Wednesday 29 May 2019


DARI FAIL PUSAKA # 7

 DIA BOLEH HALALKAN, KITA BAGAIMANA?.

Situasi:

Si mati, Abdul Karim seorang kontraktor kecil-kecilan membaiki dan ubah suai rumah atau bangunan telah meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 5 orang anak; 2 lelaki dan 3 perempuan.

Mengikut hukum syarak, hutang wajib dilunaskan terlebih dahulu oleh waris waris sebelum harta pusaka difaraidkan.

Pemohon untuk membahagikan harta pusaka ialah isteri si mati.

Pegawai : “Puan, simati ada meninggalkan hutang atau tidak?.
Pemohon : “Ada tuan”.

Pegawai : “Hutang dengan siapa?.
Pemohon : “Arwah suami saya ada ambil barang dengan tauke Cina Ah Lek. Tak sempat bayar,
         dia meninggal”.
Pegawai : “Berapa jumlah hutang tu?”.
Pemohon : “Saya tak pasti, tapi setahu saya RM4,000 lebih”.

Pegawai : “Bagaimana nak jelaskan hutang ni”.

Pemohon : “Tak pasti. Sekarang tak ada duit lagi”.
Pegawai : “Saya tangguhkan dulu perbicaraan ni. Kita panggil taukeh Cina tu datang untuk perbincangan”.

Kes ditangguh dua minggu. Pada hari ditetapkan waris hadir bersama Taukeh Cina Ah Lek.

Pegawai : “Ah Lek, kamu kenal Abdul Karim?”.
Ah Lek : “Ya, dia kawan sama saya”.

Pegawai : “Saya nak tanya, Abdul Karim ada hutang dengan kamu?”
Ah Lek : “Ada ooo, dia hutang sama saya ampat libu ooo (RM4,000)”.
Pegawai : “Jadi macam mana waris nak bayar hutang tu”.
Ah Lek : “Tak pa, dia sudah mati ooo, tak payah bayar. Kalau dia hidup, saya mahu wang tu. Tapi sekalang dia sudah mati, tak payah bayar”.
Pegawai : “Kamu halal ke?”.
Ah Lek : “Ya betul, saya halal”.
Pegawai : (MasyaaaaAllah!!! …..).

Keputusan : Hutang tak perlu dibayar. Harta si mati diturun milik kepada waris waris mengikut hukum faraid.

KES SELESAI.



DARI FAIL PUSAKA # 6

 TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB WALAUPUN HABUAN TIDAK BERBALOI.

Situasi:

Sememangnya bagi kematian yang sudah berpuluh tahun lamanya hendak diselesaikan, akan menyebabkan jumlah waris yang ramai.

Bagi waris yang sudah jauh hubungannya dengan tuan punya harta, seperti cucu atau cicit, bahagian mereka sudah tentu tidak seberapa.

Bagi kes ini, jumlah waris yang berhak adalah seramai 19 orang. Semua waris hadir.

Perbicaraan di Alor Setar, Kedah.

Harta peninggalan: sebidang tanah bendang. Nilaiannya, RM10,000.00.

Selesai pomohon memberi keterangan, salah seorang waris yang hadir telah bersuara:

Osman : “Tuan, boleh saya Tanya?”.
Pegawai : “Ya, silakan”.
Osman : “Boleh saya tahu berapa duit yang saya dapat?”.

Setelah dibuat pengiraan berdasarkan kepada bahagian Osman mengikut Sijil Faraid:

Pegawai : “Nilaian tanah RM10,000.00. Bahagian Encik Osman sebanyak RM6.61”.
Osman : “Saya sudah jangka saya dapat sikit sebab saya cicit kepada si mati”.
Pegawai : “Sebenarnya, Encik boleh tanda tangan Surat Persetujuan (Borang DDA) dan tak   
                   perlulah hadir”.
Osman : “Saya datang dari Kuala Lumpur. Saya sedang buat ijazah master. Saya datang bukan
    kerana nakkan harta pusaka ni, Tuan. Saya datang hari ni kerana 2 sebab:
Pertama: saya nak kenal saudara mara saya yang selama ini memang saya tak pernah       jumpa. Hari ni semua ada.
   Kedua: Saya takut kalau saya tak datang, pusaka ni tak selesai. Saya takut berdosa”.

Pegawai : “Terima kasihlah En. Osman kerana datang hari ni, tunai tanggungjawab”.

Osman : “Tuan, boleh saya ambil gambar video dalam perbicaraan ni. Saya nak buat kenangan”.
Pegawai : “Saya benarkan”.

Atas persetujuan semua waris, tanah pusaka ini diserahkan kepada “kepala kuasa” (pemohon) seorang.

KES SELESAI.

Selepas selesai perbicaraan:

Pemohon : Semua adik beradik (waris yang hadir) jemput ke rumah saya untuk makan tengahari. Saya buat kenduri sikit.

Pegawai : (Dalam hati), saya dia tak jemput pun, ishhh…


DARI FAIL PUSAKA # 5

 IKHLAS

Fakta kes:
Si mati Sabariah binti Ngah.
Meninggalkan waris lima orang anak. Tiga lelaki dan dua perempuan. Sabri, Yusuf, Alwi, Rohana dan Mas Ayu. Suami dan ibu bapa telah mati dahulu.

Harta peninggalan: dua bidang tanah dan duit simpanan di sebuah bank RM30,000.00.

Permohonan untuk membahagikan harta pusaka dibuat oleh Sabri selaku anak sulung.

Pegawai: “Encik Sabri nak bahagi macam mana harta pusaka  ni?”.

Sabri:    “Saya pohon tanah arwah ibu dua keping geran, dibahagi mengikut hukum faraid.     Masuk semua nama dalam geran”.

Pegawai: “Duit nak bahagi macam mana?”

Sabri: “Duit simpanan ni saya pohon diserahkan kepada Rohana seorang”.

Rohana: (Terkejut), “Kenapa bagi kat saya sorang abang?. 

Sabri: “Kamu yang jaga mak. Mak sakit tiga tahun. Kami cuma ziarah je. Kami dah bincang 4 beradik ni, setuju serah duit ni kepada kamu sorang”.

Rohana: “Abang, saya ikhlas jaga mak. Saya tak mintak balasan pun”.

Mas Ayu: “Kak, memang kami dah bincang tadi, kami nak balas pengorbanan kak jaga mak yang lumpuh. Kami tahu betapa susahnya kak jaga mak. Kami pun ikhlas kak, ambillah”.

Yusuf : “Abang pun ikhlas serah kepada Ana, ambillah Ana!”.

Alwi : “Saya pun serah kepada Ana, ambillah. Kami semua sebulat suara setuju”.

Rohana: Tapiiii…..

Tetiba suasana menjadi sepi dan suram. Kelima-lima anak Sabariah mengesat air mata yang bergenang di kelopak mata masing masing.

Allahu, Allah menunjukkan kepada ku erti ikhlas yang sebenarnya.

Keputusan:

Dengan ini diperintahkan 2 bidang tanah si mati dibahagikan kepada 5 orang anak mengikut hukum faraid dan duit simpanan si mati diserahkan kepada Rohana seorang.

KES SELESAI.