Friday 21 March 2014

ISU PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA:
GAGAL MENANGANI UJIAN: PEMBAHAGIAN TERTANGGUH

Sebenarnya pembahagian harta pusaka adalah merupakan satu proses yang mudah dan amat menyeronokkan.
Mudah kerana hanya dengan mengadakan perbincangan di kalangan waris bagi harta yang tidak melibatkan mana-mana jabatan, dan diikuti dengan mengisi Borang A (borang permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil) bagi harta yang terlibat dengan jabatan atau institusi.  Permohonan hanya perlu  disertai dengan salinan potostat sijil kematian, kad pengenalan waris, hakmilik tanah dan dokumen harta alih.
Menyeronokkan kerana waris-waris mendapat harta secara ‘percuma’ tanpa bersusah payah mengumpul wang atau membuat pinjaman. Ianya adalah hasil titik peluh orang tua yang ingin melihat anak cucu mereka hidup senang dan tidak merempat atau miskin.

Tetapi malangnya realiti yang wujud dalam masyarakat, masih ramai yang tidak menyelesaikan harta pusaka ibu bapa atau kaum keluarga mereka yang telah  mati. Rumah pusaka dibiarkan tiada penghuni, kebun getah tidak diambil hasilnya, dusun buah-buahan tiada siapa yang memetik buahnya.
Mengikut kajian,  didapati satu perenam daripada tuan tanah yang terlibat dengan kes pengambilan balik tanah oleh kerajaan untuk sesuatu projek adalah orang mati (tuan tanah telah  meninggal dunia). Sebahagian daripada kematian itu berlaku berpuluh-puluh tahun dahulu. Ini bermakna jika dianggarkan hakmilik tanah diseluruh Negara sebanyak 6 juta, bermakna satu juta hakmilik adalah kepunyaan orang mati (harta pusaka mereka masih belum diselesaikan oleh waris-waris).

Mengapa ini berlaku?
Pada pengamatan saya, untuk mendapat harta ‘percuma’ mestilah menempuh sedikit ujian, dugaan dan cobaan daripada Allah s.w.t.. Gagal menangani ujian ini bermakna gagal menyelesaikan harta pusaka sekali gus gagal memiliki harta ‘percuma’ itu.

Apakah ujian Allah itu?
1.      Dicampakkan ke dalam hati waris-waris perasaan tamak dan haloba. Ingin memiliki lebih daripada yang sepatutnya diperuntukkan di bawah hukum faraid. Bahkan kalau boleh biarlah harta pusaka ibu bapa atau si mati itu dimilikinya seorang. Tidak melepasi ujian ini bermakna tiada persefahaman dalam kalangan waris-waris. Lalu pusaka itu dibiarkan terbengkalai tanpa penyelesaian.

2.      Dicampakkan perasaan sensitif ke dalam jiwa para waris. Mudah tersinggung dan kecil hati. Bahkan perasaan buruk sangka kepada waris lain. Mereka itu bukan orang asing, tetapi adik beradik sendiri. Tanpa dapat melawan sifat mazmumah ini,  harta pusaka tidak berjaya dibincangkan dengan sempurna. Akibatnya dibiarkan begitu sahaja. Biarlah kekal dengan nama orang tua.

3.      Di wujudkan perasaan hasad dengki. Maka tiada tolak ansur, tiada semangat kekeluargaan, tiada timbang rasa dan gelisah dengan kesenangan yang bakal diperolehi oleh saudara sendiri. Justeru, apabila berbincang sukar untuk mencapai kata sepakat. Akibatnya, harta pusaka tidak dapat diselesaikan dan penyelesaiannya ditangguhkan.

4.      Dimasukkan perasaan sopan santun dan budi bahasa yang tinggi, tetapi bukan pada tempatnya. Misalnya, takut untuk bersuara, nanti dikatakan orang hendakkan harta. Segan silu untuk membahagikan harta secepat mungkin, takut dikatakan terburu-buru dan tidak sabar. Semua tidak bersuara dan anak sulung juga membisu seribu bahasa. Tinggallah harta pusaka begitu sahaja.

5.      Ditarik  rasa prihatin dan tanggungjawab. Menjadikan seseorang itu bersikap tidak apa dan tidak prihatin. Memandang remeh kepada harta pusaka, seolah-olah tiada harga kepada mereka. Ini kerana harta ‘percuma’ sememangnya dirasakan begitu. Sebagai contoh, apa perasaan anda terhadap kelas tuisyen percuma dan berbayar. Kalau percuma, anak tak pergi pun tidak mengapa. Tak ada yang rugi dari segi duit. Tetapi kalau berbayar, anak mesti pergi kerana rugi duit kalau tidak pergi. Demikianlah bandingannya bagi harta pusaka berbanding harta yang diperolehi dengan keringat sendiri.  Akibatnya, banyak harta pusaka yang tidak diselesaikan. Bukan kerana bergaduh atau berebutkan harta, tetapi sikap tidak prihatin dan memandang remeh kepada harta pusaka menjadi punca penyelesaian harta pusaka ditangguhkan.

Untuk renungan bersama.
PERUNDING W HALIM



Thursday 6 March 2014

FAHAMI KONSEP DAN HUKUM BERWASIAT, ELAK KEKELIRUAN.

Ustaz,
Izinkan saya kemukakan beberapa soalan iaitu masalah pembahagian harta pusaka bapa saya. Semasa bapa masih hidup, bapa telah memanggil anak-anak dan isterinya (ibu tiri saya) dan bapa telah memberitahu kepada kami bahawa sekiranya beliau meninggal dunia, harta-harta bapa hendaklah dibahagikan di kalangan kami seperti berikut:
1.       Rumah tempat tinggal bapa hendaklah diberikan kepada Azizah, anak kedua kerana Azizahlah yang selama ini tinggal dengan bapa.
2.       Tanah kebun getah diberikan kepada Rogayah, ibu tiri saya atas alasan ibu tiri boleh menjana pendapatan daripada hasil getah. Ketiadaan bapa, ibu tiri boleh tinggal dengan anaknya (anak tiri bapa).
3.       Sebuah rumah sewa diberikan kepada anak angkat lelaki bernama Roslan yang bapa pelihara sejak kecil kerana bapa inginkan anak lelaki.
4.       Sebuah lagi rumah sewa diberikan kepada saya (Rosnah), anak sulung.
Kami bersetuju dan wasiat bapa  ditulis di dalam dokumen wasiat melalui agen penulis wasiat bertauliah yang saya kira wasiat ini ‘valid’ dan tidak boleh dipertikaikan. Saya berpendapat, bapa telah ‘ merancang pembahagian’ harta pusakanya sebaik mungkin dan kami bersetuju di hadapan bapa dengan pembahagian itu tanpa bantahan.
Kami ingin menunaikan wasiat bapa dan telah dinasihatkan supaya membuat permohonan di Pejabat Pembahagian Harta Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Pusaka Kecil).

Soalan saya,
1.       Benarkah kata-kata Pegawai Pusaka bahawa wasiat ini tidak ‘valid’ dan hanya boleh dilaksanakan setelah kami membawa dua orang bapa saudara dan seorang ibu saudara kami (adik beradik bapa) ke pejabat pusaka, atau mendapat persetujuan daripada mereka melalui surat persetujuan (Borang DDA).
2.       Mengapakah wasiat ini tidak terpakai sedangkan ia dibuat melalui hitam putih (dokumen).
3.       Apakah hukumnya ibu tiri saya yang tidak bersetuju dengan wasiat ini setelah bapa meninggal dunia sedangkan beliau telah bersetuju semasa di hadapan bapa dahulu. Beliau mahukan rumah yang didiami bersama bapa dan tidak bersetuju diberikan kebun getah.
Harap mendapat penjelasan daripada ustaz.
Terima kasih.
ROSNAH

JAWAPAN:
1.       Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kepada puan kerana bertanyakan soalan ini sekali gus memberi ruang kepada saya untuk merungkai kekeliruan masyarakat dalam soal berwasiat.
2.       Benar kata-kata pegawai pusaka itu. Antara syarat sah berwasiat ialah  tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang berhak menerima pusaka. Oleh itu tidak boleh berwasiat kepada isteri dan anak-anak sebagai penerima wasiat. Bagaimana pun jika diwasiatkan juga, wasiat itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada semua waris yang berhak termasuk bapa saudara dan ibu saudara puan.

HURAIAN
Izinkan saya menghuraikan kekeliruan berkaitan wasiat yang puan hadapi sekarang.
Konsep asal diharuskan berwasiat adalah untuk memberi ruang kepada pemilik harta ‘mewariskan’ sebahagian daripada hartanya kepada orang-orang yang tidak berhak mewarisi harta pusakanya.
Sekiranya diwasiatkan juga kepada waris yang berhak menerima pusaka sebagai penerima harta wasiat, wasiat itu pada asalnya tidak sah. Bagaimanapun boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada semua waris yang berhak, dan persetujuan itu hendaklah diperolehi setelah berlaku kematian. Persetujuan ketika membuat wasiat tidak terpakai dan tidak boleh diambil kira.

Misalnya Abdulah tidak mempunyai anak sendiri, lantas mengambil seorang anak saudara bernama Suhaimi sebagai anak angkat. Sekiranya Abdullah meninggal dunia, Suhaimi tidak layak mewarisi harta pusakanya kerana Suhaimi bukan Nasab sebenar kepada Abdullah. Oleh yang demikian syarak membenarkan Abdullah memberikan sebahagian daripada harta pusakanya kepada Suhaimi dengan cara berwasiat. Sebab itu setiap orang dibenarkan berwasiat hanya setakat 1/3 bahagian sahaja kerana 2/3 bahagian lagi adalah hak kepunyaan waris yang berhak mengikut hukum faraid.
Contohnya: Abdullah meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, seorang adik lelaki seibu sebapa dan seorang anak angkat (Suhaimi). Abdullah meninggalkan wang simpanan sebanyak RM80,000.
Secara faraid, harta pusaka Abdullah akan diwarisi oleh isteri 1/4 bahagian iaitu RM20,000 dan adik lelaki menerima asabah (baki) 3/4 bahagian iaitu sebanyak RM60,000. Suhaimi tidak layak mewarisi apa-apa daripada harta pusaka bapa angkatnya.
Sekiranya Abdullah semasa hayatnya berwasiat kalau beliau meninggal dunia wang sebanyak RM 10,000 hendaklah diberikan kepada anak angkatnya Suhaimi, maka Suhaimi berhak mendapat RM10,000 dan bakinya RM70,000 difaraidkan. Isteri akan mendapat 1/4 daripada RM70,000 iaitu RM17500.00 manakala adik lelaki Abdullah mendapat bakinya iaitu 3/4 daripada RM70,000 iaitu RM52,500.00.
Kesimpulannya, harta pusaka Abdullah diagihkan kepada Suhaimi sebanyak RM10,000 (penerima wasiat), isteri RM17,500 dan adik lelaki mendapat RM52,500.00 (penerima pusaka secara faraid).
Berbalik pula kepada masalah puan. Penerima wasiat terdiri daripada dua kategori. Pertama, bukan waris iaitu Roslan sebagai anak angkat. Kedua, waris iaitu Rogayah sebagai isteri, puan dan Azizah sebagai anak. Daripada maklumat yang puan nyatakan di atas, saya simpulkan seperti berikut:
1.       Bapa puan meninggalkan waris-waris berikut:



24
24
Isteri
1/8
3
3
Anak perempuan
2/3
16
8
Anak perempuan


8
Saudara lelaki SIB
Asabah

2
Saudara lelaki SIB
Asabah
5
2
Saudara perempuan SIB
Asabah

1
Anak angkat
-

0

2.       Bapa puan meninggalkan harta seperti berikut:
a.       Sebuah rumah kediaman.
b.      Dua buah rumah sewa.
c.       Satu lot tanah kebun getah.

HUKUM WASIAT
1.       Wasiat bapa puan supaya diberikan sebuah rumah sewa kepada anak angkatnya yang bernama Roslan adalah sah dan hendaklah dipatuhi dan wajib dilaksanakan. Dengan syarat nilaian rumah itu tidak melebihi 1/3 daripada jumlah nilaian keseluruhan harta bapa puan.  Ini kerana Roslan bukan waris yang berhak mewarisi harta bapa puan secara faraid.

2.       Wasiat kepada isteri dan anak perempuan tidak sah. Bagaimana pun wasiat itu boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan semua waris iaitu isteri, dua anak perempuan dan tiga orang adik beradik bapa puan. Ini kerana wasiat ini ditujukan kepada waris yang berhak.

3.       Maka benarlah kata-kata pegawai pusaka itu, bahawa wasiat itu tidak boleh dilaksanakan sehinggalah mendapat persetujuan daripada bapa dan ibu saudara puan. Bahkan tidak boleh dilaksanakan kerana ibu tiri puan juga tidak bersetuju dengan wasiat itu walaupun semasa hayat bapa puan, ibu tiri sudah bersetuju di hadapan bapa. Ini kerana persetujuan diambil kira setelah  berlaku kematian. Persetujuan terdahulu tidak terpakai.
Kesimpulannya, fahamilah konsep dan hukum berwasiat. Hindari kekeliruan agar tidak mendatangkan masalah kepada waris-waris dalam proses membahagikan harta pusaka.

Sekian, terima kasih.

Perunding W Halim.