Sunday 30 June 2013

BAGAIMANA ISTERI / SUAMI MEWARISI PUSAKA

Perkahwinan merupakan salah satu sebab seseorang itu berhak mewarisi harta pusaka di samping tiga sebab lain iaitu keturunan (seperti ibu bapa dan anak cucu), wala’ (tuan yang membebaskan hamba) dan Islam (Baitulmal).
Pasangan si mati sama ada suami atau isteri, layak mewarisi harta pusaka di mana ketika kematian berlaku mereka masih berada dalam ikatan perkahwinan dengan syarat-syarat dan dalam keadaan berikut;
1.    Perkahwinan yang dilangsungkan itu hendaklah sah mengikut hukum syarak. Sekiranya perkahwinan itu nyata tidak sah, saling tidak mewarisi antara suami isteri. Isteri tidak layak mewarisi harta suami dan begitulah sebaliknya.

2.    Walau pun kematian berlaku beberapa minit  selepas akad nikah dilangsungkan, pasangan itu telah memegang status suami isteri. Oleh itu saling mewarisi antara satu sama lain. Misalnya sesudah sahaja selesai majlis akad nikah, pengantin lelaki jatuh pengsan lalu meninggal dunia. Pengantin perempuan yang baru beberapa minit bergelar isteri itu boleh mewarisi harta pusaka pengantin lelaki yang meninggal itu.


3.     Walau pun pasangan pengantin itu masih belum ‘bersama’. Persetubuhan tidak menjadi syarat kelayakan untuk mewarisi harta pusaka. Oleh itu walau pun tidak berlaku persetubuhan, kalau suami meninggal dunia, isteri layak mewarisi. Demikian sebaliknya.

4.     Semua harta kepunyaan pengantin lelaki yang meninggal itu dikira sebagai harta pusaka, tidak kira harta itu diperolehi daripada mana asalkan semua harta itu kepunyaan si mati. Isteri layak mewarisi. Demikian juga sebaliknya.
 Sebagai contoh, sebelum berkahwin Osman telah membeli sebuah rumah kediaman dan sebuah kereta. Osman juga mendapat sebidang tanah pertanian daripada harta pusaka bapanya dan satu lot tanah tapak rumah yang dihibahkan oleh nenek kepadanya. Semua harta yang disebutkan di atas adalah milik Osman. Kematian Osman menjadikan semua harta itu adalah harta pusaka dan boleh diwarisi oleh isterinya.

SOALAN
Adakah pasangan yang semasa hayat mereka telah bercerai (bercerai hidup) juga berhak mewarisi harta jika salah seorang daripada mereka meninggal dunia?
JAWAPAN
Bagi pasangan yang bercerai hidup, masih berpeluang mendapat pusaka dengan syarat kematian berlaku ketika bekas isteri masih dalam edah talak rajii iaitu talak satu atau tolak dua. Contohnya, Osman telah menceraikan isterinya Sabariah dengan tolak satu. Seminggu kemudian Osman sesak nafas dan meninggal dunia di hospital. Sabariah boleh mewarisi harta pusaka bekas suaminya, Osman kerana masih dalam edah talak rajie.

BAHAGIAN ISTERI
SOALAN
Apabila seorang lelaki mati meninggalkan seorang isteri, berapakah bahagian isteri?
JAWAPAN
Isteri mewarisi dalam dua keadaan:
1.    Pertama, seorang isteri akan mendapat sebanyak 1/4 bahagian daripada kesemua harta pusaka suaminya sekiranya suami yang meninggal dunia itu tidak mempunyai keturunan ke bawah iaitu anak atau cucu.
2.    Kedua, sekiranya suami yang meninggal dunia itu ada meninggalkan keturunan ke bawah seperti anak atau cucu,  isteri layak  mewarisi sebanyak 1/8 bahagian daripada harta pusaka suaminya.
Dalilnya: (Surah al-Nisa’ 4:12) maksudnya:
“..dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak, tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan…”.

Contoh:
1.    Kasim dan Sabariah baru sebulan mendirikan rumah tangga. Kedua mereka adalah teruna dan dara. Kasim mati dalam satu kemalangan jalan raya. Sabariah layak mewarisi harta pusaka Kasim sebanyak 1/4 bahagian kerana mereka masih belum mempunyai cahaya mata dan Sabariah tidak mengandung.
2.    Kasim seorang teruna telah berkahwin dengan Sabariah seorang janda beranak tiga. Setelah empat tahun berkahwin, mereka masih beum dikurniakan cahaya mata. Kasim mati mengejut kerana serangan jantung. Sabariah layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian kerana Kasim tidak meninggalkan zuriat (anak atau cucu).
3.    Kasim dan Sabariah telah berkahwin selama dua puluh tahun. Mereka dikurniakan sebanyak sepuluh orang anak kesemuanya perempuan. Kasim sakit kepala dan meninggal dunia. Sabariah layak mewarisi harta Kasim sebanyak 1/8 bahagian kerana Kasim ada meninggalkan zuriat.
4.    Kasim seorang duda beranak satu telah berkahwin dengan Sabariah seorang dara. Perkahwinan mereka selama lima tahun tidak dikurniakan cahaya mata. Kasim mengidap penyakit kencing manis dan meninggal dunia. Sabariah layak mewarisi harta Kasim sebanyak 1/8 bahagian kerana Kasim ada meninggalkan anak walaupun anak itu adalah hasil perkahwinannyua dengan isteri terdahulu.
SOALAN
Bagaimana pula jika sekiranya isteri itu lebih daripada seorang?
JAWAPAN
1.    Sekiranya si mati meninggalkan dua orang isteri tanpa meninggalkan keturunan ke bawah (zuriat), bahagian isteri ialah sebanyak 1/4 dan hendaklah dibahagikan kepada dua. Bermakna setiap isteri akan mendapat 1/8 bahagian (1/4 ÷2=1/8). 

Sekiranya isteri yang ditinggalkan itu tiga orang, maka 1/4 dibahagikan kepada 3, bermakna setiap isteri akan mendapat 1/12 bahagian (1/4÷3=1/12). Demikian juga sekiranya si mati meninggalkan seramai empat orang isteri, maka ¼ dibahagikan kepada 4, bermakna setiap isteri akan mendapat pusaka suami mereka sebanyak 1/16 bahagian.
2.    Bagi kes di mana simati meninggalkan dua isteri dan anak-anak, bahagian isteri sebanyak 1/8 dibahagikan kepada kedua-dua isteri sama banyak. Bermakna setiap isteri akan mendapat 1/16 bahagian (1/8÷2=1/16). Sekiranya isteri yang ditinggalkan itu tiga orang, bermakna setiap isteri akan mendapat 1/24 bahagian (1/8÷3=1/24) dan sekiranya empat isteri, masing-masing mendapat 1/32 bahagian).
SOALAN
Benarkah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bagi suami yang berpoligami, isteri pertama lebih berhak mendapat harta pusaka suaminya berbanding isteri kedua dengan alasan isteri pertama telah hidup bersama suaminya lebih 20 tahun sedangkan isteri kedua baru berkahwin setahun.
JAWAPAN
Mengikut hukum faraid, bagi setiap isteri, bahagian mereka sama sahaja tanpa mengambil kira tempoh perkahwinan. Sekiranya isteri pertama mendapat RM1,000.00, isteri kedua juga mendapat RM1,000.00 begitulah seterusnya bagi isteri ketiga dan keempat. Bagaimana pun isteri pertama boleh menuntut bahagian harta sepencarian sekiranya beliau mempunyai sumbangan ketika harta itu diperolehi dalam masa perkahwinan.
Contoh rajah bahagian isteri:


24
RM10,000.00
Isteri
1/8
3
RM1,250.00
Anak lelaki
Asabah
14
RM5,833.33
Anak perempuan
Asabah
7
RM2,916.67



24
48
RM10,000.00
Isteri 1
1/8
3
3
RM625.00
Isteri 2


3
RM625.00
Anak lelaki
Asabah
14
28
RM5,833.33
Anak perempuan
Asabah
7
14
RM2,916.67

BAHAGIAN SUAMI
Bahagian suami berbeza dengan bahagian isteri. Namun jika diperhatikan bahagian suami sekali ganda bahagian isteri.
 Mengikut kaedah faraid, suami mewarisi dalam dua keadaan:
1.    Pertama: suami akan mendapat sebanyak 1/2 bahagian (separuh) daripada kesemua harta pusaka isterinya sekiranya isteri yang meninggal dunia itu tidak mempunyai keturunan ke bawah iaitu anak atau cucu.
2.    Kedua, sekiranya isteri yang meninggal dunia itu ada meninggalkan keturunan ke bawah seperti anak atau cucu, suami layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian daripada harta pusaka isterinya.
Dalilnya: (Surah al-Nisa’ 4:12) maksudnya:
“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu, jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan…”.

Contoh:
1.    Kasim dan Sabariah telah berkahwin sebagai pasangan teruna dan dara. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata setelah lima tahun berkahwin. Sabariah meninggal dunia kerana keracunan makanan. Kasim layak mewarisi setengah daripada harta pusaka Sabariah.

2.    Kasim dan Sabariah hidup sebagai suami isteri dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Sabariah meninggal dunia akibat kencing manis. Kasim layak mewarisi satu perempat daripada harta pusaka isterinya Sabariah.


3.    Kasim mengahwini Sabariah seorang janda beranak tiga. Sebulan kemudian Sabariah meninggal dunia. Kasim berhak mewarisi harta Sabariah setakat 1/4 sahaja kerana Sabariah ada meninggalkan anak.

4.    Kasim seorang duda beranak satu, telah berkahwin dengan Sabariah seorang janda berhias (tiada anak). Sabariah meninggal dunia dua bulan selepas kahwin, mati mengejut. Kasim berhak mewarisi 1/2 daripada harta pusaka Sabariah.

SEKIAN.


1 comments:

wanaabdullah said...

terima kasih atas perkongsian nyaa

Post a Comment