SIAPA LEBIH
BERHAK MEWARISI?
CUCU LELAKI
v ADIK BERADIK LELAKI
Kadangkala agak keliru juga apabila memikirkan
siapakah yang lebih berhak mewarisi harta pusaka si mati yang meninggalkan
seorang cucu lelaki yang mana bapanya telah mati dahulu berbanding adik beradik
lelaki si mati. Sekali imbas, adik beradik dikatakan lebih berhak kerana nampak
lebih hampir kepada si mati berbanding cucu yang dianggap lebih jauh. Lagi pun
bapa kepada cucu itu telah mati terlebih dahulu.
Contoh kes seperti berikut:
Sidiq mempunyai seorang anak lelaki bernama Kasim
dan seorang anak perempuan bernama Salbiah. Malangnya Kasim telah mati 10 tahun
dahulu apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya dan beliau mati ditempat
kejadian. Kasim ada meninggalkan seorang anak lelaki bernama Osman. Osman ialah
cucu lelaki kepada Sidiq. Di masa yang sama Sidiq juga mempunyai seorang adik
lelaki seibu sebapa bernama Zailani. Kini Sidiq meninggal dunia seminggu yang
lalu.
Merujuk kepada kes di atas, si mati
meninggalkan seorang anak perempuan (Salbiah), seorang cucu lelaki (Osman) dan
seorang adik lelaki seibu sebapa (Zailani).
Soalan:
Siapakah di kalangan mereka tiga orang ini yang berhak
mewarisi harta pusaka Sidiq?. Adakah ketiga-tiga mereka berhak atau ada antara
mereka yang gugur atau terdinding (mahjub).
Sebelum membaca jawapan di bawah sila anda beri jawapannya sama ada berdasarkan
ilmu faraid atau berdasarkan kepada telahan anda sendiri.
Jawapan:
Si mati meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Salbiah.
Salbiah adalah waris utama. Anak perempuan mewarisi secara fardu di mana ketika
seorang diri bahagiannya telah ditentukan mengikut hukum faraid sebanyak ½
bahagian.
Baki ½ bahagian lagi adalah
diwarisi oleh Osman, iaitu cucu lelaki kepada si mati. Osman adalah waris
ganti. Iaitu cucu lelaki daripada anak lelaki yang mati dahulu menggantikan
tempat anak lelaki. Osman mewarisi secara asabah iaitu menerima baki setelah
diberikan bahagian fardu iaitu bahagian anak perempuan.
Osman lebih berhak mewarisi harta
pusaka datuknya berbanding Zailani mengikut kaedah tertib asabah.
Waris asabah yang utama ialah keturunan ke bawah. Pertama anak lelaki.
Sekiranya anak lelaki tidak ada kerana mati dahulu, tempatnya digantikan oleh
cucu lelaki.
Ada pun adik beradik si mati berada
ditangga ke empat dalam senarai tertib asabah. Iaitu selepas anak lelaki, cucu
lelaki dan bapa. Selagi ada waris asabah
yang lebih hampir, waris asabah yang lebih jauh terdinding.
SALBIAH
|
Anak perempuan
|
½
|
½
|
OSMAN
|
Cucu lelaki
|
Asabah
|
½
|
ZAILANI
|
Adik seibu sebapa
|
Gugur
|
0
|
Adik beradik sebenarnya tergolong
dalam kategori waris ke dua. Iaitu kumpulan waris yang lebih jauh berbanding
anak dan cucu si mati. Waris yang paling hampir kategori pertama dinamakan Waris Utama iaitu ibu bapa, suami atau isteri, anak lelaki dan anak
perempuan. Kemudian disusuli pula kategori kedua dinamakan Waris Ganti iaitu nenek, datuk, cucu lelaki dan cucu perempuan.
Sekiranya harta pusaka itu masih tidak dapat dihabiskan oleh waris utama dan
waris ganti atau masih berbaki, maka barulah diwarisi oleh waris-waris dalam
kategori ketiga iaitu dinamakan Waris Ke
dua. Mereka terdiri daripada adik beradik si mati, anak saudara, bapa
saudara, sepupu, bapa sepupu dan seterusnya keturunan lelaki si mati yang lebih
jauh. Ini bermakna sekiranya anak
lelaki, cucu lelaki dan bapa tidak ada, barulah adik beradik lelaki si mati
mewarisi secara asabah.
Contohnya, apabila seorang mati
meninggalkan seorang anak perempuan dan seorang adik beradik lelaki seibu
sebapa. Harta pusaka itu akan diwarisi oleh anak perempjuan ½ bahagian manakala
bakinya ½ bahagian lagi diwarisi oleh adik beradik secara asabah.
Kesimpulan:
Ketahuilah tuan puan bahawa cucu lelaki lebih kuat dan lebih
berhak mewarisi harta pusaka datuknya berbanding adik beradik si mati.
Tanggapan yang mengatakan adik beradik lebih berhak sebenarnya tidak berasas
sama sekali, bahkan sesetengah pihak memberikan alasan cucu tidak berhak kerana
bapanya telah mati dahulu.
Adik beradik hanya berhak mewarisi apabila si mati tidak
meninggalkan anak lelaki, cucu lelaki dan bapa.
Sekian.
1 comments:
Assalamualaikum tuan sepupu perempuan saya telah meninggal dunia dan telah meninggalkan suami dan 2 orang anak perempuan.Soalan saya adakah mereka layak mendapat harta atau ada orang lain yang lagi layak mendapat harta tersebut.sekian terima kasih
Post a Comment