LAKUKAN SIASATAN WARIS SEBELUM MEMBUAT KEPUTUSAN
Satu pagi, seorang
wanita datang ke pejabat saya.
“Ustaz, saya nak tanya,
suami saya (Sidiq) telah meninggal dunia. Selain daripada saya sebagai balu kepada
si mati siapakah lagi waris yang berhak mewarisi harta pusaka suami saya? Kami
tidak mempunyai anak. Tetapi suami saya mempunyai 13 orang anak saudara, 5
lelaki dan 8 perempuan. Suami saya juga mempunyai seorang bapa saudara”.
Beliau menambah, “Saya
menjadi keliru kerana dua orang yang saya tanya, masing-masing memberikan
jawapan yang berlainan. Orang yang pertama berkata, saya dan 5 orang anak
saudara lelaki si mati sahaja yang berhak ke atas harta pusaka suami saya,
manakala orang yang kedua pula mengatakan bahawa hanya saya dan bapa saudara si
mati sahaja yang berhak mewarisi dan kesemua anak saudara si mati tidak berhak
mewarisi”.
Saya bertanyakan kepada
balu si mati, “Adakah kedua-dua orang yang puan tanyakan itu, mereka
bertanyakan soalan-soalan berkaitan waris si mati”?. Jawabnya ,”tidak, orang pertama
terus memberikan jawapan manakala orang kedua pula bertanyakan satu soalan,
bilakah adik beradik si mati meninggal dunia?. Saya katakan adik beradik si
mati telah mati dahulu. Dia terus membuat keputusan, hanya saya dan bapa
saudara si mati sahaja yang berhak mewarisi”.
HURAIAN
Untuk membahagikan
sesuatu harta pusaka itu agar menepati kehendak hukum faraid, dua perkara perlu
dipastikan:
Pertama:
Pastikan siapakah dalam
kalangan waris-waris yang ditinggalkan oleh si mati yang berhak mewarisi
mengikut kaedah hukum faraid.
Kedua:
Pastikan bahagian yang
akan diperolehi oleh setiap orang waris yang berhak mewarisi berdasarkan kepada
kaedah hukum faraid.
ISU
Isu yang dibangkitkan
di sini ialah siapakah dalam kalangan waris-waris yang ditinggalkan oleh si
mati (Sidiq) yang berhak mewarisi harta pusakanya.
Untuk membuat keputusan
siapakah yang berhak mewarisi mestilah melalui siasatan waris secara terperinci. Hasil siasatan yang saya jalankan
berdasarkan keterangan yang diberikan oleh balu si mati adalah seperti berikut:
1. Keturunan
ke atas:
Si mati (Sidiq)
pada masa kematiannya tidak meninggalkan keturunan ke atas iaitu ibu, bapa,
datuk dan nenek. Semua mereka telah mati dahulu.
2. Pasangan:
Sidiq berkahwin
sekali sahaja iaitu dengan balu yang datang bertanya ini (Sabariah) dan
bercerai mati.
3. Keturunan
ke bawah:
Sepanjang
perkahwinan mereka selama 10 tahun tidak dikurniakan zuriat.
4. Keturunan
sisi kepada si mati:
Si mati
mempunyai dua orang saudara seibu sebapa, satu lelaki (Osman) dan satu
perempuan (Murni). Kedua-dua mereka telah mati dahulu daripada Sidiq.
Adik beradik
sebapa tidak ada. Demikian juga adik beradik seibu tidak ada.
5. Anak
saudara:
Osman mempunyai
8 orang anak yang masih hidup. Kesemua mereka perempuan. Manakala 5 orang lagi
anak saudara Sidiq yang lelaki adalah anak kepada Murni.
Mengikut kaedah
faraid, waris yang berhak mewarisi ialah “anak saudara lelaki daripada adik
beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa” dengan si mati. Dengan kata lain,
hanya anak Osman yang lelaki sahaja yang berhak mewarisi. Sedangkan Osman tidak
mempunyai seorang pun anak lelaki. Ini bermakna 8 orang anak Osman tidak berhak
mewarisi harta pusaka Sidiq kerana kesemua mereka adalah perempuan .
Bagaimana pula
dengan anak lelaki Murni?. Anak lelaki Murni adalah anak saudara si mati
daripada adik beradik perempuan dengan si mati. Maka anak-anak Murni juga tidak
berhak mewarisi.
Keputusannya,
dalam kes ini kesemua anak saudara
seramai 13 orang itu tidak berhak mewarisi harta pusaka Sidiq.
6. Bapa
saudara:
Bapa saudara Sidiq
bernama Kasim. Apakah hubungan Kasim dengan Sidiq?. Setelah siasatan, ternyata
Kasim adalah adik beradik kepada ibu Sidiq. Dengan kata lain Kasim adalah bapa
saudara kepada Sidiq sebelah ibu. Soalnya adakah Kasim berhak mewarisi?.
Jawabnya tidak, kerana bapa saudara yang berhak mewarisi adalah bapa saudara
sebelah bapa. Iaitu adik beradik kepada bapa Sidiq.
Keputusannya, Kasim
tidak berhak mewarisi. Jadi setakat siasatan ini, yang berhak mewarisi harta
pusaka Sidiq adalah seorang isteri (Sabariah) sahaja, manakala 13 orang anak
saudara dan seorang bapa saudara kepada Sidiq (Kasim) semuanya tidak berhak
mewarisi harta pusaka Sidiq.
7. Siasatan waris tidak berhenti di sini, tetapi
perlu diteruskan. Soalan kepada Sabariah, “Adakah si mati mempunyai bapa saudara
sebelah bapa?. Jawabnya dahulu ada seorang tetapi telah lama meninggal dunia.
Namanya Aziz, adik beradik dengan bapa Sidiq seibu sebapa. Oleh kerana Aziz
mati dahulu daripada Sidiq, siasatan seterusnya turun kepada anak Aziz iaitu
sepupu kepada Sidiq (anak bapa saudara sebelah bapa). Aziz mempunyai 4 orang
anak. Tiga lelaki dan seorang perempuan (Abdul Wahab, Abdul Wahid, Abdul Wahub
dan Mastura)”.
Soalnya apakah mereka ini berhak mewarisi
harta pusaka Sidiq?. Ada yang menjawab tidak, dengan alasan bapa mereka (Aziz)
telah mati dahulu daripada Sidiq). Jawabnya, mengikut senarai waris yang berhak
mewarisi ialah anak lelaki kepada bapa saudara si mati sebelah bapa (sepupu
lelaki sebelah bapa).
Keputusannya,
hanya sepupu lelaki sahaja yang berhak mewarisi, manakala yang perempuan tidak
berhak. Ini bermakna, ketiga-tiga Abdul berhak mewarisi, manakala Mastura tidak
berhak.
Sabariah
bertanya lagi, “Berapakah bahagian yang akan diwarisi oleh setiap orang waris yang berhak”?
Jawabnya:
1. Isteri: mewarisi secara fardu. Si mati tidak
mempunyai anak, isteri mendapat 1/4 bahagian.
2. Sepupu lelaki: mewarisi secara asabah (baki).
Mereka mendapat 3/4 bahagian iaitu baki setelah diberikan bahagian isteri. Oleh
kerana 3 orang sepupu, dibahagikan sama banyak di kalangan mereka.
Kesimpulannya masing-masing mendapat 1/4 bahagian.
Bahagian
masing-masing seperti rajah:
|
|
|
4
|
4
|
SABARIAH
|
ISTERI
|
¼
|
1
|
1
|
ABDUL WAHAB
|
SEPUPU
|
ASABAH
|
3
|
1
|
ABDUL WAHID
|
SEPUPU
|
1
|
||
ABDUL WAHUB
|
SEPUPU
|
1
|
KESIMPULAN:
Apabila diminta
untuk menyelesaikan/membahagikan sesuatu harta pusaka, pengamal faraid hendaklah
mengambil inisiatif untuk melakukan siasatan waris secara terperinci. Ini
bagi memastikan harta pusaka itu diwarisi oleh orang yang benar benar berhak
mengikut hukum faraid. Janganlah membuat keputusan sebelum siasatan kerana ia
boleh menjurus kepada pembahagian harta pusaka yang tidak betul.
Sekian.
4 comments:
Benar tuan, siasatan yang dibuat juga adalah bagi mengelakkan seseorang waris itu boleh "termakan" bahagian seseorang yang lain. Cantik dah faraid dalam Islam tetapkan. Penerangan yang sangat jelas tuan. Terima kasih
Ramai yg keliru bila sampai asabah ke peringkat sepupu. Bahkan ada buku faraid yg tidak menjelaskan tentang hanya sepupu lelaki sblh bapa shj yg layak mewarisi.
Terima kasih atas perkongsian ini.
Bgmana klu osman ada anak lelaki, apakah bhgn masing²
Faraid ialah peraturan kadar dan pihak yg sepatutnya mewarisi harta ia ketentuan Allah dan cantiknya faraid ialah harta diwarisi digunakan dgn betul.. Dlm isu ini indahnya faraid apabila urusan pentadbiran berjalan dengan lancar dgn waris saling kerjasama.
Post a Comment