Sunday 23 October 2011

KISAH DALAM KAMAR PUSAKA


KES 1

Si mati meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. Mengikut hukum faraid, isteri mendapat 1/8 bahagian dan anak-anak mendapat baki (Asabah Bil-Ghairi).

Ketika di dalam kamar perbicaraan harta pusaka, isteri dan anak-anak si mati kelihatan seperti biasa, seperti waris-waris yang lain juga. Soalan bermula dengan profile si mati, harta yang ditinggalkan dan kedudukan waris si mati.

Di akhir perbicaraan, waris-waris ditanya tentang cara pembahagian yang dikehendakki.  Isteri si mati mencadangkan, “Saya pohon tanah pusaka ini dibahagi mengikut hukum faraid. Saya mahu bahagian saya 1/8 bahagian, selebihnya dibahagikan kepada anak-anak saya”.

Tanpa disangka, salah seorang daripada anak perempuannya mencelah, “Mak, kalau boleh mak tak usahlah ambil bahagian mak tu. Mak tolaklah (serahkan) kepada kita semua ni. Kalau mak ambil, susah kemudian hari. Kalau mak mati, susah pulak kita kena datang ke pejabat buat pusaka mak”.

Si ibu tersentak. Dari air mukanya saya dapat bayangkan apa yang difikirkan oleh ibu itu. Si ibu tunduk dan merenong jauh. Sebelum sempat ibu berkata-kata, anak perempuan tadi menyambung lagi, “Kalau boleh semua tanah-tanah atas nama mak, mak tukar nama kepada kita semua. Baru senang kemudian hari. Kalau mak mati, kita tak payah datang ke pejabat buat pusaka mak”.

Ibu mereka diam tidak berkata apa-apa. Tiba-tiba seorang anak yang lain pula menambah, “Kalau mak nak ambil bahagian mak, tak apa. Mak boleh ambil, tetapi dengan satu syarat,  mak tak boleh kahwin lain”.

Saya percaya saudara semua faham mengapa anak tidak benarkan ibu mereka berkahwin lain. Saya tidak tahu bagaimana perasaan si ibu ketika itu. Tetapi dari air mukanya saya dapat bayangkan. Suasana dalam kamar pusaka di kala itu sungguh muram.
Siapakah anak-anak ini?

Takdir tuhan tiada siapa yang tahu. Hidup mati di tangan tuhan yang menentukan. Kabarnya, dua bulan selepas itu si anak yang mati dahulu kemalangan jalan raya. Wallahuaklam.

KES 2

Si mati meninggalkan suami dan 10 orang anak lelaki dan perempuan. Harta peninggalan hanya sebidang tanah tapak rumah dan sebuah rumah kampung. Mengikut hukum faraid, suami si mati mendapat ¼ bahagian dan anak-anak mendapat baki (Asabah Bil-Ghairi).

Semasa dalam kamar perbicaraan harta pusaka, apabila ditanya kepada ayah (suami si mati) bagaimana harta tersebut hendak dibahagikan kepada 11 orang waris, si bapa menjawab, “Tanah dan rumah ini kami semua bersetuju menyerahkannya kepada anak bungsu dengan bayaran harga sebanyak RM13,000”.
“Duit RM13,000 tu nak bahagi macamana?”. Jawab bapa, “Duit ini anak-anak serahkan kepada saya seorang”.

Apabila ditanya kepada anak-anak, mereka ingin tahu berapa bahagian masing-masing sekiranya dibahagi mengikut hukum faraid. Setelah dibuat pengiraan,  tiap seorang anak lelaki akan mendapat hampir RM2,000 dan anak perempuan akan mendapat hampir RM1,000.

Anak sulung memberi keterangan, “Kami telah bermuafakat dan bersetuju kesemua bahagian kami, kesemua duit ini kami serahkan kepada ayah kami”.

Saya tanyakan si ayah, “Nak buat apa dengan duit tu?”. Ayah hanya senyum sahaja tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba salah seorang daripada anak perempuan mencelah, “Kita nak suruh ayah kahwin lain. Kalau ayah kahwin lain senang, makan minum, sakit demam ada orang jaga. Ayah tak sunyi sangat”.

Si ayah kelihatan tenang sahaja. Ketika mengambil kad pengenalannya untuk dimasukkan ke dalam dompetnya, nampak tangannya sedikit gementar. Salah seorang anak perempuan lantas mengusik, “Ayah, kalau macam ni, mampu ke ayah nak kahwin?”. Mereka gelak bersama. Suasana dalam kamar pusaka di kala itu sungguh ceria sekali.
Siapakah anak-anak ini?

Jadikan harta pusaka pemangkin kebahagian keluarga.

Sama-sama kita renungkan.

Sunday 16 October 2011

KHIDMAT PERUNDINGAN: 1. Waris mati dahulu tiada hak mewarisi. 2. Zakat harta pusaka yang disimpan tanggungjawab waris. 3. Pengiraan.

Ibu saya telah meninggal dunia 6 tahun yang lalu, iaitu pada bulan Jun tahun 2006. Ibu meninggalkan barang kemas. Barang kemas itu tidak dibahagikan kepada waris-waris, sebaliknya telah disimpan oleh kakak sehinggalah beberapa hari yang lalu, kakak telah menjual barang kemas itu dan duit hasil jualan barang kemas itu kakak mahu bahagikan kepada waris-waris sebagai harta pusaka. Duit hasil jualan barang kemas berjumlah RM21,000.
Ibu meninggalkan seorang suami dan mempunyai 10 orang anak, 6 lelaki dan 4 perempuan. Tetapi seorang anak perempuan iaitu kakak saya nombor dua telah mati dahulu 4 bulan daripada ibu saya. Dua tahun lepas ayah telah berkahwin lain dan adik bongsu tinggal dengan abang sulung.

Soalan saya:
  1. Siapakah waris yang berhak ke atas duit hasil jualan barang kemas itu?. Adakah kakak yang mati dahulu atau anak-anak kakak berhak menerima pusaka?. Adakah ayah juga berhak menerima pusaka ibu kerana ayah telah berkahwin lain? 
  2. Saya difahamkan sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris-waris, waris-waris bertanggungjawab mengeluarkan zakat terlebih dahulu? Benarkah begitu?
  3. Saya pohon ustaz kirakan bahagian masing-masing mengikut hukum faraid.

Harap mendapat jawapan daripada ustaz.
Terima kasih.
Wassalam.

Jawapan:
  1. Waris yang berhak ke atas harta pusaka ibu anda ialah suami dan 9 orang anak. 6 lelaki dan 3 perempuan.
    1. Kakak yang mati dahulu tidak berhak mendapat pusaka begitu juga anak-anaknya. Ini kerana mengikut syarat seseorang itu berhak menerima pusaka ibunya ialah  anak itu hidup ketika ibunya meninggal dunia. Oleh kerana kakak mati dahulu daripada ibu, kakak tidak berhak menerima harta ibu.
    2. Ayah anda adalah suami kepada si mati. Suami yang bercerai mati berhak mewarisi harta pusaka isterinya. Sama ada suami itu telah berkahwin lain atau tidak, itu tidak menjadi persoalan, atau dengan lain perkataan tidak menjadi penghalang kepada suami untuk mewarisi harta pusaka isterinya. Lagi pun apabila seseorang itu meninggal dunia, secara otomatik harta itu menjadi harta pusaka dan sepatutnya difaraidkan seberapa segera yang mungkin. Suami berhak menerima pusaka isterinya walaupun suami tersebut berkahwin semula beberapa hari selepas kematian suaminya. Perlu saya tegaskan di sini, suami berkahwin lain tidak ada kena mengena dengan hukum pewarisan.
  2. Zakat wajib dijelaskan terlebih dahulu sebelum harta pusaka difaraidkan sekiranya pada masa hayatnya si mati yang sepatutnya wajib mengeluarkan zakat telah tidak membayar zakat sama ada dengan sengaja tidak membayarnya atau tidak sempat membayar zakat yang diwajibkan ke atasnya. Ketika itu, waris-waris wajib membayar zakat dengan mengambil sebahagian daripada harta si mati kerana itu adalah hutang si mati kepada Allah.

Dalam kes ini, barang kemas adalah pakaian si mati semasa hayatnya dan tidak perlu dikeluarkan zakat. Ini bermakna si mati pada masa hayatnya tidak wajib ke atasnya membayar zakat emas. Apabila berlaku kematian, barang kemas itu bukan lagi kepunyaan si mati, tetapi ia adalah kepunyaan waris yang berhak. Tindakan menyimpan barang kemas begitu lama merupakan satu kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku. Barang kemas itu sebenarnya kepunyaan suami dan anak-anak si mati. Menyimpan barang itu bermakna menyimpan barang kepunyaan suami dan anak-anak si mati dan bukannya menyimpan barang kepunyaan si mati.

Sama ada dikenakan zakat atau tidak, perlu dilihat kepada bahagian bagi setiap orang yang mewarisi setelah cukup haul dan cukup nisabnya. Sebagai contoh daripada RM21,000 itu suami berhak 1/4 bahagian. Bermakna suami akan mendapat sebanyak RM5250.00.  RM21,000 adalah nilaian semasa pada tahun 2011.

Bahagian suami akan dikenakan zakat dikira bermula cukup haul satu tahun hijrah selepas kematian isterinya iaitu pada tahun 2007. Itu pun sekiranya cukup nisab pada tahun itu. Saya difahamkan nisab emas pada tahun 2007 ialah lebih kurang RM6,000. Bahagian suami yang disimpan ketika itu mungkin sekitar RM3,000 sahaja dan begitulah seterusnya nisab bertambah dari tahun ke tahun seiring dengan kenaikan harga emas. Pada tahun ini, nisab emas lebih kurang RM11,000 (Nisab berubah-ubah mengikut harga emas semasa. Sila rujuk di bahagian zakat, Jabatan Agama negeri).

Kesimpulannya tiada zakat yang dikenakan ke atas barang kemas yang disimpan itu.

  1. Bahagian setiap orang waris mengikut hukum faraid adalah seperti berikut:


4
20
RM21,000.00
suami
1/4
1
5
RM5,250.00
Anak lelaki 1
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 2
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 3
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 4
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 5
Asabah
3
2
RM2,100.00
Anak lelaki 6
Asabah

2
RM2,100.00
Anak perempuan 1
Asabah

1
RM1,050.00
Anak perempuan 2
Asabah

1
RM1,050.00
Anak perempuan 3
Asabah

1
RM1,050.00

Wallahu'aklam.

Saturday 8 October 2011

AMBIL TAHU SIAPAKAH WARIS BERHAK MEWARISI UNTUK ELAK KEKELIRUAN



Apabila berlaku kematian, secara automatik harta si mati berpindah kepada waris-waris yang ditinggalkan. Persoalannya, siapakah waris yang berhak mewarisi harta pusaka itu?

Untuk mengetahuinya pelajarilah ilmu faraid. Perunding W Halim bersedia membimbing anda. Berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang dipelajari akan membolehkan seseorang itu mengetahui siapakah yang berhak mewarisi. Bagaimana pun cara mudah untuk mengetahui waris yang berhak ialah dapatkan maklumat yang betul daripada orang yang benar-benar mahir dalam bidang ilmu Faraid.

Mengetahui waris yang berhak mewarisi harta pusaka boleh membantu waris-waris menyelesaikan beberapa masalah, antaranya:
  1. Hanya waris yang berhak sahaja yang akan mengurus dan membincangkan pembahagian harta. Campur tangan orang luar seperti ipar, menantu, jiran atau rakan-rakan yang tidak diundang boleh menimbulkan salah faham, ketidak puasan hati dalam kalangan waris yang akhirnya akan menimbulkan pertelingkahan. Bagaimana pun, mereka boleh membantu sekiranya diperlukan oleh waris-waris.
  2. Bagi memastikan waris-waris yang berhak tidak dipinggirkan.
  3. Mengelakkan rasa kecewa dan malu dalam ahli keluarga akibat kejahilan hukum faraid kerana menyangka beliau berhak mendapat pusaka sedangkan mengikut hukum faraid, sebenarnya beliau tidak berhak.
Satu kes telah dilaporkan seperti berikut:

Si mati bernama Rafeah telah meninggal dunia pada tahun Disember 2010. Rafeah tidak meninggalkan ibu bapa (mereka mati dahulu).Suami bernama Saad juga mati dahulu pada tahun 2000.Pada masa kematiannya, Rafeah meninggalkan tiga orang anak, satu lelaki dan dua perempuan iaitu, Basir, Salbiah dan Basirah.
Harta pusaka yang ditinggalkan  ialah wang tunai berjumlah RM250,000.00

Sebelum sempat harta pusaka Rafeah dibahagikan, Basir telah meninggal dunia iaitu pada Januari 2011. Isteri Basir mati dahulu dan Basir meninggalkan hanya tiga orang anak perempuan. Basir juga meninggalkan dua orang bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa bernama Ali dan Abu (adik beradik seibu sebapa dengan Saad, bapa Basir ).

Persoalan timbul siapakah yang akan mewarisi harta pusaka Rafeah? Tiga orang anak Basir semuanya perempuan, pada pendapat umum mereka tidak boleh mewarisi kesemua  harta pusaka Basir. Oleh kerana bapa saudara dikatakan lebih berhak untuk menghabiskan harta pusaka itu kerana mereka berdua lelaki, maka pengesahan perlu dibuat bagi memastikan waris lelaki itu benar-benar berhak.

Bagi memberi gambaran lebih jelas kedudukan waris si mati, rajah di bawah boleh membantu anda:


Soalan 1: Siapakah yang berhak ke atas harta pusaka Rafeah?
Jawapan:
Penentuan waris berhak: hanya 3 orang anak. 1 lelaki dan 2 perempuan.
Penentuan bahagian: seperti rajah di bawah:


4
RM250,000.00
BASIR
2
RM125,000.00
SALBIAH
1
RM  62,000.00
BASIRAH
1
RM  62,000.00

Sebelum sempat pembahagian di atas dibuat, Basir telah meninggal dunia.
Soalan 2 : Siapakah yang berhak ke atas harta pusaka Basir?
Jawapan:
Penentuan waris berhak:
  1. Tiga anak perempuan
  2. Dua saudara seibu sebapa perempuan
  3. Dua bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa

Berdasarkan kaedah pembahagian:
  1. Tiga anak perempuan sebagai waris utama berhak mewarisi secara fardu sebanyak 2/3 bahagian. Harta pusaka masih berbaki 1/3 bahagian.
  2. Waris ganti keturunan ke atas seperti datuk dan nenek dan keturunan ke bawah seperti cucu tidak ada. Oleh itu berpindah kepada waris kedua yang lebih hampir iaitu adik beradik si mati. Mengikut kaedah pembahagian, dua saudara seibu sebapa perempuan ketika bersama dengan anak perempuan, berhak mewarisi secara asabah ma’al ghairi. Iaitu adik beradik perempuan akan menerima baki sebanyak 1/3 bahagian. Bermakna harta pusaka telah dapat dihabiskan oleh lima orang waris perempuan, iaitu 3 anak perempuan dan 2 adik beradik perempuan.
  3. Oleh kerana adik beradik perempuan telah mewarisi secara asabah dan menghabiskan harta pusaka, dua bapa saudara sebelah bapa terdinding atau mahjub (gugur) dan tidak mewarisi apa-apa.
Penentuan bahagian: seperti rajah di bawah:


3
18
RM125,000.00
LATIFAH

4
RM  27,777.78
SAUDAH
          2/3
2
4
RM  27,777.78
ZAWIAH


4
RM  27,777.78
SALBIAH
         Asabah
1
3
RM  20,833.33
BASIRAH


3
RM  20,833.33
ALI
         Gugur   
0
0
0
ABU


0
0
 
Keputusan: Abu dan Ali tidak mendapat apa-apa walaupun mereka berdua waris lelaki.

Apabila dilakukan pengiraan bagi kematian berlapis secara sekali gus mengikut kaedah pengiraan MUNASAKHAT, pembahagian seperti rajah di bawah:

Kesimpulan:
    1. Dengan mengetahui waris yang berhak dan bahagian masing-masing, membolehkan waris-waris membuat pembahagian dengan adil dan dapat mengelakkan sebarang rasa tidak puashati. Mengapa Salbiah dan Basirah mendapat bahagian yang banyak ada jawapannya. Mereka mendapat dua kali iaitu pertama, sebagai anak kepada Rafeah dan kedua, sebagai adik beradik kepada Basir.
    2. Ali dan Abu hendaklah akur dengan hukum faraid dan jangan tergesa-gesa mencanang bahawa mereka berhak kerana mereka waris lelaki.
    3. Ambil tahu siapakah waris yang berhak agar harta pusaka dapat diagihkan kepada mereka yang sebenarnya berhak.