BILAMANA
WARIS MENDAPAT KURANG DARIPADA SEPATUTNYA.
Satu hari Ahmad datang berjumpa dengan
seorang imam masjid di kampungnya meminta imam itu bahagikan harta peninggalan
isterinya yang meninggal dunia seminggu sebelum itu. Harta pusaka yang hendak
dibahagikan ialah wang tunai sebanyak RM6,000.00.
Setelah bertanyakan
Ahmad tentang kedudukan waris yang ditinggalkan oleh si mati, ternyata si mati
hanya meninggalkan suami iaitu Ahmad dan dua orang saudara perempuan seibu
sebapa bernama Sabariah dan Kamariah. Si mati tidak mempunyai anak, malah ibu
dan bapa juga tidak ada kerana mereka telah lama meninggal dunia.
Imam yang berbekalkan
sedikit pengetahuan tentang ilmu faraid bersetuju membantu Ahmad dan
memberitahu Ahmad berhak mendapat separuh (1/2 bahagian) daripada wang
peninggalan isterinya. Berdasarkan kepada surah an-Nisa’ ayat 12 yang
bermaksud:
“dan
bagi kamu (suami) setengah (1/2) daripada harta
yang ditinggalkan
oleh isteri kamu jika mereka tidak mempunyai
anak”.
Ini bermakna Ahmad
mendapat 1/2xRM6,000 = RM3,000.00. Berdasarkan kepada dalil al-Quran di atas,
imam itu memberikan kepada Ahmad bahagiannya sebanyak RM3,000.00.
Ahmad yang mengenali
imam sejak sekian lama meminta imam itu menyimpan baki RM3,000.00 untuk diberikan
kepada dua orang saudara perempuan seibu sebapa isterinya yang akan datang
beberapa hari lagi.
Dua hari kemudian,
Sabariah dan Kamariah datang berjumpa imam untuk menuntut haknya yang disimpan
oleh imam. Setibanya di rumah imam, imam terus memberikan kepada mereka baki yang
disimpan olehnya sebanyak RM3,000.00.
Sebelum datang
berjumpa imam, Sabariah dan Kamariah telah menemui seorang ustaz dan
bertanyakan bahagian mereka berdasarkan hukum faraid. Ustaz memberitahu mereka
berhak mendapat 2/3 bahagian daripada harta pusaka itu berdasarkan kepada ayat
176 surah an-Nisa’ yang bermaksud;
“sekiranya
saudara perempuan itu dua orang, maka kedua-dua
mereka
mendapat 2/3 daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati”.
Ini bermakna dua saudara perempuan seibu sebapa
itu berhak mendapat 2/3x RM6,000.00 = RM4,000.00.
Berbekalkan hujah di
atas, Sabariah dan Kamariah bertanyakan kepada imam mengapakah diberikan kepada
mereka hanya RM3,000.00 sedangkan sepatutnya mereka berhak mendapat RM4,000.00.
Imam berfikir sejenak. “Betul kata mereka. Bahagian mereka 2/3 bersamaan
RM4,000.00. Sedangkan duit baki hanya ada RM3,000.00. Di mana silapnya?”.
Imam tidak mahu
kewibawaannya dicabar. Lantas tanpa banyak bicara beliau masuk ke dalam bilik
dan mengambil RM1,000.00 yang kebetulan disimpan untuk perbelanjaan menyambut
hari raya. Sabariah dan Kamariah mendapat habuan mereka RM4,000.00 dan terus
beredar.
SOALAN:
Apakah yang sebenarnya berlaku?
JAWAPAN:
Si mati meninggalkan hanya tiga orang waris
sahaja iaitu, suami dan dua orang saudara perempuan seibu sebapa. Suami
mendapat ½ bahagian kerana si mati tidak meninggalkan anak manakala dua orang
saudara perempuan seibu sebapa pula mendapat 2/3 bahagian kerana mereka lebih
daripada seorang dan tidak ada saudara lelaki seibu sebapa yang mengasabahkan
mereka.
Pengiraan seperti berikut:
|
|
6
|
RM6,000.00
|
Suami
|
1/2
|
3
|
RM3,000.00
|
2 SIBP
|
2/3
|
4
|
RM4,000.00
|
Sekiranya diberikan
kepada suami RM3,000.00, bermakna bakinya RM3,000.00 dan tidak cukup untuk
diberikan bahagian dua saudara perempuan seibu sebapa yang sepatutnya mendapat
RM4,000.00. Sekiranya diberikan kepada dua saudara perempuan itu RM4,000.00,
bakinya RM2,000.00 sudah tentu tidak cukup untuk diberikan kepada suami yang
sepatutnya mendapat RM3,000.00.
Bagi menyelesaikan kes
ini, terdapat satu kaedah dalam hukum faraid yang di namakan kes ‘AUL. (Rujuk: Buku Pengurusan dan Pembahagian Harta
Pusaka, DBP, Tajuk: Konsep ‘AUL. M.s. 133).
‘AUL merupakan salah
satu kaedah yang agak unik dalam ilmu faraid, di mana dengan kaedah ini
seseorang itu mendapat kurang daripada apa yang patut diperolehnya.
‘AUL bermakna
bertambahnya angka pembawah atau bilangan pembahagi yang mana dengan sebab
pertambahan ini akan mengurangkan bahagian waris yang sepatutnya mendapat
bahagian asal yang lebih banyak.
Kaedah ‘AUL adalah bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan
dengan bahagian waris fardu di mana setiap waris fardu berhak mendapat bahagian
masin g-masing dan tidak boleh dikurangkan bahagian mereka.. Bagaimana pun,
dalam beberapa keadaan jika dibahagikan mengikut bahagian masing-masing, harta
yang ada tidak dapat memenuhi bahagian semua waris. Jika diberikan kepada suami ½ bahagian,
bahagian saudara perempuan akan menjadi kurang. Jika diberikan bahagian adik
beradik 2/3 bahagian, suami pula akan mendapat kurang. Untuk mendapatkan
keadilan, kedua-dua pihak akan mendapat kurang daripada sepatutnya melalui
kaedah ‘AUL seperti berikut:
|
|
6
|
7
|
RM6,000.00
|
Suami
|
1/2
|
3
|
3
|
RM2,571.43
|
2 SIBP
|
2/3
|
4
|
4
|
RM3,428.57
|
Keterangan rajah:
Kes ini di ‘AUL kan daripada 6 kepada 7. Iaitu dibesarkan pembawahnya daripada 6
kepada 7 bersamaan dengan jumlah bahagian waris. Bermakna suami mendapat 3/7
bahagian manakala saudara perempuan mendapat 4/7 bahagian.
Dengan itu suami
mendapat RM2,571.43 (RM6,000x3/7) manakala saudara perempuan mendapat
RM3,428.57 (RM6,000x4/7). Suami mendapat kurang sebanyak RM428.57 dan saudara
perempuan pula mendapat kurang sebanyak RM571.43 daripada sepatutnya.
PERHATIAN:
Berhati-hatilah dalam pembahagian harta
pusaka. Pelajari ilmu faraid dengan sempurna. Kes ‘AUL berlaku dalam 8 keadaan
di mana dengan kes ini menyebabkan waris mendapat kurang daripada sepatutnya.
Sekian.
0 comments:
Post a Comment