Sunday 14 July 2013

APAKAH ITU HARTA PUSAKA?

Masih ada yang bertanya, ‘Apa itu harta pusaka?’. Mengapa kita perlu bincangkan atau ambil tahu tentangnya. Adakah mengambil tahu mengenainya sekadar pengetahuan atau menjadi kewajipan setiap individu?

Harta pusaka ialah harta milik si mati. Semasa hayatnya dialah yang memiliki dan mengurusnya. Melakukan apa sahaja yang disukainya. Misalnya rumah. Dia mendiami rumah itu bersama keluarganya; isteri dan anak-anak. Kadangkala rumah itu diubahsuai dan dicat baru. Boleh dijual, disewakan, digdai dan sebagainya.
Sebaik sahaja seseorang itu meninggal dunia, semua harta itu bukan lagi miliknya. Jadi milik siapa dan apakah kategori harta itu?.
Itulah harta pusaka. Harta milik seorang yang telah mati dan perlu dipindah milik kepada yang masih hidup untuk melangsungkan pemilikan ke atas harta itu. Pindahmilik hendaklah dilakukan melalui proses pembahagian harta pusaka.
Persoalan tentang siapakah yang layak memiliki harta pusaka itu menggantikan tuan punya yang telah mati  itu perlu diambil tahu dan perlu dibincangkan.
Mengetahui siapakah yang berhak ke atas harta pusaka itu adalah wajib bagi mengelakkan memiliki harta orang lain. Manakala mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya iaitu Ilmu Faraid hukumnya fardu kifayah. Jadi jika kita tidak mempelajarinya, dapatkan maklumat tentang waris yang berhak daripada pakar faraid.

MILIK SIAPA?
Setiap harta pusaka secara otomatik menjadi milik waris-waris secara hukumnya selepas sahaja tuan harta meninggal dunia. Maknanya telah ditentukan siapakah waris yang layak mewarisi harta pusaka itu melalui hukum faraid. Tetapi secara realitinya hendaklah dibuat pembahagian secara rasmi mengikut peraturan dan undang-undang supaya semua harta pusaka si mati dapat ditukar nama daripada si mati kepada pimilik gantinya, iaitu waris-waris.
Contohnya, Osman mati meninggalkan seorang  isteri dan tiga orang anak, dua lelaki dan satu perempuan. Osman juga mempunyai tiga orang adik beradik lelaki.
Osman semasa hayatnya memiliki sebuah rumah kediaman dan dua buah kereta. Sepeninggalannya itulah harta pusaka yang ditinggalkan oleh Osman.
Soalannya siapakah yang layak memiliki harta pusaka Osman?. Hukum faraid telah menggariskan kaedah pewarisan. Waris yang berhak ialah isteri dan tiga orang anak-anak Osman, manakala tiga adik beradik Osman tidak layak mewarisi. Ini kerana isteri dan anak-anak adalah orang yang lebih hampir kepada si mati berbanding adik beradik.
Mengikut kaedah faraid, isteri berhak sebanyak 1/8 bahagian manakala selebihnya kepunyaan anak-anak dan mengikut kaedah asabah (baki) iaitu sebanyak 7/8 bahagian. Manakala bahagian anak lelaki pula dua bahagian berbanding anak perempuan mengikut kaedah asabah bil-Ghairi. Hasil pengiraan faraid ditunjukkan seperti di bawah:


8
40
Isteri
1/8
1
5
Anak lelaki 1
Asabah

14
Anak lelaki 2
Asabah
7
14
Anak perempuan
Asabah

7

Hasinya, isteri layak mewarisi harta suaminya sebanyak 5/40 bahagian, setiap anak lelaki 14/40 bahagian manakala anak perempuan pula sebanyak 7/40 bahagian. Bermakna bagi setiap harta pusaka iaitu rumah kediaman dan dua kenderaan yang ditinggalkan oleh Osman, secara otomatik empat orang yang disebutkan di atas masing-masing mempunyai hak ke atas harta-harta itu secara hukumnya. Namun untuk memiliki harta itu, perlulah ada perbincangan di kalangan mereka.
Setelah perbincangan, persetujuan diperolehi seperti berikut:
1.       Rumah diserahkan kepada isteri dan anak lelaki 2 (masing-masing ½ bahagian) dengan bayaran oleh anak lelaki 2 kepada anak lelaki 1 sebanyak RM30,000 dan bayaran kepada anak perempuan RM10,000. Isteri tidak dikenakan apa-apa bayaran kepada anak-anak.
2.       Kenderaan 1 diserahkan kepada isteri secara percuma tanpa bayaran kepada anak-anak.
3.       Kenderaan 2 diserahkan kepada anak perempuan tanpa apa-apa bayaran kerana telah diambil kira bayaran rumah kediaman yang diterima hanya sebanyak RM10,000 sahaja.
Pembahagian ini hendaklah direalisasikan melalui kuatkuasa undang-undang dengan memajukan permohonan untuk membahagikan harta pusaka di bawah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
Perintah pembahagian dikeluarkan. Rumah kediaman itu akan ditukarkan daripada nama si mati kepada nama isteri ½ bahagian dan anak lelaki 2,  ½ bahagian di Pejabat Tanah berkenaan. Kenderaan 1 ditukarkan kepada nama isteri, manakala kenderaan 2 pula ditukarkan kepada nama anak perempuan di Pejabat Pengangkutan Jalan (JPJ).
Demikianlah selesainya pembahagian harta pusaka di mana telah jelas dan nyata pemilik gantinya bagi tiap satu harta pusaka si mati.
Reality masa kini masih banyak harta pusaka yang tidak diselesaikan. Soalnya apakah harta pusaka itu harus dibiarkan begitu sahaja tanpa pemiliknya?

SEKIAN.

1 comments:

asymptote said...

Tuan,

Saya ada satu kemusykilan di sini. Si mati mempunyai sebuah rumah, sebuah kereta dan sebuah motor. Namun si mati tidak mempunyai anak lelaki dan hanya mempunyai seorang isteri dan dua orang anak perempuan. Si mati mempunyai seorang ibu, dua orang adik lelaki dan lima orang adik perempuan. Soalan saya, siapakah yang layak mewarisi harta milik si mati yang saya sebutkan tadi? Adakah isteri dan anak-anak atau adik-adik lelaki si mati?

Post a Comment