Sunday 23 December 2018


DARI FAIL PUSAKA #3

Selalu juga dikatakan orang, kalau tak ada anak lelaki, susah jadinya. Bagaimana pula dengan kes ini?

Fakta kes:

Roslan mati dan meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan berumur 10 tahun dan seorang saudara seibu sebapa lelaki bernama Rosmat.

Harta peninggalan adalah sebuah rumah teres bernilai RM80,000.00.

Permohonan untuk membahagikan harta pusaka dibuat oleh isteri si mati dan perbicaraan harta pusaka di hadapan saya berlangsung di Pejabat Pusaka, JKPTG Ipoh, Perak.

Pegawai: “Puan, rumah teres ni nak bahagi macam mana?”.
Isteri:     “Saya pohon dibahagi mengikut hukum faraid”.
Pegawai: “Maknanya rumah teres ni didaftarkan dengan 3 nama mengikut bahagian masing-masing?”. (Bertanya untuk kepastian).
Isteri:    “Ya, Tuan”.
Pegawai: “Encik Mat (Rosmat), Encik Tinggal di mana?”.
Rosmat: “Saya tinggal di Johor Bharu, Tuan”.
Pegawai: “Bila datang ke Ipoh?”.
Rosmat: “Semalam. Saya bermalam di hotel”.
Pegawai: “Encik setuju rumah teres ni dibahagi mengikut hukum Faraid?”.
Rosmat: “Tuan, bahagian saya, saya serahkan kepada anak saudara saya”.
Pegawai: “Benar ke Encik Mat tak mahu bahagian Encik?  Encik datang dari jauh. Bahagian Encik 3/8 bahagian. RM30,000.00”.
Rosmat: “Ya Tuan. Saya serahkan kepada anak saudara saya yang seorang ni. Dan saya berjanji akan tanggung (perbelanjaan) dia sehingga dia besar (dewasa)”.

Situasi:  Tidak semena-mena saya terlihat isteri si mati mengeluarkan sehelai tisu dari dalam beg tangannya lalu mengesat air mata yang mengalir keluar. (Terkejut dan terharu dengan kata kata Rosmat, agaknya).

Pegawai: (Tersentuh dalam situasi  dan terlintas di hati: Masya Allah, Allah telah menunjukkan kepada ku Hikmahnya).

Keputusan:

Sebuah rumah teres satu tingkat dibahagikan kepada:
Isteri                            1/8 bahagian.
Anak perempuan        7/8 bahagian.

Kes selesai.



Wednesday 19 December 2018


DARI FAIL PUSAKA #2

MENYESAL TAK BERGUNA

Satu permohonan untuk membahagikan harta pusaka telah dibuat oleh Gayah, isteri kepada si mati. Waris yang disenaraikan ialah seorang isteri dan seorang anak lelaki berumur 1 setengah tahun.
Siasatan waris pada hari perbicaraan:

Pegawai: “Puan, pada masa kematian, ibu bapa si mati masih ada ke tidak?”
Gayah: “ Ibu mati dahulu. Tapi ayah masih ada”.
Pegawai: “Nenek sebelah ibu, ada ke tidak?”.
Gayah: “Tak ada tuan, mati dahulu”.
Pegawai: “Ayah si mati patut dapat pusaka ni. Tapi sebab apa tak masuk nama dia dalam senarai waris?”.
Gayah: “Sebenarnya tuan, ayah si mati iaitu bapa mertua saya tak suka anak dia kahwin dengan saya. Dia halau kami dan tak benarkan kami jejak kaki di rumahnya. Dia tak mengaku arwah sebagai anaknya selagi saya jadi isteri arwah. Sejak kahwin, saya dan arwah suami saya tak pernah balik ke rumah mertua. Sebab tu saya tak masuk nama dia dalam borang permohonan”.
Pegawai: “Mengikut hukum, bapa si mati berhak terima pusaka walaupun dia tak suka kepada anaknya. Kalau nak selesai, panggil dia datang ke pejabat”.
Gayah: “Tuan, saya cuba beri tahu bapa mertua saya”.

Dua minggu kemudian:

Gayah hadir bersama anaknya. Bapa si mati juga hadir dan duduk di kerusi hujung sebelah kiri.

Pegawai: “Pak Cik, si mati ni siapa?”.
Bapa: “Anak saya”.
Pegawai: “Mengikut hukum faraid, apabila seorang mati meninggalkan bapa, bapa dapat pusaka 1/6 bahagian sebab si mati ada anak lelaki”. (Bapa yang pernah tidak mengaku si mati anaknya kerana sesuatu yang tidak disukainya dilakukan oleh anaknya, tidak menghalang bapa daripada mewarisi harta pusaka anaknya).
Pegawai: “Sebab itu pak cik dipanggil datang ke pejabat. Kita nak tahu tanah pusaka arwah ni bahagian pak cik macam mana?”.
Bapa: (Pertama kali melihat cucunya. Timbul kasih sayang dan penyesalan di raut wajahnya). “Bahagian saya, saya serahkan kepada cucu saya. Saya tak mahu tanah ni. Bagi kepada cucu saya”.
“Cuma saya nak mintak satu perkara. Selepas ni menantu saya dan cucu saya tinggal di rumah saya”.
Gayah: (Sangat terkejut. Memandang kepada bapa mertua. Bangun dari kerusi bersama anaknya  meluru ke arah bapa mertua. Dipeluknya bapa mertua dengan tangisan. Bapa mertua turut mengalirkan air mata. Ternyata Gayah melepaskan rindu kasih sayang seorang bapa mertua).

Pegawai: ( Tak sanggup melihat drama di hadapan mata. Keluar sekejap dari bilik perbicaraan                       mencari ketenangan).

Kes selesai.