Sunday 14 October 2012


BAPA KU BERWASIAT

Salam Ustaz,
Bapa saya telah meninggal dunia setahun yang lalu. Semasa hayatnya, bapa telah membuat wasiat secara rasmi iaitu melalui agen wasiat dan dibuat lengkap secara dokumen dan ada saksi.
Bapa saya berwasiat rumah kediaman diserahkan kepada ibu saya iaitu isteri bapa manakala sebuah kondominium diserahkan kepada saya dan adik saya  iaitu dua orang anak perempuan bapa.
Saya telah membuat permohonan untuk melaksanakan wasiat bapa saya di Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil. Bulan lepas saya telah dipanggil untuk ‘perbicaraan’. Kami tiga beranak telah datang ke Pejabat Pusaka Kecil, malangnya pegawai berkenaan mengatakan wasiat itu tidak terpakai dan meminta kami mendapatkan persetujuan daripada bapa dan ibu saudara kami atau kami pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan  pengesahan wasiat.
Masalahnya, saya menjadi keliru. Mengapa dokumen wasiat yang dibuat oleh bapa saya dikatakan tidak terpakai dan sehingga sekarang kes pusaka bapa saya masih belum selesai kerana saya rasa bapa dan ibu saudara saya tidak perlu mencampuri urusan harta pusaka bapa. Ini kerana bapa sudah berwasiat semua hartanya diserahkan kepada kami tiga orang sahaja. Mengapa pula dokumen wasiat yang dibuat lengkap perlu disahkan oleh Mahkamah Syariah?.
Anak watan Ganu.

Waalaikum Salam Puan,
Sekiranya penerima wasiat itu ditujukan kepada waris yang berhak menerima pusaka seperti isteri dan anak perempuan, hukumnya, wasiat itu tidak sah. Ini berdalilkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menentukan hak (bahagian) waris yang berhak, oleh itu tidak ada wasiat kepada waris-waris”.

Dalam kes ini, si mati telah berwasiat supaya diserahkan hartanya kepada isteri dan dua orang anak perempuannya. Oleh kerana wasiat ini tidak sah, pegawai pembahagian pusaka kecil telah mengikut tatacata yang betul dari segi undang-undang dan hukum syarak iaitu pertama: membuat siasatan kedudukan waris si mati.  Kedua: meminta persetujuan semua waris yang berhak untuk melaksanakan wasiat itu.
Dari fakta yang puan nyatakan di atas, saya  dapat mengagak bahawa si mati meninggalkan seorang isteri, dua orang anak perempuan dan adik beradik lelaki dan perempuan (sama ada adik beradik si mati seibu sebapa atau sebapa).
                Walau pun  wasiat itu tidak sah, namun masih boleh dilaksanakan sekiranya semua waris yang berhak menerima pusaka bersetuju dengan isi kandungan wasiat itu. Daripada fakta yang diberikan di atas, waris yang berhak ialah:


24
72
Isteri
1/8
3
9
2 anak perempuan
2/3
16
48
Adik beradik lelaki
Asabah  (baki)
5
10
Adik beradik perempuan
Asabah (baki)

5

Ini bermakna adik beradik si mati yang merupakan bapa dan ibu saudara puan perlu memberi persetujuan. Kegagalan puan untuk mendapatkan pengesahan /persetujuan daripada bapa dan ibu saudara puan, bermakna  wasiat itu tidak terpakai sama sekali dan tidak boleh dilaksanakan.
Untuk memuaskan hati puan, pegawai pembahagian pusaka mencadangkan supaya puan membuat pengesahan wasiat  di Mahkamah Syariah. Seperti mana di Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil, Mahkamah Syariah juga akan meminta puan membawa kedua-dua bapa dan ibu saudara puan untuk diambil persetujuan mereka. Kegagalan mendapatkan persetujuan kedua-dua mereka, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah bahawa wasiat itu adalah tidak sah dan tidak dapat dilaksanakan.
Kesudahannya, harta pusaka bapa puan hendaklah difaraidkan.

Dokumen lengkap.
Sebenarnya, untuk menentukan sama ada sesuatu wasiat itu sah atau tidak bukan hanya terletak kepada dokumen yang dikatakan lengkap, tetapi mesti memenuhi syarat sah wasiat antaranya:
1.       Penerima wasiat bukan waris yang berhak menerima harta pusaka pewasiat. Contohnya, anak angkat, anak tiri, menantu, cucu yang tidak berhak mewarisi dan sesiapa sahaja yang bukan dalam kalangan mereka yang berhak mewarisi harta pusaka pewasiat. Dengan kata lain, tidak sah berwasiat kepada isteri dan anak-anak kerana mereka itu adalah waris yang berhak dan bahagian mereka telah ditentukan mengikut hukum faraid. Konsep wasiat yang sebenar ialah berwasiat kepada bukan waris.

2.                  Oleh kerana dibenarkan berwasiat kepada bukan waris, maka had maksimum yang dibenarkan hanya  setakat 1/3 bahagian sahaja. Manakala 2/3 bahagian lagi adalah untuk diagihkan kepada waris-waris mengikut hukum faraid.

Kesimpulan:
Mewasiatkan harta kepada isteri dan anak-anak, pada dasarnya wasiat itu tidak terpakai sehinggalah kesemua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati itu bersetuju untuk melaksanakannya. Sekiranya tiada persetujuan diperolehi, harta yang diwasiatkan itu kembali kepada hukum asal iaitu FARAID.

0 comments:

Post a Comment