Sunday 12 January 2014

ANAK DERHAKA LAYAK MEWARISI HARTA PUSAKA?
Seseorang anak sama ada lelaki atau perempuan layak mewarisi harta pusaka sekiranya anak itu adalah anak sebenar kepada si mati.

Mengikut istilah Ilmu Faraid, anak sebenar adalah  ‘Keturunan Hakiki’ atau dengan kata lain ‘Darah Daging’ si mati. Maka tidak mewarisi harta pusaka oleh anak-anak yang lain daripada darah daging si mati. Mereka itu antaranya anak angkat, anak tiri dan anak susuan.

Anak angkat adalah anak orang lain yang dipelihara oleh pasangan yang selalunya tidak dikurniakan zuriat. Oleh itu jelas anak itu bukan anak sebenar atau darah daging kepada pasangan itu. Sebagai contoh, Osman dan Sabariah telah berkahwin selama 5 tahun dan tidak dikurniakan cahaya mata. Mereka lalu mengambil seorang anak saudara kepada Sabariah dan memeliharanya sebagai anak angkat. Apabila Osman atau Sabariah meninggal dunia, anak angkat ini tidak layak mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya kerana anak angkat bukan ‘darah daging’ atau keturunan  mereka yang sebenar.

Anak tiri adalah anak kepada pasangan yang dikahwini. Semasa dikahwini, pasangan adalah seorang duda atau janda yang telah mempunyai anak hasil perkahwinan dengan isteri atau suami terdahulu. Sebagai contoh, Osman berkahwin dengan Sabariah seorang janda beranak satu bernama Hasan. Hasan, anak Sabariah dengan suami terdahulu adalah anak tiri kepada Osman. Sekiranya Osman meninggal dunia, Hasan tidak layak mewarisi kerana bukan darah daging atau keturunan sebenar Osman.

Anak susuan pula adalah anak orang lain yang disusukan semasa masih bayi. Mengikut hukum syarak, anak susuan diiktiraf setelah penyusuan diberikan sekurang-kurangnya lima kali yang mengenyangkan bayi itu. Setelah sabit anak susuan, dari segi pergaulan, hukumnya samalah anak itu seperti anak sendiri. Sebagai contoh, tidak batal air sembahyang ketika bersentuhan kulit anak lelaki dengan ibu susunnya. Namun mereka tetap tidak saling mewarisi harta pusaka kerana anak itu bukan keturunan sebenar. Dengan lain perkataan anak itu bukan darah daging ibu susuannya itu.

SOALAN
Bagaimana hukumnya seorang anak yang dipelihara oleh orang lain dan dibinkan kepada bapa angkatnya?
JAWAPAN
Sebagaimana yang telah saya terangkan di atas, hukumnya samalah dengan hukum anak angkat. Walau pun dibinkan kepada bapa angkat, pada hakikatnya anak itu bukan darah daging bapa angkatnya itu. Bahkan hukumnya haram bagi sesiapa yang memelihara anak angkat dan dibinkan kepadanya kerana ia akan menyebabkan kecelaruan dalam hirarki keturunan, hukum perkahwinan, aurat dan sebagainya.
SOALAN
Bagaimana pula dengan anak yang dikatakan menderhaka kepada kedua ibu bapanya. Adakah anak ini layak mewarisi harta pusaka mereka?
JAWAPAN
Penderhakaan bukanlah sebab bagi menghalang seseorang anak itu mewarisi harta pusaka kedua ibu bapanya. Ini bermakna bagi seseorang yang dikatakan menderhaka kepada kedua ibu bapanya, tetap akan mewarisi harta pusaka mereka. Contohnya, Kamariah ingin berkahwin dengan seorang lelaki pilihannya tetapi tidak direstui oleh ayahnya. Kamariah mengambil jalan singkat dengan berkahwin di negara jiran. Sekembalinya ke rumah bapanya, beliau dan suaminya telah dihalau dan bapanya tidak suka beliau menjejakkan kakinya di rumah itu. Namun demikian sekiranya bapa meninggal dunia, Kamariah tetap berhak mewarisi harta pusaka bapanya.
SOALAN
Ada kalangan bapa yang benar-benar tidak mahukan anak yang tidak disukainya itu mewarisi harta pusakanya dengan menulis wasiat yang berbunyi, “Sekiranya saya meninggal dunia, saya tidak redha anak saya bernama Abu Sufian mewarisi harta pusaka saya”. Apa pandangan ustaz?
JAWAPAN
Wasiat ini tidak terpakai kerana bertentangan dengan hukum syarak. Sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini penderhakaan tidak menghilangkan kelayakan seseorang itu mewarisi harta pusaka kedua ibu bapanya. Ini kerana penderhakaan dan pewarisan adalah dua hukum yang berasingan.
Derhaka kepada ibu bapa hukumnya haram dan berdosa besar, manakala anak sebenar kepada si mati layak mewarisi harta pusaka selagi tiada sebab yang menghalang pewarisan seperti membunuh atau menyebabkan kematian ibu bapa, berlainan ugama atau anak itu seorang yang murtad.


Sekian.