Friday, 17 February 2017


LAKUKAN SIASATAN WARIS SEBELUM MEMBUAT KEPUTUSAN

Satu pagi, seorang wanita datang ke pejabat saya.
“Ustaz, saya nak tanya, suami saya (Sidiq) telah meninggal dunia. Selain daripada saya sebagai balu kepada si mati siapakah lagi waris yang berhak mewarisi harta pusaka suami saya? Kami tidak mempunyai anak. Tetapi suami saya mempunyai 13 orang anak saudara, 5 lelaki dan 8 perempuan. Suami saya juga mempunyai seorang bapa saudara”.

Beliau menambah, “Saya menjadi keliru kerana dua orang yang saya tanya, masing-masing memberikan jawapan yang berlainan. Orang yang pertama berkata, saya dan 5 orang anak saudara lelaki si mati sahaja yang berhak ke atas harta pusaka suami saya, manakala orang yang kedua pula mengatakan bahawa hanya saya dan bapa saudara si mati sahaja yang berhak mewarisi dan kesemua anak saudara si mati tidak berhak mewarisi”.

Saya bertanyakan kepada balu si mati, “Adakah kedua-dua orang yang puan tanyakan itu, mereka bertanyakan soalan-soalan berkaitan waris si mati”?. Jawabnya ,”tidak, orang pertama terus memberikan jawapan manakala orang kedua pula bertanyakan satu soalan, bilakah adik beradik si mati meninggal dunia?. Saya katakan adik beradik si mati telah mati dahulu. Dia terus membuat keputusan, hanya saya dan bapa saudara si mati sahaja yang berhak mewarisi”.

HURAIAN
Untuk membahagikan sesuatu harta pusaka itu agar menepati kehendak hukum faraid, dua perkara perlu dipastikan:

Pertama:
Pastikan siapakah dalam kalangan waris-waris yang ditinggalkan oleh si mati yang berhak mewarisi mengikut kaedah hukum faraid.

Kedua:
Pastikan bahagian yang akan diperolehi oleh setiap orang waris yang berhak mewarisi berdasarkan kepada kaedah hukum faraid.

ISU
Isu yang dibangkitkan di sini ialah siapakah dalam kalangan waris-waris yang ditinggalkan oleh si mati (Sidiq) yang berhak mewarisi harta pusakanya.

Untuk membuat keputusan siapakah yang berhak mewarisi mestilah melalui siasatan waris secara terperinci. Hasil siasatan yang saya jalankan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh balu si mati adalah seperti berikut:

1.       Keturunan ke atas:
Si mati (Sidiq) pada masa kematiannya tidak meninggalkan keturunan ke atas iaitu ibu, bapa, datuk dan nenek. Semua mereka telah mati dahulu.

2.       Pasangan:
Sidiq berkahwin sekali sahaja iaitu dengan balu yang datang bertanya ini (Sabariah) dan bercerai mati.

3.       Keturunan ke bawah:
Sepanjang perkahwinan mereka selama 10 tahun tidak dikurniakan zuriat.

4.       Keturunan sisi kepada si mati:
Si mati mempunyai dua orang saudara seibu sebapa, satu lelaki (Osman) dan satu perempuan (Murni). Kedua-dua mereka telah mati dahulu daripada Sidiq.
Adik beradik sebapa tidak ada. Demikian juga adik beradik seibu tidak ada.

5.       Anak saudara:
Osman mempunyai 8 orang anak yang masih hidup. Kesemua mereka perempuan. Manakala 5 orang lagi anak saudara Sidiq yang lelaki adalah anak kepada Murni.

Mengikut kaedah faraid, waris yang berhak mewarisi ialah “anak saudara lelaki daripada adik beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa” dengan si mati. Dengan kata lain, hanya anak Osman yang lelaki sahaja yang berhak mewarisi. Sedangkan Osman tidak mempunyai seorang pun anak lelaki. Ini bermakna 8 orang anak Osman tidak berhak mewarisi harta pusaka Sidiq kerana kesemua mereka adalah perempuan .
Bagaimana pula dengan anak lelaki Murni?. Anak lelaki Murni adalah anak saudara si mati daripada adik beradik perempuan dengan si mati. Maka anak-anak Murni juga tidak berhak mewarisi.

Keputusannya, dalam kes ini kesemua anak  saudara seramai 13 orang itu tidak berhak mewarisi harta pusaka Sidiq.

6.       Bapa saudara:
Bapa saudara Sidiq bernama Kasim. Apakah hubungan Kasim dengan Sidiq?. Setelah siasatan, ternyata Kasim adalah adik beradik kepada ibu Sidiq. Dengan kata lain Kasim adalah bapa saudara kepada Sidiq sebelah ibu. Soalnya adakah Kasim berhak mewarisi?. Jawabnya tidak, kerana bapa saudara yang berhak mewarisi adalah bapa saudara sebelah bapa. Iaitu adik beradik kepada bapa Sidiq.

Keputusannya, Kasim tidak berhak mewarisi. Jadi setakat siasatan ini, yang berhak mewarisi harta pusaka Sidiq adalah seorang isteri (Sabariah) sahaja, manakala 13 orang anak saudara dan seorang bapa saudara kepada Sidiq (Kasim) semuanya tidak berhak mewarisi harta pusaka Sidiq.

7.   Siasatan waris tidak berhenti di sini, tetapi perlu diteruskan. Soalan kepada Sabariah, “Adakah si mati mempunyai bapa saudara sebelah bapa?. Jawabnya dahulu ada seorang tetapi telah lama meninggal dunia. Namanya Aziz, adik beradik dengan bapa Sidiq seibu sebapa. Oleh kerana Aziz mati dahulu daripada Sidiq, siasatan seterusnya turun kepada anak Aziz iaitu sepupu kepada Sidiq (anak bapa saudara sebelah bapa). Aziz mempunyai 4 orang anak. Tiga lelaki dan seorang perempuan (Abdul Wahab, Abdul Wahid, Abdul Wahub dan Mastura)”.

Soalnya apakah mereka ini berhak mewarisi harta pusaka Sidiq?. Ada yang menjawab tidak, dengan alasan bapa mereka (Aziz) telah mati dahulu daripada Sidiq). Jawabnya, mengikut senarai waris yang berhak mewarisi ialah anak lelaki kepada bapa saudara si mati sebelah bapa (sepupu lelaki sebelah bapa).

Keputusannya, hanya sepupu lelaki sahaja yang berhak mewarisi, manakala yang perempuan tidak berhak. Ini bermakna, ketiga-tiga Abdul berhak mewarisi, manakala Mastura tidak berhak.

Sabariah bertanya lagi, “Berapakah bahagian yang akan diwarisi  oleh setiap orang waris yang berhak”?

Jawabnya:
1.              Isteri: mewarisi secara fardu. Si mati tidak mempunyai anak, isteri mendapat 1/4 bahagian.
2.     Sepupu lelaki: mewarisi secara asabah (baki). Mereka mendapat 3/4 bahagian iaitu baki setelah diberikan bahagian isteri. Oleh kerana 3 orang sepupu, dibahagikan sama banyak di kalangan mereka. Kesimpulannya masing-masing mendapat 1/4 bahagian.

Bahagian masing-masing seperti rajah:




4
4
SABARIAH
ISTERI
¼
1
1
ABDUL WAHAB
SEPUPU

ASABAH

3
1
ABDUL WAHID
SEPUPU
1
ABDUL WAHUB
SEPUPU
1

KESIMPULAN:
Apabila diminta untuk menyelesaikan/membahagikan sesuatu harta pusaka, pengamal faraid hendaklah mengambil inisiatif  untuk melakukan siasatan waris secara terperinci. Ini bagi memastikan harta pusaka itu diwarisi oleh orang yang benar benar berhak mengikut hukum faraid. Janganlah membuat keputusan sebelum siasatan kerana ia boleh menjurus kepada pembahagian harta pusaka yang tidak betul.


Sekian.

2 comments:

khusairi danial said...

Benar tuan, siasatan yang dibuat juga adalah bagi mengelakkan seseorang waris itu boleh "termakan" bahagian seseorang yang lain. Cantik dah faraid dalam Islam tetapkan. Penerangan yang sangat jelas tuan. Terima kasih

Termizi said...

Ramai yg keliru bila sampai asabah ke peringkat sepupu. Bahkan ada buku faraid yg tidak menjelaskan tentang hanya sepupu lelaki sblh bapa shj yg layak mewarisi.

Terima kasih atas perkongsian ini.

Post a Comment