Friday, 21 March 2014

ISU PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA:
GAGAL MENANGANI UJIAN: PEMBAHAGIAN TERTANGGUH

Sebenarnya pembahagian harta pusaka adalah merupakan satu proses yang mudah dan amat menyeronokkan.
Mudah kerana hanya dengan mengadakan perbincangan di kalangan waris bagi harta yang tidak melibatkan mana-mana jabatan, dan diikuti dengan mengisi Borang A (borang permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil) bagi harta yang terlibat dengan jabatan atau institusi.  Permohonan hanya perlu  disertai dengan salinan potostat sijil kematian, kad pengenalan waris, hakmilik tanah dan dokumen harta alih.
Menyeronokkan kerana waris-waris mendapat harta secara ‘percuma’ tanpa bersusah payah mengumpul wang atau membuat pinjaman. Ianya adalah hasil titik peluh orang tua yang ingin melihat anak cucu mereka hidup senang dan tidak merempat atau miskin.

Tetapi malangnya realiti yang wujud dalam masyarakat, masih ramai yang tidak menyelesaikan harta pusaka ibu bapa atau kaum keluarga mereka yang telah  mati. Rumah pusaka dibiarkan tiada penghuni, kebun getah tidak diambil hasilnya, dusun buah-buahan tiada siapa yang memetik buahnya.
Mengikut kajian,  didapati satu perenam daripada tuan tanah yang terlibat dengan kes pengambilan balik tanah oleh kerajaan untuk sesuatu projek adalah orang mati (tuan tanah telah  meninggal dunia). Sebahagian daripada kematian itu berlaku berpuluh-puluh tahun dahulu. Ini bermakna jika dianggarkan hakmilik tanah diseluruh Negara sebanyak 6 juta, bermakna satu juta hakmilik adalah kepunyaan orang mati (harta pusaka mereka masih belum diselesaikan oleh waris-waris).

Mengapa ini berlaku?
Pada pengamatan saya, untuk mendapat harta ‘percuma’ mestilah menempuh sedikit ujian, dugaan dan cobaan daripada Allah s.w.t.. Gagal menangani ujian ini bermakna gagal menyelesaikan harta pusaka sekali gus gagal memiliki harta ‘percuma’ itu.

Apakah ujian Allah itu?
1.      Dicampakkan ke dalam hati waris-waris perasaan tamak dan haloba. Ingin memiliki lebih daripada yang sepatutnya diperuntukkan di bawah hukum faraid. Bahkan kalau boleh biarlah harta pusaka ibu bapa atau si mati itu dimilikinya seorang. Tidak melepasi ujian ini bermakna tiada persefahaman dalam kalangan waris-waris. Lalu pusaka itu dibiarkan terbengkalai tanpa penyelesaian.

2.      Dicampakkan perasaan sensitif ke dalam jiwa para waris. Mudah tersinggung dan kecil hati. Bahkan perasaan buruk sangka kepada waris lain. Mereka itu bukan orang asing, tetapi adik beradik sendiri. Tanpa dapat melawan sifat mazmumah ini,  harta pusaka tidak berjaya dibincangkan dengan sempurna. Akibatnya dibiarkan begitu sahaja. Biarlah kekal dengan nama orang tua.

3.      Di wujudkan perasaan hasad dengki. Maka tiada tolak ansur, tiada semangat kekeluargaan, tiada timbang rasa dan gelisah dengan kesenangan yang bakal diperolehi oleh saudara sendiri. Justeru, apabila berbincang sukar untuk mencapai kata sepakat. Akibatnya, harta pusaka tidak dapat diselesaikan dan penyelesaiannya ditangguhkan.

4.      Dimasukkan perasaan sopan santun dan budi bahasa yang tinggi, tetapi bukan pada tempatnya. Misalnya, takut untuk bersuara, nanti dikatakan orang hendakkan harta. Segan silu untuk membahagikan harta secepat mungkin, takut dikatakan terburu-buru dan tidak sabar. Semua tidak bersuara dan anak sulung juga membisu seribu bahasa. Tinggallah harta pusaka begitu sahaja.

5.      Ditarik  rasa prihatin dan tanggungjawab. Menjadikan seseorang itu bersikap tidak apa dan tidak prihatin. Memandang remeh kepada harta pusaka, seolah-olah tiada harga kepada mereka. Ini kerana harta ‘percuma’ sememangnya dirasakan begitu. Sebagai contoh, apa perasaan anda terhadap kelas tuisyen percuma dan berbayar. Kalau percuma, anak tak pergi pun tidak mengapa. Tak ada yang rugi dari segi duit. Tetapi kalau berbayar, anak mesti pergi kerana rugi duit kalau tidak pergi. Demikianlah bandingannya bagi harta pusaka berbanding harta yang diperolehi dengan keringat sendiri.  Akibatnya, banyak harta pusaka yang tidak diselesaikan. Bukan kerana bergaduh atau berebutkan harta, tetapi sikap tidak prihatin dan memandang remeh kepada harta pusaka menjadi punca penyelesaian harta pusaka ditangguhkan.

Untuk renungan bersama.
PERUNDING W HALIM



0 comments:

Post a Comment