Wednesday 29 February 2012

MENYELESAIKAN HARTA PUSAKA SUATU TUNTUTAN SYARAK (BAHAGIAN 2)


4. TANGGUNGJAWAB WARIS MENGURUSKAN PEMBAHAGIAN PUSAKA

Segerakan pembahagian, jangan biarkan harta orang tua atau saudara mara terbengkalai.

         Harta di depan mata, mengapa dibiarkan?
         Selesai segera harta pusaka untuk mengecapi nikmat harta yang ditinggalkan oleh orang tua.
         Berusahalah ke arah penyelesaian harta pusaka untuk kesejahteraan keluarga.

5. LANGKAH-LANGKAH AWAL MENGURUSKAN PEMBAHAGIAN:

5.1. Tahu siapa waris yang berhak
         Setelah kematian, secara otomatik harta si mati berpindah kepada waris yang ditinggalkan. Persoalannya: siapakah waris yang berhak mewarisi?
         Untuk mengetahuinya, berdasarkan kepada kaedah ilmu faraid atau mendapat maklumat yang betul daripada orang-orang yang benar-benar berpengetahuan dalam ilmu faraid.

         Faedah mengetahui waris yang berhak mewarisi:
       Supaya hanya waris yang berhak sahaja yang akan mengurus dan membincangkan pembahagian harta. Campurtangan orang luar seperti ipar, menantu, rakan-rakan yang tidak diundang mungkin boleh menimbulkan salah faham, ketidakpuashatian di kalangan waris yang akhirnya akan menimbulkan pertelingkahan. Bagaimana pun mereka boleh membantu sekiranya diperlukan.
         Agar waris yang berhak tidak ditinggalkan.
         Agar tidak ada di kalangan ahli keluarga yang merasa kecewa dan malu akibat kejahilan hukum faraid kerana menyangka beliau berhak mendapat pusaka sedangkan mengikut hukum faraid, sebenarnya beliau tidak berhak.
  Agar waris-waris dapat memilikki atau memakan harta bersih, baik dan berkat serta mendapat keredhaan Allah s.w.t..

5.2. Tahu kadar bahagian waris
     Setelah mengetahui siapakah waris yang berhak mewarisi, waris-waris sepatutnya mengetahui pula bahagian yang mereka warisi. Samada banyak atau sedikit. Samada mewarisi secara fardu atau asabah. Samada ½, ¼, 1/6 bahagian dan sebagainya.
  Pengetahuan mengenai kadar bahagian waris hanya boleh diketahui melalui pengajian kaedah pembahagian yang terdapat dalam ilmu faraid.

         Faedah mengetahui bahagian masing-masing.
         Boleh mengelakkan salah faham di kalangan waris yang selalunya beranggapan waris lelaki mendapat pusaka lebih banyak daripada waris perempuan.
     Memudahkan perbincangan dan tolak ansur di kalangan waris. Ada kemungkinan waris yang mendapat bahagian yang sedikit menyerahkan bahagiannya kepada waris yang memperoleh bahagian yang banyak mengikut kaedah takharuj.
         Waris-waris dapat mengira habuan masing-masing dengan mudah.
         Memudahkan waris untuk merancang pembahagian secara muafakat.
      Waris yang mendapat bahagian yang lebih banyak, sepatutnya diberi keutamaan dalam memilikki harta, peluang bersuara atau menyampaikan pendapat.

5.3. Maklum tentang semua harta si mati
         Setiap orang waris sepatutnya mengetahui kesemua harta si mati meliputi harta takalih dan harta alih. Contohnya: tanah, rumah, kenderaan, wang tunai / simpanan, barang kemas, pakaian dan sebagainya untuk dibincangkan pembahagiannya satu persatu.

         Pastikan semuanya milik si mati. Termasuk:
         Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
         Dividen daripada saham atau simpanan si mati sebelum harta dibahagikan.
         Harta yang diperoleh hasil daripada usaha si mati semasa hayatnya. Ch. Ikan yang lekat pada pukat yang dipasang oleh si mati.

         Bukan milik si mati antaranya:
         Harta yang dipinjam, hendaklah dipulangkan.
         Harta si mati sebagai pemegang amanah, hendaklah diberikan kepada pemiliknya.
         Harta yang telah dijual, berikan kepada pembeli.
         Harta yang telah dihibah, berikan kepada penerimanya.
         Harta yang telah diwakaf, serahkan kepada pihak yang berkenaan.
         Harta yang diperolehi secara haram, serahkan kepada Baitulmal.
         Duit khairat kematian.
         Duit pemberian / sedekah orang yang datang menziarahi kematian.

5.4. Adakan perbincangan
       Perbincangan di kalangan waris yang berhak perlu untuk mencapai persepakatan dalam menyelesaikan pembahagian pusaka.

6. PERKARA YANG PERLU DIBINCANGKAN ADALAH SEPERTI BERIKUT:

         Belanja pengebumian
    Belanja pengebumian ialah belanja menguruskan jenazah si mati sehingga selamat dikebumikan. Perbelanjaan yang boleh ditakrifkan sebagai belanja pengebumian ialah perbelanjaan ke atas urusan yang wajib sahaja.

o   Sumber kewangan untuk belanja pengebumian
o   Pada dasarnya perbelanjaan ini boleh diambil daripada harta pusaka si mati walaupun tanpa kebenaran waris-waris atau terdapat anak yatim di kalangan waris kerana belanja mati adalah hak si mati. Selain daripada harta si mati, belanja pengebumian boleh juga diambil daripada:
§  Wang sumbangan orang ramai yang menziarahi kematian.
§  Wang khairat kematian.
§  Jika ada di kalangan anak-anak, saudara mara, sahabat handai yang sudi dengan ikhlas mengeluarkan  wang sendiri untuk pengebumian si mati.  

o   Bagi urusan yang tidak wajib, seperti kenduri tahlil, boleh juga diambil daripada harta si mati dengan syarat:
         Semua waris yang berhak mewarisi pusaka si mati bersetuju.
         Semua waris yang memberi persetujuan hendaklah cukup umur dan sempurna akal.
         Sekiranya terdapat waris yang belum dewasa atau tidak sempurna akal, boleh diambil daripada harta  si mati setelah diasingkan bahagian mereka.
o   Bagi seorang isteri yang meninggal dunia, belanja pengebumian wajib ke atas suaminya walaupun isteri itu  seorang yang kaya.

·         Hutang
         Sebelum harta pusaka difaraidkan, sekiranya si mati ada meninggalkan hutang, maka waris-waris wajib menyelesaikannya.
         Dua jenis hutang:
        Hutang kepada Allah.
        Hutang kepada manusia.

  • Wasiat
      Setelah ditolak urusan pengebumian, diselesaikan hutang si mati, waris-waris hendaklah bincangkan samada si mati ada meninggalkan wasiat atau tidak. Sekiranya ada, wasiat perlu ditunaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta kepada waris-waris.
         Langkah pertama: Pastikan status wasiat samada sah atau tidak. Sekiranya sah mengikut hukum syarak, wajib ditunaikan. Jika tidak semua waris menanggung dosa hingga ke akhirat. Sekiranya tidak sah, terpulang kepada budibicara waris membuat penentuan samada mahu menunaikan wasiat tersebut atau mengabaikannya.
         Antara syarat sah wasiat:
         Tidak diwasiatkan kepada waris yang berhak menerima pusakanya. Misalnya, seseorang itu mewasiatkan kalau beliau mati, sebidang tanah lot pertanian hendaklah diberikan kepada anak sulungnya. Wasiat ini tidak sah kerana anak adalah waris yang berhak menerima pusaka. Wasiat yang sah ialah pemberian kepada anak angkat atau sesiapa sahaja yang tidak mewarisi pusaka seseorang itu apabila beliau mati.
         Sekiranya diwasiatkan kepada bukan waris, hendaklah tidak melebihi 1/3 daripada harta bersih iaitu setelah ditolak harta sepencarian (jika ada), belanja pengebumian dan hutang si mati. Contohnya: sekiranya si mati hanya meninggalkan sebuah rumah sahaja dan diwasiatkan semuanya kepada anak angkatnya. Apabila beliau meninggal dunia, hanya 1/3 bahagian daripada rumah tersebut boleh diberikan kepada anak angkatnya. Selebihnya kepunyaan waris. Terpulang kepada budibicara waris untuk memberikan kesemua rumah tersebut kepada anak angkat si mati mengikut wasiat atau meluluskan hanya 1/3 sahaja. 2/3 bahagian lagi difaraidkan.
         Dalil tidak boleh berwasiat kepada waris yang berhak.

Sabda Rasulullah s.a.w.
      إن الله عزوجل قد أعطَى كل ذى حق حقــه ألا لا وصية لوارث

         Maksudnya:
        Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak itu hak masing-masing, kerana itu tiada wasiat kepada waris yang berhak.
 

v  Dalam perbincangan, waris-waris hendaklah bersikap positif, bertolak ansur, tidak pentingkan diri dan sama-sama berusaha ke arah mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan keluarga. Selepas ini waris-waris akan berjumpa lagi dalam perbincangan untuk membahagikan harta pusaka.


1 comments:

saybee said...

Salam,

Saya ada satu pertanyaan. Sebidang tanah yang asalnya milik arwah ibusaya tetapi Abang sulong minta kami adik beradik sepakat beri padanya kerana dia yang tinggal di kampung sedangkan yang lain tinggal dibandar. Hanya sesekali plpulang berhari raya & bercuti. Kami adik beradik bersetuju dgn syarat kami boleh pulang ke kampung seperti biasa.

SSetelah biacara kuasa selelsa dgn lancar. Tanah tersebut telah bertukar nama abang saya seperti hajatnya. Kemudian, saya meminta sedikit tanah tersebut untuk dibuat rumah hinggap kami apabila pulang ke kampung & tidak perlu menganggu abang sulong sy Abang saya bersetuju.

Malangnya abang saya kemudian telah meninggal dunia, hartanya diturnkan kepada anak2 & isteriny termasuk tanah pusaka arwah ibu.

Persoalan saya, masih 'valid'kah permintaan sy untuk mendapatkan sedikit tanah tersebut dgn kebenaran abang sy sebelum ini? Atau sy sudah tidak layak lagi kerana pemilikannya telah bertukar?

Terima kasih

Post a Comment