ANAK
DERHAKA LAYAK MEWARISI HARTA PUSAKA?
Seseorang
anak sama ada lelaki atau perempuan layak mewarisi harta pusaka sekiranya anak
itu adalah anak sebenar kepada si mati.
Mengikut istilah Ilmu Faraid, anak sebenar
adalah ‘Keturunan Hakiki’ atau dengan kata
lain ‘Darah Daging’ si mati. Maka tidak mewarisi harta pusaka oleh anak-anak
yang lain daripada darah daging si mati. Mereka itu antaranya anak angkat, anak
tiri dan anak susuan.
Anak angkat adalah anak orang lain yang
dipelihara oleh pasangan yang selalunya tidak dikurniakan zuriat. Oleh itu
jelas anak itu bukan anak sebenar atau darah daging kepada pasangan itu.
Sebagai contoh, Osman dan Sabariah telah berkahwin selama 5 tahun dan tidak
dikurniakan cahaya mata. Mereka lalu mengambil seorang anak saudara kepada
Sabariah dan memeliharanya sebagai anak angkat. Apabila Osman atau Sabariah
meninggal dunia, anak angkat ini tidak layak mewarisi harta pusaka ibu bapa
angkatnya kerana anak angkat bukan ‘darah daging’ atau keturunan mereka yang sebenar.
Anak tiri adalah anak kepada pasangan yang
dikahwini. Semasa dikahwini, pasangan adalah seorang duda atau janda yang telah
mempunyai anak hasil perkahwinan dengan isteri atau suami terdahulu. Sebagai
contoh, Osman berkahwin dengan Sabariah seorang janda beranak satu bernama
Hasan. Hasan, anak Sabariah dengan suami terdahulu adalah anak tiri kepada
Osman. Sekiranya Osman meninggal dunia, Hasan tidak layak mewarisi kerana bukan
darah daging atau keturunan sebenar Osman.
Anak susuan pula adalah anak orang lain yang
disusukan semasa masih bayi. Mengikut hukum syarak, anak susuan diiktiraf
setelah penyusuan diberikan sekurang-kurangnya lima kali yang mengenyangkan
bayi itu. Setelah sabit anak susuan, dari segi pergaulan, hukumnya samalah anak
itu seperti anak sendiri. Sebagai contoh, tidak batal air sembahyang ketika
bersentuhan kulit anak lelaki dengan ibu susunnya. Namun mereka tetap tidak
saling mewarisi harta pusaka kerana anak itu bukan keturunan sebenar. Dengan
lain perkataan anak itu bukan darah daging ibu susuannya itu.
SOALAN
Bagaimana
hukumnya seorang anak yang dipelihara oleh orang lain dan dibinkan kepada bapa
angkatnya?
JAWAPAN
Sebagaimana
yang telah saya terangkan di atas, hukumnya samalah dengan hukum anak angkat.
Walau pun dibinkan kepada bapa angkat, pada hakikatnya anak itu bukan darah
daging bapa angkatnya itu. Bahkan hukumnya haram bagi sesiapa yang memelihara
anak angkat dan dibinkan kepadanya kerana ia akan menyebabkan kecelaruan dalam
hirarki keturunan, hukum perkahwinan, aurat dan sebagainya.
SOALAN
Bagaimana
pula dengan anak yang dikatakan menderhaka kepada kedua ibu bapanya. Adakah
anak ini layak mewarisi harta pusaka mereka?
JAWAPAN
Penderhakaan
bukanlah sebab bagi menghalang seseorang anak itu mewarisi harta pusaka kedua
ibu bapanya. Ini bermakna bagi seseorang yang dikatakan menderhaka kepada kedua
ibu bapanya, tetap akan mewarisi harta pusaka mereka. Contohnya, Kamariah ingin
berkahwin dengan seorang lelaki pilihannya tetapi tidak direstui oleh ayahnya.
Kamariah mengambil jalan singkat dengan berkahwin di negara jiran. Sekembalinya
ke rumah bapanya, beliau dan suaminya telah dihalau dan bapanya tidak suka
beliau menjejakkan kakinya di rumah itu. Namun demikian sekiranya bapa
meninggal dunia, Kamariah tetap berhak mewarisi harta pusaka bapanya.
SOALAN
Ada
kalangan bapa yang benar-benar tidak mahukan anak yang tidak disukainya itu
mewarisi harta pusakanya dengan menulis wasiat yang berbunyi, “Sekiranya saya
meninggal dunia, saya tidak redha anak saya bernama Abu Sufian mewarisi harta
pusaka saya”. Apa pandangan ustaz?
JAWAPAN
Wasiat
ini tidak terpakai kerana bertentangan dengan hukum syarak. Sebagaimana yang
saya jelaskan sebelum ini penderhakaan tidak menghilangkan kelayakan seseorang
itu mewarisi harta pusaka kedua ibu bapanya. Ini kerana penderhakaan dan
pewarisan adalah dua hukum yang berasingan.
Derhaka kepada ibu bapa hukumnya haram dan
berdosa besar, manakala anak sebenar kepada si mati layak mewarisi harta pusaka
selagi tiada sebab yang menghalang pewarisan seperti membunuh atau menyebabkan
kematian ibu bapa, berlainan ugama atau anak itu seorang yang murtad.
Sekian.
0 comments:
Post a Comment