APAKAH ITU HARTA PUSAKA?
Masih ada yang bertanya, ‘Apa itu harta pusaka?’. Mengapa kita perlu
bincangkan atau ambil tahu tentangnya. Adakah mengambil tahu mengenainya
sekadar pengetahuan atau menjadi kewajipan setiap individu?
Harta pusaka ialah harta milik si
mati. Semasa hayatnya dialah yang memiliki dan mengurusnya. Melakukan apa
sahaja yang disukainya. Misalnya rumah. Dia mendiami rumah itu bersama
keluarganya; isteri dan anak-anak. Kadangkala rumah itu diubahsuai dan dicat
baru. Boleh dijual, disewakan, digdai dan sebagainya.
Sebaik sahaja
seseorang itu meninggal dunia, semua harta itu bukan lagi miliknya. Jadi milik
siapa dan apakah kategori harta itu?.
Itulah harta
pusaka. Harta milik seorang yang telah mati dan perlu dipindah milik kepada
yang masih hidup untuk melangsungkan pemilikan ke atas harta itu. Pindahmilik
hendaklah dilakukan melalui proses pembahagian harta pusaka.
Persoalan
tentang siapakah yang layak memiliki harta pusaka itu menggantikan tuan punya
yang telah mati itu perlu diambil tahu
dan perlu dibincangkan.
Mengetahui
siapakah yang berhak ke atas harta pusaka itu adalah wajib bagi mengelakkan
memiliki harta orang lain. Manakala mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya
iaitu Ilmu Faraid hukumnya fardu kifayah. Jadi jika kita tidak mempelajarinya,
dapatkan maklumat tentang waris yang berhak daripada pakar faraid.
MILIK SIAPA?
Setiap harta pusaka secara
otomatik menjadi milik waris-waris secara hukumnya selepas sahaja tuan harta
meninggal dunia. Maknanya telah ditentukan siapakah waris yang layak mewarisi
harta pusaka itu melalui hukum faraid. Tetapi secara realitinya hendaklah
dibuat pembahagian secara rasmi mengikut peraturan dan undang-undang supaya
semua harta pusaka si mati dapat ditukar nama daripada si mati kepada pimilik
gantinya, iaitu waris-waris.
Contohnya, Osman
mati meninggalkan seorang isteri dan
tiga orang anak, dua lelaki dan satu perempuan. Osman juga mempunyai tiga orang
adik beradik lelaki.
Osman semasa
hayatnya memiliki sebuah rumah kediaman dan dua buah kereta. Sepeninggalannya
itulah harta pusaka yang ditinggalkan oleh Osman.
Soalannya
siapakah yang layak memiliki harta pusaka Osman?. Hukum faraid telah
menggariskan kaedah pewarisan. Waris yang berhak ialah isteri dan tiga orang
anak-anak Osman, manakala tiga adik beradik Osman tidak layak mewarisi. Ini
kerana isteri dan anak-anak adalah orang yang lebih hampir kepada si mati
berbanding adik beradik.
Mengikut kaedah
faraid, isteri berhak sebanyak 1/8 bahagian manakala selebihnya kepunyaan
anak-anak dan mengikut kaedah asabah (baki) iaitu sebanyak 7/8 bahagian.
Manakala bahagian anak lelaki pula dua bahagian berbanding anak perempuan
mengikut kaedah asabah bil-Ghairi. Hasil pengiraan faraid ditunjukkan seperti
di bawah:
|
|
8
|
40
|
Isteri
|
1/8
|
1
|
5
|
Anak lelaki 1
|
Asabah
|
|
14
|
Anak lelaki 2
|
Asabah
|
7
|
14
|
Anak perempuan
|
Asabah
|
|
7
|
Hasinya, isteri
layak mewarisi harta suaminya sebanyak 5/40 bahagian, setiap anak lelaki 14/40
bahagian manakala anak perempuan pula sebanyak 7/40 bahagian. Bermakna bagi
setiap harta pusaka iaitu rumah kediaman dan dua kenderaan yang ditinggalkan
oleh Osman, secara otomatik empat orang yang disebutkan di atas masing-masing
mempunyai hak ke atas harta-harta itu secara hukumnya. Namun untuk memiliki
harta itu, perlulah ada perbincangan di kalangan mereka.
Setelah perbincangan, persetujuan
diperolehi seperti berikut:
1. Rumah
diserahkan kepada isteri dan anak lelaki 2 (masing-masing ½ bahagian) dengan
bayaran oleh anak lelaki 2 kepada anak lelaki 1 sebanyak RM30,000 dan bayaran
kepada anak perempuan RM10,000. Isteri tidak dikenakan apa-apa bayaran kepada
anak-anak.
2. Kenderaan
1 diserahkan kepada isteri secara percuma tanpa bayaran kepada anak-anak.
3. Kenderaan
2 diserahkan kepada anak perempuan tanpa apa-apa bayaran kerana telah diambil
kira bayaran rumah kediaman yang diterima hanya sebanyak RM10,000 sahaja.
Pembahagian ini
hendaklah direalisasikan melalui kuatkuasa undang-undang dengan memajukan
permohonan untuk membahagikan harta pusaka di bawah Akta Pusaka Kecil
(Pembahagian) 1955.
Perintah
pembahagian dikeluarkan. Rumah kediaman itu akan ditukarkan daripada nama si
mati kepada nama isteri ½ bahagian dan anak lelaki 2, ½ bahagian di Pejabat Tanah berkenaan.
Kenderaan 1 ditukarkan kepada nama isteri, manakala kenderaan 2 pula ditukarkan
kepada nama anak perempuan di Pejabat Pengangkutan Jalan (JPJ).
Demikianlah
selesainya pembahagian harta pusaka di mana telah jelas dan nyata pemilik
gantinya bagi tiap satu harta pusaka si mati.
Reality masa
kini masih banyak harta pusaka yang tidak diselesaikan. Soalnya apakah harta
pusaka itu harus dibiarkan begitu sahaja tanpa pemiliknya?
SEKIAN.
1 comments:
Tuan,
Saya ada satu kemusykilan di sini. Si mati mempunyai sebuah rumah, sebuah kereta dan sebuah motor. Namun si mati tidak mempunyai anak lelaki dan hanya mempunyai seorang isteri dan dua orang anak perempuan. Si mati mempunyai seorang ibu, dua orang adik lelaki dan lima orang adik perempuan. Soalan saya, siapakah yang layak mewarisi harta milik si mati yang saya sebutkan tadi? Adakah isteri dan anak-anak atau adik-adik lelaki si mati?
Post a Comment