Friday 21 December 2012


MENGAPA SAYA DIKEHENDAKKI HADIR?

Selesai makan tengahari, tiba-tiba Sabariah mengadu sesak nafas. Kasim memapah Sabariah dan membaringkannya di atas tilam. Begitu mudah Sabariah menghembuskan nafas terakhir. Kasim baru dua minggu berkahwin dengan Sabariah, seorang janda beranak tiga.

Tiga bulan selepas kematian, anak sulung Sabariah telah membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka ibunya di Pejabat Pembahagian Harta Pusaka Kecil. Senarai waris yang dimasukkan dalam permohonan hanya tiga orang anak-anak sahaja. Suami (Kasim) tidak disenaraikan atas kehendak Kasim sendiri dengan harapan dia tidak dipanggil ke pejabat dalam urusan pembahagian harta pusaka Sabariah.

Pada hari perbicraan, saya selaku Pegawai Pembahagian Harta Pusaka, membuat siasatan waris bagi menentukan waris yang layak mewarisi harta pusaka Sabariah. Kedudukan waris Sabariah adalah seperti berikut:
1.       Sabariah tidak meninggalkan ibu bapa dan semua keturunan ke atas telah mati dahulu.
2.       Sabariah telah berkahwin dua kali.
a.       Pertama               : Ahmad bin Abu. Mati dahulu.
b.      Kedua                 : Kasim bin Ahmad, bercerai mati dan masih hidup.
3.       Sabariah meninggalkan tiga orang anak dengan suami pertama, kesemuanya lelaki iaitu: Osman, Selamat dan Zailani.
Kesimpulannya, waris yang layak bagi harta pusaka Sabariah ialah, suami (Kasim) dan tiga orang anak lelakinya (Osman, Selamat dan Zailani).

Perbicaraan ditangguhkan kerana Kasim diperlukan hadir untuk memberi keterangan bagi menentukan bahagiannya.

Pada hari yang ditetapkan, Kasim hadir bersama tiga orang anak-anak tirinya. Sebelum sempat duduk, Kasim dengan suara agak keras berkata, “Mengapa panggil saya ke pejabat?. Saya tak ada kena mengena dengan harta pusaka ini. Harta ini ‘bukan dalam saya’. Ini harta Sabariah dapat daripada harta pusaka suaminya yang terdahulu”.

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan oleh Kasim “Harta ini bukan dalam saya”.

Jawab:

Maksudnya harta Sabariah yang nak difaraidkan itu bukan diperolehi ketika dalam perkahwinannya dengan Sabariah. Harta itu Sabariah dapat daripada pusaka bekas suaminya, Ahmad. Oleh itu Kasim berpendapat, beliau tidak berhak ke atas harta pusaka Sabariah dan sepatutnya beliau tidak dipanggil ke pejabat.

Pendapat Kasim tidak tepat. Apabila seseorang itu meninggal dunia kesemua harta miliknya menjadi harta pusaka dan mesti difaraidkan tanpa mengambil kira bagaimana harta itu diperolehi. Sama ada melalui pembelian, mendapat hibah atau hadiah, sumber daripada gaji dan elaun, hasil perniagaan,  mendapat wasiat, mendapat pusaka daripada ibu bapa, suami dan sebagainya asalkan harta itu diperolehi secara halal. Oleh itu Kasim berhak mewarisi harta pusaka isterinya, Sabariah. Sebab itulah beliau dikehendakki hadir ke pejabat. (Dalam kes ini, Sabariah meninggalkan empat ekar tanah iaitu pusaka arwah suami pertamanya, Ahmad).

Soalan:

Adakah Kasim layak mewarisi harta pusaka Sabariah walau pun beliau baru dua minggu  berkahwin?.

Jawab:

Tempoh perkahwinan bukanlah ukuran bagi kelayakan seseorang itu mewarisi harta pusaka pasangannya. Suami atau isteri layak mewarisi harta pusaka pasangannya sebaik sahaja majlis ijab dan qabul disempurnakan. Walau pun baru dua minggu Kasim menjadi suami kepada Sabariah, Kasim layak menerima harta pusaka isterinya asalkan perkahwinan itu sah mengikut hukum syarak.

Setelah faham dengan penjelasan yang diberi, Kasim  bertanya dengan nada lemah lembut, “kalau saya berhak, berapakah bahagian saya”?.

“Bahagian kamu adalah sebanyak 1/4 bahagian daripada harta pusaka Sabariah kerana Sabariah ada meninggalkan tiga orang anak. Ini bermakna kamu mendapat satu ekar tanah”.
“Wah! Banyaknya, nasib baik tuan panggil saya ke pejabat. Kalau tidak rugilah saya!. Terima kasih, terima kasih  tuan kerana panggil saya ke pejabat. Saya mahu bahagian saya”.

PEMBAHAGIAN MENGIKUT HUKUM FARAID


4
4 EKAR
KASIM
1/4
1
1 ekar
OSMAN
Asabah
1
1 ekar
SELAMAT
Asabah
1
1 ekar
ZAILANI
Asabah
1
1 ekar

Friday 30 November 2012


ADAKAH WAJIB BAGI SESEORANG ITU MENGAMBIL BAHAGIAN YANG TELAH DIPERUNTUKKAN OLEH HUKUM FARAID KEPADANYA?

Hukum faraid adalah merupakan formula yang menyatakan siapakah dalam kalangan kaum keluarga yang berhak mewarisi harta pusaka  si mati dan ini dinamakan ‘penentuan waris’. Juga formula yang menyatakan berapakah bahagian yang berhak diwarisi oleh setiap orang waris dan ini dinamakan ‘penentuan bahagian’.

Contoh penentuan waris:
Ali mati meninggalkan ibu, bapa, nenek sebelah ibu, isteri yang telah diceraikan beberapa tahun yang lalu, isteri yang bercerai mati, dua orang anak lelaki, seorang anak perempuan, lima orang cucu dan empat orang adik beradik.
Hukum faraid telah menentukan bahawa waris yang berhak mewarisi harta pusaka Ali ialah: ibu, bapa, isteri yang bercerai mati, dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Waris-waris lain tidak layak mewarisi berdasarkan kepada formula yang digariskan di dalam ilmu faraid.

Contoh penentuan bahagian:
Hukjum faraid menentukan bahagian waris yang berhak mewarisi adalah seperti berikut:

Ibu
1/6
Bapa
1/6
Isteri
1/8
Anak lelaki
Asabah
Anak lelaki
Asabah
Anak perempuan
Asabah

Asabah bermakna baki setelah diberikan bahagian ibu, bapa dan isteri yang mewarisi secara fardu. Oleh kerana si mati meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, anak-anak mewarisi secara ‘asabah bil-ghairi’, iaitu anak lelaki mendapat 2 bahagian manakala anak perempuan pula mendapat 1 bahagian iaitu nisbah 2:1.
Soalnya, berapakah bahagian yang diwarisi oleh anak-anak?. Untuk mengetahui bahagian mereka, perlu kepada pengiraan faraid:  



24
120
Ibu
1/6
4
20
Bapa
1/6
4
20
Isteri
1/8
3
15
Anak lelaki
Asabah

26
Anak lelaki
Asabah
13
26
Anak perempuan
Asabah

13

Setelah pengiraan, ibu bapa masing-masing mendapat 20/120 bahagian, isteri mendapat 15/120 bahagian, setiap anak lelaki mendapat 26/120 bahagian dan anak perempuan pula mendapat 13/120 bahagian.
Sekiranya si mati meninggalkan sebidang tanah pertanian seluas 2 ekar nilaiannya RM100,000, pembahagian mengikut hukum faraid adalah seperti rajah di bawah:



24
120
2 ekar
RM100,000
Ibu
1/6
4
20
0.33
RM16,666.67
Bapa
1/6
4
20
0.33
RM16,666.67
Isteri
1/8
3
15
0.25
RM12,500.00
Anak lelaki
Asabah

26
0.43
RM21,666.67
Anak lelaki
Asabah
13
26
0.43
RM21,666.67
Anak perempuan
Asabah

13
0.21
RM10,833,33

Soalan
Adakah wajib bagi seseorang itu mengambil bahagian yang telah diperuntukkan oleh hukum faraid kepadanya? Bahkan ada yang mengatakan bahawa ‘tidak baik’ jika seseorang itu tidak mengambil bahagiannya kerana bahagian itu telah ditentukan oleh Allah di dalam al-Quran. Sebagai contoh, bolehkah ibu dan bapa si mati menyerahkan bahagian mereka kepada cucu mereka (anak si mati)?.

Jawapan
Sebagaimana yang diterangkan di atas, hukum faraid adalah merupakan formula untuk menentukan waris yang layak mewarisi dan menentukan bahagian bagi setiap orang waris yang berhak sebagaimana diterangkan di dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 11,12 dan 176.
Setelah mengetahui bahagian, seseorang waris itu bebas untuk membuat pilihan sama ada menerima bahagiannya atau menyerahkannya kepada orang lain. Penyerahan hak ini dibenarkan dalam hukum faraid dan dikenali sebagai ‘takharuj’.
Ibu dan bapa si mati boleh menyerahkan bahagian mereka kepada anak-anak si mati.  selalu berlaku dalam masyarakat di mana datuk dan nenek menyerahkan hak mereka kepada cucu mereka tanpa balasan. Penyerahan hak ini dinamakan ‘takharuj tanpa balasan’. Sekiranya penyerahan hak ini dibuat dengan meminta balasan atau bayaran, penyerahan hak ini dinamakan ‘takharuj dengan balasan’.

Syarat sah penyerahan hak:
1.       Waris yang ingin menyerahkan haknya kepada orang lain tahu sekurang-kurangnya bahagian atau nilai yang patut diwarisi ke atas harta pusaka itu. Misalnya, ibu dan bapa si mati sekurang-kurangnya mengetahui bahagian mereka 1/6 bahagian tiap seorang.
2.       Penyerahan hak dilakukan oleh waris cukup umur /dewasa dan sempurna akal.
3.       Penyerahan hak dibuat secara sukarela. Tiada paksaan atau ugutan mana-mana pihak.

Kesimpulan:
Hukum faraid hanya menentukan waris yang berhak mewarisi dan menentukan bahagian masing-masing. Setiap orang waris mempunyai hak memilih sama ada menerima harta pusaka itu atau menyerahkannya kepada orang lain. Penyerahan hak menjadi sah sekiranya dibuat dengan ikhlas bahkan diberikan ganjaran pahala di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim.

Wallahuaklam.

Thursday 22 November 2012


HUKUM PEWARISAN WARIS MATI SERENTAK

Salah satu syarat seseorang waris itu layak mewarisi harta pusaka ialah waris itu hidup ketika pemilik harta meninggal dunia. Ini bermakna, waris yang mati dahulu daripada empunya harta pusaka tidak berhak mewarisi.

Contoh:
Ahmad mempunyai empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Mereka ialah Abu, Ali, Sofiah dan Solehah. Ahmad telah meninggal dunia pada 1 Januari 2011. Pada masa kematiannya, anak sulung beliau iaitu Abu telah pun meninggal dunia terlebih dahulu iaitu pada 6 Mac 2009. Ini bermakna anak yang berhak mewarisi harta pusaka Ahmad ialah Ali, Sofiah dan Solehah. Abu Tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya kerana pada masa kematian Ahmad, Abu telah pun meninggal dunia.

Soalan 1

Bagaimana hukum pewarisan bagi ahli keluarga yang mati serentak, misalnya seorang bapa dan anaknya mati ditempat kejadian dalam satu kemalangan jalan raya?

Jawab:

Mati serentak bermakna tidak dapat dipastikan siapakah di antara kedua-dua mereka yang mati dahulu dan siapa pula yang mati kemudian. Ketika saksi tiba di tempat kemalangan, kedua-dua mereka telah pun meninggal dunia.

Hukumnya, saling tidak mewarisi antara satu sama lain. Maknanya, harta pusaka bapa tidak diwarisi oleh anaknya yang mati dalam kemalangan itu, manakala harta pusaka peninggalan anak itu tidak diwarisi oleh bapanya.

Contoh:
Ahmad hanya mempunyai 4 orang anak seperti mana di atas. Abu, Ali, Sofiah dan Solehah. Waris lain seperti isteri, ibu dan bapa telah mati dahulu. Abu mati serentak dengan bapanya (Ahmad) dalam satu kemalangan jalanraya. Abu telah berkahwin dan mempunyai seorang isteri bernama Sabariah dan dua orang anak lelaki iaitu Sidiq dan Sufian. Harta pusaka Ahmad akan diwarisi oleh tiga orang anak-anaknya iaitu Ali, Sofiah dan Solehah seolah-olah Abu mati dahulu daripada bapanya. Manakala harta pusaka Abu akan diwarisi oleh isteri dan dua orang anak lelakinya seolah-olah bapanya (Ahmad) mati dahulu daripada Abu.

Pembahagian harta pusaka Ahmad:

ABU
Mati serentak
Tidak mewarisi
ALI
Anak lelaki
2/4
SOFIAH
Anak perempuan
1/4
SOLEHAH
Anak perempuan
1/4

Pembahagian harta pusaka Abu:

AHMAD
Mati serentak
Tidak mewarisi
SABARIAH
Isteri
2/16
SIDIQ
Anak lelaki
7/16
SUFIAN
Anak lelaki
7/16

Soalan 2

Bagaimana pula sekiranya Ahmad mati ditempat kejadian manakala Abu mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Jawab:

Ini bermakna Abu mati kemudian daripada bapanya. Oleh itu Abu berhak mewarisi harta pusaka bapanya walau pun Abu mati hanya beberapa minit kemudian.  Dengan perubahan fakta ini, pembahagian akan menjadi seperti berikut:

Pembahagian harta pusaka Ahmad:

ABU
Mati kemudian
2/6
ALI
Anak lelaki
2/6
SOFIAH
Anak perempuan
1/6
SOLEHAH
Anak perempuan
1/6

Pembahagian harta pusaka Abu:

AHMAD
Mati dahulu
Tidak mewarisi
SABARIAH
Isteri
2/16
SIDIQ
Anak lelaki
7/16
SUFIAN
Anak lelaki
7/16


Kesimpulan:

Waktu kematian adalah merupakan satu perkara yang sangat penting dan patut diberikan perhatian yang sewajarnya dalam urusan pembahagian harta pusaka. Waktu kematian menentukan sama ada seseorang waris itu mati dahulu, mati kemudian atau mati serentak dengan orang yang akan diwarisi hartanya.  Setelah diyakini waktu kematian seseorang waris dapatlah ditentukan kedudukannya sama ada layak mewarisi harta pusaka atau sebaliknya. Waris yang mati dahulu dan mati serentak tidak layak mewarisi manakala waris yang mati kemudian layak mewarisi.

Adalah menjadi tanggungjawab saksi kemalangan untuk memaklumkan kedudukan orang-orang yang mati dalam kemalangan itu kerana waktu kematian memberi kesan kepada kelayakan dalam mewarisi harta pusaka.

Saturday 3 November 2012


KONSEP HIBAH

HIBAH


1. Pengertian
Hibah bererti pemberian atau sumbangan harta oleh seseorang kepada orang atau pihak lain semasa hayatnya tanpa balasan.
Contoh:
a.    Sidiq memberikan sebuah kereta kepada isterinya.
b. Ahmad menyumbangkan lima buah kerusi roda kepada persatuan orang kurang upaya.

2. Perbezaan hibah dan wasiat
Hibah berbeza dengan wasiat dalam empat aspek, iaitu:

2.1. Tarikh kuatkuasa pemindahan milik.
Harta yang diwasiatkan akan berpindah milik kepada penerima wasiat selepas kematian pewasiat, manakala harta yang dihibahkan akan terus berpindah milik kepada penerima sebaik sahaja pemberian itu diterima setelah ijab dan qabul, iaitu ketika pemberi hibah masih hidup.

2.2.  Kadar harta yang boleh diwasiat atau dihibah.
Harta yang diwasiatkan hanya dibenarkan setakat 1/3 daripada harta milik pewasiat manakala harta yang mahu dihibahkan tidak dihadkan jumlahnya sehinggalah kepada kesemua harta.

2.3. Penerima
Penerima wasiat hanya dibenarkan kepada bukan waris yang berhak menerima pusaka, manakala penerima hibah tidak dikhususkan kepada sesuatu golongan bahkan dibenarkan kepada sesiapa sahaja.

2.4. Persetujuan waris
Sekiranya diwasiatkan juga kepada waris yang berhak atau harta yang diwasiatkan itu lebih daripada 1/3 harta, wasiat tersebut boleh dilaksanakan dengan syarat mendapat persetujuan daripada semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka pewasiat, manakala hibah tidak memerlukan persetujuan bakal waris.

3. Antara syarat sah hibah.
a.    Pemberi hibah mestilah tuan punya harta.
b.    Pemberi hibah sempurna akal, baligh dan mampu mengurus harta.
c.    Tiada unsur penipuan atau paksaan.
d.    Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan (Qabad).

4. Perselisihan pendapat tentang Qabad
a.    Shafie dan Hanafi :
Qabad merupakan syarat sah hibah. Sekiranya tidak ada pemindahan milik daripada pemberi kepada penerima hibah, hibah itu tidak sah. Bermakna tidak memadai dengan ijab dan qabul sedangkan harta itu masih dikuasai atau dimiliki oleh pemberi hibah.
b.    Hanbali dan Maliki :
Qabad bukan syarat sah hibah. Memadai dengan akad sahaja.

5. Pemberian bersyarat
Setiap pemberian sepatutnya tidak disertakan dengan syarat. Ini kerana pemberian itu sah, manakala syarat yang diberikan tidak terpakai.

Contoh:
a.    Sekiranya seorang bapa memberi sesuatu kepada anaknya dan memberikan syarat supaya tidak menjual harta tersebut. Pemberian itu sah, tetapi syarat itu boleh diabaikan.
b.    Sekiranya dikatakan seperti berikut: ‘Saya beri kepada awak sepanjang hidup awak. Sekiranya awak mati, saya ambil balik’. Hukum pemberian ini sah, tetapi apabila penerima hibah mati, harta akan diwarisi oleh waris  penerima hibah dan pemberi hibahtidak boleh mengambilnya kembali.

5.1. Umra dan Ruqba.
a.    ‘Umra’ bermaksud pemberian hanya setakat hayat pemberi atau penerima hibah. Seperti katanya: “Tanah ini aku berikan kepada kamu sepanjang hayat kamu. Jika kamu mati dahulu tanah itu kembali kepada aku. Jika aku mati dahulu, tanah itu hendaklah dikembalikan kepada waris-waris aku”.
b.    ‘Ruqba’ bermaksud pemberian kepada seseorang dengan katanya: “Tanah ini aku berikan kepada kamu. Jika kamu mati dahulu, tanah kembali menjadi milik aku dan kalau aku mati dahulu, tanah ini kekal menjadi milik kamu”.

5.2. Hukum pemberian bersyarat.
l  Jumhur ulama (majoriti) berpendapat hibah bersyarat hukumnya: Pemberian itu sah tetapi syaratnya terbatal.
l  Sebahagian ulama berpendapat bahawa pemberian secara ‘Umra’ dan ‘Ruqba’ adalah sah.
l  Keputusannya: oleh kerana masih belum ada Enakmen Hibah untuk dijadikan rujukan, sesuatu hibah bersyarat yang dibuat melalui dokumen hibah hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk diputuskan.

6. Dokumen hibah.
Hibah yang sempurna ialah pemberian yang disusuli dengan pindah milik atau  pertukaran nama. Misalnya pindah milik tanah melalui Borang 14A di Pejabat Tanah atau pindah milik kereta di Pejabat JPJ.

Sekiranya pemberian hanya dibuat melalui dokumen hibah, tanpa disusuli dengan pindah milik, harta itu masih kekal didaftarkan dengan nama pemberi hibah. Apabila pemberi hibah meninggal dunia, penerima hibah hendaklah membuat tuntutan melalui proses pembahagian harta pusaka untuk memindah milik harta itu kepadanya.

Di sini terdapat dua kemungkinan  
a.    Sekiranya waris-waris yang berhak ke atas harta pusaka pemberi hibah tidak membuat sebarang bantahan dan bersetuju dengan dokumen hibah, pegawai pusaka akan terus menukar milik harta itu kepada penerima hibah.
b.    Sekiranya waris-waris tersebut di atas tidak bersetuju dengan dokumen hibah itu atau membuat bantahan, penerima hibah hendaklah membawa kes  mahkamah syariah untuk mendapatkan pengesahan hibah. Penerima hibah akan memiliki harta itu sekiranya mahkamah memutuskan hibah itu sah. Sebaliknya harta itu akan difaraidkan sekiranya mahkamah mendapati hibah yang dibuat melalui dokumen itu tidak menepati hukum syarak.

7. Mengambil balik pemberian
Apabila berlaku ijab dan qabul maka berpindahlah milik harta yang dihibahkan itu kepada penerima hibah. Tidak boleh lagi pemberi mengambil kembali kecuali pemberian oleh bapa kepada anaknya.

Dalilnya, hadis riwayat Ibnu Umar dan Sayidina Abbas r.a. yang bermaksud:
“Tidak halal bagi seseorang yang memberi atau menghebahkan sesuatu kemudian memilikkinya semula kecuali bapa yang memberikan sesauatu kepada anaknya”.

8. Hukum pemberian bapa kepada anak
Seseorang itu boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun, seorang bapa seboleh-bolehnya hendaklah berlaku adil kepada anak-anak mereka. Ini dijelaskan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nukman bin Basyir yang bermaksud:
“Bapa saya telah memberi sesuatu kepada saya. Ibu tidak setuju. Disuruhnya bapa saya berjumpa dan bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah bertanya kepada Basyir: Adakah engkau mempunyai anak lain seperti ini?. Kata Basyir: Ya!. Rasulullah bertanya: Adakah engkau berikan yang seumpama ini kepada mereka?. Kata Basyir: Tidak. Rasulullah berkata: Ambil balik”.

Daripada hadis tersebut ulama berpendapat seperti berikut:
Al-Rafa‘i berkata pemberian seumpama itu hukumnya makruh, dan Ibn Hibban pula berpendapat tindakan bapa tersebut adalah haram. Manakala kebanyakan ulama berpendapat tidak wajib seorang bapa itu memberikan sama rata kepada anak-anak mereka tetapi makruh jika diberikan berlebih kurang tanpa sebab.

Bagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan haram bagi bapa menghibahkan hartanya kepada anak-anak dengan berlebih kurang sekiranya dengan pemberian tersebut membawa kepada pertelingkahan di kalangan anak-anaknya.

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada al-Bukhari yang bermaksud:
“Bertaqwalah kepada Allah dan berlaku adillah antara anak-anak kamu”.

Sekian.
Perunding W Halim.
3 November 2012.