Thursday 2 November 2017

UMPAMA SETANDAN KELAPA

Umpama setandan kelapa, ada sepuluh biji,  kelapa muda semua airnya manis dan enak diminum. Kalau kelapa tua, santannya banyak dan boleh digunakan untuk masakan yang enak. Tetapi ada kalanya dalam satu tandan kelapa terdapat sebiji buah yang’ komeng’.  Tidak ada air untuk diminum dan tidak ada isi untuk dijadikan  santan. Lantas dibuang begitu sahaja.

Fakta kes:
Satu hari datang seorang wanita ke pejabat saya. Pohon supaya saya uruskan permohonan untuk membahagikan harta pusaka arwah bapanya yang telah meninggal dunia sekian lama iaitu sejak tahun 1975. Iaitu lebih 40 tahun yang lalu.

Begitu cekal hatinya, berulang alik ke pejabat saya memberi maklumat kedudukan waris, menghantar dokumen yang perlu. Kes kematian berlapis (munasakhat) sebanyak 7 kematian. Ia melibatkan waris seramai 35 orang.

Bagi saya, selagi maklumat yang diperlukan tidak diperolehi, selagi dokumen yang diperlukan tidak sampai ke tangan saya, permohonan untuk membahagikan harta pusaka tidak akan dihantar ke pejabat pusaka kecil. Saya tidak akan menghantar permohonan pusaka yang tidak lengkap kerana ia akan menyusahkan waris-waris itu sendiri kemudian hari. Ini kerana sekiranya maklumat tidak lengkap, kes pusaka tidak selesai dan akan ditangguh kepada satu masa yang lain.

Setelah semua maklumat kedudukan waris si mati lengkap, dan telah saya susun mengikut tertib tarikh kematian,  semua dokumen berkaitan diperolehi, harta si mati dikenal pasti sebanyak 7 bidang tanah yang mana nilai kesemuanya hampir RM2 juta; permohonan untuk membahagikan harta pusaka Osman bin Kasim telah diajukan kepada Pejabat Pembahagian Harta Pusaka melalui Borang A. Alhamdulilah selesai peringkat pertama.

Peringkat kedua, pemohon dinasihatkan supaya mengadakan perbincangan dalam kalangan waris-waris, bagaimana ke tujuh tujuh keping tanah pusaka itu hendak dibahagikan kepada waris-waris yang seramai 35 orang itu.

Asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid.  Maknanya setiap keping tanah adalah kepunyaan 35 orang waris mengikut bahagian masing-masing  yang ditentukan oleh hukum faraid. Walau bagaimana pun waris-waris boleh bersetuju untuk membahagikan harta pusaka itu mengikut permuafakatan bagi mengelakkan setiap bidang tanah pusaka itu dimiliki oleh seramai 35 orang.

Perbincangan dalam kalangan waris-waris telah diadakan. Alhamdulilah persetujuan secara majoriti  telah diperolehi, di mana tanah-tanah itu dibahagikan mengikut keluarga masing-masing. Misalnya tanah A dipersetujui diserahkan kepada keluarga Ramli, tanah B diserahkan kepada keluarga Sudin dan begitulah seterusnya. Alhamdulilah selesai peringkat kedua.

Sampai kepada peringkat ketiga. Perbicaraan harta pusaka telah dipanggil di Pejabat Pusaka Kecil. Pada hari dan masa yang ditetapkan, semua waris hadir untuk menyatakan persetujuan ‘kecuali’ seorang. Tidak diketahui apa ceritanya, apa masalahnya. Beliau enggan hadir tanpa sebab dan tanpa mahu berunding. Akibatnya harta pusaka itu tidak dapat dibahagikan seperti mana dipersetujui sebelumnya dan pemohon dilantik sebagai ‘Pentadbir’ sehingga mendapat persetujuan daripada waris yang seorang itu.

Ulasan:
Situasi begini kadang kala berlaku dalam urusan pembahagian harta pusaka. Alangkah sedihnya, kecewa wanita yang berhasrat untuk menyelasaikan harta pusaka yang terbengkalai sejak sekian lama. Bukan hanya wanita itu seorang, tetapi 34 orang waris yang terlibat. Kerana ‘seorang’ yang tidak memberikan kerjasama, pembahagian ditangguhkan. Sampai bila?

Semoga tiada dalam kalangan pembaca artikel ini menjadi sebiji buah kelapa yang ‘komeng’.  Biarlah dalam setandan kelapa itu semua buahnya baik; manis airnya dan banyak santannya.
Berusaha dan bersatu padulah bagi menyelesaikan harta pusaka orang tua sebaik mungkin.


Sekian, untuk renungan.