Friday 30 November 2012


ADAKAH WAJIB BAGI SESEORANG ITU MENGAMBIL BAHAGIAN YANG TELAH DIPERUNTUKKAN OLEH HUKUM FARAID KEPADANYA?

Hukum faraid adalah merupakan formula yang menyatakan siapakah dalam kalangan kaum keluarga yang berhak mewarisi harta pusaka  si mati dan ini dinamakan ‘penentuan waris’. Juga formula yang menyatakan berapakah bahagian yang berhak diwarisi oleh setiap orang waris dan ini dinamakan ‘penentuan bahagian’.

Contoh penentuan waris:
Ali mati meninggalkan ibu, bapa, nenek sebelah ibu, isteri yang telah diceraikan beberapa tahun yang lalu, isteri yang bercerai mati, dua orang anak lelaki, seorang anak perempuan, lima orang cucu dan empat orang adik beradik.
Hukum faraid telah menentukan bahawa waris yang berhak mewarisi harta pusaka Ali ialah: ibu, bapa, isteri yang bercerai mati, dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Waris-waris lain tidak layak mewarisi berdasarkan kepada formula yang digariskan di dalam ilmu faraid.

Contoh penentuan bahagian:
Hukjum faraid menentukan bahagian waris yang berhak mewarisi adalah seperti berikut:

Ibu
1/6
Bapa
1/6
Isteri
1/8
Anak lelaki
Asabah
Anak lelaki
Asabah
Anak perempuan
Asabah

Asabah bermakna baki setelah diberikan bahagian ibu, bapa dan isteri yang mewarisi secara fardu. Oleh kerana si mati meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, anak-anak mewarisi secara ‘asabah bil-ghairi’, iaitu anak lelaki mendapat 2 bahagian manakala anak perempuan pula mendapat 1 bahagian iaitu nisbah 2:1.
Soalnya, berapakah bahagian yang diwarisi oleh anak-anak?. Untuk mengetahui bahagian mereka, perlu kepada pengiraan faraid:  



24
120
Ibu
1/6
4
20
Bapa
1/6
4
20
Isteri
1/8
3
15
Anak lelaki
Asabah

26
Anak lelaki
Asabah
13
26
Anak perempuan
Asabah

13

Setelah pengiraan, ibu bapa masing-masing mendapat 20/120 bahagian, isteri mendapat 15/120 bahagian, setiap anak lelaki mendapat 26/120 bahagian dan anak perempuan pula mendapat 13/120 bahagian.
Sekiranya si mati meninggalkan sebidang tanah pertanian seluas 2 ekar nilaiannya RM100,000, pembahagian mengikut hukum faraid adalah seperti rajah di bawah:



24
120
2 ekar
RM100,000
Ibu
1/6
4
20
0.33
RM16,666.67
Bapa
1/6
4
20
0.33
RM16,666.67
Isteri
1/8
3
15
0.25
RM12,500.00
Anak lelaki
Asabah

26
0.43
RM21,666.67
Anak lelaki
Asabah
13
26
0.43
RM21,666.67
Anak perempuan
Asabah

13
0.21
RM10,833,33

Soalan
Adakah wajib bagi seseorang itu mengambil bahagian yang telah diperuntukkan oleh hukum faraid kepadanya? Bahkan ada yang mengatakan bahawa ‘tidak baik’ jika seseorang itu tidak mengambil bahagiannya kerana bahagian itu telah ditentukan oleh Allah di dalam al-Quran. Sebagai contoh, bolehkah ibu dan bapa si mati menyerahkan bahagian mereka kepada cucu mereka (anak si mati)?.

Jawapan
Sebagaimana yang diterangkan di atas, hukum faraid adalah merupakan formula untuk menentukan waris yang layak mewarisi dan menentukan bahagian bagi setiap orang waris yang berhak sebagaimana diterangkan di dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 11,12 dan 176.
Setelah mengetahui bahagian, seseorang waris itu bebas untuk membuat pilihan sama ada menerima bahagiannya atau menyerahkannya kepada orang lain. Penyerahan hak ini dibenarkan dalam hukum faraid dan dikenali sebagai ‘takharuj’.
Ibu dan bapa si mati boleh menyerahkan bahagian mereka kepada anak-anak si mati.  selalu berlaku dalam masyarakat di mana datuk dan nenek menyerahkan hak mereka kepada cucu mereka tanpa balasan. Penyerahan hak ini dinamakan ‘takharuj tanpa balasan’. Sekiranya penyerahan hak ini dibuat dengan meminta balasan atau bayaran, penyerahan hak ini dinamakan ‘takharuj dengan balasan’.

Syarat sah penyerahan hak:
1.       Waris yang ingin menyerahkan haknya kepada orang lain tahu sekurang-kurangnya bahagian atau nilai yang patut diwarisi ke atas harta pusaka itu. Misalnya, ibu dan bapa si mati sekurang-kurangnya mengetahui bahagian mereka 1/6 bahagian tiap seorang.
2.       Penyerahan hak dilakukan oleh waris cukup umur /dewasa dan sempurna akal.
3.       Penyerahan hak dibuat secara sukarela. Tiada paksaan atau ugutan mana-mana pihak.

Kesimpulan:
Hukum faraid hanya menentukan waris yang berhak mewarisi dan menentukan bahagian masing-masing. Setiap orang waris mempunyai hak memilih sama ada menerima harta pusaka itu atau menyerahkannya kepada orang lain. Penyerahan hak menjadi sah sekiranya dibuat dengan ikhlas bahkan diberikan ganjaran pahala di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim.

Wallahuaklam.

0 comments:

Post a Comment