Friday, 21 December 2012


MENGAPA SAYA DIKEHENDAKKI HADIR?

Selesai makan tengahari, tiba-tiba Sabariah mengadu sesak nafas. Kasim memapah Sabariah dan membaringkannya di atas tilam. Begitu mudah Sabariah menghembuskan nafas terakhir. Kasim baru dua minggu berkahwin dengan Sabariah, seorang janda beranak tiga.

Tiga bulan selepas kematian, anak sulung Sabariah telah membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka ibunya di Pejabat Pembahagian Harta Pusaka Kecil. Senarai waris yang dimasukkan dalam permohonan hanya tiga orang anak-anak sahaja. Suami (Kasim) tidak disenaraikan atas kehendak Kasim sendiri dengan harapan dia tidak dipanggil ke pejabat dalam urusan pembahagian harta pusaka Sabariah.

Pada hari perbicraan, saya selaku Pegawai Pembahagian Harta Pusaka, membuat siasatan waris bagi menentukan waris yang layak mewarisi harta pusaka Sabariah. Kedudukan waris Sabariah adalah seperti berikut:
1.       Sabariah tidak meninggalkan ibu bapa dan semua keturunan ke atas telah mati dahulu.
2.       Sabariah telah berkahwin dua kali.
a.       Pertama               : Ahmad bin Abu. Mati dahulu.
b.      Kedua                 : Kasim bin Ahmad, bercerai mati dan masih hidup.
3.       Sabariah meninggalkan tiga orang anak dengan suami pertama, kesemuanya lelaki iaitu: Osman, Selamat dan Zailani.
Kesimpulannya, waris yang layak bagi harta pusaka Sabariah ialah, suami (Kasim) dan tiga orang anak lelakinya (Osman, Selamat dan Zailani).

Perbicaraan ditangguhkan kerana Kasim diperlukan hadir untuk memberi keterangan bagi menentukan bahagiannya.

Pada hari yang ditetapkan, Kasim hadir bersama tiga orang anak-anak tirinya. Sebelum sempat duduk, Kasim dengan suara agak keras berkata, “Mengapa panggil saya ke pejabat?. Saya tak ada kena mengena dengan harta pusaka ini. Harta ini ‘bukan dalam saya’. Ini harta Sabariah dapat daripada harta pusaka suaminya yang terdahulu”.

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan oleh Kasim “Harta ini bukan dalam saya”.

Jawab:

Maksudnya harta Sabariah yang nak difaraidkan itu bukan diperolehi ketika dalam perkahwinannya dengan Sabariah. Harta itu Sabariah dapat daripada pusaka bekas suaminya, Ahmad. Oleh itu Kasim berpendapat, beliau tidak berhak ke atas harta pusaka Sabariah dan sepatutnya beliau tidak dipanggil ke pejabat.

Pendapat Kasim tidak tepat. Apabila seseorang itu meninggal dunia kesemua harta miliknya menjadi harta pusaka dan mesti difaraidkan tanpa mengambil kira bagaimana harta itu diperolehi. Sama ada melalui pembelian, mendapat hibah atau hadiah, sumber daripada gaji dan elaun, hasil perniagaan,  mendapat wasiat, mendapat pusaka daripada ibu bapa, suami dan sebagainya asalkan harta itu diperolehi secara halal. Oleh itu Kasim berhak mewarisi harta pusaka isterinya, Sabariah. Sebab itulah beliau dikehendakki hadir ke pejabat. (Dalam kes ini, Sabariah meninggalkan empat ekar tanah iaitu pusaka arwah suami pertamanya, Ahmad).

Soalan:

Adakah Kasim layak mewarisi harta pusaka Sabariah walau pun beliau baru dua minggu  berkahwin?.

Jawab:

Tempoh perkahwinan bukanlah ukuran bagi kelayakan seseorang itu mewarisi harta pusaka pasangannya. Suami atau isteri layak mewarisi harta pusaka pasangannya sebaik sahaja majlis ijab dan qabul disempurnakan. Walau pun baru dua minggu Kasim menjadi suami kepada Sabariah, Kasim layak menerima harta pusaka isterinya asalkan perkahwinan itu sah mengikut hukum syarak.

Setelah faham dengan penjelasan yang diberi, Kasim  bertanya dengan nada lemah lembut, “kalau saya berhak, berapakah bahagian saya”?.

“Bahagian kamu adalah sebanyak 1/4 bahagian daripada harta pusaka Sabariah kerana Sabariah ada meninggalkan tiga orang anak. Ini bermakna kamu mendapat satu ekar tanah”.
“Wah! Banyaknya, nasib baik tuan panggil saya ke pejabat. Kalau tidak rugilah saya!. Terima kasih, terima kasih  tuan kerana panggil saya ke pejabat. Saya mahu bahagian saya”.

PEMBAHAGIAN MENGIKUT HUKUM FARAID


4
4 EKAR
KASIM
1/4
1
1 ekar
OSMAN
Asabah
1
1 ekar
SELAMAT
Asabah
1
1 ekar
ZAILANI
Asabah
1
1 ekar

1 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum... Saya ingin bertanya sedikit kerana banyak kekeliruan.. Jikalau ibu sudah meninggal Dan 2 orang anak (1 lelaki Dan 1 perempuan Dan arwah sudah bercerai sebulan selepas saya dilahirkan... Arwah cuma meninggalkan harta simpanan (Bsn) kurang daripada rm100000... Dan anak arwah yang perempuan pula sudah meninggal juga selepas arwah... Bagaimana harta itu dibahagikan..
Dan Jalan terbaik dimana saya perlu pergi untuk harta yang kurang daripada rm100,000.. Sila email kan manpagar@yahoo.com

Post a Comment