak dibincangkan

4. Sikap tidak prihatin
        Dengan menganggap penyelesaian pusaka suatu yang remeh temeh, ramai yang tidak mengambil berat untuk menyelesaikannya.
     Tidak mengambil peduli tentang harta pusaka
    Tidak memberikan kerjasama ketika ada pihak yang berusaha untuk menyelesaikanya
 Membiarkan harta beku / terbiar / terbengkalai sehingga ada sesuatu yang menguntungkan seperti berhajat untuk menjualnya, menggadai atau terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan.
     Tiada tanggungjawab
    Tidak bersyukur dengan harta orang tua
  Enggan pulang untuk selesaikan pusaka dengan alasan tiada masa / tidak berbaloi (sedikit)

5. Menaruh harapan kepada anak sulung
        Anak sulung lelaki sewajarnya menggantikan tempat orang tua. Oleh itu sepatutnya bertanggungjawab ke atas adik-adik dan berusaha menyelesaikan pusaka.
         Anak sulung tidak mahu bertanggungjawab
         Anak sulung tidak tahu apa yang patut dilakukan
  Adik-adik takut bersuara, manakala anak sulung tidak cuba mengadakan perbincangan atau meminta adik-adik menguruskan pembahagian
         Sebenarnya sesiapa juga di kalangan waris boleh menguruskan pembahagian tetapi adat menghormati anak sulung lebih diutamakan.

6. Tidak mahu harta berpindah kepada orang lain
        Ada yang selesa mendudukki / memilikki / mengusahakan tanah si mati.
         Sekiranya dibahagikan, takut kalau waris lain menuntut hak masing-masing. Oleh itu lebih baik dibiarkan sahaja dengan nama si mati.
    Ketika waris-waris lain berdiam diri, elok tidak dibahagi untuk menjaga hubungan mesra di kalangan waris.
  Sekiranya tidak mendapat persetujuan semua waris, bermakna seseorang itu mendudukki, memilikki atau mengusahakan harta pusaka secara batil. Hukumnya berdosa.

7. Wujud pertelingkahan di kalangan waris
        Pusaka tidak diselesaikan kerana waris-waris bertelingkah sesama sendiri samada sebelum kematian atau selepas kematian.
         Bagaimana hendak mengadakan perbincangan sekiranya tidak dapat bersua muka?

8. Tiada persefahaman
        Masing-masing dengan pendapat dan kemahuan sendiri. Tiada tolak ansur. Pentingkan diri.


3. AKIBAT TIDAK MEMBAHAGIKAN HARTA PUSAKA:

         Melengah-lengahkan pemnyelesaian harta pusaka mengundang banyak masalah antaranya:

1. Makan harta secara batil.
         Firman Allah S.W.T. :    كلوا اموالكم بينكم بالبا طل يا ايها الذين امنوا لا تأ
         Maksudnya :
 Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan  (gunakan)  harta-    
 harta  kamu sesama kamu  dengan jalan yang  salah (tipu, judi  dan 
sebagainya).
                                                                                                       (Surah al-Nisa’  4 : 29)

         Sabda Rasulullah s.a.w.:     مــن ظـلـم قيد شــبـر من الأرض طوقََََه من سبـع أرضين
         Maksudnya :
 Barang siapa merampas seluas satu jengkal tanah,  nescaya ia  akan dibelit 
oleh tanah itu dari tujuh lapisannya”
                                                    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Waris tidak segera menjelaskan hutang si mati
    Hutang si mati wajib diselesaikan segera setelah disempurnakan urusan pengebumian samada diwasiatkan atau tidak.
         Sabda Rasulullah s.a.w. :           نفس الموءمن معلقة بد ينه حتى يقضى عنه
         Maksudnya:
Roh seseorang Mukmin (sesudah matinya) adalah tergantung- gantung ( dan  
tersekat dari sampai ke makamnya yang mulia di sisi Allah) sehinggalah 
hutangnya dibayar.                                                                      
 (Riwayat Ahmad)

3. Waris tidak menunaikan wasiat si mati
    Sekiranya wasiat itu sah mengikut hukum syarak, adalah menjadi tanggungjawab waris melaksanakan wasiat tersebut dengan segera.
     Adakalanya wasiat tidak dilaksanakan sekian lama sehinggalah harta pusaka tersebut dibahagikan setelah setahun atau mungkin beberapa tahun selepas kematian.

4. Harta tidak terurus / terbiar
    Terdapat di sebuah kampung misalnya sebuah rumah terbiar. Iaitu rumah pusaka. Merugikan waris kerana tidak manfaatkan peninggalan orang tua.
      Sebelum pembahagian, status harta tidak pasti milik siapa. Tiada siapa yang akan bertanggungjawab.
       Cukai tanah tidak berbayar, semak samun tiada siapa bersihkan, musim buah tiada siapa datang menebas, lalu dibiarkan buah-buah itu gugur.

5. Urusniaga hartanah beku
       Dari segi undang-undang, selagi tanah didaftarkan dengan nama si mati, sebarang urusniaga seperti jual beli, gadaian,  cagaran, sewaan dan sebagainya dibekukan.
         Ada yang menjual melalui surat perjanjian, akan menyebabkan keresahan / kerisauan kepada pembeli kerana hakmilik tidak boleh ditukar nama.
    Ada kemungkinan agihan duit hasil jualan tidak menepati syarak kerana kejahilan tentang hukum faraid atau sengaja meminggirkan waris tertentu.

6. Hilang dokumen penting
  Urusan pembahagian pusaka memerlukan beberapa dokumen sebagai bukti. Contohnya sijil kematian, suratan hakmilik, surat perjanjian jual beli, surat wasiat dan sebagainya.
     Kegagalan mengemukakan dokumen tersebut menyebabkan penyelesaian pusaka tergendala dan kemungkinan pihak yang menuntut tidak berjaya dalam tuntutannya.

7. Berlaku kematian berlapis
   Kematian berlapis bermakna terdapat waris mati sebelum pusaka dibahagikan kepadanya dan dinamakan kes Munasakhat.
      Akibatnya akan menambahkan bilangan waris yang akan menerima pusaka si mati asal.
         Bilangan waris yang ramai mengundang kepada kesukaran mendapatkan maklumat waris, mengadakan perbincangan dsb. sekali gus menyukarkan urusan pembahagian.                                              


2 comments:

Unknown said...

mohon share ye :)

Unknown said...

Mcm keluarga sayalah tu... Bergaduh mcm2 hal... Hingga kini pusaka x dapat diselesaikan sbb ego masing2 x nk bkerjasama..

Post a Comment