Monday, 11 June 2012

PEMBAHAGIAN BARANG KEMAS


Soalan:
Assalamualaikum Ustaz,
Boleh ustaz tolong kirakan bagaimana untuk membahagikan barang kemas pusaka ibu saya mengikut hukum faraid. Faktanya begini:
Ibu telah meninggal dunia seminggu yang lalu. Semalam kami telah berkumpul dan berbincang untuk membahagikan barang kemas yang ditinggalkan oleh ibu.
Untuk makluman ustaz, ibu hanya meninggalkan lima orang anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan; Kasim, Osman, Sabariah, Kamariah dan Rugayah.
Barang kemas yang ditinggalkan oleh ibu disenaraikan seperti berikut dan kami telah mendapatkan harga pasaran bagi setiap satu barang kemas itu sepertimana senarai di bawah:

SENARAI BARANG KEMAS:
BIL
BARANG
HARGA
1
2 gelang RM1670 x 2
RM3,340
2
2 gelang RM1670 X 2
RM3,340
3
Rantai kasar
RM7,716
4
Rantai halus
RM4,823
5
Subang
RM   260
6
Cincin permata
RM   340
7
Loket
RM   420
8
Cincin emas
RM     40

JUMLAH
RM20,279

Setelah berbincang , kami 5 beradik telah bersetuju barang-barang kemas itu dibahagikan seperti berikut:
1.       Kasim memilih 2 gelang dan sebentuk cincin permata.
2.       Osman memilih seutas rantai kasar dan sebentuk loket.
3.       Sabariah memilih 2 gelang.
4.       Kamariah memilih seutas rantai halus.
5.       Rugayah memilih sepasang subang dan cincin emas.
Masalahnya ustaz, kami tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan kes ini supaya pembahagian dapat dibuat mengikut hukum faraid. Pohon ustaz kirakan bahagian setiap orang daripada kami berdasarkan kepada persetujuan kami untuk memilikki barang kemas itu.
Terima kasih.

JAWAPAN:
Pertama sekali ustaz ingin mengucapkan syabas kepada saudara lima beradik kerana dapat menyelesaikan pembahagian harta pusaka ibu saudara dengan kadar yang agak segera.
Kedua, saya kira saudara 5 beradik telah menjalankan tanggungjawab masing-masing menyelesaikan pembahagian harta pusaka sebaik mungkin dan bertolak ansur dengan memberi peluang untuk memilih barang kemas yang dihajati.
Ketiga, saudara berusaha untuk mendapatkan kaedah pembahagian yang terbaik, mengikut hukum faraid supaya ianya kelihatan adil dan memuaskan hati semua pihak.
Untuk mengira bahagian setiap orang supaya masing-masing mendapat sejajar dengan bahagian yang diperolehi mengikut faraid, hendaklah mengikut langkah-langkah berikut:

PERTAMA:
Mengetahui bahagian setiap orang waris mengikut hukum faraid. Dalam kes ini, si mati hanya meninggalkan dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. Mereka mewarisi mengikut kaedah Asabah Bil-Ghairi, iaitu anak lelaki mendapat dua bahagian berbanding anak perempuan. Bahagian mereka seperti berikut:
KASIM
2/7 bahagian
OSMAN
2/7 bahagian
SABARIAH
1/7 bahagian
KAMARIAH
1/7 bahagian
RUGAYAH
1/7 bahagian

Keterangan:
Anak lelaki mendapat 2/7 bahagian manakala anak perempuan mendapat 1/7 bahagian tiap seorang.

KEDUA:
Mengetahui jumlah nilai kesemua barang kemas. Kemudian kirakan berapakah yang akan diperolehi oleh setiap orang waris.


RM20,279.00
KASIM
2/7 bahagian
RM5,794.00
OSMAN
2/7 bahagian
RM5,794.00
SABARIAH
1/7 bahagian
RM2,897.00
KAMARIAH
1/7 bahagian
RM2,897.00
RUGAYAH
1/7 bahagian
RM2,897.00

Keterangan:
Sekiranya dibahagikan mengikut nilaian, setiap anak lelaki mendapat RM5,794.00, manakala setiap anak perempuan pula mendapat RM2,897.00.

KETIGA:
Kirakan nilai barang kemas yang dipilih /diambil oleh setiap orang waris dan bandingkan dengan nilai yang sepatutnya mereka dapat mengikut hukum faraid. Sekiranya nilai barang kemas yang diambil itu lebih banyak berbanding nilai yang sepatutnya diperolehi, waris itu hendaklah membayar lebihan dan sekiranya nilai barang kemas yang diambil itu kurang daripada nilai yang sepatutnya diperolehi, waris itu berhak menerima bayaran.
Rajah di bawah membantu anda melihat kedudukan siapakah yang mendapat barang kemas yang lebih daripada nilai yang sepatutnya diperolehi mengikut hukum faraid dan siapa pula yang kurang.
BIL
WARIS
BAHAGIAN
PEROLEHAN
BARANG
NILAI
LEBIH/KURANG
1
KASIM
2/7
RM5,794.00
2 gelang
Cincin permata
RM3,340
RM340
Kurang RM2,114
2
OSMAN
2/7
RM5,794.00
Rantai kasar
Loket
RM7,716
RM420
Lebih RM2,342
3
SABARIAH
1/7
RM2,897.00
2 gelang
RM3,340
Lebih RM443
4
KAMARIAH
1/7
RM2,897.00
Rantai halus
RM4,823
Lebih RM1,926
5
RUGAYAH
1/7
RM2,897.00
Subang
Cincin emas
RM260
RM40
Kurang RM2,597

Setelah meneliti rajah di atas, ternyata Osman, Sabariah dan Kamariah memilih barang kemas yang nilainya lebih tinggi berbanding dengan nilai yang sepatutnya mereka perolehi mengikut hukum faraid. Oleh itu mereka hendaklah membayar lebihan itu seperti berikut:
1.       Osman                  RM2,342
2.       Sabariah               RM   443
3.       Kamariah             RM1,926
JUMLAH  RM4,711
Manakala Kasim dan Rugayah pula memilih barang kemas yang kurang daripada nilai sepatutnya mereka dapat. Oleh itu mereka berhak mendapat bayaran seperti berikut:
1.       Kasim                    RM2,114
2.       Rugayah               RM2,597
JUMLAH  RM4,711
Kesimpulannya setiap waris mendapat bahagian masing-masing mengikut faraid:
WARIS
BARANG KEMAS
BAYAR / TERIMA
JUMLAH
KASIM
2 gelang            RM3,340
Cincin permata  RM   340
TERIMA RM2,114
RM5,794.00
OSMAN
Rantai kasar      RM7,716
Loket                RM   420
BAYAR   RM2,342
RM5,794.00
SABARIAH
2 gelang            RM3,340
BAYAR   RM   443
RM2,897.00
KAMARIAH
Rantai halus      RM4,823
BAYAR   RM1,926
RM2,897.00
RUGAYAH
Subang             RM   260
Cincin emas      RM     40
TERIMA  RM2,597
RM2,897.00

Sekian.

Monday, 21 May 2012


ILMU FARAID DI MANA TEMPATNYA?

Mukaddimah

Ilmu Faraid ialah satu kaedah pembahagian bagi harta pusaka orang Islam. Satu kaedah yang ditentukan oleh Allah s.w.t. yang terkandung di dalam Al-Quran surah Al-Nisaa’ ayat 11,12 dan 176. Kaedah pembahagian ini dilengkapkan oleh hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan disempurnakan oleh pendapat-pendapat sahabat dan ulama’.

Kaedah

Ilmu faraid sebenarnya menerangkan 4 perkara pokok. Pertama, kaedah yang terdapat di dalam ilmu ini dapat membantu pengamal faraid dalam melaksanakan tugasnya dalam perkara mengenal pasti sesuatu harta itu adalah harta pusaka. Kedua, kaedah penentuan waris bagi mengenal pasti siapakah waris yang berhak ke atas sesuatu harta pusaka itu agar tidak tergelincir dari landasan ketetapan hukum. Ketiga, kaedah penentuan bahagian bagi menentukan apakah seseorang itu mewarisi secara fardu atau asabah dan bahagian mereka misalnya 1/2, 1/4 dan sebagainya. Keempat, kaedah pengiraan iaitu untuk mengetahui bahagian bagi setiap individu yang mewarisi.

Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Peraturan-peraturan ialah satu akta yang menerangkan prosedur yang perlu diikuti dalam memproses sesuatu permohonan pusaka. Misalnya sesuatu permohonan itu hendaklah dimulakan dengan mengisi satu borang yang telah ditetapkan iaitu Borang A. Peraturan dibuat dengan menggariskan siapakah yang layak memohon pembahagian, apakah dokumen yang perlu disertakan bersama permohonan, penetapan bidangkuasa, permohonan kemudian, rayuan, penggunaan borang-borang dan sebagainya.

Pentingnya Ilmu Faraid

Bagi harta pusaka orang-orang Islam, kaedah pembahagian adalah mengikut hukum faraid. Sehingga kini tidak terdapat satu pun statut yang menerangkan kaedah pembahagian harta orang Islam mengikut faraid. Justeru, pegawai-pegawai pusaka hendaklah merujuk kepada buku-buku faraid untuk dijadikan sebagai panduan. Berbeza dengan pusaka orang bukan Islam yang mana pembahagian harta pusaka mereka dibuat mengikut kaedah yang digariskan dalam Akta Pembahagian 1958.

Di mana Letaknya Ilmu Faraid?

Akta Pusaka Kecil adalah merupakan Akta utama bagi pegawai-pegawai pusaka untuk memulakan tugasnya. Apabila siasatan dimulakan untuk menentukan siapakah waris yang berhak mewarisi sesuatu pusaka itu, maka di sini bermulalah pemakaian kaedah ilmu faraid. Kesilapan atau ketinggalan dalam mengambil keterangan berkaitan waris akan mengundang ketidak adilan di mana kemungkinan akan berlaku waris-waris yang sepatutnya mewarisi tidak disoal dalam siasatan waris. Contoh yang paling mudah, mungkin ada yang tidak kisah tentang kewujudan datuk dan nenek si mati sedangkan mereka juga antara waris yang berhak mewarisi sekiranya ibu dan bapa si mati telah mati dahulu.

Kaedah siasatan juga tidak lengkap sekiranya tidak dikategorikan kekuatan darjat seseorang waris sisi kepada si mati (adik beradik si mati). Misalnya saudara seibu sebapa, saudara sebapa atau saudara seibu. Lebih jauh lagi bapa saudara seibu sebapa, bapa saudara sebapa atau bapa saudara seibu. Apabila dikategorikan sebagai bapa saudara seibu, mereka tidak mewarisi.

Dalam masalah takharuj, terdapat kaedah-kaedah pengiraan berdasarkan kepada kes demi kes. Kesilapan dalam kaedah pengiraan juga mengundang kepada ketidak adilan. Contohnya si mati meninggalkan 2 orang isteri dan anak-anak. Isteri kedua menarik diri daripada menerima pusaka dengan hanya mengambil sebuah kereta sahaja manakala tanah, rumah dan harta-harta lain diserahkan kepada waris-waris lain. Berapa bahagiankah yang patut diperolehi oleh isteri pertama? Adakah 1/8 bahagian atau bagaimana? Sekiranya diberikan 1/8 bahagian kepada isteri pertama ternyata berlaku ketidak adilan dalam pembahagian. (harap maaf kerana tiada ulasan terperinci).

Oleh itu di manakah letaknya ilmu faraid?. Ilmu faraid adalah kaedah pembahagian bagi harta orang Islam yang belum disusun dalam bentuk statut yang akan menjadi pegangan dan panduan dalam pembahagian harta pusaka orang Islam. Oleh kerana ilmu ini digunakan sepenuhnya dalam proses siasatan, maka letaknya sejajar atau seiring dengan Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) dan Peraturan-peraturan 1955.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kepentingan memilikki pengetahuan ilmu faraid adalah sejajar dengan Akta Pusaka Kecil. Akta menggariskan prsedur permohonan manakala ilmu faraid pula menggariskan proses siasatan waris, penentuan kadar perolehan setiap waris dan kaedah pengiraan.

Nota:
Artikel ringkas ini untuk renungan pegawai-pegawai pembahagian pusaka kecil.

Thursday, 29 March 2012

BAGAIMANAKAH ANAK LELAKI MEWARISI HARTA PUSAKA?


Sekiranya datang seorang anak lelaki bertanyakan tentang bahagian yang akan diwarisi bagi harta pusaka bapanya, kita tidak boleh menjawabnya dengan serta merta atau dengan secara spontan. Ini kerana bahagian anak lelaki tidak menentu. Maksudnya bahagian anak lelaki tertakluk kepada kedudukan sesuatu kes di mana perlu dilihat siapakah yang turut mewarisi bersama anak lelaki itu.
Mengikut kaedah faraid, anak lelaki mewarisi secara asabah. Asabah bermakna:
*      Sekiranya si mati hanya meninggalkan anak lelaki sahaja tanpa waris lain, anak lelaki itu mewarisi kesemua harta pusaka bapanya.
*      Sekiranya terdapat waris fardu yang lain seperti ibu, bapa, suami atau isteri, anak lelaki akan mendapat baki setelah diberikan bahagian waris fardu.
*      Sekiranya si mati meninggalkan anak perempuan bersama anak lelaki, mereka bersama mewarisi secara Asabah Bil-Ghairi iaitu anak lelaki mendapat 2 bahagian manakala anak perempuan mendapat 1 bahagian.

Huraian:

1.      Sekiranya si mati hanya meninggalkan seorang anak lelaki sahaja tanpa waris lain, anak lelaki itu mewarisi kesemua harta.

1 anak lelaki
Semua
2.      Sekiranya anak lelaki itu lebih daripada seorang, misalnya lima orang, harta itu dibahagikan sama banyak, bermakna setiap anak lelaki mendapat 1/5 bahagian.

Anak lelaki
1/5
Anak lelaki
1/5
Anak lelaki
1/5
Anak lelaki
1/5
Anak lelaki
1/5
3.      Sekiranya  ada bersama anak lelaki itu waris lain yang mewarisi secara fardu, anak lelaki akan mendapat baki iaitu setelah diberikan bahagian waris fardu. Banyak atau sedikit bahagian anak lelaki bergantung kepada jumlah warisi fardu yang mewarisi bersamanya, dan bilangan anak lelaki itu sendiri.
Waris fardu bermakna waris yang telah ditetapkan bahagiannya. Sebagai contoh, isteri ditentukan bahagiannya ¼ sekiranya si mati tidak meninggalkan anak dan 1/8 sekiranya si mati meninggalkan anak.
Contoh 1:
Seorang mati meninggalkan 1 isteri dan seorang anak lelaki. Isteri mewarisi secara fardu 1/8 bahagian dan anak lelaki mendapat asabah (baki) 7/8 bahagian.


8
Isteri 1/8
1
1 Anak lelaki Asabah
7
Contoh 2:
Seorang mati meninggalkan isteri, ibu, bapa dan 1 anak lelaki. Anak lelaki akan mendapat baki setelah diberi bahagian waris fardu iaitu isteri, ibu dan bapa iaitu sebanyak 13/24 bahagian (24-3-4-4=13).


24
Isteri 1/8
3
Ibu 1/6
4
Bapa 1/6
4
1 anak lelaki Asabah
13
Dalam kes di atas, anak lelaki mendapat bahagian lebih banyak berbanding waris-waris lain.
4.      Sekiranya anak lelaki lebih daripada seorang, misalnya 5 orang, bahagian setiap orang darpada mereka makin sedikit iaitu sebanyak 13/120 bahagian kerana atas 13/24 dibahagikan pula kepada 5.


24
120
Isteri 1/8
3
15
Ibu 1/6
4
20
Bapa 1/6
4
20
Anak lelaki Asabah

13
Anak lelaki Asabah

13
Anak lelaki Asabah
13
13
Anak lelaki Asabah

13
Anak lelaki Asabah

13
Dalam kes di atas, anak lelaki mendapat kurang daripada bapa dan ibu bahkan kurang daripada isteri. Semakin ramai bilangan anak lelaki makin sedikitlah bahagian mereka.
5.      Sekiranya si mati meninggalkan anak perempuan bersama anak lelaki, mereka bersama mewarisi secara Asabah Bil-Ghairi iaitu anak lelaki mendapat 2 bahagian manakala anak perempuan mendapat 1 bahagian.

Contoh 1:
Sekiranya si mati meninggalkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Anak lelaki mendapat 2/3 bahagian dan anak perempuan mendapat 1/3 bahagian, iaitu nisbah 2:1.
1 anak lelaki
2/3
1 anak perempuan
1/3
Contoh 2:

Sekiranya si mati meninggalkan dua anak lelaki dan tiga anak perempuan, masing-masing akan mewarisi seperti berikut: anak lelaki 2/7 bahagian dan anak perempuan 1/7 bahagian.

7
Anak lelaki
2
Anak lelaki
2
Anak perempuan
1
Anak perempuan
1
Anak perempuan
1
6.      Sekiranya  ada bersama anak lelaki dan anak perempuan itu waris-waris lain, misalnya ibu dan suami, anak lelaki dan anak perempuan mewarisi secara asabah bil-ghairi iaitu mendapat baki setelah diberikan bahagian ibu dan suami kerana mereka berdua adalah waris fardu. Bahagian anak lelaki dan anak perempuan dibahagikan dengan nisbah lelaki 2 dan perempuan 1.
Contoh 1:


12
36
Ibu 1/6
2
6
Suami 1/4
3
9
1 anak lelakiAsabah
7
14
1 anak perempuan Asabah

7
Contoh 2:



12
72
Ibu 1/6
2
12
Suami 1/4
3
18
Anak lelaki Asabah

14
Anak lelaki Asabah

14
Anak perempuan Asabah
7
7
Anak perempuan Asabah

7
Semakin ramai bilangan anak-anak, semakin kuranglah bahagian setiap orang anak sebagai waris asabah sedangkan bahagian ibu atau suami yang mewarisi secara fardu tidak terjejas dengan jumlah anak-anak yang ditinggalkan oleh si mati.


Kesimpulan:
Bahagian anak lelaki tidak menentu kerana anak lelaki adalah penerima pusaka secara asabah. Oleh itu sebarang soalan tentang bahagian anak lelaki tidak dapat dijawab sewenang-wenangnya kecuali setelah diketahui siapakah waris lain yang mewarisi bersamanya.

Saturday, 10 March 2012

MENYELESAIKAN HARTA PUSAKA SUATU TUNTUTAN SYARAK (BAHAGIAN 3)


6. BAGAIMANA HARTA PUSAKA DIBAHAGIKAN
•         Perbincangan penting untuk menentukan cara pembahagian yang dipersetujui.
•         Asal pembahagian ialah mengikut hukum faraid. Setiap orang waris mempunyai hak ke atas setiap harta pusaka. Tetapi waris-waris boleh membincangkan cara mana sesuatu harta itu akan diagihkan kepada waris-waris dengan mengambil kira aspek sosial, ekonomi, semangat kekeluargaan dan sebagainya. Misalnya:
–        Sekiranya harta itu merupakan sebidang tanah pertanian, boleh dimiliki oleh semua waris dan didaftarkan dengan nama masing-masing, tetapi adakah pemilikan beramai-ramai  tidak menyusahkan waris-waris di masa hadapan. Fikirkan.
–        Sekiranya tanah pusaka tersebut luasnya cuma setengah ekar, mungkin tidak ekonomik jika dimiliki oleh 5 atau 6 orang waris. Oleh itu perlu dirundingkan.
–        Sekiranya harta itu merupakan barang kemas, bagaimana akan diagihkan kepada setiap orang waris.
–        Sekiranya harta itu merupakan sebuah kenderaan seperti kereta, motosikal dan sebagainya, bagaimana jalan penyelesaiannya kerana kereta tidak boleh dimiliki oleh lebih daripada seorang pemilik.
–        Sekiranya harta itu merupakan sebuah rumah kediaman, dengan pemilikan beramai-ramai, apa kesudahannya.

v  Oleh itu mengadakan rundingan di kalangan waris adalah wajar dan perlu demi menjaga keharmonian dan kebaikan agar harta si mati dapat dimanfaatkan bersama.

7. SIFAT MURNI
•         Untuk menjamin pembahagian yang baik dan mewujudkan suasana yang menyeronokkan, setiap waris sepatutnya mempunyai sifat-sifat berikut:
•         Bertolak ansur
•         Bertanggungjawab
•         Berfikiran positif
•         Tidak pentingkan diri
•         Semangat kekeluargaan
•         Prihatin
•         Pandang ke hadapan.
•         Lupakan nilai nostalgia / sentimental value
•         Baik sangka
•         Situasi menang-menang (Win win situation)
•         Ikut majoriti

8. ELAKKAN SIFAT KEJI
•         Tamak
•         Salah guna kuasa
•         Pentingkan diri
•         Tidak bertanggungjawab
•         Tiada kerjasama
•         Tidak prihatin
•         Buruk sangka
•         Situasi kalah kalah (Lose lose situation)

9. KESAN BAIK PEMBAHAGIAN
•         Eratkan hubungan keluarga
•         Mengseimbangkan pemilikan harta di kalangan waris
•         Harta orang tua dimanfaatkan
•         Hidup tenang
•         Saling bantu membantu
•         Hubungan keturunan si mati berterusan

10. KESAN BURUK PERGADUHAN
•         Putus hubungan keluarga
•         Harta terbengkalai/beku
•         Hidup dalam keresahan
•         Musnah struktur keturunan si mati
•         Makan harta saudara sendiri
•         Malang, harta orang tua tidak dimanfaatkan
•         Harta orang tua dipertikaikan

11. PENUTUP:
·         Menguruskan pembahagian harta pusaka sebenarnya memerlukan kefahaman yang amat luas dalam hukum faraid. Ianya berkaitan rapat dengan hukum wasiat, hibah dan harta sepencarian.

·         Setiap penyelesaian harta pusaka memerlukan perbincangan di kalangan waris di mana setiap orang waris seharusnya mempunyai tanggungjawab dan bersikap positif kearah penyelesaian yang terbaik.

·         Artikel yang ringkas ini sebenarnya memerlukan penjelasan lebih terperinci agar tuan-tuan dapat menyelesaikan harta pusaka dengan baik, sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturrahim di kalangan ahli keluarga.

·         Semoga artikel ini dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan keluarga dan sanak saudara khususnya dan umat Islam umumnya.

SEKIAN.

Disediakan oleh:
WAN ABDUL HALIM BIN W HARUN
Perunding Utama / Peguam Syarie
Perunding W Halim
FEBRUARI 2012