Friday 29 March 2013


SIAPA LEBIH BERHAK MEWARISI?
CUCU LELAKI  v  ADIK BERADIK LELAKI

Kadangkala agak keliru juga apabila memikirkan siapakah yang lebih berhak mewarisi harta pusaka si mati yang meninggalkan seorang cucu lelaki yang mana bapanya telah mati dahulu berbanding adik beradik lelaki si mati. Sekali imbas, adik beradik dikatakan lebih berhak kerana nampak lebih hampir kepada si mati berbanding cucu yang dianggap lebih jauh. Lagi pun bapa kepada cucu itu telah mati terlebih dahulu.

Contoh kes seperti berikut:
Sidiq mempunyai seorang anak lelaki bernama Kasim dan seorang anak perempuan bernama Salbiah. Malangnya Kasim telah mati 10 tahun dahulu apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya dan beliau mati ditempat kejadian. Kasim ada meninggalkan seorang anak lelaki bernama Osman. Osman ialah cucu lelaki kepada Sidiq. Di masa yang sama Sidiq juga mempunyai seorang adik lelaki seibu sebapa bernama Zailani. Kini Sidiq meninggal dunia seminggu yang lalu.
                                                                                                            
Merujuk kepada kes di atas, si mati meninggalkan seorang anak perempuan (Salbiah), seorang cucu lelaki (Osman) dan seorang adik lelaki seibu sebapa (Zailani).

Soalan:
Siapakah di kalangan mereka tiga orang ini yang berhak mewarisi harta pusaka Sidiq?. Adakah ketiga-tiga mereka berhak atau ada antara mereka yang gugur atau terdinding (mahjub). Sebelum membaca jawapan di bawah sila anda beri jawapannya sama ada berdasarkan ilmu faraid atau berdasarkan kepada telahan anda sendiri.

Jawapan:
Si mati meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Salbiah. Salbiah adalah waris utama. Anak perempuan mewarisi secara fardu di mana ketika seorang diri bahagiannya telah ditentukan mengikut hukum faraid sebanyak ½ bahagian.
Baki ½ bahagian lagi adalah diwarisi oleh Osman, iaitu cucu lelaki kepada si mati. Osman adalah waris ganti. Iaitu cucu lelaki daripada anak lelaki yang mati dahulu menggantikan tempat anak lelaki. Osman mewarisi secara asabah iaitu menerima baki setelah diberikan bahagian fardu iaitu bahagian anak perempuan.
Osman lebih berhak mewarisi harta pusaka datuknya berbanding Zailani mengikut kaedah tertib asabah. Waris asabah yang utama ialah keturunan ke bawah. Pertama anak lelaki. Sekiranya anak lelaki tidak ada kerana mati dahulu, tempatnya digantikan oleh cucu lelaki.
Ada pun adik beradik si mati berada ditangga ke empat dalam senarai tertib asabah. Iaitu selepas anak lelaki, cucu lelaki dan bapa.  Selagi ada waris asabah yang lebih hampir, waris asabah yang lebih jauh terdinding.

SALBIAH
Anak perempuan
½
½
OSMAN
Cucu lelaki
Asabah
½
ZAILANI
Adik seibu sebapa
Gugur
0

Adik beradik sebenarnya tergolong dalam kategori waris ke dua. Iaitu kumpulan waris yang lebih jauh berbanding anak dan cucu si mati. Waris yang paling hampir kategori pertama dinamakan Waris Utama iaitu ibu bapa, suami atau isteri, anak lelaki dan anak perempuan. Kemudian disusuli pula kategori kedua dinamakan Waris Ganti iaitu nenek, datuk, cucu lelaki dan cucu perempuan. Sekiranya harta pusaka itu masih tidak dapat dihabiskan oleh waris utama dan waris ganti atau masih berbaki, maka barulah diwarisi oleh waris-waris dalam kategori ketiga iaitu dinamakan Waris Ke dua. Mereka terdiri daripada adik beradik si mati, anak saudara, bapa saudara, sepupu, bapa sepupu dan seterusnya keturunan lelaki si mati yang lebih jauh.  Ini bermakna sekiranya anak lelaki, cucu lelaki dan bapa tidak ada, barulah adik beradik lelaki si mati mewarisi secara asabah.
Contohnya, apabila seorang mati meninggalkan seorang anak perempuan dan seorang adik beradik lelaki seibu sebapa. Harta pusaka itu akan diwarisi oleh anak perempjuan ½ bahagian manakala bakinya ½ bahagian lagi diwarisi oleh adik beradik secara asabah.

Kesimpulan:
Ketahuilah tuan puan bahawa cucu lelaki lebih kuat dan lebih berhak mewarisi harta pusaka datuknya berbanding adik beradik si mati. Tanggapan yang mengatakan adik beradik lebih berhak sebenarnya tidak berasas sama sekali, bahkan sesetengah pihak memberikan alasan cucu tidak berhak kerana bapanya telah mati dahulu.
Adik beradik hanya berhak mewarisi apabila si mati tidak meninggalkan anak lelaki, cucu lelaki dan bapa.

Sekian.


      




1 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum tuan sepupu perempuan saya telah meninggal dunia dan telah meninggalkan suami dan 2 orang anak perempuan.Soalan saya adakah mereka layak mendapat harta atau ada orang lain yang lagi layak mendapat harta tersebut.sekian terima kasih

Post a Comment