BAGAIMANA
IBU MEWARISI HARTA PUSAKA
Dalam konteks hukum
faraid, ibu yang mewarisi bermakna ‘ibu
yang melahirkan si mati’ atau dengan kata lain, ibu kandung. Sama ada si
mati itu lelaki atau perempuan tidak membezakan kaedah pewarisan ibu.
SOALAN:
Apa yang dimaksudkan
dengan ‘ibu yang melahirkan’ si mati?
IBU YANG LAYAK MEWARISI
ialah ibu yang melahirkan si mati dan ini termasuk:
1.
Seorang ibu yang melahirkan anak melalui
satu perkahwinan yang sah. Apabila anak itu meninggal dunia dan meninggalkan
harta, ibu berhak mewarisi harta pusaka anaknya itu. Contoh, Salwa berkahwin
dengan Zamri. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Yusri. Yusri
meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya dan meninggalkan ibu (Salwa),
bapa (Zamri), isteri dan dua orang anak. Salwa berhak mewarisi harta pusaka
anaknya, Yusri.
2.
Seorang wanita melahirkan anak hasil
daripada perzinaan, atau dengan kata lain melahirkan anak luar nikah. Apabila anak itu meninggal
dunia, ibunya berhak mewarisi harta pusaka anaknya itu. Contoh, Salwa telah
berzina dengan seorang lelaki bernama Zamri dan melahirkan seorang anak bernama
Yusri. Apabila Yusri mati, Salwa berhak mewarisi harta pusaka anaknya Yusri.
3.
Seorang ibu yang melahirkan anak tak sah
taraf. Iaitu anak yang dilahirkan kurang enam bulan dari tarikh akad nikah. Contoh,
Salwa berkahwin dengan Zamri. Lima bulan selepas majlis akad nikah, Salwa
melahirkan seorang anak yang dinamakan Yusri. Apabila Yusri meninggal dunia,
Salwa boleh mewasrisi harta pusaka anaknya.
4.
Seorang wanita mangsa pemerkosaan atau rogol,
mengandung dan melahirkan seorang anak. Apabila anak itu meninggal dunia,
wanita itu berhak mewarisi harta pusaka anaknya. Contoh, Salwa telah diperkosa
dan dirogol oleh Zamri. Salwa mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki
bernama Yusri. Apabila Yusri mati, Salwa sebagai ibu yang melahirkan Yusri
berhak mewarisi harta pusaka anaknya itu.
Kesimpulannya
walau apa keadaan sekali pun, seorang ibu berhak mewarisi harta pusaka anak
yang dilahirkannya. Sama ada kelahiran itu melalui persetubuhan yang sah
mengikut hukum syarak atau persetubuhan haram atau tidak diakui syarak. Berbeza
dengan bapa di mana hanya bapa yang sah mengikut hukum syarak sahaja yang layak
mewarisi harta pusaka anaknya. Ini bermakna bapa tidak berhak mewarisi harta pusaka
anaknya yang lahir hasil perzinaan, pemerkosaan atau rogol dan anak tak sah
taraf walau pun anak itu diakui oleh bapa sebagai sebagai anaknya.
SOALAN :
Dalam keadaan mana pula
seorang ibu itu tidak layak mewarisi?
IBU YANG TIDAK LAYAK MEWARISI
Dari
perbincangan di atas, jelaslah bahawa seseorang ibu itu tidak layak mewarisi harta pusaka anak
yang tidak dilahirkan olehnya.
Mereka itu ialah anak angkat, anak tiri dan anak susuan.
Anak
angkat ialah anak yang dilahirkan oleh orang lain dan dipelihara oleh ibu
angkat. Contohnya, Salwa berkahwin dengan Zamri dan masih belum dikurniakan
anak. Mereka mengambil seorang anak saudara bernama Yusri dan dipelihara
sebagai anak angkat. Apabila Yusri meninggal dunia, Salwa tidak layak mewarisi
harta pusaka Yusri kerana Yusri bukan anak kandung Salwa.
Anak
tiri ialah anak kepada pasangan yang dikahwini. Sebagai contoh, Salwa berkahwin
dengan Zamri seorang duda beranak satu bernama Yusri. Yusri adalah anak tiri
kepada Salwa. Apabila Yusri meninggal dunia, harta pusaka Yusri tidak boleh
diwarisi oleh Salwa kerana Yusri bukan anak kandung Salwa.
Manakala
anak susuan samalah juga dengan anak angkat dari segi memelihara anak orang
lain. Tetapi anak susuan ialah anak orang lain yang disusukan semasa masih bayi
dan sekurang-kurangnya lima kali kenyang. Hukumnya dari segi pergaulan dan
aurat sama seperti anak kandung, namun dari segi harta pusaka tetap tidak layak
mewarisi kerana bukan anak yang dilahirkan olehnya.
SOALAN:
Bagaimanakah kaedah seorang
ibu itu mewarisi harta pusaka?
Ibu mewarisi harta
pusaka melalui tiga kaedah.
Pertama - ibu
mendapat 1/3 bahagian daripada harta pusaka anaknya dengan syarat anak yang
mati itu tidak meninggalkan zuriat (anak atau cucu) dan tidak pula meninggalkan
adik beradik lebih daripada seorang.
Kedua - ibu
mendapat 1/6 bahagian daripada harta pusaka anaknya dengan syarat anak itu ada
meninggalkan zuriat (anak atau cucu) atau ada meninggalkan dua orang atau lebih
adik beradik.
Ketiga - ibu
mendapat 1/3 baki. Iaitu kes khusus dalam ilmu faraid bagi kes ‘Umariyyatain’.
Di mana kes 1,si mati meninggalkan ibu, bapa dan suami dan kes 2, si mati
meninggalkan ibu, bapa dan isteri.
Untuk penjelasan secara
terperinci berkaitan dengan kaedah pembahagian bagi ibu, insya Allah saya akan terangkan dalam artikel
yang akan datang.
Terima kasih.
0 comments:
Post a Comment