KONSEP HIBAH
HIBAH
1.
Pengertian
Hibah bererti pemberian atau sumbangan
harta oleh seseorang kepada orang atau pihak lain semasa hayatnya tanpa
balasan.
Contoh:
a.
Sidiq
memberikan sebuah kereta kepada isterinya.
b. Ahmad
menyumbangkan lima buah kerusi roda kepada persatuan orang kurang upaya.
2.
Perbezaan hibah dan wasiat
Hibah berbeza dengan wasiat dalam
empat aspek, iaitu:
2.1. Tarikh kuatkuasa pemindahan
milik.
Harta yang diwasiatkan akan berpindah
milik kepada penerima wasiat selepas kematian pewasiat, manakala harta yang
dihibahkan akan terus berpindah milik kepada penerima sebaik sahaja pemberian
itu diterima setelah ijab dan qabul,
iaitu ketika pemberi hibah masih hidup.
2.2.
Kadar harta yang boleh diwasiat atau dihibah.
Harta yang diwasiatkan hanya
dibenarkan setakat 1/3 daripada harta milik pewasiat manakala harta yang mahu
dihibahkan tidak dihadkan jumlahnya sehinggalah kepada kesemua harta.
2.3. Penerima
Penerima wasiat hanya dibenarkan
kepada bukan waris yang berhak menerima pusaka, manakala penerima hibah tidak
dikhususkan kepada sesuatu golongan bahkan dibenarkan kepada sesiapa sahaja.
2.4. Persetujuan waris
Sekiranya diwasiatkan juga kepada
waris yang berhak atau harta yang diwasiatkan itu lebih daripada 1/3 harta,
wasiat tersebut boleh dilaksanakan dengan syarat mendapat persetujuan daripada
semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka pewasiat, manakala hibah tidak
memerlukan persetujuan bakal waris.
3.
Antara syarat sah hibah.
a.
Pemberi
hibah mestilah tuan punya harta.
b.
Pemberi
hibah sempurna akal, baligh dan mampu mengurus harta.
c.
Tiada
unsur penipuan atau paksaan.
d.
Penerima
hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan (Qabad).
4.
Perselisihan pendapat tentang Qabad
a.
Shafie
dan Hanafi :
Qabad merupakan syarat sah
hibah. Sekiranya tidak ada pemindahan milik daripada pemberi kepada penerima
hibah, hibah itu tidak sah. Bermakna tidak memadai dengan ijab dan qabul
sedangkan harta itu masih dikuasai atau dimiliki oleh pemberi hibah.
b.
Hanbali
dan Maliki :
Qabad bukan syarat sah
hibah. Memadai dengan akad sahaja.
5.
Pemberian bersyarat
Setiap pemberian sepatutnya tidak
disertakan dengan syarat. Ini kerana pemberian itu sah, manakala syarat yang
diberikan tidak terpakai.
Contoh:
a.
Sekiranya
seorang bapa memberi sesuatu kepada anaknya dan memberikan syarat supaya tidak
menjual harta tersebut. Pemberian itu sah, tetapi syarat itu boleh diabaikan.
b.
Sekiranya
dikatakan seperti berikut: ‘Saya beri kepada awak sepanjang hidup awak.
Sekiranya awak mati, saya ambil balik’. Hukum pemberian ini sah, tetapi apabila
penerima hibah mati, harta akan diwarisi oleh waris penerima hibah dan pemberi hibahtidak boleh
mengambilnya kembali.
5.1.
Umra dan Ruqba.
a.
‘Umra’
bermaksud pemberian hanya setakat hayat pemberi atau penerima hibah. Seperti
katanya: “Tanah ini aku berikan kepada kamu sepanjang hayat kamu. Jika kamu
mati dahulu tanah itu kembali kepada aku. Jika aku mati dahulu, tanah itu
hendaklah dikembalikan kepada waris-waris aku”.
b.
‘Ruqba’
bermaksud pemberian kepada seseorang dengan katanya: “Tanah ini aku berikan
kepada kamu. Jika kamu mati dahulu, tanah kembali menjadi milik aku dan kalau
aku mati dahulu, tanah ini kekal menjadi milik kamu”.
5.2.
Hukum pemberian bersyarat.
l
Jumhur
ulama (majoriti) berpendapat hibah bersyarat hukumnya: Pemberian itu sah tetapi
syaratnya terbatal.
l
Sebahagian
ulama berpendapat bahawa pemberian secara ‘Umra’ dan ‘Ruqba’ adalah sah.
l
Keputusannya:
oleh kerana masih belum ada Enakmen Hibah untuk dijadikan rujukan, sesuatu
hibah bersyarat yang dibuat melalui dokumen hibah hendaklah dirujuk kepada
Mahkamah Syariah untuk diputuskan.
6.
Dokumen hibah.
Hibah yang sempurna ialah pemberian
yang disusuli dengan pindah milik atau pertukaran nama. Misalnya pindah milik tanah
melalui Borang 14A di Pejabat Tanah atau pindah milik kereta di Pejabat JPJ.
Sekiranya pemberian hanya dibuat
melalui dokumen hibah, tanpa disusuli dengan pindah milik, harta itu masih
kekal didaftarkan dengan nama pemberi hibah. Apabila pemberi hibah meninggal
dunia, penerima hibah hendaklah membuat tuntutan melalui proses pembahagian
harta pusaka untuk memindah milik harta itu kepadanya.
Di sini terdapat dua kemungkinan
a.
Sekiranya
waris-waris yang berhak ke atas harta pusaka pemberi hibah tidak membuat
sebarang bantahan dan bersetuju dengan dokumen hibah, pegawai pusaka akan terus
menukar milik harta itu kepada penerima hibah.
b.
Sekiranya
waris-waris tersebut di atas tidak bersetuju dengan dokumen hibah itu atau
membuat bantahan, penerima hibah hendaklah membawa kes mahkamah syariah untuk mendapatkan pengesahan
hibah. Penerima hibah akan memiliki harta itu sekiranya mahkamah memutuskan
hibah itu sah. Sebaliknya harta itu akan difaraidkan sekiranya mahkamah
mendapati hibah yang dibuat melalui dokumen itu tidak menepati hukum syarak.
7.
Mengambil balik pemberian
Apabila berlaku ijab dan qabul maka
berpindahlah milik harta yang dihibahkan itu kepada penerima hibah. Tidak boleh
lagi pemberi mengambil kembali kecuali pemberian oleh bapa kepada anaknya.
Dalilnya, hadis riwayat Ibnu Umar dan
Sayidina Abbas r.a. yang bermaksud:
“Tidak halal bagi seseorang yang
memberi atau menghebahkan sesuatu kemudian memilikkinya semula kecuali bapa
yang memberikan sesauatu kepada anaknya”.
8.
Hukum pemberian bapa kepada anak
Seseorang itu boleh
menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun,
seorang bapa seboleh-bolehnya hendaklah berlaku adil kepada anak-anak mereka.
Ini dijelaskan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nukman bin
Basyir yang bermaksud:
“Bapa saya telah memberi sesuatu kepada saya. Ibu tidak
setuju. Disuruhnya bapa saya berjumpa dan bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w.
Rasulullah bertanya kepada Basyir: Adakah engkau mempunyai anak lain seperti
ini?. Kata Basyir: Ya!. Rasulullah bertanya: Adakah engkau berikan yang
seumpama ini kepada mereka?. Kata Basyir: Tidak. Rasulullah berkata: Ambil
balik”.
Daripada hadis
tersebut ulama berpendapat seperti berikut:
Al-Rafa‘i berkata
pemberian seumpama itu hukumnya makruh, dan Ibn Hibban pula berpendapat
tindakan bapa tersebut adalah haram. Manakala kebanyakan ulama berpendapat
tidak wajib seorang bapa itu memberikan sama rata kepada anak-anak mereka
tetapi makruh jika diberikan berlebih kurang tanpa sebab.
Bagaimanapun,
ada pendapat yang mengatakan haram bagi bapa menghibahkan hartanya kepada
anak-anak dengan berlebih kurang sekiranya dengan pemberian tersebut membawa
kepada pertelingkahan di kalangan anak-anaknya.
Sebuah
hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada al-Bukhari yang bermaksud:
“Bertaqwalah
kepada Allah dan berlaku adillah antara anak-anak kamu”.
Sekian.
Perunding W
Halim.
3 November 2012.
1 comments:
salam tuan..kalau simati meninggalkan seorang anak perempuan,emak dan adk-bradik seibu sebapa tanpa meninggalkan wasiat, macam mana cara untuk salah seorang waris ni(anak perempuan) nak mintak persetujuan waris2 yg lain untuk melaksanakan pembahagian harta pusaka?
macam mana pula kalau waris-waris laen enggan beri persetujuan untuk melaksanakan pembahagian harta pusaka tersebut?
apa langkah yang perlu diambil oleh waris tersebut (anak perempuan) untuk meneruskan dengan pembahagian harta pusaka tersebut?
jazakallah..
Post a Comment